ap_19008375688229.jpg

India menyambut tahun baru 2019 dengan aksi mogok yang boleh dikatakan terbesar dalam sejarah, terbesar bukan sahaja di India tetapi di Dunia. Pada 8 dan 9 Januari 2019, seramai 160 juta orang pekerja bermogok di seluruh India.

Pekerja-pekerja India yang ditindas oleh dadar neo-liberal yang berlarutan untuk tiga dekad dan dihakis hak-hak pekerja mereka oleh kerajaan berhaluan kanan, telah turun beramai-ramai ke jalanan di seluruh India, untuk menuntut kehidupan yang lebih baik dan demokrasi di tempat kerja. Pekerja-pekerja yang bermogok telah membuat sekatan di landasan keretapi dan lebuhraya, melumpuhkan sebahagian daripada negara India.

Pekerja-pekerja dari sektor-sektor yang berlainan, dari pekerja-pekerja industri ke pekerja-pekerja penjagaan kesihatan, telah menyertai mogok yang bersejarah ini.

Di Kerala, hampir seluruh tenaga kerja di negeri tersebut bermogok. Aksi mogok di Kerala ini merupakan lanjutan daripada aksi Tembok Wanita yang diadakan pada 1 Januari 2019 untuk mempertahankan tradisi pembaharuan masyarakat di Kerala.

Aksi mogok yang hebat ini dianjurkan oleh kesatuan-kesatuan sekerja berhaluan kiri di India, bagi menyuarakan bantahan rakyat terhadap ketidaksamarataan yang semakin serius di negara tersebut.

20190108 india strike.jpg

Mogok pada skala yang begitu besar bukan sesuatu yang jarang berlaku di India. Mogok pekerja yang terbesar di dunia berlaku di India pada tahun 2016, apabila 180 juta orang pekerja berprotes menentang kerajaan pimpinan Narendra Modi. Tuntutan yang dibawa dalam mogok ini agak banyak, tetapi hampir kesemuanya berkisar pada kemerosotan kehidupan pekerja, ketidakjaminan kerja dan serangan politik oleh pihak berkuasa terhadap kesatuan sekerja.

Kerajaan Modi sedang beria-ia untuk meminda undang-undang kesatuan sekerja di India. Tapan Sen, pemimpin Pusat Kesatuan Sekerja India (CITU), mengatakan bahawa undang-undang kesatuan sekerja baru itu akan membawa kepada penghambaan pekerja India.

Sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1947, India telah mengambil laluan pembangunan nasional yang bersifat “campuran”, di mana bahagian penting dalam ekonomi negra masih kekal di tangan kerajaan dengan syarikat sektor awam dibentuk untuk menyampaikan barangan perindustrian penting demi memajukan matlamat pembangunan negara. Sektor pertanian juga disusun supaya kerajaan memberikan kredit kepada petani-petani pada kadar subsidi dan kerajaan menetapkan harga perolehan untuk memastikan petani-petani terus menanam tanaman makanan penting. Namun, semua ini bertukar pada tahun 1991 apabila kerajaan India mula “meliberalisasikan” ekonomi, menswastakan sektor awam, mengurangkan peranan kerajaan dalam pasaran pertanian dan mengalu-alukan pelaburan asing. Pembangunan ekonomi India sekarang ini terlalu bergantung pada kadar keuntungan bagi pelaburan kewangan, bukannya pada pelaburan dalam rakyat dan masa depan mereka. Dasar liberalisasi ini walaupun telah menggalakkan pertumbuhan kelas menengah dan membolehkan golongan kaya meraih kekayaan yang lebih, tetapi ia juga menimbulkan krisis pertanian dan menghasilkan keadaan yang teruk untuk pekerja.

Sejak tahun 1991, kerajaan India telah mengurangkan peruntukan dana kepada syarikat sektor awam dan menjatuhkan kewibawaan sektor awam dalam membekalkan keperluan asas kepada rakyat. Kemerosotan dalam perkhidmatan syarikat sektor awam memberi alasan kepada kerajaan untuk melaksanakan lebih banyak lagi dasar liberalisasi dan penswastaan.

Di samping itu, kerajaan India juga berusaha untuk menghancurkan kuasa kesatuan sekerja, dengan menggunakan mahkamah untuk menafikan hak untuk bermogok dan menggunakan perundangan untuk menggubal undang-undang yang menyekat kesatuan sekerja. Kesatuan yang lemah bermakna pekerja juga akan hilang kekuatan dan lebih mudah ditindas oleh syarikat swasta yang mengutamakan keuntungan. Kerajaan pimpinan Narendra Modi yang berkuasa sejak tahun 2014, telah meneruskan dasar ekonomi neo-liberal yang memfokus pada penswastaan dan liberalisasi. Kerajaan Modi bercadang untuk menghancurkan gerakan kesatuan sekerja dengan undang-undang kesatuan sekerja yang baru. Ketika ini, sudah wujudnya kilang di India yang beroperasi seolah-olah kem tahanan. Modi mahu menjadikan pekerja-pekerja India hamba sepenuhnya kepada kapitalis besar. Kehancuran kesatuan sekerja akan turut menghakis budaya solidariti di kalangan kelas pekerja, sehingga menyebabkan keganasan sosial semakin meningkat dan menyediakan tapak subur untuk perkembangan politik neo-fasis.

Seperti aksi mogok besar-besaran sebelum ini, mogok terbaru di India merupakan manifestasi pekerja-pekerja terhadap kehidupan mereka yang semakin susah dan ancaman terhadap kesatuan sekerja yang bakal menghancurkan lagi solidariti di kalangan kelas pekerja.

Kerajaan Modi berdiam diri sahaja terhadap aksi mogok pekerja. Ini telah menjadi kebiasaan untuk kerajaan anti-pekerja ini tidak mengendahkan aksi pekerja, malah berpura-pura bahawa tiada apa yang berlaku. Jika undang-undang kesatuan sekerja baru India diluluskan dan berkuatkuasa, usaha untuk mewujudkan demokrasi di tempat kerja akan digagalkan dan seterusnya menghakis lebih teruk lagi proses demokratik di negara India. Pekerja-pekerja India tidak mahu membiarkan ini berlaku. Mereka bermogok dan turun ke jalanraya. Pekerja-pekerja India bertekad untuk terus memperjuangkan masa depan yang menjamin kehidupan pekerja.

Sepintas lalu aksi-aksi pekerja di sekitar India pada 8-9 Januari 2019:

Mumbai

ap_19008375688229

ap_19008356211551

Bengaluru

ap_19008364789970.jpg

ap_19008389003065.jpg

Kolkata

ap_19008311533407.jpg

ap_19008311303246

One thought on “India: 160 juta pekerja mogok

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *