Pemberontakan massa yang serupa dengan gerakan “Jaket Kuning” Perancis tercetus di Costa Rica untuk menentang rancangan kerajaan pimpinan Carlos Alvarado yang hendak memperkenalkan kenaikan cukai yang membebankan rakyat biasa, memotong perbelanjaan perkhidmatan awam dan melaksanakan penswastaan. Aksi protes massa yang berterusan ini telah mengubah dinamik politik di negara yang pernah digelar sebagai “Switzerland Amerika Tengah” ini.
Kerajaan Costa Rica mengumumkan pada 18 September 2020 rancangannya untuk melaksanakan pakej peningkatan cukai, langkah-langkah penjimatan yang melibatkan pengurangan perbelanjaan perkhidmatan awam, dan penswastaan aset awam, untuk mendapatkan bantuan kewangan sebanyak USD1.75 bilion daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Kerajaan Costa Rica memberi alasan bahawa pinjaman daripada IMF itu adalah perlu untuk mengelakkan ekonomi krisis di negara itu, namun pinjaman daripada institusi kewangan antarabangsa yang bersifat neoliberal hanya akan menyebabkan lebih banyak dasar penjimatan yang menghakis hak kebajikan rakyat dan melumpuhkan negara itu.
Aksi protrs yang berlarutan hampir tiga minggu berjaya memaksa kerajaan pimpinan Carlos Alvarado untuk menangguhkan sementara rundingannya dengan IMF. Namun begitu, ramai pekerja masih berjaga-jaga kerana kerajaan yang mengamalkan pendekatan neoliberal itu akan meneruskan dasar yang menghakis hak dan kebajikan pekerja.
Pekerja-pekerja dan rakyat biasa Costa Rica mula mengadakan aksi protes pada 30 September 2020 untuk membantah rancangan Kerajaan Costa Rica yang hendak berunding dengan IMF. Demonstran telah melakukan sekatan di jalan-jalan utama, termasuk jalan-jalan yang memasuki ibu negara, San José, dan juga dan lintasan sempadan yang utama di negara itu. Pertempuran berlaku apabila pihak polis cuba menyuraikan demonstran untuk membuka semula jalan.
Pemberontakan rakyat Costa Rica dilakukan oleh satu gabungan masyarakat yang menggelar diri mereka sebagai “Rescate Costa Rica” (Selamatkan Costa Rica). Pada awalnya gabungan aksi protes terdiri daripada golongan peniaga kecil, petani kecil dan masyarakat miskin luar bandar. Namun demikian, komposisi kelas gerakan protes Rescate semakin beralih kepada kelas pekerja apabila kemarahan rakyat menular dalam kalangan pekerja harian dan pekerja sektor informal yang membentuk hampir 60% daripada jumlah tenaga kerja di negara itu.
Serupa dengan Gerakan Jaket Kuning di Perancis, Gerakan Rescate menduduki jalanan secara beramai-ramai, mewujudkan lebih 90 sekatan jalan yang melumpuhkan sistem pengangkutan di seluruh negara Costa Rica. Kerajaan Costa Rica mengerahkan polis untuk mematahkan kebangkitan rakyat secara kekerasan, namun telah ditentang hebat oleh mereka yang berprotes. Kementerian Keselamatan Awam Costa Rica mendakwa terdapat sindiket pengedaran dadah terlibat dalam protes dan melakukan keganasan, sebagai cubaan untuk memburuk-burukkan nama Gerakan Rescate.
Pekerja-pekerja daripada sektor awam juga mengadakan aksi perarakan di San José pada 6 Oktober 2020 untuk menyatakan sokongan terhadap aksi sekatan oleh Gerakan Rescate. Protes besar-besaran di San José pada 12 Oktober 2020 menyaksikan pertempuran hebat antara demonstran dan polis. Demonstrasi yang hebat akhirnya memaksa Presiden Carlos Alvarado mengadakan rundingan dengan wakil-wakil masyarakat dan mengumumkan bahawa Kerajaan tidak akan meneruskan rundingan dengan IMF untuk mendapatkan pinjaman.
Costa Rica sedang menghadapi krisis ekonomi dan kesihatan yang serius, sementara kerajaan yang mengamalkan dasar neoliberal tidak mempunyai kreativiti untuk mewujudkan alternatif sebaliknya cuba mengambil pendekatan yang menggadaikan lebih lanjut kepentingan rakyat untuk menyelamatkan sistem ekonomi kapitalis di negara itu.
Penularan wabak COVID-19 di Costa Rica berjaya dikawal untuk beberapa bulan pertama, kerana kerajaan memang melaksanakan langkah-langkah kawalan pergerakan yang ketat dan mengekalkan angka kematian pesakit yang dijangkiti COVID-19 di bawah 10 orang dari bulan Mac hingga Jun, sementara jumlah kes jangkitan pun kurang daripada 2,000. Namun, dengan aktiviti ekonomi lumpuh untuk perniagaan kecil, industri pelancongan dan sektor informal (seperti penjaja jalanan, pasar tani dan sebagainya), iaitu asas utama sokongan terhadap parti pemerintah Parti Tindakan Warganegara (PAC), Presiden Alvarado mula usahanya untuk menyakinkan rakyat Costa Rica bahawa pandemic sudah dapat dikawal penuh, maka mula melonggarkan sekatan. Namun, hasil daripada pelonggaran Langkah pencegahan wabak memang dapat diramalkan. Kes COVID-19 meningkat secara mendadak sejak itu dan angka kematian juga semakin tinggi, dengan lebih 1,200 orang telah mati kerana COVID-19.
Pada beberapa bulan pertama semasa kawalan pergerakan, Kerajaan Costa Rica memberikan bantuan kewangan kepada semua isi rumah di negara itu. Namun, dengan aktiviti ekonomi terhenti sepenuhnya, kerajaan kemudian mengatakan ia tidak dapat lagi berbuat demikian. Dengan bantuan daripada kerajaan dihentikan, maka wujudnya tekanan politik ke atas kerajaan daripada pekerja-pekerja dalam sektor-sektor ekonomi dan lapisan kapitalis kecil yang berada di ambang kebankrapan kerana pelanggan sudah lesap. Costa Rica memang menghadapi krisis fiscal yang serius, tetapi bagaimana mengendalikan krisis inilah yang menjadi punca kepada gelombang protes rakyat negara itu baru-baru ini. Rakyat Costa Rica mahu menyelamatkan ekonomi negara mereka, tetapi tidak mahu menjual negara mereka kepada IMF.