oleh S. Arutchelvan
Fenomena BLM dan “aku tidak dapat bernafas”
Walaupun rencana ini mula ditulis hampir sebulan yang lalu, namun beberapa insiden dan perkembangan dalam negara kita menghindar diri saya daripada menulisnya. Penulisan mengenai kaum dan agama sememangnya satu topik yang amat sukar sekali di dalam negara di mana rakyatnya sering dipesong pemikiran, dimanipulasi minda dan berpecah-belah kepada kelompok-kelompok mengikut kaum dan agama masing-masing.
Fenomena protes anti-rasis telah merebak di seluruh dunia, terutamanya di negara-negara Barat seperti Amerika Utara dan Eropah, berikutan dengan pembunuhan George Floyd, seorang warga berkulit hitam, pada 25 Mei di Minneapolis, Amerika Syarikat. George Floyd dibunuh oleh seorang pegawai polis berkulit putih yang menggunakan lututnya untuk menekan leher George Floyd untuk hampir 9 minit sementara 3 lagi orang pegawai polis memerhati sahaja tanpa berbuat apa-apa. Floyd mati setelah beberapa kali merayu dan merintih bahawa beliau tidak boleh bernafas. “I can’t breath” – Aku tidak dapat bernafas. Ini telah mencetuskan rusuhan dan protes anti-perkauman di hampir semua bandaraya di Amerika Syarikat, termasuk Washinton DC, di mana Presiden Amerika Syarikat Donald Trump terpaksa berselindung seketika di dalam bunker atas sebab keselamatan.
Ini bukannya insiden pertama di mana seorang berkulit hitam mati dalam tangan polis, dan bukan juga kali pertama adanya protes. Nama-nama mangsa keganasan polis Amerika Syarikat sebelum ini seperti Eric Garner, Ahmaud Arbery dan Tamir Rice, juga pernah mencetuskan bantahan. Namun, protes kali ini jauh berbeza daripada sebelumnya kerana buat pertama kalinya ia merebak begitu meluas di luar negara Amerika Syarikat, dan ia juga buat pertama kalinya melibatkan warga berkulit putih yang turut berprotes dalam jumlah yang ramai.
Selain daripada melibatkan rusuhan radikal, protes kali ini juga buat pertama kalinya memperlihatkan beberapa tugu dan patung bekas penjajah dan tuan hamba telah ditumbangkan atau dirosakkan. Antara patung yang menjadi sasaran ialah patung Christopher Columbus di Amerika Syarikat, King Leopold II di Belgium dan Winston Churchill di England.
Walaupun wabak COVID-19 melanda Amerika Syarikat dengan teruknya, tetapi ini sedikit pun tidak menghindar rakyat di negara tersebut dan negara-negara lain untuk menyuarakan bantahan mereka secara terbuka, berani dan lantang. Kesan daripada tindakan ini juga menyebabkan 4 orang polis yang terbabit telah ditahan dan didakwa di bawah undang-undang yang lebih ketat berbanding dengan insiden-insiden salah guna kuasa polis sebelum ini, di samping terdapat juga beberapa pindaan undang-undang telah digubal.
Menyokong BLM adalah popular
Tidak kurang juga orang di Malaysia yang telah mengulas mengenai isu ini. Rakyat Malaysia yang sebelum ini begitu kuat, tegar dan lantang suara dalam mengutuk pelarian Rohingya, buat seketika melupakan semua ini dan mula menyebarkan imej-imej media sosial yang menentang apa yang berlaku di Amerika Syarikat, dan ada juga yang mengaitkannya dengan situasi di Malaysia. Mereka sedikit pun tidak merasakan kontradiksi yang begitu ketara. Itulah kuasa tsunami persepsi yang diwujudkan oleh media sosial pada zaman ini.
Dr. Kua Kia Soong menulis tentang Indian Lives Matter in Malaysia. Martin Vengadesan, seorang kolumnis Malaysiakini, melabel polis sebagai sampah putih. Anwar Ibrahim pula memberi teguran bahawa rakyat Malaysia boleh belajar daripada semua ini kerana rasisme memberi impak kepada semua orang.
Namun tulisan saya ini hendak memfokus pada persoalan: Bolehkah di Malaysia, satu gerakan diwakili semua kaum bersama menentang perkauman? Contohnya, jika seorang menghina agama Islam, bolehkah semua kaum turun bersama membantah? Atau jika seorang berketurunan India mati dalam tahanan polis, bolehkah semua kaum turun untuk membantah? Jika satu gereja diconteng, bolehkah semua kaum bersama membantah? Saya rasa mustahil.
Semua kaum ingat merekalah mangsa di Malaysia
Saya tidak yakin bahawa satu gerakan anti-perkauman melibatkan semua kaum secara bersama akan meletus di negaraku. Andaian ini wujud kerana pada lazimnya jika rasisme wujud, maka harus difahami bahawa perlunya wujud satu kaum yang menindas dan satu kaum yang kena tindas. Namun, dalam senario di Malaysia, ini susah kerana semua kaum merasakan mereka adalah mangsa dan mereka adalah pihak yang ditindas sementara pihak yang menindas mereka adalah kaum yang lain selain kaum mereka sendiri. Doktrin pecah dan perintah menyebabkan semua kaum dalam pecahan masing-masing mempunyai pemikiran dominan yang sama, iaitu mereka adalah mangsa.
Dalam isu Kuil Seafield, orang Melayu merasakan merekalah mangsa apabila seorang anggota bomba beretnik Melayu meninggal dunia kerana rusuhan yang dicetuskan oleh orang India, manakala orang India pula merasakan merekalah mangsa apabila kuil mereka hendak dirobohkan oleh samseng Melayu. Maka mereka dalam kelompok masing-masing merasakan merekalah mangsa.
Saya masa ingat insiden di Kampung Rimba Jaya, Selangor, sekitar tahun 2007. Pada ketika itu, pemaju dengan sokongan PDRM datang untuk merobohkan surau. Orang Melayu menyuruh mereka untuk merobohkan kuil Hindu di kampung itu dahulu. Maka mereka pun pergi untuk merobohkan kuil Hindu dan satu kumpulan penganut agama Hindu di situ pula menyuruh mereka untuk meroboh surau dahulu. Kami di PSM pula menyeru kedua-dua kaum ini bersama untuk mempertahankan kedua-dua tempat ibadat ini. Akhirnya, pihak berkuasa merobohkan surau dan kuil secara serentak.
Dalam isu tulisan Jawi, orang Cina dan India merasakan merekalah mangsa kerana hendak dipaksa tulisan Jawi kepada mereka manakala orang Melayu merasakan merekalah mangsa apabila bahasa asal mereka tidak boleh diajar di sekolah kepada semua.
Secara stereotaip dan persepsi, orang Melayu merasakan bahawa mereka adalah mangsa kerana masyarakat yang datang ke Malaya pada awal abad ke-20, terutamanya golongan Cina dan India, nampaknya lebih berjaya daripada mereka. Mereka melihat sektor bandar dan perniagaan dikawal oleh golongan Cina, dan mereka melihat ramai doktor dan peguam dalam kalangan orang India, maka mereka mempunyai pesepsi sebegini. Maka ini telah membawa kepada pelbagai gerakan sepanjang zaman seperti rapat umum Pemuda UMNO di Stadium Jalan Raja Muda di Kuala Lumpur pada tahun 1987 yang diketuai oleh Najib Raza dengan kedengaran slogan “mandikan keris dengan darah Cina” telah menjadi isu besar.
Pada tahun 2000 pula, 300 orang Pemuda UMNO berprotes di hadapan Dewan Perhimpunan Cina Selangor, mengugut untuk membakar Dewan tersebut dalam isu Suqiu. Dalam setahun yang lalu pula, kita melihat perhimpunan besar menentang ICERD yang dilihat sebagai mencabar ketuanan orang Melayu dan Islam. Kita juga melihat Himpunan Maruah Melayu dan kempen membeli barangan orang Melayu dan Bumiputera dahulu serta menyeru untuk memboikot barangan orang lain.
Bagi orang bukan Melayu pula tidak kurang isunya. Bagi golongan masyarakat Cina, isu Universiti Merdeka menjadi antara isu terbesar mereka yang mencetuskan protes besar-besaran. Pada tahun 1998, adanya gerakan yang menentang Sekolah Wawasan. Pada tahun 2001, tumpuan masyarakat Bukan Islam tertumpu kepada cadangan PAS yang hendak menubuhkan Negara Islam. Pada tahun 2003 pula, wujudnya bantahan terhadap Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Manakala masyarakat India pula mengadakan perhimpunan Hindraf pada tahun 2007, iaitu letusan ketidakpuasan hati rakyat etnik India yang merasakan merekalah mangsa yang tidak mendapat peluang pendidikan dan peluang pekerjaan. Sejak tahun 2016 pula, isu seperti Zakir Naik, kes Indira Ghandi, persoalan penjagaan kanak-kanak dan tukar agama menjadi topik utama.
Dalam setiap isu yang dinyatakan di atas, setiap kaum merasakan mereka adalah mangsa.
13 Mei dan Dasar Ekonomi Baru
Kerapuhan perpaduan paling ketara berikutan rusuhan perkauman pada tahun 1969 yang kemudiannya mewujudkan Dasar Ekonomi Baru (DEB). DEB yang dimulakan pada tahun 1970 bertujuan untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan pengagihan semula kekayaan harus dilakukan. Antara sasaran DEB adalah kaum Melayu harus mempunyai ekuiti ekonomi sebanyak 30% berbanding pemilikan 4% pada tahun 1970. Semasa zaman Tun Razak, telah dilakukan reformasi tanah seperti FELDA, RISDA dan FELCRA, merupakan polisi-polisi demokratik sosial yang telah memanfaatkan rakyat.
Jika kita merasakan DEB mengurangkan kemiskinan dan jurang kekayaan, ia memang berlaku tetapi adakah DEB berjaya mengurangkan jurang perkauman? Ini saya rasa tidak berlaku, kerana DEB mula mengembangkan Perkara 153 Perlembagaan dan membuat pindaan walaupun ia sepatutnya dikaji semula pada tahun 1972 dan kemudiannya pada tahun 1991. Semua polisi yang diwujudkan adalah dengan niat untuk mengurangkan jurang berbezaan dan supaya pada masa depan, kesaksaaman dan perpaduan kaum dapat dicapai.
Namun demikian, polisi Bumiputera yang tidak ada semasa kemerdekaan terus memastikan golongan Bumiputera dan Bukan Bumiputera kekal berpisah selepas tamatnya DEB pada tahun 1990.
Jadi, setiap kaum terus memaparkan diri mereka sebagai mangsa untuk membolehkan mereka terus menikmati keistmewaan daripada pemerintah. Pelbagai statistik terus digunakan setiap kaum untuk melobi supaya mendapatkan lebih banyak peruntukan. Ramai yang gagal mempersoalkan mengapa hanya segelintir sahaja daripada setiap kaum yang menjadi kaya raya manakala majoritinya masih ketinggalan.
Masalah yang wujud adalah, untuk mendapatkan peruntukan Kerajaan, wujudnya satu sindrom untuk memaparkan masyarakat itu miskin dan masih terpinggir dari arus pembangunan. Namun pada realitinya, banyak daripada faedah dan bantuan yang diberikan kepada golongan bawahan dibolot oleh golongan elit dan kaya. Itulah sebabnya PSM menyokong inisiatif Saya Anak Bangsa Malaysa (SABM), iaitu menggubal Akta Keterangkuman Sosial. Semasa Dr. Jeyakumar Devaraj daripada PSM menjadi Ahli Parlimen, beliau pernah mengusulkan satu Rang Undang-undang Persendirian di Parlimen sebanyak dua kali untuk menggubal akta ini, tetapi ditolak. Melalui akta ini, peruntukan diberikan berdasarkan keperluan.
Dengan cara peruntukan sekarang dan melalui parti-parti politik perkauman, maka sindrom “kami adalah mangsa” terus menjadi bahan melobi baik untuk mendapat lesen teksi mahupun beg sekolah kanak-kanak.
Adakah Perlembagaan kita adil kepada semua kaum?
Semasa Suruhanjaya Perlembagaan (Reid) mempertimbangkan sama ada peruntukan perbezaan sedemikian harus dimasukkan dalam Perlembagaan 1957, ia membuat nota berikut:
“Cadangan kami dibuat atas dasar bahawa orang Melayu harus yakin bahawa kedudukan sekarang akan berterusan untuk tempoh yang cukup, tetapi pada masa yang sama, keistimewaan sekarang harus dikurangkan dan akhirnya akan terhenti supaya tidak ada diskriminasi antara kaum atau komuniti.”
Itu adalah semangat Perkara 153 di mana ia bermatlamat untuk mewujudkan satu bangsa pada masa depan. Kuota terpelihara juga mestilah munasabah dan perizaban permit dan lesen bagi orang Melayu dan anak negeri mesti mengandungi apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah. Selain itu, dinyatakan tempahan khas kuota juga tidak boleh menjejaskan hak-hak kaum lain.
Jika kita membaca Perkara 8 dalam Perlembagaan Persekutuan, ia dengan jelas menyatakan bahawa:
(1) Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang;
(2) Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pemerolehan, pemegangan atau pelupusan harta atau berhubungan dengan penubuhan atau penjalanan apa-apa pertukangan, perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan.
Kesimpulan
Ramai orang bukan Melayu berasa gerun dengan Kabinet Muhyuddin Yassin yang dikatakan sebagai tidak seimbang kerana mempunyai lebih 80 peratus orang Melayu. Setahun lebih yang lalu, orang Melayu pula berasa gerun kerana mendapati Kabinet Pakatan Harapan terdiri daripada ramai orang bukan Melayu. Maka apakah penyelesaian kepada masalah ini? Adakah kita perlu membina satu tembok besar untuk memisahkan kaum-kaum atau membina satu jambatan norma baru?
Apabila setiap kaum mendabik dada berkata mereka adalah mangsa, mereka didiskriminasi, maka apabila wujud ketidakadilan dalam apa-apa isu pun, reaksi yang timbul juga hanyalah berlandaskan kaum dan agama masing-masing. Tidak ada satu perasaan menghormati atau merasakan kesengaraan yang sama.
Atas premis ini, saya berpendapat bahawa mereka yang mengagung-agungkan Black Lives Matter sebenarnya adalah hipokrit kerana mereka mempunyai pandangan berbeza dan mengutamakan kaum masing-masing dan atas premis yang sama, saya mengusulkan bahawa adalah mustahil untuk mengadakan satu perarakan besar semua kaum secara bersama menentang perkauman di negara kita.
Pada masa yang sama, selagi rakyat Malaysia tidak meletakkan kepentingan kelas lebih daripada kepentingan kaum, maka polarisasi dan ketegangan kaum akan sentiasa menghalang negara kita daripada terus maju ke depan dan memastikan tidak ada orang yang ketinggalan.
==========
S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).