20200811-5ed8cf40d4f4c0001

Keadaan pekerja migran tanpa dokumen yang berada di pusat tahanan imigresen di Sabah yang dilayan secara tidak berperikemanusiaan, telah didedahkan baru-baru ini dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Koalisi Buruh Migran Berdaulat dan Komisi Hak Asasi Manusia (Komnas HAM) Indonesia dalam satu sidang akhbar pada 5 Ogos 2020.

Komnas HAM, iaitu suruhanjaya hak asasi manusia kebangsaan negara Indonesia, bersama dengan masyarakat sivil Indonesia yang prihatin pada isu buruh migran, telah melakukan penyiasatan terhadap keadaan yang dialami oleh pekerja-pekerja migran dari Indonesia yang ditahan di Sabah antara bulan Disember 2019 hingga Jun 2020. Daripada siasatan tersebut, adalah didapati wujudnya pencabulan hak asasi manusia secara sistematik terhadap golongan migran yang sudah bertahun-tahun lamanya. Pencabulan hak asasi manusia ini dikatakan berlaku secara sistematik dan pada skala yang besar-besaran.

Dalam laporan yang dikemukakan oleh Komnas HAM dan Koalisi Buruh Migran Berdaulat, lebih 900 orang pekerja migran tanpa dokumen telah dihantar pulang dari Sabah ke Indonesia sepanjang tempoh bulan Jun dan Julai 2020. Mereka yang dihantar pulang ini telah mengalami penyeksaan dan layanan tidak berperikemanusiaan yang lain semasa ditahan di pusat-pusat tahanan sementara di Sabah ketika menunggu untuk dihantar pulang. Sesetengah yang dihantar pulang itu telah berada di pusat tahanan berkenaan sejak bulan Disember 2019.

“Dengan mobiliti dan akses yang terhad kepada mereka yang dihantar pulang, kami cuba berkomunikasi dan mengumpul maklumat daripada beberapa institusi, termasuk Konsulat Indonesia di Tawau, Sabah, dan badan-badan kerajaan tempatan di Indonesia. Siasatan lapangan dan temubual secara mendalam telah dilakukan pada bulan Jun dan Julai 2020 ketika mereka yang dihantar pulang tiba di pelabuhan Parepare di Sulawesi Selatan,” kata Musdalifah Jamal, penyelaras Koalisi Buruh Migran Berdaulat. Koalisi Buruh Migran Berdaulat merupakan satu gabungan pertubuhan masyarakat sivil di Indonesia yang prihatin pada isu perlindungan hak buruh migran Indonesia. Gabungan pertubuhan masyarakat sivil ini terbentuk sebagai respon terhadap masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja migran Indonesia dalam situasi pandemik COVID-19.

Pasukan mencari fakta tentang keadaan pekerja migran Indonesia yang dihantar pulang dari Sabah, telah menemuramah sebanyak 33 orang yang dihantar pulang (17 orang lelaki, 15 orang wanita dan seorang kanak-kanak) yang dihantar ke Sulawesi, Nusa Tenggara Timur dan Nusa Tenggara Barat. Mereka yang dihantar pulang ini telah ditangkap, ditahan, diseksa dan dilayan secara kejam dan tidak berperikemanusiaan di pusat-pusat tahanan sementara di Sabah sebelum dihantar pulang. Testimoni daripada orang yang dihantar pulang ini menunjukkan satu corak yang jelas bahawa amalan penyeksaan dan hukuman atau layanan tidak berperikemanusiaan dan merendahkan maruah di pusat tahanan sementara adalah sesuatu yang telah wujud secara meluas dan sistematik untuk satu jangka masa yang panjang.

Penahanan dalam tempoh berpanjangan di pusat-pusat tahanan sementara adalah disebabkan oleh prosedur administratif penghantaran pulang yang rumit dan tidak efisien, daripada kedua-dua pihak Sabah dan Indonesia. Keadaan bertambah buruk lagi kerana dasar kerajaan Indonesia yang menghentikan proses penghantaran balik, khususnya oleh Kerajaan Provinsi Kalimantan Utara atas alasan tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk melakukan prosedur pengendalian COVID-19 untuk mengelakkan penularan virus apabila menerima mereka yang dihantar pulang di kawasan persempadanan di Pulau Nunukan. Dasar yang menangguhkan penghantaran balik ini telah menyebabkan pekerja-pekerja migran, sesetengahnya merupakan wanita, kanak-kanak dan warga emas, telah terdedah kepada penyeksaan dan layanan tidak berperikemanusiaan untuk tempoh masa yang lebih panjang lagi, walaupun mereka telah melalui tempoh pemenjaraan yang sepatutnya dan bebas untuk pulang ke negara asal.

Siasatan yang dilakukan baru-baru ini telah mengenalpasti beberapa masalah utama yang timbul di Sabah dan Indonesia. Hasil penemuan siasatan di Sabah ialah:

  1. Mereka yang dihantar pulang telah dilayan secara zalim dan tidak berperikemanusiaan di pusat-pusat tahanan sementara.
  2. Penahanan yang berpanjangan kerana ketidakefisienan birokrasi telah menyebabkan ribuan migran dinafikan kebebasan mereka.
  3. Pusat-pusat tahanan sementara telah menjadi institusi penyeksaan untuk bertahun-tahun lamanya.
  4. Situasi tidak berperikemanusiaan ini juga dialami oleh wanita dan kanak-kanak, termasuk wanita mengandung, mendatangkan kesan-kesan buruk yang berganda.

Antara kenyataan yang diberikan oleh mereka yang dihantar pulang:

“Kami dilayan seperti binatang. Setelah hukuman penjara selesai dan ketika menunggu proses penghantaran pulang di depoh imigresen, kami dilayan seperti haiwan. ‘Rumah Merah’ (pusat tahanan sementara) itu seperti neraka. Kebanyakan kami di pusat tahanan sementara mengalami segala macam penyakit.” (XYZ, migran yang berasal dari Adonara, Nusa Tenggara Timur)

“Setiap hari pada jam 6 pagi kami harus bangun. Ketua blok akan berteriak menyuruh kami untuk segera berbaris dan membuat kiraan. Satu baris masing-masing 10 orang. Kami harus mengucapkan ‘selamat pagi Cikgu’, kemudian pegawai akan berkata ‘tangan di belakang, kepala tunduk!’ Sesiapa yang melakukan kesalahan akan dipukul dan ditendang. Setiap kali kami dipukul, kami perlu berkata ‘terima kasih, Cikgu’. Kalau tidak kami akan terus dipukul. Jadi, kami betul-betul dilayan seperti binatang. Kami harus panggil pegawai sebagai cikgu, jika tidak, kami akan dipukul.” (ABC, migran yang berasal dari Lembata, Nusa Tenggara Timur)

“Di Pusat tahanan sementara, hampir semua tahanan telah dijangkiti penyakit kulit yang serius. Airnya kotor dan berbau. Itu pun sukar didapati. Kami sering kali tidak mandi untuk tiga hari. Makanan yang dibekalkan sering masih mentah, daging ayam masih ada darahnya, nasi yang masih mentah atau basi, sayur pun kadang-kadang belum masak. Kami pernah tidak diberi makanan sehingga lewat petang.” (KLN, migran wanita dari Pinrang, Sulawesi Selatan)

“Pernah sekali saya hendak mandi tetapi air jarang sekali mengalir keluar. Sering kali tiadanya air sampai tiga hari. Kami biasanya perlu menyimpan air di dalam botol air mineral. Kalau kami mahu mandi, sering kali kami perlu membuat cabutan undi untuk mendapat giliran. Itu pun kami hanya mempunyai dua botol air mineral (air 2 liter).” (DDHK, migran berumur 10 tahun dari Ende, Nusa Tenggara Timur)

Mereka yang ditahan di pusat-pusat tahanan sementara juga mengalami masalah keganasan, peras ugut, perampasan barangan peribadi, pencabulan terhadap hak untuk kesihatan dan hak untuk perbicaraan adil, dan eksploitasi terhadap tahanan kanak-kanak. Keadaan dan kemudahan yang tidak bersesuaian di pusat tahanan sementara ini telah menyebabkan kebanyakan pekerja migran yang ditahan, termasuk wanita, kanak-kanak dan warga emas, menghidapi pebagai masalah kesihatan mental dan penyakit yang lain.

Kemudahan di pusat tahanan juga tidak dapat memenuhi keperluan kumpulan rentan (wanita mengandung, kanak-kanak dan warga emas). Salah satu testimoni daripada wanita yang dihantar pulang menyatakan:

“Selama saya berada di pusat tahanan sementara dalam tempoh antara bulan Februari hingga Jun 2020, di blok yang saya tempati, saya melihat ada tiga orang perempuan yang bersalin di sana. Saya pernah lihat bayi dilahirkan selamat tanpa bantuan daripada petugas-petugas, apatah lagi doktor atau jururawat. Bayi itu kecil sekali, pasti disebabkan kekurangan zat khasiat.” (GWS, migran wanita dari Flores, Nusa Tenggara Timur)

Sementara itu, hasil siasatan terhadap pihak Indonesia pula mendapati bahawa:

  1. Kekurangan penyelarasan dalam kalangan institusi kerajaan Indonesia untuk merespon kepada proses penghantaran pulang.
  2. Kekurangan penyelarasan dalam menjangkakan gelombang penghantaran pulang secara besar-besaran telah menyebabkan kemunculan masalah-masalah yang serius. Masalah-masalah ini termasuk: (a) tiada kemudahan perubatan di tempat penginapan Agensi Perlindungan Buruh Migran (BP3TKI) di Makassar, Sulawesi Selatan, walaupun terdapat banyak orang yang dihantar pulang sakit; (b) perkhidmatan rawatan kesihatan mental tidak disediakan di tempat penginapan walaupun banyak orang di situ mengalami kemurungan dan trauma; (c) tempat penginapan tidak mencukupi untuk menempatkan orang yang dihantar pulang dalam jumlah yang besar; dan (d) kemudahan untuk kanak-kanak dan mereka yang mempunyai keperluan khas tidak terdapat di tempat penginapan.

Menurut kenyataan bersama Komnas HAM dan Koalisi Buruh Migran Berdaulat, punca asas kepada masalah ini adalah kegagalan kerajaan Indonesia, sama ada di peringkat pusat atau tempatan, untuk melihat keadaan orang yang dihantar pulang itu sebagai mangsa penyeksaan dan orang yang mengalami keganasan.

“Berbeza dengan pendirian kerajaan Indonesia yang menganggap kejadian keganasan dan penyeksaan di pusat-pusat tahanan di Sabah itu hanya kes individu yang terasing, dapatan kami menunjukkan bahawa terdapatnya pencabulan hak asasi manusia secara sistematik yang dialami oleh ribuan pekerja migran untuk bertahun-tahun lamanya. Kekebalan pelaku pencabulan hak asasi manusia yang bebas daripada hukuman, sama ada di Sabah atau di Indonesia, telah wujud untuk masa yang lama dan ia harus dihentikan segera,” begitu katanya dalam kenyataan bersama.

Komnas HAM Indonesia dan Koalisi Buruh Migran Berdaulat mengecam segala bentuk penyeksaan dan layanan zalim, tidak berperikemanusiaan dan merendahkan maruah di pusat-pusat tahanan sementara imigresen di Sabah, yang telah wujud bertahun-tahun lamanya. Mereka juga menggesa kerajaan Sabah, Malaysia dan Indonesia untuk melakukan pembaharuan secara sistematik dan mengambil usaha untuk menghentikan keganasan dan penyeksaan terhadap pekerja-pekerja migran di Sabah.

Saranan yang dikemukakan kepada Kerajaan Malaysia ialah:

  1. Mengambil usaha sistematik untuk menghentikan dan mencegah penyeksaan dan layanan zalim yang lain secara meluas oleh pihak kerajaan yang berlaku di pusat-pusat tahanan;
  2. Memastikan akses tetap untuk institusi-institusi hak asasi manusia yang berwibawa untuk melaksanakan mekanisme pemantauan di pusat-pusat tahanan sementara;
  3. Mempermudahkan prosedur administratif penghantaran pulang dan menjadikannya lebih efisien untuk mengelakkan penahanan yang berpanjangan;
  4. Melakukan penyiasatan terhadap pelaku-pelaku keganasan di pusat-pusat tahanan dan menghukum pelaku-pelaku berkenaan untuk menghentikan kekebalan;
  5. Memperbaharui sistem undang-undang untuk memberi perlindungan kepada semua pekerja migran di Malaysia dan hentikan penjenayahan terhadap pekerja-pekerja migran tanpa dokumen.

Saranan kepada Kerajaan Indonesia:

  1. Mempermudahkan prosedur administratif penghantaran pulang, dan menjadikan ia lebih efisien untuk mengelakkan penahanan berpanjangan di pusat-pusat tahanan;
  2. Memberikan perlindungan kepada semua pekerja migran yang terkesan daripada pandemik COVID-19, termasuk keperluan untuk penghantaran pulang yang mematuhi prinsip-prinsip hak asasmi manusia dan berorientasikan penegakan dan perlindungan hak pekerja migran;
  3. Menyediakan kemudahan perlindungan di kawasan transit atau di tempat kemasukan sempadan untuk mereka yang dihantar pulang;
  4. Memahami dan melayan orang yang dihantar pulang sebagai mangsa penyeksaan dan layanan zalim, dengan memerhati dan memenuhi keperluan untuk rawatan perubatan, perlindungan, penyembuhan psiko-sosial dan pemulihan daripada tekanan mental, termasuk keperluan khusus untuk kumpulan rentan seperti wanita, kanak-kanak dan warga emas;
  5. Berhenti mempertimbangkan atau menjustifikasikan amalan sistematik penyeksaan di pusat-pusat tahanan di Sabah hanya berasaskan pada undang-undang Malaysia yang sedia ada dan prinsip tidak campurtangan diplomasi politik ASEAN.

Pendedahan isu penyeksaan yang dihadapi oleh migran yang ditahan di Sabah ini sesuatu yang serius. Perkara ini memerlukan perhatian serius dan tindakan segera daripada kedua-dua kerajaan Malaysia dan Indonesia untuk penyelesaian demi memastikan tiada lagi orang yang menjadi mangsa kepada salah guna kuasa, kezaliman, penyeksaan dan layanan tidak berperikemanusiaan yang sistematik di mana-mana pusat tahanan.

One thought on “Tahanan migran di Sabah “dilayan seperti binatang”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *