Kenyataan oleh Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK)

1. Jaringan Pekerja Kontrak Kerjaan (JPKK) mengucapkan takziah kepada keluarga Yam Narayan Chaudhary. JPKK mengecam kecuaian syarikat Top Glove Berhad dalam melindungi pekerja dan menyebabkan kematian Yam Narayan Chaudhary.

2. Yam Narayan Chaudary merupakan pengawal keselamatan warga Nepal yang bekerja di kilang Top Glove di Meru, Klang, Selangor. Beliau meninggal dunia pada 13 Disember 2020 selepas dimasukkan ke hospital pada 21 November 2020. Mengikut penyataan daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, Yam Narayan Chaudhary berada di tahap akhir jangkitan ketika dimasukkan ke hospital, iaitu tahap 4 dan 5, dan dia ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU). Kluster Teratai telah dikenalpasti pada 7 November 2020, kenapa Yam Narayan Chaudary hanya dimasukan ke hospital pada 21 November 2020?

3. Pada 23 September 2020, Yubaraj Khadka, seorang pekerja Top Glove di kilang Meru menerima surat penamatan kontrak kerana mendedahkan dua gambar tentang keadaan dan situasi kilang yang bersesak dan tidak mengamalkan penjarakan sosial (social distancing) kepada media.

4. Dengan dua insiden di atas, JPKK mempersoalkan kepatuhan kilang Top Glove di Meru, Klang dalam melaksanakan langkah-langkah keselamatan tempat kerja untuk membendung penularan wabak COVID-19. JPKK juga mengecam cubaan syarikat Top Glove untuk membisukan pemberi maklumat yang mendedahkan kebenaran kepada pihak awam dan pihak berkuasa.

5. JPKK menyeru pada Top Glove Berhad supaya mematuhi undang-undang Malaysia dan melindungi pekerja-pekerja mereka kerana mereka merupakan penggerak syarikat yang menjadikan Top Glove salah sebuah syarikat yang terbesar di dunia dan mereka bukan aset yang boleh dilupuskan begitu sahaja.

One thought on “Kecuaian Top Glove sebabkan kematian seorang pengawal keselamatan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *