oleh Gandipan Nantha Gopalan

Pemuda Sosialis ingin menggesa kerajaan untuk melanjutkan moratorium pinjaman bank kepada golongan yang berpendapatan rendah (B40 dan M40). Pelanjutan moratorium ini akan membantu golongan pekerja dan pemilik syarikat kecil/sederhana untuk mengharungi pandemik COVID-19.

Kami ingin mengingatkan kerajaan bahawa terdapat ramai orang yang telah hilang punca pendapatan, mengalami potongan gaji dan ramai golongan muda yang masih menganggur akibat ketidakstabilan ekonomi di negara ini. Peluang pekerjaan pula tidak lagi diwujudkan secara aktif baik daripada pelaburan asing dan juga pihak kerajaan. Kerajaan harus melanjutkan moratorium supaya institusi perbankan tidak lagi membebankan rakyat dalam jangka masa ini.

Pemuda Sosialis juga berpendapat bahawa institusi perbankan tidak akan dibebankan oleh pelanjutan moratorium ini. Bank-bank utama di Malaysia memang mencatat keuntungan ratusan juta setiap suku tahun walaupun rakyat mengharungi masa yang mencabar ini.

Pemuda Sosialis mencadang bahawa kerajaan harus meneliti dan mencari jalan kreatif dalam mewujudkan peluang pekerjaan di negara kita dalam masa kita melanjutkan moratorium. Pekerja-pekerja yang telah hilang kerja semasa PKP masih akan mengalami kesusahan walaupun pandemik dalam keadaan terkawal akibat tiada usaha mewujudkan peluang pekerjaan dan tidak ada sistem sokongan yang kukuh.

Pelanjutan moratorium ini adalah sesuatu yang diperlukan rakyat, buat masa sekarang dan sesuatu yang minimum kerajaan boleh buat untuk membantu rakyat dalam mengharungi tempoh masa ini. Pada masa yang sama, usaha kerajaan diperlukan untuk mewujudkan peluang pekerjaan melalui skim pekerjaan terjamin di negara kita supaya rakyat tidak dibebankan ketika pemulihan ekonomi. Kerajaan prihatin haruslah sentiasa fikir tentang kebajikan rakyat, bukan hanya melalui slogan dan retorik.

==========

Gandipan Nantha Gopalan ialah Setiausaha Pemuda Sosialis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *