Kita sudah sampai ke penghujung tahun 2020 dan bakal menyambut Tahun Baru 2021. Marilah kita imbas kembali sepintas lalu pergolakan politik dan sosio-ekonomi yang berlaku di negara Malaysia sepanjang tahun 2020.
1. Penularan wabak COVID-19 dan PKP
Pandemik penyakit koronavirus 2019 (COVID-19) menular di seluruh dunia sejak awal tahun 2020, dan Malaysia juga tidak dapat berkecuali daripadanya. Kes COVID-19 yang pertama di Malaysia dikesan pada 25 Januari 2020. Apabila jumlah kes jangkitan COVID-19 tempatan semakin meningkat pada awal bulan Mac 2020, Kerajaan mengisytihar pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). PKP berkuatkuasa sepanjang tempoh 18 Mac 2020 hingga 3 Mei 2020, kemudiannya diteruskan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei 2020 hingga 9 Jun 2020. Ini digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai 10 Jun. Namun begitu, PKPB diperkenalkan semula pada bulan Oktober di negeri Sabah apabila berlakunya gelombang penularan jangkitan COVID-19 yang baru, kemudiannya kebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia turut melalui PKPB pada bulan November 2020. Penularan wabak COVID-19 telah membawa impak hebat kepada kesihatan awam dan ekonomi di negara kita. Angka kes jangkitan COVID-19 yang terkumpul di Malaysia pada masa kini sudah melebihi 100,000, sementara jumlah kematian melebihi 400 kes.
2. Kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berkuasa selepas Pilihanraya Umum ke-14 pada bulan Mei 2018, hanya bertahan selama 22 bulan dan dijatuhkan akibat daripada perebutan kuasa dalam kalangan elit politik dalam PH. Krisis politik yang bermula dengan isu peralihan kuasa daripada Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim, mencapai kemuncak apabila berlakunya “Langkah Sheraton”, yang menyaksikan Azmin Ali meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersama beberapa orang pemimpin yang lain dan bersepakat dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk menarik diri daripada menyokong Kerajaan PH. Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong bertemu dengan semua Ahli Parlimen untuk menentukan siapa yang mendapat sokongan majoriti sebagai Perdana Menteri baru. Muhyiddin Yassin muncul sebagai “pemenang” dalam sandiwara politik menukar kerajaan tanpa pilihanraya ini, dan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac 2020. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ditubuhkan berikutan Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri hanya menguasai majoriti yang sangat tipis dalam Dewan Rakyat. Berikutan perubahan rejim di peringkat Persekutuan, negeri Johor, Melaka, Perak dan Kedah juga mengalami peralihan kuasa daripada PH kepada PN.
3. Pilihanraya Negeri Sabah
Pilihanraya Negeri Sabah yang diadakan di bawah bayangan ancaman penularan wabak COVID-19, menyaksikan kekalahan Gabungan WARISAN Plus yang dipimpin oleh penyandang jawatan Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal. Pilihanraya Negeri Sabah diadakan lebih awal apabila negeri itu dilanda krisis politik yang melibatkan cubaan rampasan kuasa oleh PN untuk menjatuhkan Kerajaan Pakatan Harapan. Gabungan Rakyat Sabah, sebuah gabungan tidak ramsi antara BN, PN dan PBS, telah memenangi 38 daripada 73 kerusi yang dipertandingkan.
4. Pekerja migran dan pelarian terus dimangsakan dan dikambinghitamkan
Pada ketika negara kita dilanda penularan wabak COVID-19, sentimen xenofobia turut menular dalam masyarakat Malaysia, khususnya di dalam ruangan siber. Masyarakat pelarian Rohingya mengalami serangan xenofobia yang teruk dalam media sosial berikutan penularan berita palsu mengenai dakwaan pemimpin masyarakat pelarian Rohingya menuntut kewarganegaraan. Sentimen xenofobia dan rasa benci terhadap golongan migran telah diperkukuhkan lagi dengan sikap kerajaan yang cuba menyalahkan golongan migran dalam penularan wabak COVID-19, sedangkan tindakan penangkapan pekerja migran tanpa dokumen meningkatkan lagi risiko penularan wabak. Golongan migran perlu menghadapi keadaan yang teruk dalam tahanan. Selain itu, berlaku juga insiden seperti wartawan yang melaporkan operasi penangkapan besar-besaran terhadap pekerja migran telah dipanggil untuk soal siasat oleh polis, sementara warga Bangladesh yang menyuarakan kritikannya terhadap cara kerajaan Malaysia melayan pekerja migran dalam temuramah dokumentari terbita Al Jazeera pula ditangkap dan dihantar pulang. Peristiwa-peristiwa ini menunjukkan trend xenofobia yang membimbangkan.
5. Sarkas Anwar untuk merampas kuasa
Ketua Pembangkang Parlimen Anwar Ibrahim telah menguar-uarkan untuk menukar kerajaan dengan mengatakan dalam sidang akhbar bahawa dia mempunyai sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat untuk membolehkannya menjadi Perdana Menteri. Pengumunan Anwar tersebut telah mencetuskan pelbagai spekulasi dan reaksi yang merumitkan keadaan ketidaktentuan politik di negara kita sejak bulan Februari 2020. Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bertindak balas untuk menghalang pertukaran kerajaan dengan cubaan memohon pengisytiharan darurat daripada Yang di-Pertuan Agong, tetapi gagal. Walau bagaimanapun, Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan gagal mendapat undi melebihi separuh dalam pengundian semasa perbahasan peringkatan jawatankuasa untuk Belanjawan 2021 di dalam Dewan Rakyat, sementara Muhyiddin Yassin masih kekal sebagai Perdana Menteri dengan majoriti yang sangat tipis dalam Parlimen.
6. Top Glove: Contoh majikan yang teruk
Top Glove, sebuah syarikat yang mengeluarkan sarung tangan getah, walaupun mengaut keuntungan besar, tetapi gagal melindungi hak dan keselamatan pekerjanya. Kilang-kilang Top Glove dan tempat-tempat penginapan untuk pekerja-pekerjanya yang berkeadaan teruk, telah menjadi tempat “hotspot” penularan wabak COVID-19, dengan lebih 5,000 orang pekerjanya disahkan dijangkiti wabak COVID-19, manakala seorang pekerja dari Nepal yang menjadi pengawal keselamatan di kilang Top Glove mati kerana menghidapi wabak COVID-19. Syarikat Top Glove juga dilanda skandal memecat seorang pekerja warga Nepal yang cuba membangkitkan masalah tempat penginapan yang terlalu sesak dan ketiadaan penjarakan fizikal di premis syarikat itu.
7. Najib disabit kesalahan
Najib Razak mencipta “sejarah” dengan menjadi bekas Perdana Menteri yang pertama di negara kita yang didakwa dan disabit kesalahan di mahkamah atas pertuduhan rasuah. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan pada 28 Julai 2020 bahawa Najib didapati bersalah untuk 7 tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib. Najib masih bebas di bawah ikat jamin sementara menunggu rayuan kesnya berlangsung di Mahkamah Rayuan. Namun begitu, bekas Ketua Menteri Sabah Musa Aman dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor pula dilepaskan daripada pendakwaan berkaitan rasuah masing-masing.
8. Air Selangor sering putus
Negeri Selangor telah dihantui krisis bekalan air yang tidak berkesudahan dengan gangguan bekalan air sering berlaku, kebanyakannya disebabkan oleh masalah pencemaran air.