20190320 - putrajaya.jpgPUTRAJAYA – 20 MAC 2019: Parti Sosialis Malaysia (PSM) bersama dengan kumpulan masyarakat dan individu-individu yang prihatin pada isu kesihatan awam, telah menyerahkan satu memorandum pada hari ini kepada Jabatan Perdana Menteri berkenaan dengan pelaksanaan skim MySalam, iaitu insurans kesihatan untuk golongan B40. Lebih 40 organisasi dan individu yang menyokong memorandum tersebut telah menyeru pada Kerajaan supaya mengenakan moratorium terhadap pelaksanaan skim MySalam, dan menjalankan kajian semula terhadap skim yang bermasalah ini.

Wakil daripada PSM yang hadir semasa penyerahan memorandum pada hari ini termasuk Dr. Jeyakumar Devaraj (Ahli Jawatankuasa Pusat PSM), A. Sivarajan (Setiausaha Agung), Soh Sook Hwa (Bendahari PSM) dan S. Arutchelvan (Ahli Jawatankuasa Pusat PSM). Memorandum tersebut telah disokong oleh organisasi-organisasi seperti Agora Society, ALIRAN, Citizens’ Health Initiative, Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT), Borneo Komrad , Kuliah Buku (KUBU), Malaysia Muda, Persatuan Sahabat Wanita Selangor, Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan sebagainya.

Organisasi-organisasi dan individu-individu yang menandatangani memorandum tersebut, telah menyatakan perasaan yang amat tidak selesa dengan skim MySalam yang telah dilancar oleh Kerajaan Malaysia baru-baru ini.

Daripada kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Kewangan dan Menteri Kesihatan, skim MySalam mengandungi dua komponen:

Komponen I: Bayaran RM 8000 sekali gus kepada individu-individu dalam golongan B40 yang berumur 18 hingga 55 tahun sekiranya mereka menghidapi 36 jenis penyakit;

Komponen II: Bayaran RM 50 sehari untuk kemasukan ke Hospital Kerajaan bagi kumpulan yang sama dengan had maksimum 14 hari setiap tahun.

Adalah dilaporkan bahawa Syarikat Insurans Great Eastern akan dibayar lebih kurang RM 400 juta setahun (premium RM 112 seorang untuk 3.7 juta individu) untuk jangka masa 5 tahun bagi membekalkan perlindungan ini kepada kumpulan sasaran dalam golongan B40. Mengikut kenyataan Menteri Kewangan, bayaran ini adalah daripada dana RM 2 bilion yang telahpun dibayar oleh Syarikat Great Eastern kepada Kerajaan Malaysia supaya dikecualikan syarat menjual 30% daripada sahamnya kepada badan-badan dalam Malaysia seperti KWSP dan PNB.

“Kami menrima baik hasrat kerajaan yang menghulurkan bantuan kepada rakyat B40 walaupun negara dibebani oleh hutang daripada pentadbiran BN sebelum ini. Tetapi beberapa perkara dalam skim ini menimbulkan keraguan dan kerisauan di kalangan pihak kami.  Satu antara perkara ini adalah hakikat bahawa pihak kerajaan belum lagi melaksanakan satu penilaian aktuarial terhadap pakej yang ditawarkan oleh Great Eastern, ” begitu katanya mereka yang menandatangani memorandum ini.

Terdapat beberapa klausa pengecualian (exclusion clauses) dalam skim MySalam ini yang akan menyekat ramai pesakit yang menghidapi 36 jenis penyakit berkenaan daripada menerima manfaat skim ini. Lebih-lebih lagi, skim ini tidak akan memberi manfaat kepada pesakit yang berumur lebih daripada 55 tahun dan pesakit yang didiagnosis sebelum 1 Januari 2019. Malah, untuk beberapa jenis penyakit, pampasan hanya akan dibayar apabila penyakit itu sampai ke takat pesakit tidak boleh melakukan ADL (activiti kehidupan harian).

Oleh kerana syarat-syarat pengecualian ini, adalah mustahil untuk seseorang pesakit dengan penyakit Parkinson dapat menerima RM 8000 dalam jangka masa 5 tahun yang akan datang,  kerana penyakit ini biasanya berlaku di kalangan orang yang berusia lebih daripada 70 tahun, dan ia akan ambil masa 10 tahun ke atas untuk sampai tahap yang menghalang ADL. Kes pesakit Parkinson yang menghadapi masalah melaksanakan ADL sudah tentu telah didiagnosis 10 tahun sebelum ini dan oleh itu ia akan dikecualikan. Kes baru Parkinson yang didiagnosis selepas 1 Januari 2019 tidak akan sampai ke tahap di mana mereka tidak dapat melakukan ADL dalam jangka masa 5 tahun. Syarat ADL ini juga akan mengecualikan ramai pesakit dengan meningitis, encephalitis dan kecederaan kepala daripada menerima manfaat skim MySalam.

Selain daripada syarat ADL, juga ada syarat “permanency” ataupun kehilangan upaya kekal untuk penyakit meningitis, encephalitis dan kecederaan kepala. Adakah kemungkinan bahawa syarikat Great Eastern akan menolak tuntutan pesakit yang menghidapi penyakit-penyakit ini walaupun mereka memenuhi syarat mengalami kesusahan dengan aktiviti harian (ADL) dengan alasan “permanency” itu?

Ada juga syarat pengecualian yang tidak dinyatakan dengan jelas – serangan jantung, kelemahan jantung ataupun cardiomyopathy dan barah, hanya layak menerima bayaran RM 8 ribu jika penyakit mereka cukup teruk – “of a specified severity”! Adakah kerajaan Malaysia tahu mengenai tahap keterukan (severity) penyakit-penyakit ini yang ditetapkan sebagai kelayakan menerima bantuan RM 8000? Ataupun adakah Menteri Kewangan percaya sepenuhnya pada keikhlasan syarikat Great Eastern tanpa melakukan kajian terperinci terhadap kuantum bantuan yang akan diterima oleh golongan B40 melalui skim MySalam ini?

Oleh yang demikian, PSM bersama dengan organisasi-organisasi dan individu-individu yang prihatin pada kesihatan awam di negara kita, berpendapat bahawa amat perlu untuk skim MySalam ini ditangguh sementara, supaya satu kajian aktuarial boleh dijalankan untuk mendapat anggaran terhadap kuantum bayaran yang dijangkakan dalam satu tahun mengikut skim MySalam selepas semua syarat-syarat pengecualiannya diambil kira. Jika kuantum ini jauh kurang daripada RM400 juta yang kena dibayar oleh kerajaan untuk perlindungan skim ini, kita harus membatalkan skim MySalam dan mencari kaedah lain untuk menggunakan bayaran pampasan RM 2 bilion daripada Great Eastern itu bagi kebajikan golongan B40.

Salah satu kaedah yang boleh dipertimbangkan adalah menggunakan jumlah wang ini untuk membantu pesakit daripada golongan B40 untuk membayar alat dan perkakas yang sekarang perlu dibeli oleh pesakit hospital kerajaan, seperti plat besi dan skru untuk pembedahan ortopedik, kanta mata untuk pembedahan selaput mata (cataract), drug eluting stent untuk prosedur angioplasti dan sebagainya. Ini merupakan satu beban besar kepada pesakit daripada golongan B40, dan bantuan membeli alat-alat ini akan dapat meringankan banyak beban kewangan mereka.

Organisasi-organisasi dan individu-individu yang menandatangani memorandum kepada Perdana Menteri, menyeru pada Perdana Menteri untuk mencampurtangan dalam perkara ini supaya memastikan RM 2 bilion daripada Syarikat Great Eastern itu dapat digunakan secara terbaik untuk rakyat B40.

One thought on “Skim MySalam harus dikaji semula – Jangan serahkan tanggungjawab kerajaan kepada syarikat insurans

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *