(foto oleh Rapeephat Sitichailapa / AP Photo)

Kerajaan Thailand pimpinan Prayut Chan-o-cha mengisytihar darurat di bandaraya Bangkok pada awal pagi 15 Oktober 2020 untuk menyekat demonstrasi rakyat pro-demokrasi yang semakin hebat di situ.

21 orang aktivis pro-demokrasi yang cuba mendirikan khemah berdekatan dengan Tugu Peringatan Demokrasi di Lebuh Ratchadamnoen pada 13 Oktober 2020, sehari sebelum aksi massa anti-diktator yang dirancang lebih awal, telah ditahan oleh pihak polis. Penahanan aktivis ini mencetuskan protes di hadapan ibupejabat polis di Bangkok pada lewat petang hari itu.  

Gelombang aksi protes pro-demokrasi yang hebat di Thailand sejak bulan Julai 2020, telah mengemukakan tuntutan seperti pilihanraya yang baru, perlembagaan yang baru, menghentikan penindasan terhadap suara pembangkang dan pembaharuan terhadap sistem monarki.

(foto: Prachatai)

Lebih kurang 10,000 orang berhimpun di Tugu Peringatan Demokrasi pada 14 Oktober 2020 sebelum berarak ke ibupejabat Kerajaan Thailand. 14 Oktober mempunyai makna yang mendalam kepada perjuangan demokrasi di Thailand kerana ia menandakan ulangtahun kebangkitan rakyat Thailand pada tahun 1973 yang menjatuhkan pemerintahan kediktatoran Thanom Kittikachorn yang anti-komunis dan mewujudkan pembaharuan demokrasi di negara itu untuk tempoh 3 tahun sebelum dipatahkan oleh satu lagi kudeta tentera pada tahun 1976.

Para peserta aksi protes menuntut perletakan jawatan Prayut sebagai Perdana Menteri. Golongan Baju Kuning yang setiaraja telah dikerahkan untuk mengadakan demonstrasi balas dan cuba menyerang demonstran yang pro-demokrasi.

Pemimpin aksi protes, Anon Nampa, mengumumkan bahawa disebabkan kebimbangan tentang keselamatan peserta, aksi protes di hadapan Bangunan Kerajaan akan bersurai pada pagi 15 Oktober 2020 dan berpindah ke Persimpangan Ratchaprasong pada pukul 4 petang, 15 Oktober 2020. Persimpangan Ratchaprasong merupakan tapak utama protes Gerakan Baju Merah yang pro-demokrasi pada tahun 2010.

Namun begitu, Perdana Menteri Prayut mengisytihar darurat di Bangkok dan mengatakan bahawa penguatkuasaan darurat bermula pada pukul 4 pagi 15 Oktober 2020. Prayut mendakwa bahawa perhimpunan awam yang “haram” di Bangkok telah mencetuskan kekecohan yang mengganggu ketenteraman awam dan konvoi diraja yang lalu di situ. Perintah darurat yang diisytihar melarang perhimpunan melebihi lima orang dan penerbitan bertia dan maklumat yang mengandungi mesej yang dianggap boleh mewujudkan“kegusaran” dan “salah faham” yang mengancam keselamatan negara atau ketenteraman. Negara Thailand sudah pun di bawah darurat yang diisytihar untuk menangani ancaman wabak COVID-19 sejak bulan Mac 2020, dan perintah darurat yang terbaru menyekat lebih lanjut lagi kebebasan rakyat Thailand untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap kerajaan pimpinan Prayut yang semakin dibenci rakyat.

Dengan perisytiharan darurat terbaru, pihak polis bertindak secara keras untuk menyuraikan para peserta yang masih berkumpul di hadapan Bangunan Kerajaan pada waktu awal pagi sebelum subuh. Sehingga pukul 6 pagi 15 Oktober 2020, sekurang-kurangnya 20 orang telah ditangkap, termasuk Arnon Nampa, Parit Chiwarak dan Panupong Jadnok yang merupakan pemimpin aksi protes pro-demokrasi. Aktivis pelajar Panusaya Sithijirawattanakul pernah menyerahkan tuntutan untuk reformasi terhadap sistem monarki juga ditahan pada pukul 8 pagi. Tentera juga dikerahkan di Bangkok untuk menyekat protes rakyat.

Nampaknya kerajaan Prayut memang amat tergugat dengan gelombang protes pro-demokrasi yang terbesar di negara itu sejak dia berkuasa melalui kudeta tentera pada tahun 2014, dan sekarang ini golongan pemerintah sedang cuba menggunakan segala cara yang mungkin untuk menyekat kebangkitan rakyat Thailand.

(foto: Reuters)

3 thoughts on “Thailand: Darurat diisytihar untuk sekat kebangkitan rakyat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *