Adalah menjadi tradisi kepada gerakan pekerja di seluruh dunia untuk mengadakan pelbagai jenis aksi massa pada 1 Mei bersempena Hari Pekerja Sedunia. Hari keramat bagi perjuangan kelas pekerja ini disambut bukan sahaja untuk memperingati perjuangan pekerja dahulu yang telah memenangkan segala hak pekerja yang kita nikmati hari ini, malah juga menjadi platform yang membawa inspirasi gerakan pekerja untuk terus memperjuangkan pembebasan kelas pekerja daripada segala bentuk eksploitasi dan penindasan.
Seperti tahun-tahun yang lepas, pekerja-pekerja di merata tempat di dunia turut mengadakan pelbagai aksi perhumpunan dan perarakan untuk mengetengahkan pelbagai isu dan tuntutan pekerja, seperti gaji yang bermaruah, hak kesatuan pekerja, perlindungan sosial yang lebih baik dan sebagainya. Selain itu, gerakan pekerja di merata tempat juga tidak ketinggalan dalam menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin yang sedang menghadapi serangan genosid daripada rejim Zionis Israel. Solidariti merentasi sempadan negara sentiasa merupakan teras kepada perkembangan gerakan pekerja yang progresif dan mampu mengubah sistem.
Berikut ialah sepintas lalu aksi sambutan Hari Pekerja Sedunia tahun ini di merata tempat di seluruh dunia: