100 tahun dahulu, bermula pada 15 Mei 1919, puluhan ribu pekerja di bandar Winnipeg telah menghentikan kerja mereka untuk melancarkan salah satu aksi mogok yang terbesar dalam sejarah Kanada dan Amerika Utara.
Selama 6 minggu dari pertengahan bulan Mei hingga penghujung bulan Jun 1919, Winnipeg menjadi tumpuan dan pusat kebangkitan kelas pekerja yang menggegarkan kelas pemerintah kapitalis di Amerika Utara, sehingga kerajaan mengerahkan tentera untuk menghancurkan mogok tersebut dengan cara yang keras dan ganas.
Di mana Winnipeg? Winnipeg ialah ibu kota kepada Wilayah Manitoba, Kanada, dan juga bandar terbesar di wilayah tersebut. Wilayah Manitoba terletak di bahagian tengah Kanada, berkedudukan paling timur dalam dalam “Kanada Barat” (Western Canada). Bandar ini dinamakan sempena Tasik Winnipeg yang terletak berdekatannya, sebuah tasik yang agak besar (seluar 24,514 km persegi) tetapi agak cetek airnya. Perkataan “Winnipeg” berasal dari Bahasa Cree (sejenis bahasa Orang Asal di Kanada) yang bermaksud “air berlumpur”. Winnipeg terletak lebih kurang 110 km ke utara dari sempadan Kanada-Amerika Syarikat.
Mogok Umum Winnipeg pada tahun 1919 boleh dikatakan sebagai salah peristiwa yang paling penting dalam sejarah Kanada. Mogok Umum Winnipeg merupakan manifestasi perjuangan kelas yang hebat di Kanada pada ketika dunia dilanda gelombang revolusi pasca Perang Dunia I.
Dunia di persimpangan jalan
Mogok Umum yang hebat ini berlaku pada saat yang luar biasa dalam sejarah dunia, iaitu pada ketika baru berakhirnya Perang Dunia I yang membawa kehancuran yang amat teruk kepada masyarakat dunia. Kombinasi faktor-faktor seperti perindustrian yang pesat sebelum dan semasa perang, guna tenaga kerja yang penuh semasa perang yang membolehkan pekerja-pekerja mendapat kuasa rundingan yang tidak dimiliki oleh mereka sebelum itu, janji untuk lebih ruang demokrasi yang tidak ditunaikan sebaliknya semakin banyak sekatan terhadap kebebasan pekerja, dan pengorbanan nyawa pekerja-pekerja di barisan hadapan perang, menjadi bahan api kepada letupan sosial di banyak tempat di Amerika Utara. Pengaruh Revolusi Bolshevik di Rusia pada tahun 1917 turut semakin dirasai dan semakin ramai kelas pekerja tertarik dengan idea radikal untuk revolusi pekerja.
Benua Eropah yang merupakan medan perang utama semasa Perang Dunia I, telah dilanda gelombang kebangkitan rakyat yang hebat pada penghujung dan sejurus selepas tamatnya Perang Dunia I. Revolusi pekerja yang hebat tercetus di Rusia, Jerman dan Hungary. Negara-negara di luar benua Eropah juga tidak dapat berkecuali daripada gelombang kebangkitan perjuangan revolusi, dengan berlakunya peristiwa kebangkita rakyat seperti Revolusi Mesir 1919, Gerakan 1 Mac di Korea dan Gerakan 4 Mei di China. Dunia berada di persimpangan perubahan hebat pada ketika itu.
Di Amerika Syarikat, iaitu negara jiran Kanada, lebih 65,000 orang pekerja terlibat dalam mogok umum di Seattle pada bulan Februari 1919, lebih 300,000 oramh pekerja keluli bermogok pada bulan September 1919, 400,000 pekerja lombong arang baru bermogok pada bulan November 1919… Satu daripada lima orang pekerja di Amerika Syarikat terlibat dalam aksi mogok pada tahun 1919.
Di Kanada, gelombang mogok yang serupa dengan Amerika Syarikat turut melanda setiap wilayah dalam negara itu. Sekurang-kurangnya 20 buah bandar di Kanada tercetus mogok besar-besaran pada tahun 1919, di mana Winnipeg merupakan salah satunya dan menjadi tumpuan kerana skala penglibatan pekerja dan radikalisasi yang ditunjukkan dalam aksi mogok pekerja.
Potensi kebangkitan kelas pekerja
Banyak syarikat korporat Kanada mendapat keuntungan yang lumayan melalui perang, tetapi gaji pekerja dan keadaan kerja tidak menunjukkan peningkatan. Inflasi berlaku selepas tamatnya Perang Dunia I, menyebabkan pekerja-pekerja Kanada terdesak untuk meningkatkan gaji dan memperbaiki keadaan kerja.
Revolusi Rusia yang menyaksikan kelas pekerja mengambilalih kuasa pemerintahan juga memberi rangsangan kepada sebahagian aktivis buruh untuk melibatkan diri dalam aksi politik yang lebih radikal. Pada masa yang sama, kelas pemerintah di Amerika Utara yang khuathir tentang kebangkitan kelas pekerja yang dipengaruhi oleh peristiwa Revolusi Bolshevik di Rusia, telah mengambil langkah-langkah yang drastik untuk cuba menghancurkan gerakan pekerja yang radikal dan mengharamkan organisasi yang dianggap subversif. Di Kanada, organisasi radikal seperti Industrial Workers of the World (IWW) telah diharamkan. Namun, aktivis buruh dan golongan sosialis tidak pernah meninggalkan usaha mereka dalam memperjuangkan idea “pekerja-pekerja sedunia bersatu”.
Dalam persidangan perwakilan Kongres Buruh dan Sekerja Kanada (Trades and Labour Congress of Canada, TLC) untuk Kanada Barat yang diadakan di Calgary pada 13 Mac 1919, majoriti perwakilan pekerja yang didominasi oleh anggota Parti Sosialis Kanada pada masa itu telah mengundi untuk menubuhkan sau “kesatuan perindustrian revolusioner” yang baru dan berasingan daripada TLC. Mereka telah bersetuju untuk mewujudkan “One Big Union” (OBU) yang diperjuangkan oleh IWW, dengan hasrat menuntut hak untuk pekerja-pekerja Kanada melalui siri aksi mogok. Persidangan tersebut juga meluluskan resolusi yang mengecam amalan kerajaan Kanada semasa perang, di samping menyatakan solidariti terhadap Bolshevik di Rusia yang sedang menghadapi serangan imperialis ketika itu dan Liga Spartacus di Jerman yang ditindas oleh kerajaan borjuasi. Perwakilan pekerja turut memutuskan untuk mengadakan pengundian di kalangan pekerja mengenai cadangan menganjurkan mogok umum. Matlamat untuk mogok umum adalah memobilisasi pekerja-pekerja daripada semua jenis pekerjaan tanpa mengira tahap kemahiran dan etnik, untuk membentuk solidariti kelas dan menggerakkan perjuangan pekerja ke tahap yang lebih tinggi.
TLC Winnipeg telah menghantar dua orang anggota Parti Sosialis Kanada yang penting ke persidangan Calgary, iaitu R. B. Russell dan R.J. Johns, di mana kedua-duanya memaikan peranan penting dalam persidangan tersebut.
Mogok Umum bermula
Pada bulan April 1919, Kesatuan Sekerja Logam dan Kesatuan Sekerja Pembinaan Winnipeg mengadakan mogok untuk menuntut pengiktirafan kesatuan dan dan hak rundingan kolektif. Dasar buruh di Kanada pada awal abad ke-20 yang penuh dengan pelbagai sekatan terhadap kesatuan sekerja, menyebabkan kesatuan sekerja terpaksa bermogok untuk menuntut pengiktirafan dan mengadakan rundingan kolektif dengan pihak majikan. Kedua-dua kesatuan tersebut telah meminta sokongan daripada cabang Kongres Buruh dan Sekerja Kanada (TLC) di Winnipeg. Atas semangat solidariti pekerja, cabang TLC Winnipeg telah mengadakan pengundian pada awal bulan Mei 1919, dengan seramai 11,000 orang anggotanya mengundi untuk menyokong (berbanding 500 undi menolak) penganjuran satu mogok simpati bagi menyatakan sokongan kepada kesatuan pekerja logam dan pembinaan.
Pada 15 Mei 1919, hampir seluruh warga pekerja di bandar Winnipeg telah bermogok. Lebih kurang 30,000 orang pekerja yang bekerja di sektor awam dan sektor swasta telah berhenti bekerja. (Jumlah penduduk di Winnipeg pada masa itu lebih kurang 200,000 orang.)
Mogok yang menyeluruh ini telah melumpuhkan seluruh bandar Winnipeg. Aksi mogok yang hebat ini diselaraskan oleh Jawatankuasa Mogok Pusat, yang terdiri daripada perwakilan yang dipilih daripada setiap kesatuan sekerja yang bergabung dalam TLC Winnipeg. Jawatankuasa Mogok Pusat telah menyelaraskan pembekalan perkhidmatan asas semasa mogok, dan mendesak untuk berunding dengan pihak majikan.
Polis Winnipeg turut mengundi untuk menyokong mogok pekerja, tetapi kekal bertugas atas permintaan Jawatankuasa Mogok Pusat untuk mengelakkan bandar tersebut daripada diisytihar darurat oleh kerajaan yang anti-pekerja. Anggota-anggota bomba juga bermogok, tetapi kembali bertugas selepas setengah hari dengan persetujuan Jawatankuasa Mogok Pusat.
Solidariti pekerja yang hebat
Kebanyakan pekerja yang bermogok bukannya ahli kesatuan, tetapi mereka tetap bersolidariti demi kepentingan pekerja secara bersama. Mogok ini merupakan kebangkitan rakyat yang bukan sahaja disebabkan oleh kemarahan terhadap keadaan hidup yang susah, malah juga demi memperjuangkan harapan untuk sebuah dunia yang lebih baik. Pekerja-pekerja yang bermogok bukan sahaja menuntut gaji yang lebih tinggi dan hak kesatuan, tetapi juga memperjuangkan demokrasi dengan cara mereka sendiri, iaitu mengganggu ekonomi kapitalis.
Bagi pekerja yang berkesedaran kelas, demokrasi bukan sekadar proses formal (seperti mengundi beberapa tahun sekali), tetapi penyusunan semula hubungan sosial di tempat kerja dan komuniti untuk mengubah nasib mereka. Memperjuangkan hak untuk rundingan kolektif adalah salah satu perkara yang penting bagi pekerja-pekerja yang bermogok, tetapi ia juga menjadi pemangkin kepada perjuangan yang lebih meluas.
Pekerja-pekerja imigran dan askar-askar yang baru pulang dari medan perang, walaupun pada awalnya mereka tidak terlibat dalam kesatuan sekerja, tetapi turut bersama dalam aksi mogok. Pada Januari 1919, telah berlaku rusuhan anti-imigran dan anti-Bolshevik di Winnipeg yang disertai kebanyakannya oleh askar bersara yang pulang dari medan perang. Askar yang pulang bimbang tentang kerja dan masa depan mereka apabila melibat ramai pekerja imigran. Namun, apabila Mogok Umum Winnipeg tercetus, veteran askar telah berpecah mengikut kelas. Veteran askar daripada kelas atasan terlibat dalam aktiviti anti-mogok; sementera veteran askar yang berasal daripada kelas pekerja telah menyokong mogok pekerja. Vetera askar yang menyokong mogok berjuang bersama-sama dengan pekerja imigran. Kepentingan kelas pekerja telah menyatukan golongan masyarakat bawahan yang berpecah-belah sebelum ini.
Aksi mogok umum di Winnipeg turut mencetuskan gelombang mogok besar-besaran di bandar lain di Kanada. Pekerja-pekerja di bandar seperti Edmonton, Calgary, Vancouver, Amherst, Nova Scotia dan sebagainya telah mengadakan mogok besar-besaran untuk menyatakan sokongan terhadap Mogok Umum Winnipeg, di samping menyuarakan protes terhadap keadaan di bandar masing-masing.
Kelas kapitalis tergugat
Mogok Umum Winnipeg memang mewujudkan gelombang kejutan yang menggegarkan dan menakutkan kelas pemerintah di Kanada dan Amerika Utara. Mukasurat depan akhbar The New York Times menulis “Bolshevism Invades Canada” (Bolshevisme Menceroboh Kanada), menunjukkan histeria dan ketakutan kelas kapitalis Amerika Utara terhadap kebangkitan kelas pekerja. Kelas kapitalis telah berpakat untuk menggunakan segala cara yang boleh untuk menghancurkan kebangkitan pekerja yang mencabar kekuasaan kapitalis ini.
Ketika pemimpin mogok pekerja menggesa untuk bertenang, kelas kapitalis langsung tidak ragu-ragu untuk mengatur serangan, kerana mereka menyedari bahawa kuasa pekerja yang ditunjukkan dalam aksi mogok tersebut sedang mengoncang asas kekuasaan sistem kapitalis. Kelas kapitalis menganggap mogok pekerja Winnipeg sebagai Revolusi Bolshevik versi Kanada!
Tauke-tauke kilang, pemilik-pemilik bank dan ahli-ahli politik di Winnipeg telah menubuhkan “Jawatankuasa 1,000 Warganegara” (Citizens’ Committee of 1,000) untuk melawan mogok pekerja. Jawatankuasa kelas kapitalis yang anti-mogok tersebut langsung tidak mempertimbangkan tuntutan pekerja yang bermogok, sebaliknya dengan sokongan daripada suratkhabar utama di Winnipeg, mereka telah mengisytihar bahawa Mogok Umum Winnipeg adalah konspirasi revolusi yang dipimpin oleh sekumpulan kecil “sampah warga asing”. Propaganda oleh suratkhabar borjuasi yang memburuk-burukkan nama pekerja yang bermogok telah mempengaruhi pendirian ramai penduduk Winnipeg yang tidak terlibat secara langsung dalam aksi mogok.
Dari awal lagi, kelas kapitalis di Kanada langsung tiada niat untuk berunding secara aman, tetapi sanggup menggunakan cara yang keji (termasuk penyebaran pembohongan) untuk menyekat kuasa pekerja. Ternyata ini adalah perjuangan kelas yang sengit.
Jentera kerajaan dikerah untuk hancurkan mogok
Kerajaan Persekutuan Kanada turut mencampurtangan kerana kebimbangan terhadap Mogok Umum Winnipeg akan tersebar luas ke bandar-bandar yang lain. Menteri-menteri kanan dari Kerajaan Pusat telah melawat Winnipeg selepas tercetusnya mogok, untuk bertemu dengan jawatankuasa kelas kapitalis yang anti-mogok. Jawatankuasa Mogok Pusat di Winnipeg memohon untuk perjumpaan yang serupa tetapi ditolak oleh Kerajaan Pusat Kanada. Kerajaan Pusat Kanada menyokong sepenuhnya pihak majikan dengan tindakan konkrit secara serta-merta. Pekerja-pekerja yang diupah oleh Kerajaan Persekutuan telah diarahkan untuk kembali bekerja atau menghadapi pembuangan kerja. Akta Imigresen telah dipinda supaya pekerja imigran yang lahir di Britain dapat dihantar balik segera. Tafsiran terhadap hasutan dalam Kanun Jenayah turut diperluaskan supaya pekerja yang menyatakan sokongan terhadap mogok boleh didakwa “menghasut”.
Kerajaan Persekutuan Kanada mengarahkan penahanan 8 orang pemimpin mogok pada 10 Jun 1919. Pada 17 Jun 1919, kerajaan menangkap 10 orang pemimpim Jawatankuasa Mogok Pusat dan dua orang aktivis pekerja daripada One Big Union.
Pada 21 Jun 1919, lebih kurang 30,000 orang pekerja yang bermogok berhimpun di pusat bandar. Datuk Bandar Winnipeg pada masa itu Charles Frederick Gray telah memanggil Polis Berkuda Di-Raja Barat Laut untuk menyuraikan pekerja yang berprotes. Polis berkuda telah menyerang pekerja-pekerja yang bermogok dan menyebabkan kematian dua orang pekerja, sementara lebih 30 orang cedera. Peristiwa ini dikenali sebagai “Hari Sabtu Berdarah”.
Berikutan peristiwa Hari Sabtu Berdarah, pasukan keselamatan yang dikerah oleh Kerajaan Pusat Kanada telah menduduki jalanraya bandar Winnipeg untuk menghalang pekerja-pekerja daripada berhimpun. Polis persekutuan turut menutup operasi penerbitan suratkhabar pekerja bermogok “Western Labour News” (Berita Buruh Barat) dan menangkap pengarangnya kerana mengkomen tentang peristiwa berdarah tersebut.
Pemandu-pemandu tram di Toronto mengadakan mogok untuk membantah penangkapan pemimpin mogok di Winnipeg. Pekerja-pekerja di bandar Victoria, British Columbia, telah menganjurkan satu mogok besar-besaran sebagai bantahan terhadap keganasan pihak pemerintah dalam “Hari Sabtu Berdarah”.
Namun, oleh sebab ancaman yang hebat daripada kerajaan dan kelas kapitalis, Jawatankuasa Mogok Pusat yang menganjurkan Mogok Umum Winnipeg, telah berputus untuk menamatkan mogok pada 25 Jun 1919, dan pekerja-pekerja telah kembali bekerja.
Pekerja dihukum tetapi perjuangan berterusan
7 orang pemimpin mogok (termasuk R.B. Russell, George Armstrong, W.A. Pritchard, R.J. John, Reverend William Ivens dan Alderman John Queen) telah disabit kesalahan berkonspirasi untuk menjatuhkan kerajaan, dan dijatuhkan hukuman penjara selama 6 bulan hingga 2 tahun. A. A. Heaps yang turut didakwa tetapi didapati tidak bersalah setelah beliau membela dirinya secara sendiri di mahkamah. Dakwaan hasutan terhadap seorang lagi pemimpin mogok J. S. Woodsworth telah digugurkan.
S. Woodsworth kemudiannya menubuhkan Parti Buruh Independen (Independent Labour Party) Manitoba pada tahun 1920, dan beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen Kanada untuk kawasan Winnipeg Tengah pada tahun 1921 (kemudiannya sebagai Ahli Parlimen kawasan Winnipeg Utara Tengah dari tahun 1925 hingga 1942). A. A. Heaps pula dipilih sebagai Ahli Parlimen Kanada untuk kawasan Winnipeg Utara dari tahun 1925 hingga 1940.
4 orang pemimpin mogok yang dipenjarakan: Russell, Armstrong, Ivens dan Queen, telah bertanding dalam pilihanraya Dewan Perundangan Manitoba pada tahun 1920, semasa mereka masih dalam penjara. Armstrong, Ivens dan Queen telah dipilih sebagai Ahli Dewan Perundangan Manitoba dalam pilihanraya tersebut.
Selepas Mogok Umum Winnipeg, pekerja-pekerja Kanada mengambil masa 3 dekad lagi untuk memenangi jaminan hak pengiktirafan kesatuan sekerja dan hak untuk rundingan kolektif.
Mogok Umum Winnipeg tidak dapat mencapai matlamat pada masa itu, walaupun aksi pekerja dalam 6 minggu itu amat menakjubkan, kerana tidak mempunyai persediaan yang mencukupi untuk membangunkan organisasi politik revolusioner yang mampu menangkis serangan kelas kapitalis secara berkesan dan mengambilalih kuasa. Kelas kapitalis dengan sokongan jentera keganasan negara memang jelas bahawa mereka perlu menghancurkan mogok tersebut dengan apa jua cara pun, tetapi Jawatankuasa Mogok nampaknya masih menaruh harapan bahawa kelas kapitalis akan berkompromi.
Jawatankuasa Mogok Pusat memang pada satu ketika menguasai seluruh bandar Winnipeg, apabila semua pekerja menyertai mogok. Pekerja-pekerja kerajaan turut terlibat. Memang pekerja boleh mengambilalih kuasa di bandar Winnipeg, tetapi peristiwa berdarah seperti serangan ganas oleh kelas pemerintah yang pernah berlaku pada Komun Paris 1871 mungkin akan berulang di situ juga. Gelombang mogok di bandar-bandar lain masih tidak sampai ke tahap seperti apa yang berlaku di Winnipeg, maka kuasa pekerja Winnipeg memang dipulaukan. Seluruh jentera negara telah dikerahkan untuk menghancurkan mogok di Winnipeg.
Walau bagaimanapun, gerakan pekerja Kanada terus berkembang selepas Mogok Umum Winnipeg. Peserta-peserta mogok telah mengambil jalan yang berlainan dalam memperjuangkan nasib pekerja. Pemimpin mogok seperti J. S. Woodsworth dan A. A. Heaps, telah melibatkan diri dalam politik pilihanraya dengan membangunkan parti buruh yang membawa politik demokrat sosial. Mereka kemudiannya menubuhkan parti politik “Persekutuan Komanwel Koperasi” (Co-operative Commonwealth Federation, CCF) pada tahun 1932, yang menjadi pelopor kepada Parti Demokratik Baru (New Democratic Party), salah sebuah parti pembangkang utama yang berhaluan kiri di Kanada pada hari ini.
Pengalaman Mogok Umum Winnipeg telah menyakinkan sebahagian daripada aktivis pekerja bahawa perlunya sebuah parti baru yang lebih tersusun dan radikal. Ramai anggota yang radikal daripada Parti Sosialis Kanada, One Big Union dan Parti Buruh Sosialis (SLP) telah menubuhkan Parti Komunis Kanada pada tahun 1921, bermodelkan Parti Bolshevik. Parti Komunis Kanada pernah diharamkan oleh Kerajaan Kanada kerana ketakutan kelas pemerintah terhadap Revolusi Bolshevik. Walaupun Parti Komunis Kanada sebuah parti yang kecil, tetapi terlah memberi sumbangan yang penting kepada gerakan pekerja, aktivisme anti-perang dan gerakan sosial yang lain di Kanada.
Hasil daripada perjuangan pekerja yang berterusan, Kanada menjadi salah sebuah negara yang mempunyai sistem perlindungan hak yang menyeluruh untuk pekerja.
Warisan perjuangan pekerja yang memberangsangkan
Mogok Umum Winnipeg telah meninggalkan warisan perjuangan pekerja yang hebat dan memberangsangkan kepada Kanada, malah juga untuk gerakan pekerja sedunia.
Mogok Umum Winnipeg diperingati sehingga hari ini sebagai satu contoh yang mengagumkan tentang keberanian dan solidariti kelas pekerja.
One thought on “Mogok Umum Winnipeg 1919”