20200602-101322525_3069316829802620_4396074833352327168_n (2)

oleh A. Sivarajan

Bayangkan anda bekerja selama 26 tahun, sebagai seorang pembersih hospital, tetapi anda masih dianggap pekerja baru oleh majikan subkontraktor yang dilantik oleh syarikat konsesi pembersihan.

Tiada kenaikan gaji seperti pekerja di sektor lain, terima gaji minimum RM1200 sahaja. Tiada bonus tahunan. Tiada kenaikan pangkat. Majikan subkontraktor tukar selepas beberapa tahun, setiap kontraktor ini layan anda seperti pekerja baru. Kerja secara syif pula, pagi malam pun kena kerja.

Selain terma kerja yang teruk, kerja pun sukar juga, kerja 3D (kotor, bahaya dan susah), kena bersihkan tandas pesakit, bersihkan wad, setiap hari mengalami risiko jangkitan penyakit, tambahan pula dengan pandemik COVID-19. Setiap hari pulang ke rumah, takut terbawa COVID-19 kepada anak dan keluarga yang tersayang.

Senario sebegini, pasti anda ingat syarikat ini teruk betul, tidak hormat pekerja. Majikan swasta mana ini?

Percayakah anda pekerja ini ialah pekerja sebuah syarikat GLC milik kerajaan? Pekerja ini ialah pekerja kepada syarikat Edgenta UEMS, anak syarikat kepada UEM Edgenta yang dimiliki oleh UEM Group yang 100% dipunyai oleh Khazanah Nasional!

Kenapakah ini boleh berlaku? Di sinilah kita perlu bongkarkan rantaian penindasan yang telah berlaku sejak tahun 1990-an.

Dulu semua pekerja pembersihan hospital adalah pekerja tetap kerajaan. Mereka mendapat semua kemudahan yang dinikmati oleh kakitangan kerajaan biasa.

Malangnya, sekitar pertengahan tahun 1990-an, hak mereka dirampas dalam sekelip mata. Semua pekerja ini “diswastakan”. Kementerian Kesihatan melantik syarikat konsesi mengikut Zon Utara, Tengah, Selatan dan sebagainya. Syarikat konsesi kroni ini pula melantik sub-kontraktor yang bertukar setiap beberapa tahun sebagai majikan untuk semua pekerja pembersihan ini.

Maka, pekerja ini seolah-olah tidak kena mengena dengan Kerajaan. Tapi hakikatnya, Kementerian Kesihatan memberi konsesi keada Edgenta Mediserve, anak syarikat UEM Group yang dimiliki oleh Khazanah Nasional 100%, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia sendiri. Edgenta Mediserve pula lantik sub-kontraktor Edgenta UEMS yang juga merupakan anak syarikatnya, GLC juga!

Cerita klasik, kerajaan memberi kontrak kepada syarikat milik kerajaan. Poket kanan masuk poket kiri. Jadi wajarkah Kerajaan, Kementerian Kesihatan, mencuci tangan dan melepaskan tanggungjawabnya?

Sistem kontrak ini sebenarnya memanfaatkan semua syarikat kroni dan bos mereka sahaja, dan pekerja marhaen pula ditindas.

Apa gunanya untuk Kerajaan menguatkuasakan undang undang buruh terhadap syarikat swasta sedangkan syarikat milik 100% kerajaan sendiri yang menindas pekerja?

Cuci tangan 20 saat untuk mengelakkan jangkitan COVID-19, tetapi cuci lama-lama pun tidak mungkin mengelakkan daripada tanggungjawab kerajaan untuk melindungi pekerja-pekerja pembersihan di hospital kerajaan.

Hapuskan COVID-19! Hentikan penindasan terhadap pekerja pembersihan hospital!

==========

A. Sivarajan ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *