53121263_346859429370664_4655534761186426880_n.jpg

Setiap tahun, dianggarkan lebih kurang 15 juta perempuan di bawah umur 18 tahun di seluruh dunia dikahwinkan. Kebanyakan perkahwinan bawah umur ini diadakan secara paksaan terhadap perempuan bawah umur.

4/5 mangsa pemerdagangan manusia adalah wanita.

35% wanita pernah mengalami keganasan seks atau keganasan fizikal. Ramai wanita masih menderita akibat keganasan terhadap mereka. Perogolan dan keganasan rumah tangga merupakan punca utama kepada kehilangan upaya dan kematian wanita di seluruh dunia.

2/3 penduduk dunia yang buta huruf adalah wanita (~500 juta orang).

Di kalangan 1.3 bilion penduduk dunia yang hidup dalam kemiskinan tegar, kebanyakan adalah wanita. Wanita masih menjadi mangsa kemiskinan.

Wanita yang bekerja sepenuh masa secara puratanya hanya memperoleh 77% berbanding pendapatan lelaki yang bekerja sepenuh masa.

Dari segi perwakilan politik, hanya 24.3% ahli parlimen di seluruh dunia adalah wanita. Dalam Parlimen Malaysia ke-14 sekarang, hanya seramai 32 daripada 222 orang Ahli Dewan Rakyat adalah wanita, bersamaan dengan 14.41%, walaupun ini merupakan satu peningkatan daripada 24 orang (10.81%) berbanding Parlimen Malaysia ke-13.

Fakta-fakta yang dinyatakan di atas, menunjukkan bahawa masyarakat kita masih jauh daripada mencapai kesamarataan gender. Walaupun situasi telah bertambah baik untuk golongan wanita di banyak negara termasuk Malaysia, tetapi golongan wanita masih menghadapi ancaman diskriminasi, ketidaksamaan layanan dan keganasan.

Keganasan terhadap wanita berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja, apabila wujudnya ketidakseimbangan kuasa antara gender di bawah sistem patriarki. Bentuk-bentuk keganasan terhadap wanita termasuk rogol, keganasan rumahtangga, gangguan seksual (sama ada di rumah atau tempat kerja), perkahwinan paksa, pembulian di ruangan siber dan banyak lagi.

Kita perlu melawan keganasan terhadap wanita melalui proses pendidikan politik yang berterusan untuk pemberdayaan wanita dan juga memupuk kesedaran masyarakat secara umum (termasuk golomgan lelaki). Kita perlu menghancurkan sistem dan pemikiran patriarki untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang benar-benar menghormati semua manusia tanpa mengira gender dan orientasi seksual.

8 Mac setiap tahun, kita menyambut Hari Wanita Antarabangsa. Seperti sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei setiap tahun, Hari Wanita Antarabangsa ialah hari kita semua bersolidariti untuk menyatakan komitmen kita dalam memperjuangkan pembebasan wanita dan kesamarataan gender.

Di Malaysia, kumpulan-kumpulan dan individu-individu daripada masyarakat sivil akan menganjurkan sambutan Hari Wanita Sedunia dengan mengadakan perarakan (#WomensMarchMY) di Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu pada 9 Mac 2019. Tuntutan untuk perarakan Hari Wanita di Malaysia tahun ini ialah:

  1. Hentikan keganasan berdasarkan gender dan orientasi seksual
  2. Haramkan perkahwinan kanak-kanak
  3. Pastikan hak dan kebebasan untuk membuat pilihan terhadap tubuh dan diri sendiri
  4. Pastikan gaji minimum bermaruah RM1,800
  5. Hancurkan patriarki dan bina demokrasi di setiap lapisan masyarakat

Penindasan terhadap wanita hari ini wujud akibat daripada sistem ekonomi kapitalis yang bersebati dengan susunan masyarakat patriarki. Kapitalisme dan patriarki berpisah tiada. Oleh itu, kita perlu menentang patriarki dan kapitalisme secara bersama.

Layari #WomensMarchMY untuk maklumat lanjut tentang sambutan Hari Wanita Sedunia di Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *