Minggu Perjuangan Anti-Imperialis Antarabangsa bersama dengan Tricontinental: Institute for Social Research telah melancarkan Siri Pameran Poster Anti-Imperialis secara atas talian. (Baca Deklarasi Minggu Perjuangan Anti-Imperialis Antarabangsa di sini.)
Siri pertama untuk pameran poster atas talian ini bermula pada 11 Jun 2020. Dalam siri yang bertemakan “Kapitalisme” ini, dipamerkan poster-poster yang direkacipta oleh 77 orang artis dari 26 buah negara dan 21 buah organisasi, kebanyakannya dari negara-negara Selatan.
Seperti yang ditulis oleh ahli sejarah seni Marxis Ernst Fisher, “Dalam sebuah masyarakat yang sedang mereput, seni, jika ia adalah benar, juga perlu menggambarkan kereputan. Dan melainkan ia hendak melanggar kepercayaan dengan fungsi sosialnya, seni perlu menunjukkan dunia boleh diubah. Dan bantu untuk mengubahnya.” Oleh yang demikian, poster-poster yang dipamerkan dalam siri pameran atas talian ini memberikan anda bayangan sekilas, bukan sahaya tentang realiti sebuah sistem yang sedang mengalami krisis mendalam, tetapi juga kerlipan dunia baru yang hendak dicapai oleh perjuangan rakyat di seluruh dunia.
Imej-imej yang dipersembahkan dalam gaya dan bahasa yang pelbagai ini memberi kejelasan tentang konflik-konflik yang wujud pada zaman kita sekarang, di samping menunjukkan kepada kita peranan gerakan sosial dan organisasi politik dalam mentransformasi percanggahan-percanggahan ini. Seni sosialis, bagaimanapun, bukannya tentang meniru gaya sesiapa, tetapi ia merupakan kaedah untuk membayangkan masa hadapan.
Menurut penganjur pameran atas talian ini, pameran ini sendiri merupakan kenyataan anti-kapitalis. Poster-poster yang dipamerkan di sini bukannya untuk dijual atau dimiliki oleh sesiapa, sebaliknya adalah untuk dipamerkan secara atas talian dan dikongsikan dengan orang awam seluas mungkin.
Koleksi lengkap untuk poster-poster dalam siri pertama yang bertemakan “Kapitalisme” ini boleh dimuat turun di pautan ini. Anda boleh membawa poster-poster ini ke jalanan, berkongsi dengan organisasi anda, ataupun melekat di atas dinding di dalam rumah anda. Idea-idea yang ditunjukkan dalam siri poster ini adalah bertujuan untuk dihasilkan semula, digandakan dan disosialisasikan.
Berikut ialah sebahagian daripada poster-poster dalam Siri “Kapitalisme” Pameran Atas Talian Poster Anti-Imperialis:
Hasil buah Bumi, oleh Túlio Carapiá e Clara Cerqueira (Brazil)
Untuk poster-poster lain yang dipamerkan sila layari pautan ini: Koleksi lengkap semua poster dalam siri “Kapitalisme”
2 thoughts on “Pameran online poster anti-imperialis (Siri 1) – KAPITALISME”