Gelombang protes yang dicetuskan oleh kematian George Floyd, bermula sebagai aksi bantahan tempatan di kawasan metropolitan Minneapolis-Saint Paul di negeri Minnesota, Amerika Syarikat (AS), tetapi merebak ke seluruh negara AS dengan pantasnya dan turut mencetuskan protes solidariti yang menyatakan sokongan kepada gerakan Black Lives Matter (Nyawa Orang Kulit Hitam Penting) di suluruh dunia. Aksi-aksi protes ini telah mengetengahkan isu-isu seperti keganasan polis dan rasisme institusi yang dihadapi oleh golongan keturunan Afrika serta golongan minoriti.
Kebanyakan aksi protes diadakan secara aman, tetapi ada yang bertukar menjadi rusuhan, dengan pertempuran sengit antara demonstran dengan polis di jalanan, sementara menyaksikan keganasan polis yang berketerlaluan terhadap wartawan dan demonstran yang berprotes secara aman.
Satu fenomena yang agak menarik dalam gelombang aksi protes Black Lives Matter terbaru ini adalah patung-patung lama yang didirikan di tempat awam di seluruh AS telah jatuh satu demi satu. Disebabkan kemarahan hebat terhadap ketidakadilan sosial yang ditunjukkan dalam gelombang protes Black Lives Matter, patung-patung bersejarah yang memperingati orang yang mendukung sistem perhambaan, khususnya pemimpim Konfederasi (CSA, salah satu pihak yang bertempur semasa Perang Saudara Amerika pada tahun 1861-1865 yang mendukung ketuanan orang putih dan perhambaan secara institusi) seperti Robert E. Lee, telah diturunkan oleh pihak berkuasa perbandaran di banyak bandar di seluruh AS, sementara adanya sebahagian patung-patung sedemikian dirobohkan sendiri oleh demonstran.
Bukan sahaja patung-patung yang memperingati pemimpin Konfederasi itu yang dijatuhkan, malah di beberapa buah bandar, aktivis-aktivis yang berprotes turut mensasarkan patung Christopher Columbus. Christopher Columbus ialah seorang penjajah dari Itali yang berkhidmat di bawah Kerajaan Sepanyol yang memainkan peranan memulakan penaklukan dan penjajahan kuasa besar Eropah di benua Amerika. Penjelajahan Columbus ke benua Amerika yang dianggap sebagai “Dunia Baru” oleh kuasa besar Eropah, telah mengundang kezaliman dan penderitaan kepada penduduk tempatan. Warisan Columbus mewakili sejarah perampasan, eksloitasi dan pembunuhan beramai-ramai terhadap masyarakat orang asal di benua Amerika.
Di Boston, ibu negeri Massachusetts, patung Columbus yang berada di kawasan North End di bandar itu, telah “dipancung” kepalanya pada 9 Jun 2020, dan kerajaan tempatan mengalihkan patung tersebut di samping menjanjikan untuk “mengambil masa untuk menilai semula makna sejarah patung itu”. Di Richmond, ibu negeri Virginia, yang telah menyaksikan kejatuhan beberapa tugu peringatan konfederasi, patung Columbus di situ turut dirobohkan dan dibuang ke dalam tasik.
Di Saint Paul, ibu negeri Minnesota yang paling terawal cetusnya aksi protes berikutan kematian George Floyd, aktivis-aktivis orang asal telah menjatuhkan patung gangsa Columbus setinggi 10 kaki di hadapan bangunan kerajaan negeri Minnesota pada 10 Jun 2020. Pihak berkuasa tidak mencampurtangan ketika aktivis-aktivis menarik jatuh patung itu dengan tali, dan aktivis-aktivis menari dalam bulatan mengelilingi patung yang jatuh. Menurut Mike Forcia, pengerusi Gerakan Indian Amerika Twin Cities, “Untuk penyembuhan berlaku, ini perlu berlaku. Ia berada di sini terlalu lama. Ia merupakan tamparan pada muka semua orang asal dan semua rakyat berwarna.”
Gelombang pengalihan patung-patung yang mewakili sejarah penjajahan dan perhambaan bukan sahaja terbatas di dalam AS, malah telah tersebar ke negara-negara imperialis yang lain. Di Britain, negara yang pernah merupakan kuasa imperialis terbesar di dunia, tidak dapat dikecualikan daripada gelombang protes ini. Patung-patung yang memperingati pedagang hamba dan Syarikat India Timur, telah menjadi sasaran demonstran. Di Bristol, bandar yang pernah menjadi pelabuhan kapal pengangkut hamba yang terbesar di Britain, patung Edward Colston, seorang yang menjadi kaya melalui perdagangan hamba pada penghujung abad ke-17, telah dibuang ke dalam sungai. Patung Winston Churchill, yang pernah menjadi Perdana Menteri Britain, yang didirikan di Dataran Parlimen di London, telah diconteng dengan tulisan “Churchill ialah seorang rasis”, satu kenyataan yang memang sah dari segi faktanya.
Di Belgium, patung Raja Leopold II turut dirosakkan dan kerajaan mula menurunkan semua patung Raja Leopold II di seluruh negara itu. Semasa pemerintahan Raja Leopold II, kerajaan penjajah Belgium telah melakukan kezaliman yang teruk ke atas penduduk di Congo, dan merupakan salah satu genosid yang paling serius dalam sejarah.
Sememangnya tindakan protes yang membawa kepada kejatuhan patung-patung sebegini sedang mencabar warisan ketinggalan kolonialisme kuasa Barat. Kolonialisme yang berleluasa di seluruh dunia untuk kuasa-kuasa besar Barat menggondol kekayaan wilayah yang tidak membangun dari segi ekonomi, untuk selama lebih 200 ratus tahun, merupakan punca utama kepada kewujudan rasisme di merata tempat, termasuk negara-negara yang pernah dijajah oleh kuasa-kuasa besar ini.
Patung-patung yang memperingati penindas, pedagang hamba dan penjajah yang zalim ini, tiada kena mengena dengan sejarah, sebaliknya menyajikan kepada orang awam versi sejarah yang tertentu, yang bertujuan untuk menjustifikasikan ketidakadilan sosial yang wujud pada hari ini. Gerakan Black Lives Matter di AS dan aksi solidariti di peringkat antarabangsa terbaru ini, telah membangkit semula perhatian ramai terhadap memori sejarah penjajahan yang penuh keperitan dan warisan peninggalannya yang masih belum lagi dapat dihapuskan sepenuhnya.
Untuk selama setengah bulan yang lalu, gerakan Black Lives Matter juga berjaya mencapai beberapa hasil yang penting. Antaranya, pertuduhan terhadap pelaku yang menyebabkan kematian Floyd, Derak Chauvin, yang pada asalnya hanya pembunuhan darjah tiga dan pematian orang darjah dua, telah diubah kepada pertuduhan pembunuhan darjah dua yang membawa hukuman yang lebih berat, sementara tiga orang pegawai polis yang bersubahat turut ditangkap dan didakwa di mahkamah. Kerajaan Minneapolis telah mengharamkan penggunaan kaedah mencekik oleh peguatkuasa. Majlis perbandaran Minneapolis juga mengumumkan rancangannya untuk membubarkan pasukan polis bersenjata di bandar tersebut, berikut seruan lantang yang menuntut untuk membatalkan dana kepada pasukan polis. Majlis Bandaraya Los Angeles mengemukakan usul untuk mengurangkan belanjawan operasi Jabatan Polis Los Angeles (LAPD). Ini merupakan sebahagian daripada respon kepada desakan di seluruh AS untuk menilai semula institusi kepolisan di negara itu.
Black Lives Matter merupakan sebuah gerakan yang bermula daripada penggunaan tanda pagar #BlackLivesMatter dalam media sosial selepas orang yang menembak mati remaja Amerika Afrika Trayvon Martin pada tahun 2012 dibebaskan daripada pertuduhan dalam satu keputusan juri. Gerakan ini mendapat perhatian seluruh AS sekali lagi apabila tercetusnya demonstrasi jalanan besar-besaran pada tahun 2014, berikutan penembakan mati Michael Brown Jr. oleh polis di Ferguson dan kematian Eric Garner kerana dicekik oleh polis New York. Sejak itu, Black Lives Matter menjadi jaringan gerakan sosial yang mengetengahkan isu rasisme institusi yang wujud di AS dan keganasan polis yang berterusan.
Gerakan warga Amerika Afrika memperjuangkan keadilan bukannya sesuatu yang baru, kerana warga Amerika Afrika telah melalui sejarah eksploitasi dan penindasan yang berpanjangan sejak wujudnya perdagangan hamba merentasi Lautan Atlantik. Perhambaan masih wujud selepas AS mencapai kemerdekaan pada tahun 1776. Kerajaan Persekutuan AS hanya mengharamkan perhambaan dalam Perlembagaan pada tahun 1865 selepas Perang Saudara Amerika. Namun, pemisahan kaum terhadap warga Amerika Afrika masih berterusan sebagai peninggalan warisan perhambaan di negara itu, dan mencetuskan Gerakan Hak Sivil yang hebat di AS pada tahun 1950-an hingga 1960-an, yang membawa kepada penggubalan undang-undang seperti Akta Hak Sivil 1964, Akta Hak Mengundi 1965 dan Akta Perumahan Saksama 1968, yang menjamin hak samarata rakyat AS. Walaupun begitu, amalan rasisme oleh golongan yang berkuasa dan mereka yang berfahaman ketuanan orang kulit putih masih berleluasa, sehingga konflik perkauman tidak pernah lesap. Rasisme dan keganasan polis yang berterusan telah menyediakan bahan api kepada ledakan pemberontakan rakyat dari semasa ke semasa, termasuklah pencetusan gelombang protes terbaru di AS berikutan kematian George Floyd.
Oh my god .