50000069_2282766421747219_2970208242984026112_n.jpg

Apa itu “pembayaran balik perjalanan” (trip reimbursement)? Kebanyakan pemandu lori tidak akan faham kata-kata besar ini. Tetapi pemandu-pemandu lori di syarikat logistik Cold Chain Network (CCN), sedar bahawa ini cuma satu helah majikan untuk melarikan diri daripada membuat caruman KWSP yang sepenuhnya.

S. Maniam, salah seorang pemandu lori syarikat tersebut telah mengheret majikannya iaitu syarikat CCN dan Lembaga KWSP ke mahkamah pada tahun 2016 untuk menuntut semula caruman KWSP yang dinafikannya. Beliau telah dibantu oleh peguam New Sin Yew daripada firma guaman Amerbon yang telah membuat kesnya secara pro bono. Tuntutan Maniam berjumlah sebanyak RM12, 791, iaitu jumlah caruman yang patut dibayar pekerja dan majikan untuk tempoh 6 tahun sebelum tarikh aduan dibuat.  Begitulah penalti di bawah undang-undang untuk majikan yang tidak membuat caruman yang sepatutnya – mereka kena membayar kedua-dua bahagian caruman majikan dan pekerja sekiranya ditangkap.

Di Mahkamah Sesyen, Maniam telah kalah apabila hakim memutuskan untuk bergantung pada kewibawaan lembaga KWSP yang sebelum itu menyiasat aduan Maniam dan membuat keputusan yang memihak kepada syarikat CCN. Pendirian yang diambil oleh KWSP adalah tindakan CCN dalam tidak mencarum KWSP untuk pendapatan “pembayaran balik perjalanan”memang sah berasaskan dakwaan majikan bahawa pendapatan tersebut sebenarnya “satu jenis elaun perjalanan dan kerja lebih masa”. Menurut undang-undang KWSP, kedua-dua pendapatan ini dikecualikan daripada caruman KWSP.

Maniam telah mengemukakan penghujahan bahawa “pembayaran balik perjalanan” bukanlah elaun perjalanan atau bayaran untuk kerja lebih masa, tetapi satu istilah yang sengaja digunakan untuk mengelirukan dan menutup hakikat bahawa ia sebenarnya adalah jumlah semua komisen perjalanannya untuk bulan itu. Di bawah Akta KWSP, komisen berada di bawah kategori pendapatan yang boleh dikira dalam caruman KWSP. Komisen ialah bayaran untuk kerja menghantar barang yang dilakukan oleh Maniam sebagai seorang pemandu lori.  Maniam dibayar komisen yang lebih tinggi untuk destinasi yang lebih jauh. Semua komisen setiap bulan dijumlahkan dan ditunjukkan dalam penyata gajinya sebagai “pembayaran balik perjalanan” oleh majikannya.

Tiada sebarang pembayaran balik (reimbursement) memandangkan majikan memberi dua kad bayaran kepada semua pemandu lori – satu untuk minyak diesel dan satu lagi untuk bayaran tol. Pemandu tidak dibenarkan membuat sebarang tuntutan lain.

Maniam kemudian telah membuat rayuan di Mahkamah Tinggi dan menang. Hakim Mahkamah Tinggi telah menyatakan bahawa “pembayaran balik perjalanan” sebenarnya adalah komisen yang menyamar sebagai elaun perjalanan dan bayaran kerja lebih masa dengan niat jahat untuk mengelirukan dan mengelakkan pembayaran caruman KWSP. Beliau juga mengingatkan Lembaga KWSP bahawa sebagai penjaga KWSP, mereka harus lebih berwaspada terhadap taktik majikan yang licik.

Majikan telah merayu keputusan Mahkamah Tinggi, dan kes didengar pada 9 Januari 2019. Steven Thiru (bekas Presiden Majlis Peguam) telah mewakili syarikat CCN, dan telah berhujah panjang lebar tentang “pembayaran balik perjalanan”, bahawa ia merupakan bayaran yang dibuat untuk menggantikan bayaran kerja lebih masa, kononnya kerja lebih masa untuk pemandu lori adalah sangat sukar untuk dikira. Dengan semua fakta dan fiksyen yang membingungkan, para hakim membuat keputusan bahawa perkara ini harus dibawa kembali ke mahkamah yang lebih rendah dan difailkan semula melalui saman writ.

Terus menyeret kes ini di mahkamah memang sesuatu yang mengecewakan untuk pemandu-pemandu lori syarikat CCN yang terlibat, kerana mereka hanya menuntut semula apa yang sepatutnya dibayar kepada mereka dalam bentuk caruman KWSP tetapi tidak dilakukan oleh majikan. Walau bagaimanapun, keputusan KWSP untuk tidak membuat rayuan terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi adalah sesuatu yang signifikan, dan membolehkan para pemandu berasa lega dengannya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s