20190722 - 03.jpg22 JULAI 2019 – GEORGETOWN, PULAU PINANG: Kes pendakwaan terhadap Karthiges dan Nathan yang ditangkap semasa mempertahankan penduduk miskin di rumah pangsa PPR Padang Tembak Pulau Pinang daripada pengusiran paksa pada tahun lalu, telah bersambung bicara di Mahkamah Majistret Georgetown pada hari ini.

Pendakwaan terhadap kedua-dua orang yang tertuduh diteruskan setelah Jabatan Peguam Negara menolak representasi yang diserahkan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM). PSM telah menyerahkan satu memorandum pada 28 Mei 2019 untuk meminta pada Peguam Negara Tommny Thomas supaya menggugurkan pendakwaan terhadap Karthiges dan Nathan dengan sebab-sebab termasuk proses pendakwaan tersebut sedang membazir tenaga pihak Pendakwaraya dan sumber sistem kehakiman negara. Namun, dalam sepucuk surat balasan daripada Ketua Unit Jenayah dan Ketenteraman Awam, Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, yang bertarikh 5 Julai 2019, pihak Jabatan Peguam Negara menyatakan bahawa representasi daripada PSM ditolak “setelah mengkaji dan meneliti” representasi tersebut tanpa memberikan sebab-sebab selanjutnya.

Karthiges a/l Rajamanickam (Ahli Jawatankuasa Pusat PSM merangkap Ketua Biro Perumahan PSM) dan Nathan a/l Munusamy (rakan kepada salah seorang penduduk PPR yang diusir), ditangkap pada 5 Jun 2018 semasa mereka cuba membela penduduk PPR yang menghadapi pengusiran paksa pada masa itu. Mereka ditangkap di hadapan unit rumah PPR yang dihuni oleh penduduk bernama Mahathir bin Hajah Mydeen, hanya kerana cuba berunding dengan pegawai penguatkuasaan daripada Bahagian Perumahan Kerajaan Pulau Pinang untuk menangguhkan penguncian rumah dan pengusiran. Ketika itu adalah bulan puasa dan para penduduk telah cuba banyak kali untuk bertemu dengan Exco Kerajaan tetapi gagal.

Karthiges dan Nathan didakwa di Mahkamah Majistret Georgetown pada 4 Julai 2018, di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, iaitu pertuduhan menghalang penjawat awam.

Setelah beberapa kali sebutan kes, perbicaraan telah mula dijalankan pada 9 Mei 2019, diikuti dengan 10 Mei, 9 Julai dan hari ini (22 Julai 2019). Saksi pertama, iaitu pegawai daripada Unit Penguatkuasaan dan Strata Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang yang mengetuai operasi penyitaan rumah pada 5 Jun 2018 dan merupakan pengadu dalam kes ini, telah dipanggil untuk keterangan pada 9 Mei 2019. Semasa perbicaraan kes pada 10 Mei 2019, apabila saksi kedua, iaitu salah seorang pegawai daripada Bahagian Perumahan yang merakamkan video dengan telefon pintarnya pada hari itu, dipanggil untuk keterangan, Timbalan Pendakwaraya telah memohon untuk mengemukakan bahan bukti baru, iaitu video rakaman, yang tidak pernah dikemukakan dan diserahkan kepada peguam bela orang yang kena tuduh sebelum itu, walaupun 10 bulan telah berlalu selepas pendakwaan di mahkamah. Oleh yang demikian, perbicaraan kes ditangguhkan lagi ke bulan Julai 2019.

Perbicaraan pada hari ini disambung dengan keterangan daripada saksi kedua, dan video rakaman ditunjukkan. Selepas itu, diikuti dengan keterangan daripada saksi ketiga, iaitu Pegawai Penyiasat daripada pihak Polis untuk kes tangkapan ini.

Seperti yang telah diberitahu dalam keterangan saksi pertama, keterangan saksi kedua dan tayangan video rakaman yang diserahkan sebagai bukti, juga tidak menunjukkan bahawa Karthiges dan Nathan bertindak keras atau melakukan apa-apa keganasan terhadap sesiapa sepanjang proses mereka cuba berunding dengan pegawai penguatkuasa yang cuba mengunci rumah penduduk PPR yang diusir pada masa itu.

Penyemakan terhadap keterangan saksi ketiga, iaitu Pegawai Penyiasat kes tersebut, didapati bahawa Pegawai Penyiasat tidak memanggil saksi-saksi yang penting untuk merekodkan keterangan. Apabila ditanya oleh peguam kenapa tidak memanggil kakak kepada penghuni yang diusir yang agak menonjol dalam video rakaman yang diserahkan sebagai bukti untuk mendapatkan keterangan, Pegawai Penyiasat tersebut mengatakan bahawa keterangan saksi tersebut akan berpihak kepada orang yang tertuduh, maka tidak memanggilnya. Jelasnya Pegawai Penyiasat tersebut tidak bertindak secara profesional dalam melakukan siasatan dan terburu-buru menyerahkan kertas siasatan untuk pendakwaan.

Kes ini telah didengar di hadapan Majistret Eric Lau. Karthiges dan Nathan telah diwakili oleh peguam V. Parthipan dan Arafas Abdul Razak. Kes akan sambung bicara pada 31 Julai 2019.

Walaupun hanya satu kes bicara yang berlangsung pada petang tadi di Mahkamah Majistret Georgetown 3, tetapi ruang mahkamah telah dipenuhi dengan ramai orang yang datang memberi sokongan kepada dua orang yang tertuduh. Turut hadir pada hari ini untuk bersolidariti termasuk Dr. Jeyakumar Devaraj (Pengerusi PSM), Dr. Toh Kin Woon (mantan Naib Pengerusi BERSIH 2.0 Wilayah Utara Semenanjung) dan Henry Loh (Setiausaha Kehormat ALIRAN).

20190722 - 02

Bacaan lanjutan:

Peguam Negara digesa gugurkan pendakwaan terhadap aktivis yang pertahankan penduduk miskin daripada pengusiran paksa

Didakwa kerana bela rumah Mahathir – Gugurkan dakwaan terhadap Ketua Biro Perumahan PSM

One thought on “Peguam Negara teruskan pendakwaan terhadap aktivis yang pertahankan penduduk miskin daripada pengusiran paksa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *