(foto: CITU Tamil Nadu)

Selepas mengadakan aksi mogok selama 38 hari, pekerja-pekerja kilang Samsung di Tamil Nadu berjaya mendesak pihak pengurusan untuk berunding dan merespon kepada tuntutan mereka.

Kira-kira 1,500 orang pekerja dari kilang Samsung di Sriperumbudur, yang terletak kira-kira 40 km ke barat daya dari Chennai, ibu negeri Tamil Nadu, India, melancarkan aksi mogok pada 8 September 2024, untuk menuntut pengiktirafan kesatuan sekerja, peningkatan gaji, penamatan diskriminasi dan keadaan yang lebih baik di tempat kerja. 

Samsung ialah sebuah syarikat gergasi multinasional dari Korea Selatan yang mengeluarkan barangan elektronik pengguna, telefon pintar dan pelbagai barangan lain. Ia merupakan chaebol (konglomerat perindustrian gergasi yang dikuasai oleh seseorang individu atau sesebuah keluarga) yang terbesar di Korea Selatan dan dikatakan mempunyai nilai jenama yang kelima tertinggi di dunia pada tahun 2024. Samsung Electronics, anak syarikat Samsung yang terbesar, mempunyai kilang pemasangan dan rangkaian jualan di 74 buah negara, dengan mengupah lebih 270,000 orang pekerja. Samsung telah memulakan operasinya di India sejak tahun 2007. Ia mempunyai dua buah kilang di India, salah sebuah kilang terletak di Noida, Uttar Pradesh, dengan pengeluaran utamanya ialah telefon pintar; sementara kilang di Sriperumbudur, Tamil Nadu, mengeluarkan produk elektronik peralatan rumah seperti televisyen dan peti sejuk. Kira-kira 1,800 orang pekerja diupah di dalam kilang di Sriperumbudur pada masa ini. Sehingga baru-baru ini, tiada apa-apa kesatuan sekerja yang mewakili pekerja-pekerja di kedua-dua kilang ini. 

Syarikat Samsung mempunyai sejarah berpanjangan dalam pemusnahan kesatuan sekerja dengan menggunakan taktik-taktik kotor seperti menubuhkan kesatuan sekerja boneka yang pro-pengurusan, mengawasi pekerja dengan ketat dan memangsakan pekerja-pekerja yang cuba berorganisasi. 

Sebelum ini, pekerja-pekerja Samsung di Korea Selatan mengambil bahagian dalam aksi mogok satu hari pada 7 Jun 2024, kemudiannya melancarkan satu lagi mogok pada 8 Julai 2024 yang disertai oleh lebih 6,000 orang pekerja dan berlarutan sehingga awal bulan Ogos 2024. Pekerja-pekerja Samsung di Korea Selatan meneruskan perjuangan mereka dengan mogok gerila kerana tuntutan mereka masih belum ditunaikan. Ini merupakan aksi mogok besar-besaran yang pertama dalam kalangan pekerja-pekerja Samsung di Korea Selatan, dan dianjurkan oleh Kesatuan Elektronik Samsung Kebangsaan (NSEU). 

Mogok pekerja Samsung di Sriperumbudur diterajui oleh Kesatuan Pekerja India Samsung (SIWU), sebuah kesatuan sekerja yang baharu ditubuhkan dan bersekutu dengan Pusat Kesatuan Sekerja India (CITU) yang berhaluan kiri. Kilang Samsung di Sriperumbudur tidak mempunyai apa-apa kesatuan sekerja sehingga SIWU ditubuhkan pada bulan Julai 2023. Menurut E. Muthukumar, Presiden SIWU, lebih 90% daripada pekerja-pekerja di kilang Sriperumbudur sudah menyertai kesatuan sekerja yang baharu itu. 

Pihak pengurusan Samsung di India pada awalnya enggan mengiktiraf kesatuan sekerja dan menolak untuk berunding secara langsung dengan SIWU, malah menuduh SIWU haram dan mengemukakan bantahan kepada pihak berkuasa terhadap pendaftaran SIWU atas alasan SIWU menggunakan nama syarikat secara haram. Pertikaian perusahaan antara kesatuan SIWU dan syarikat Samsung masih belum selesai di mahkamah.

(foto: CPIM Tamil Nadu)

Pekerja-pekerja Samsung yang bermogok juga mengadakan aksi duduk bantah dan sekatan jalan untuk membantah tindakan pihak kerajaan yang melambat-lambatkan proses pendaftaran kesatuan sekerja mereka dan penggunaan pasukan keselamatan dalam cubaan mematahkan mogok pekerja. Apabila SIWU cuba menganjurkan satu perhimpunan untuk mendapatkan sokongan kepada tuntutan-tuntutannya pada 16 September 2024, pihak polis menyerang pekerja-pekerja dan menangkap pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja. Pihak berkuasa juga memusnahkan tapak protes sementara yang didirikan oleh pekerja-pekerja berdekatan dengan kilang.

Pihak syarikat Samsung pula menubuhkan sebuah “jawatankuasa pekerja” yang merupakan boneka kepada pihak pengurusan di samping mengumumkan langkah-langkah unilateral untuk menarik sokongan sebahagian pekerja dan memecah-belahkan pekerja-pekerja yang bermogok. Pihak pengurusan syarikat juga mengugut untuk memecat pekerja-pekerja yang bermogok. 

Walaupun menghadapi pelbagai ancaman dan penindasan, pekerja-pekerja Samsung di Tamil Nadu meneruskan aksi mogok mereka dengan semangat perjuangan yang tinggi.

Parti-parti politik berhaluan kiri di Tamil Nadu, seperti Parti Komunis India, Parti Komunis India (Marxis) dan Parti Komunis India (Marxis-Leninis) Pembebasan, turut memberi sokongan kepada perjuangan pekerja-pekerja Samsung yang bermogok. Mereka menyeru pada Kerajaan Negeri Tamil Nadu untuk mengiktiraf SIWU serta-merta.

Pada 8 Oktober 2024, Kerajaan Negeri Tamil Nadu mengumumkan bahawa pihak pengurusan Samsung telah bersetuju dengan “jawatankuasa pekerja” untuk menaikkan gaji dan menyediakan keadaan tempat bekerja yang lebih baik. SIWU menolak “persetujuan” tersebut dan memutuskan untuk meneruskan mogok dengan menekankan bahawa tuntutan utama mereka, iaitu pengiktirafan kesatuan sekerja, masih belum ditunaikan.

Oleh sebab ketegasan pekerja-pekerja yang bermogok itu untuk memperjuangkan tuntutan mereka, akhirnya pihak pengurusan Samsung duduk berbincang dengan wakil SIWU dalam satu rundingan damai dengan Kerajaan Negeri Tamil Nadu sebagai pengantara pada 15 Oktober 2024. Pihak kesatuan sekerja dan pihak pengurusan syarikat mencapai persetujuan bahawa:

  • Semua pekerja yang bermogok akan menghentikan aksi mogok mereka dan kembali bekerja;
  • Pihak pengurusan tidak boleh memangsakan pekerja-pekerja yang kembali bekerja dan tidak boleh memotong gaji mereka semasa tempoh mogok itu;
  • Pihak pengurusan akan mengemukakan respon secara bertulis terhadap semua tuntutan pekerja di hadapan pegawai pendamai sebelum pusingan mesyuarat yang seterusnya pada 7 November 2024.

Sehari selepas itu, pekerja-pekerja yang bermogok mengadakan mesyuarat umum pada 16 Oktober 2024 dan mengumumkan bahawa mereka akan kembali bekerja mulai 17 Oktober 2024. Pimpinan SIWU juga memberi amaran kepada pihak kerajaan dan pihak pengurusan syarikat Samsung supaya jangan mengingkari janji-janji mereka, jika tidak, pekerja-pekerja akan melancarkan pusingan perjuangan yang baharu.

Aksi mogok pekerja-pekerja Samsung di Tamil Nadu telah mencapai satu kemenangan yang penting terhadap sebuah syarikat kapitalis multinasional gergasi. Sudah pasti kemenangan ini akan memberi galakan dan semangat baharu kepada pekerja-pekerja untuk terus memperjuangkan hak mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *