Ven-0999a
(gambar hiasan sahaja)

oleh S. Arutchelvan

Di bawah Janji 27 dalam Buku Harapan, dengan tajuk “Menghapuskan undang-undang yang zalim”, Pakatan Harapan telah memberi syor untuk meminda akta-akta zalim termasuk Akta Perhimpunan Aman 2012, kerana ia bercanggah dengan hak untuk berhimpun seperti yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Namun, hari ini kita semakin yakin bahawa Kerajaan Pakatan Harapan memang mempunyai agenda untuk melanjutkan kezaliman Barisan Nasional dalam isu hak dan kebebasan berhimpun secara aman.

Mengapa nak siasat perhimpunan Hari Habitat 2018 sekarang?

Pada 13 Mac 2019, saya telah menerima satu notis panggilan daripada polis di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) untuk satu siasatan kes di bawah Sek 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012, kerana menganjurkan Perhimpunan Aman bersempena Sambutan Hari Habitat Sedunia yang bertemakan “Perumahan Untuk Semua” di Kuala Lumpur pada 30 September 2018. Saya dipanggil untuk memberikan kenyataan pada hari 20 Mac 2019 di Tingkat 9, Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Dang Wangi.

20190319 0 notis 111 - cover
Notis panggilan untuk siasatan daripada polis kepada Arutchelvan

Apabila saya bertanyakan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Ramacandran dari IPD Dang Wangi, mengapa hanya sampai sekarang, iaitu setelah 5 bulan berlalu, baru dipanggil untuk siasatan, beliau mengatakan bahawa ini adalah arahan daripada Timbalan Pendakwaraya Awam Kuala Lumpur.

Pada 30 September 2018, Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah menganjurkan satu aksi perarakan berjalan dari Stesen LRT Masjid Jamek ke Bukit Bintang dengan tuntutan hak perumahan bersempena dengan sambutan Hari Habitat Sedunia.

Hari Habitat Sedunia disambut pada hari Isnin pertama bulan Oktober setiap tahun. PSM menganjurkan aksi perarakan pada tahun lalu untuk mengetengahkan masalah perumahan yang dihadapi rakyat biasa dan juga tuntutan rakyat untuk perlindungan hak perumahan. Tema aksi Hari Habitat ialah “Perumahan untuk Semua”, dan aksi tersebut dihadiri oleh penduduk dari kawasan-kawasan yang menghadapi masalah perumahan di sekitar Lembah Klang.

Pihak Penganjur telah memaklumkan kepada polis sepuluh hari sebelum program dan juga telah mengadakan perbincangan dengan polis sebelum program. Sepanjang program tersebut, pihak polis trafik dan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengiringi perarakan aman tersebut dan langsung tidak ada sebarang insiden berlaku mahupun aduan daripada orang awam. Polis sendiri yang telah membuat aduan polis dan kini kami disiasat.

Siasatan terhadap penganjur dan peserta perhimpunan awam merupakan satu bentuk intimidasi yang biasa digunakan oleh rejim Barisan Nasional sebelum ini untuk menyekat ruang demokrasi. Namun, apa yang kita alami sekarang ini nampaknya menunjukkan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan sedang meneruskan “tradisi” Barisan Nasional untuk menyekat hak rakyat untuk berhimpun secara aman.

42993681_2131081296915733_4087841952689553408_n
Aksi sambutan Hari Habitat Sedunia pada 30 September 2018 di Kuala Lumpur.

==========

S. Arutchelvan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *