oleh Ibete Fernández Hernández

(diterjemah daripada tulisan asal dalam Bahasa Inggeris yang boleh dibaca di sini)

Pandemik COVID-19 yang menjejaskan dunia tanpa mengira kelas sosial, kaum ataupun kekayaan yang dimiliki sejak bulan Disember 2019, mengancam untuk menghapuskan sebahagian besar penduduk dunia. Penularan virus yang cepat menyebabkan kita meninjau semula cara-cara baru  untuk hidup dan bekerjasama demi mencuba untuk menghentikan kesan-kesan yang diakibatkannya di semua bidang, khususnya kesihatan dan ekonomi.

Dunia dikejutkan pada bulan Ogos lalu oleh berita bahawa Kuba mempunyai satu calon vaksin terhadap COVID-19. Calon vaksin yang bernama Soberana 01 (Daulat 01) ini, juga merupakan calon vaksin yang pertama di rantau Amerika Latin dan Caribbean yang mendapat kebenaran untuk ujian klinikal, dan yang ke-30 di dunia menerima kebenaran ini.

Kuba yang mempunyai sistem kesihatan yang tersusun berasaskan pencegahan dan kerja komuniti, telah berjaya menunjukkan sekali lagi ketersediaan kami pada tahap tinggi untuk berdepan dengan keadaan bencana dan wabak.

Berdasarkan pendekatan pencegahan ini, kerajaan Kuba, Bersama dengan pihak berkuasa kesihatan dan komuniti sains, telah merangka satu rancangan untuk menghadapi dan mengawal penyakit berdasarkan pengalaman dan kondisi negara kami. Di samping itu, lawatan dan mesyuarat peringkat wilayah telah diadakan untuk melatih seluruh lapisan kepimpinan negara, dan mesyuarat harian diadakan mengenai keadaan dunia dan negara untuk menilai pelaksanaan langkah-langkah yang berkenaan dalam melawan pandemik.

Sebahagian yang penting dalam rancangan ini ialah kajian terhadap pengalaman negara-negara yang paling awal dipengaruhi pandemik dan negara-negara yang menghadapi situasi yang lebih kritikal, serta kajian terhadap protokol antarabangsa. Rancangan ini dirangka dan digunapakai dalam peringkat pra-epidemik dan epidemik, dengan merangkumi langkah-langkah yang bersesuaian dengan kekompleksan setiap peringkat.

Oleh sebab itu, Kuba Berjaya mengawal penularan virus pada tahap yang rendah dari bulan Mac hingga kini, dan hari ini (29 September 2020) mempunyai kes terkumpul sebanyak 5,597, 4,893 kes yang sembuh dan 122 kes kematian; kadar kematian 2.17% adalah lebih rendah berbanding purata dunia (2.99%) dan purata dalam kalangan negara-negara di benua Amerika (3.34%).

Oleh kerana pengalaman Kuba dalam bidang kesihatan, kami menerima permintaan daripada kerajaan-kerajaan negara lain untuk menghantar briged perubatan in situ atau memberi nasihat kepada sistem kesihatan tempatan untuk menghadapi  COVID-19. Oleh itu, sebagai tanda sokongan kuat dan kemanusiaan, 3,800 orang rakyat Kuba yang disusun dalam 52 briged perubatan telah merespon kepada seruan untuk bantuan daripada 39 buah negara dan wilayah yang terjejas oleh penyakit. Bagi Kuba, akses kepada kesihatan ialah hak asasi manusia dan tiada apa lagi yang lebih penting daripada memeliharanya.

Usaha oleh Kuba untuk mengglobalisasikan solidariti dalam konteks masa kini adalah agak memberangsangkan. Memandangkan “perhatian berterusan” oleh kerajaan Amerika Syarikat terhadap rakyat Kuba, yang dianggapnya ditindas dan dinafikan hak, tetapi kerajaan Amerika Syarikat telah memperhebatkan sekatannya untuk menghalang bantuan kemanusiaan daripada sampai ke Kuba, dan juga bekalan untuk penjagaan penduduknya. Adakah ini ironi atau sekadar percangghan antara ucapan dan Tindakan?

Dengan sikap yang angkuh dan permusuhan terhadap martabat yang dicapai oleh kerjasama perubatan Kuba, serta dengan matlamat untuk memperdalamkan sekatan, kerajaan Amerika Syarikat telah menyusun satu kempen untuk menjatuhkan wibawa doktor-doktor Kuba sejak tahun 2019. Amerika Syarikat malah mengancam negara-negara berdaulat dan pertubuhan-pertubuhan multilateral dengan pemotongan bantuan kewangan jika mereka menerima pakar-pakar Kuba. Adakah ini jenis kebebasan dan demokrasi yang diamalkan oleh kerajaan imperialis? Salah satu sasaran baru-baru ini ialah Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika (PAHO) yang akan dikenakan siasatan audit yang haram atas hasutan Amerika Syarikat terhadap program “Mais Médicos” (Lebih Banyak Doktor) yang merupakan kerjasama antara kerajaan Parti Pekerja (PT) di Brazil, Kuba dan PAHO.

Menurut kenyataan oleh Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Kuba pada 5 Disember 2019, adalah tidak bermoral dan tidak boleh diterima untuk mempersoalkan maruah, keprofesionalan dan altruisme lebih 400,000 orang rakan usaha sama kesihatan Kuba yang telah berkhidmat dalam misi-misi di 164 buah negara dalam tempoh 56 tahun.

Sekatan ekonomi, komersial dan kewangan yang semakin meningkat yang dikenakan oleh Amerika Syarikat ke atas Kuba, dengan kesannya sangat dahsyat dalam konteks pandemik COVID-19, tidak dapat dan tidak akan dapat menghalang negara kami daripada berkongsi sumbernya yang sedikit dengan rakyat negara lain di dunia. Mereka memerlukan bantuan ini.

Pembela demokrasi yang kononnya anti-keganasan dalam tindakan mereka yang agresif dan tidak masuk akal terhadap Kuba, telah melakukan segala perkara yang mungkin untuk merosakkan hubungan diplomatik yang diwujudkan semula pada 1 Julai 2015. Kami masih ingat tentang peristiwa penuh skandal terhadap kedutaan Kuba di Washington pada 30 April 2020, yang dilakukan oleh seorang warga Kuba Amerika yang mengatakan bahawa dia pergi ke situ “untuk membunuh”. Serangan yang dilakukannya akan dicatatkan dalam sejarah.  

Kerajaan Amerika Syarikat harus mengaku dan mengecam secara terbuka serangan yang bersifat keganasan ini, dan berkongsi dengan Kuba semua maklumat yang diketahuinya. Ini merupakan perkara yang patut dilakukan. Melakukan yang sebaliknya hanya bersubahat, membisu dan bertoleransi dengan keganasan.

Sudah terdapat banyak contoh dwistandard seperti ini yang diamalkan terhadap Kuba hari ini. Pada hari keesokannya ia boleh digunakan terhadap negara-negara yang lain.

Kuba bertekad untuk menghormati hak asasi manusia, menegakkan prinsip-prinsip kewujudan bersama secara damai, dan menghormati kedaulatan semua negara. Pulau ini tidak akan berhenti bekerjasama dan memperluaskan solidaritinya walaupun apa-apa ancaman. Dengan rekod prestasi Kuba, adalah tidak dibenarkan apa-apa bentuk pencerobohan terhadap kami.

==========

Ibete Fernández Hernández ialah Duta Besar Kuba ke Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *