
oleh K. Kunasekaran
Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa masalah gaji rendah perlu ditangani sememangnya wajar dialu-alukan (The Star, 27 September 2026). Beliau menegaskan bahawa jika produktiviti meningkat dan syarikat mencatat keuntungan berbilion-bilion ringgit tetapi pekerja masih menerima gaji bulanan RM1,700, maka negara masih belum “menaikkan lantai” pendapatan pekerja. Beliau juga menyatakan bahawa pertumbuhan ekonomi tidak boleh hanya menaikkan “siling” melalui keuntungan dan produktiviti, tetapi mesti turut menaikkan “lantai” melalui gaji dan peluang yang lebih baik.
Malah, laporan akhbar yang sama turut menyerlahkan jurang pendapatan yang amat ketara dalam entiti korporat, di mana eksekutif atasan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) mampu menerima gaji mencecah RM70,000 hingga RM80,000 sebulan berserta bonus ratusan ribu ringgit, manakala pekerja barisan hadapan di peringkat bawahan terus terhimpit dengan pendapatan asas.
Namun, realiti pahit penderitaan pekerja sokongan hospital terserlah dalam Perjanjian Bersama (First Collective Agreement, COG No: 224/2025) antara Edgenta UEMS Sdn Bhd dan kesatuan pekerja sokongan. Perjanjian ini dimeterai pada 6 November 2025 dan diiktiraf secara rasmi oleh Mahkamah Perusahaan Malaysia pada 5 Disember 2025 (No. Pengiktirafan: 224/2025).
Di bawah Klausa 32.1 (Article 32.0 – Annual Increment) perjanjian tersebut, seorang pekerja yang telah disahkan jawatan hanya layak menerima kenaikan gaji tahunan “tidak kurang daripada Ringgit Malaysia Dua Puluh (RM20.00)”, itu pun tertakluk kepada penilaian prestasi tahunan syarikat. Malah, Klausa 32.3 menetapkan bahawa pekerja yang dikategorikan sebagai Non–Performer tidak berhak mendapat sebarang kenaikan.
Satu persoalan rasmi dan mendesak yang perlu dijawab oleh pihak Kerajaan, Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Kewangan (MOF) serta Perdana Menteri sendiri ialah: mengapa sebuah syarikat GLC yang menerima konsesi kerajaan yang menggunakan wang awam masih memberikan kenaikan gaji tahunan minimum hanya RM20 kepada pekerja pembersihan hospital, dan mengapa ia masih perlu tertakluk kepada penilaian prestasi?
Jurang keutamaan ini menjadi lebih ketara apabila kita melihat keupayaan kumpulan induk syarikat tersebut. Kumpulan UEM Edgenta Berhad menerusi anak syarikat kejuruteraannya merupakan entiti gergasi yang mengendalikan projek-projek infrastruktur mega bernilai berbilion-bilion ringgit, termasuk pembinaan jambatan-jambatan utama dan Rangkaian Jalan Pesisir Pantai di Sarawak. Amat ironik apabila di bawah bumbung kumpulan GLC yang sama yang mampu membina jambatan megah bernilai berbilion-bilion ringgit, anak syarikatnya yang menguruskan perkhidmatan hospital (Edgenta UEMS) hanya meletakkan kadar kenaikan gaji tahunan minimum RM20 untuk pekerja pembersihan yang bertaruh nyawa dalam menjaga kebersihan hospital awam.
Lebih tidak masuk akal apabila kenaikan RM20 ini masih tertakluk kepada penilaian prestasi tahunan. Prestasi apa sebenarnya yang hendak dinilai bagi kerja-kerja pembersihan hospital? Mereka bukan eksekutif yang menentukan harga produk atau strategi keuntungan syarikat. Mereka menjalankan kerja pembersihan mengikut jadual, prosedur operasi dan standard kebersihan yang telah ditetapkan. Mereka membersihkan wad, tandas, koridor dan kawasan hospital, mengurus kawasan yang tercemar dan berhadapan dengan risiko bahan buangan serta jangkitan. Kalau mereka hadir bekerja, menjalankan tugas mengikut prosedur dan memastikan kawasan hospital bersih serta selamat, bukankah itu sendiri merupakan prestasi kerja yang sepatutnya dihargai?
Perlu diingat bahawa pekerja pembersihan hospital bukan pekerja biasa yang boleh dipandang rendah. Semasa pandemik COVID-19, mereka berada di tempat kerja yang mempunyai risiko pendedahan kepada bahan tercemar dan penularan virus. Kajian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai pekerja penting di Malaysia merekodkan bahawa pekerja pembersihan hospital merupakan antara pekerja yang terdedah kepada risiko tersebut. Kajian itu turut merekodkan pandangan Amnesty International Malaysia bahawa pekerja pembersihan hospital patut dianggap sebagai pekerja barisan hadapan kerana mereka memastikan kemudahan kesihatan sentiasa bersih dan disanitasi.
Malah, pada bulan Februari 2022, Menteri Kesihatan ketika itu, Khairy Jamaluddin, sendiri mengakui bahawa pekerja pembersihan hospital merupakan barisan hadapan dalam memerangi COVID-19 ketika menerima memorandum daripada pekerja sokongan hospital. Isu yang dibawa ketika itu termasuk masalah gaji, syarat kerja dan ketiadaan kenaikan gaji atau elaun COVID-19 bagi pekerja terbabit.
Jadi, selepas semua pengiktirafan itu, persoalannya kepada pihak kerajaan sekarang ialah: apakah penghargaan sebenar yang diberikan melalui syarikat konsesi GLC ini? Adakah RM20 setahun—yang masih dipertimbangkan mengikut prestasi—merupakan penghargaan yang sewajarnya daripada sebuah syarikat berkaitan kerajaan kepada pekerja yang memastikan hospital awam boleh beroperasi dalam keadaan bersih dan selamat?
Kementerian Kesihatan sendiri mengiktiraf perkhidmatan pembersihan sebagai satu komponen penting dalam Perkhidmatan Sokongan Hospital (Hospital Support Services). KKM mempunyai Unit Perkhidmatan Pembersihan (Cleansing Services) yang bertanggungjawab untuk merancang, menyelaras dan memantau perkhidmatan pembersihan di hospital, institusi dan klinik serta memastikan perkhidmatan itu dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan. KKM juga memantau dan mengawal selia kontrak perkhidmatan sokongan hospital yang dilaksanakan oleh syarikat konsesi.
Ini bermakna kerja pembersihan hospital bukan kerja sampingan. Ia merupakan sebahagian daripada sistem sokongan utama untuk memastikan perkhidmatan kesihatan awam berjalan dengan baik. Namun, pekerja yang melaksanakan tugas penting ini masih berada pada tahap gaji yang amat rendah.
Dalam keadaan ini, kerajaan perlu melihat dengan serius peranan syarikat GLC yang menerima konsesi perkhidmatan sokongan hospital. Apabila kontrak melibatkan wang awam dan perkhidmatan kepada hospital kerajaan, aspek kebajikan dan gaji hidup wajar (living wage) sepatutnya menjadi syarat utama dalam perjanjian konsesi, bukannya sekadar melihat sama ada syarikat memenuhi spesifikasi teknikal semata-mata.
Menjadikan penilaian prestasi sebagai alasan untuk menentukan sama ada seorang pekerja pembersihan yang telah menjalankan tugas hariannya layak mendapat kenaikan tahunan yang hanya RM20 adalah sesuatu yang perlu dihentikan oleh pihak kerajaan dan pengurusan GLC. Kenaikan asas untuk pekerja berpendapatan rendah sepatutnya memberikan kepastian untuk menampung kadar inflasi, manakala penilaian prestasi boleh digunakan untuk pemberian bonus atau ganjaran khas.
RM20 setahun hanya kira-kira 1.18 peratus daripada gaji RM1,700. Jika gaji asas seorang pekerja hanya RM1,700, kenaikan RM20 langsung tidak memberikan perubahan bermakna kepada kehidupan mereka, sedangkan kos makanan, sewa rumah, pengangkutan, pendidikan anak dan keperluan harian terus meningkat saban hari.
Oleh itu, kenyataan Perdana Menteri mengenai keperluan “menaikkan lantai” gaji pekerja mesti diterjemahkan terus melalui syarikat-syarikat GLC di bawah kawalan kerajaan sendiri. Edgenta UEMS/Edgenta Mediserve sebagai syarikat dalam kumpulan berkaitan GLC sepatutnya menjadi contoh penanda aras (model employer) kepada sektor swasta. Gaji minimum RM1,700 ialah lantai undang-undang, bukannya kadar maksimum untuk penanda aras kebajikan pekerja GLC.
Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan perlu memastikan setiap kontrak konsesi baharu atau semakan kontrak sedia ada mewajibkan struktur gaji yang adil, kenaikan tahunan yang munasabah seiring kadar inflasi, serta faedah pekerja yang menjamin kualiti hidup mereka.
Akhirnya, kita kembali kepada janji dan prinsip yang ditekankan oleh YAB Perdana Menteri: menaikkan lantai pendapatan pekerja. Kalau pekerja pembersihan yang membersihkan wad, tandas dan kawasan hospital awam di bawah konsesi GLC masih diberikan kenaikan RM20 setahun tertakluk pula kepada penilaian prestasi, maka hasrat Kerajaan untuk “menaikkan lantai” pendapatan rakyat bawah masih belum terlaksana di premis Kerajaan sendiri.
RM1,700 mungkin gaji minimum. Tetapi bagi sebuah syarikat GLC yang disokong wang awam, RM20 setahun bersyaratkan penilaian prestasi bukanlah satu bentuk kenaikan yang mencerminkan keadilan sosial mahupun penghargaan sebenar kepada pekerja barisan hadapan hospital kita.
===========
K. Kunasekaran ialah Ahli Jawatankuasa PSM Perak.

Saya setuju dengan content ini. Sbgai pekerja pembersihan hospital jika tiada pekerja yg bertugas hari tu bagaimana agaknya keadaan kebersihan hospital tersebut?