20190531 - aerialjune.jpgoleh A. Sivarajan

Adakah projek pembangunan Kwasa Damansara di tapak bekas ladang Lembaga Getah Malaysia di Sungai Buloh oleh Kwasa Land yang dimiliki sepenuhnya oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menyelesaikan masalah perumahan rakyat pekerja? Atau adakah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ini akan bertindak sebagai sebuah pemaju swasta dan menfokus pada pembangunan komersial semata-mata untuk mengaut kenuntungan?

Sebagai sebuah syarikat yang dimiliki oleh tabung wang pesaraan rakyat, tidakkah KWSP dan Kwasa Land bertanggungjawab untuk menyediakan rumah mampu milik bagi rakyat pekerja?

Dengan aset tanah seluas 2,330 ekar di lokasi strategic di Lembah Klang, dilengkapi pula dengan dua buah stesen MRT, ia sepatutnya amat sesuai untuk dibangunkan kepada sebuah projek perumahan mampu milik untuk golongan B40 di sekitar kawasan Subang dan Sungai Buloh.

20190531 - kwasa-header-2017new

Jika pihak KWSP dan Kwasa Land mendirikan rumah mampu milik dengan harga jualan RM42,000 – RM100,000, pembelinya sudah sedia ada. Siapa pembeli ini? Mereka ini adalah komuniti yang dilupakan oleh Kerajaan selama ini. Mereka adalah komuniti penyewa rumah transit PPR Seksyen 8 Kota Damansara. Terdapat lebih daripada 1,000 keluarga yang kini menduduki di rumah PPR ini. Lokasinya betul-betul bertentangan dengan tapak projek Kwasa Land ini.

Kesemua keluarga ini dipindahkan dari pelbagai tempat dan kampung peneroka di sekitar negeri Selangor pada awal tahun 2000-an apabila Kerajaan Selangor melancarkan Dasar Setinggan Sifar. Dasar Setinggan Sifar merupakan satu tindakan kejam yang merobohkan dan mengusir peneroka bandar dari kampung mereka ke rumah transit ini. Sepatutnya rumah PPR Kota Damansara ini adalah rumah transit, tetapi ianya menjadi rumah tetap pula, kerana kegagalan Kerajaan mengawal harga rumah yang melambung di pasaran. Jadi, mereka terpaksa terus duduk di rumah PPR selama lebih 10 tahun kerana tidak mampu membeli  rumah di luar sana.

Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Pemuda PSM semasa satu program pada bulan April 2019 di PPR Kota Damansara, didapati bahawa sebanyak 56.7% keluarga yang dibanci mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM2,000 sebulan. 28.4% pula mempunyai pendapatan isu rumah antara RM2,000 hingga RM3,000.

Adakah mereka ini mampu membeli rumah yang diwar-warkan oleh Kerajaan Negeri Selangor sebagai “Rumah Mampu Milik” dengan harga RM250,000 – RM300,000?  Bank mana yang hendak memberikan pinjaman kepada golongan yang berpendapatan RM2,000 ini untuk membeli rumah RM300,000? Memang tidak masuk akal. Kajian itu juga memperolehi maklumat bahawa sehingga 97% penduduk PPR tidak memiliki rumah sendiri.

Sepertimana yang dijangkakan, sebanyak 83.1% daripada responden berpendapat bahawa mereka hanya mampu membeli rumah berharga antara RM42,000 hingga RM80,000. Tetapi adakah rumah berharga kurang daripada RM100,000 di pasaran?

Kini wujudnya peluang untuk menyelesaikan masalah perumahan penghuni PPR. Tetapi persoalannya adalah wujudkah kesungguhan politik di kalangan ahli politik, KWSP dan juga Kwasa Land untuk membina rumah bagi 1000 keluarga ini dengan harga yang mereka boleh beli? Atau adakah Kwasa Land akan membelakangkan rakyat dan mengutamakan kepentingan komersial untuk membangunkan hartanah semata-mata untuk memaksimumkan keuntungan?

Kwasa Land sebagai sebuah syarikat milik sepenuh KWSP harus membina rumah yang memenuhi keperluan rakyat pekerja. Tidak wajarkah projek pembangunan KWSP dan Kwasa Land yang dibina daripada hasil caruman wang titik peluh warga pekerja itu memberikan manfaat kepada mereka?

Oleh yang demikian, PSM menyeru pada KWSP dan syarikat Kwasa Land dimiliki sepenuh oleh KWSP supaya kembali ke pangkal jalan sebagai sebuah badan yang ditubuhkan untuk menjaga kebajikan pekerja, membuat perancangan pembangunan dengan mengambilkira permintaan perumahan selaras dengan tahap sosio-ekonomi rakyat pekerja di kawasan sekitar. Memandangkan pasaran rumah gagal memenuhi permintaan rakyat, maka kini adalah menjadi tugas kepada Kerajaan dan GLC yang dimilikinya untuk menerajui projek perumahan yang membina rumah berharga di bawah RM100,000 yang mampu dibeli oleh rakyat.

==========

A. Sivarajan ialah Setiusaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s