oleh Suraendher Kumarr
Akta Pekerja Platform telah diluluskan oleh Parlimen Singapura pada 10 September 2024. Ia akan menyaksikan lebih daripada 70,000 orang pekerja di Singapura, seperti pekerja penghantaran, pemandu sewa swasta dan pemandu teksi, digolongkan di bawah satu kategori pekerja baharu yang berbeza daripada pekerja (employee) dan pekerja bebas (freelancer). Akta ini mengandungi 3 langkah yang akan memberi kesan kepada pekerja-pekerja platform:
- Memberi pilihan kepada pekerja-pekerja untuk mencarum Tabung Simpanan Pekerja (CPF). Dan oleh sebab itu, ia juga mengkehendaki pengendali-pengendali platform untuk mencarum bahagian CPF mereka.
- Memberikan hak kepada pekerja untuk menuntut pampasan wang daripada kecederaan semasa kerja.
- Membenarkan pekerja-pekerja platform untuk menubuhkan Persatuan Pekerja Platform (sesuatu yang seperti kesatuan sekerja) untuk terlibat dalam rundingan bersama dengan pengendali-pengendali platform.
Dalam perbualan saya dengan pekerja-pekerja penghantaran makanan, saya berasa bahawa Akta ini merupakan satu langkah menuju ke arah yang betul. Namun begitu, masih wujudnya beberapa kebimbangan yang serius.
Isu-isu yang dihadapi oleh penunggang penghantaran makanan
Terdapat kira-kira 16,000 orang penunggang penghantaran makanan di Singapura. Seperti pekerja-pekerja platform lain, mereka wujud dalam ruang kelabu. Pengendali-pengendali memanggil mereka sebagai “rakan kongsi”, dengan mendakwa bahawa mereka dianggap sebagai kontraktor dan bukannya pekerja. Namun, adakah ini realiti? Biasanya, kontraktor mempunyai kebebasan untuk memilih kerja yang hendak diambil oleh mereka. Misalnya, mereka bebas untuk menolak kerja yang ditentukan oleh mereka bahawa tidak dibayar ganjaran yang mencukupi. Kontraktor biasanya dapat merundingkan harga yang sanggup dibayar oleh pelanggan kepada mereka. Berbeza dengan pekerja dalam pengertian tradisional, kontraktor mempunyai fleksibiliti untuk membuat keputusan apabila mereka bekerja. “Jadilah bos kepada diri anda sendiri,” kata mereka.
Akan tetapi, realiti untuk penunggang penghantaran makanan jauh berbeza daripada ini. Dalam ucapannya semasa Perhimpunan Hari Buruh tahun ini, seorang penunggang penghantaran makanan Andy Sng berkongsi pengalamannya, “Sebelum pandemik, kami ada beberapa bentuk kawalan. Anda boleh kata kami masih bos kepada diri kami sendiri. Tetapi selepas segala perkara berhenti untuk satu tempoh, apabila sekatan dibatalkan, kami bukan lagi bos kepada diri kami sendiri.”
Kecuali Deliveroo, semua pengendali platform menghukum penunggang jika mereka menolak pesanan yang diberikan kepada mereka. Penarafan AR/CR (kadar penerimaan/kadar pembatalan) mereka menurun dan ini bermakna algoritma memberikan mereka pesanan yang kurang atau kadar bayaran tambang yang lebih rendah. Seperti Andy berkata, “Jika anda menolak terlalu banyak pesanan, mereka (Foodpanda) akan meletakkan anda di luar talian… dan kadang-kadang, malah akan mengenakan larangan terhadap anda.”
Menurut ramai penunggang, kadar bayaran tambang telah menurun secara ketara. Oleh itu, penunggang-penunggang merasakan keperluan untuk menyempurnakan lebih banyak perjalanan (bekerja dengan jam yang lebih panjang) untuk memperoleh pendapatan yang mampu sara hidup. Adalah bukan luar biasa untuk mendengar penunggang-penunggang bekerja 6 atau 7 hari seminggu untuk 10 jam atau lebih setiap hari.
Bukan semua penunggang mendapat insurans daripada pengendali platform apabila mengalami kecederaan semasa kerja atau penyakit. Insurans adalah berasaskan tahap – dalam erti kata lain, ia bergantung pada berapa banyak perjalanan yang anda sempurnakan. Oleh itu, insurans bukannya satu hak, tetapi sesuatu yang harus anda berusaha untuk memperolehinya. Andy juga menyatakan perkara ini dalam ucapannya, “Apabila anda menandatangani terma dan syarat, anda menandatangani untuk melepaskan nyawa anda. Jika anda terkena kemalangan, anda dibiarkan bersendirian. Jika anda sakit atau terdapat sebarang masalah di rumah, tiadanya cuti tahunan, tiadanya MC (cuti sakit).”
Jadi, penunggang-penunggang penghantaran makanan mengalami nasib yang paling teruk untuk kedua-dua dunia – kontraktor dan pekerja. Mereka dilayan seperti pekerja kerana mereka tertakluk kepada tambang bayaran yang ditentukan oleh pengendali platform, dan seperti kontraktor, mereka dibiarkan tanpa sebarang perlindungan yang berhak diterima oleh pekerja-pekerja di bawah Akta Pekerjaan.
Adakah Akta Pekerja Platform baharu itu baik untuk pekerja?
Merangkumkan pekerja-pekerja platform di bawah Akta Pampasan Kecederaan Kerja merupakan sesuatu yang lama tertunggak. Dengan perkara ini dilaksanakan sekarang di bawah Akta Pekerja Platform, insurans tidak lagi merupakan keistimewaan berasaskan prestasi, tetapi satu hak.
Dasar CPF dalam Akta ini ialah satu penambahbaikan yang penting daripada apa yang dicadangkan oleh kerajaan pada awalnya pada bulan Mac 2022. Pada masa itu, Menteri Kanan Tenaga Manusia Koh Poh Koon mengumumkan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menjadikan pencaruman CPF itu mandatori untuk semua penunggang penghantaran, yang mana menyebabkan ramai penunggang menyuarakan kebimbangan bahawa ini akan memakan lagi gaji mereka yang sudah pun tertekan. Oleh itu, dasar yang dilonggarkan yang kita lihat dalam Akta Pekerja Platform – di mana ia adalah pilihan untuk mereka yang berumur 30 tahun dan ke atas – adalah lebih baik.
Walau bagaimanapun, tanpa sebarang undang-undang untuk melindungi bayaran tambang kepada penunggang terlebih dahulu, adalah berkemungkinan bahawa platform-platform akan mengurangkan kadar bayaran tambang dengan lebih lanjut untuk mengimbangi kehilangan hasil daripada keperluan mencarum CPF untuk penunggang. Beberapa orang penunggang yang saya bercakap dengan telah berkata bahawa seperti pekerja-pekerja di sesetengah sektor lain yang dilindungi di bawah Model Gaji Progresif, penunggang-penunggang juga patut mempunyai rangka kerja yang serupa, yang melindungi bayaran tambang kepada mereka. Workers Make Possible, SG Riders, badan-badan bukan kerajaan (NGO) seperti AWARE dan beberapa orang Ahli Parlimen semuanya telah menyokong secara terbuka prinsip tambang minimum. Banyak pendekatan untuk melakukan ini sudah pun dicadangkan. Misalnya, Make Possible, SG Riders dan Ahli Parlimen Parti Kemajuan Singapura (PSP) Leong Mun wai menyokong konsep Jaminan Tambang Minimum – satu gaji lantai yang harus dipatuhi oleh platform-platform. AWARE dan Ahli Parlimen Parti Pekerja (WP) Louis China pula membangkitkan idea mengaitkan bayaran tambang dengan gaji layak tempatan.
Dalam usaha untuk mengimbangi caruman CPF yang meningkat bagi penunggang-penunggang berpendapatan rendah, kerajaan Singapura mengumumkan bahawa ia akan memberikan bantuan tunai bulanan dari tahun 2025 hingga 2028. Pada tahun 2026, apabila Akta ini berkuatkuasa, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan menampung 100% bahagian pekerja dalam caruman CPF bagi pekerja-pekerja yang berpendapatan sehingga S$3,000 sebulan. Sokongan tunai ini akan dikurangkan sebanyak 25% setiap tahun sehingga tahun 2028. Pekerja-pekerja akan perlu membayar caruman CPF mereka sendiri menjelang tahun 2029.
Walaupun ini nampaknya murah hati, bantuan kewangan yang diberikan oleh kerajaan kepada penunggang-penunggang penghantaran makanan berpendapatan rendah untuk beralih kepada pencaruman CPF adalah tidak berpandangan jauh. Ia memberikan penampan yang berjangka pendek bagi penunggang-penunggang penghantaran makanan, hanya untuk mereka menghadapi pemotongan CPF yang sepenuhnya daripada gaji yang dibawa pulang selepas tamatnya tempoh bantuan kewangan itu. Melainkan jaminan bayaran tambang minimum atau gaji lantai tertentu dirundingkan pada masa itu, penunggang-penunggang akan menghadapi cabaran hebat dalam menangani kos sara hidup yang meningkat dengan pendapatan dibawa pulang yang lebih rendah. Pendekatan kerajaan terhadap penunggang-penunggang ini serupa dengan pendekatannya dalam meningkatkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Kerajaan memperkenalkan satu dasar yang membebankan rakyat, dan kemudiannya memperkenalkan satu lagi dasar sementara untuk meringankan beban di hadapan mata yang telah dikenakan olehnya. Pekerja-pekerja memerlukan perubahan struktural, bukannya baucar tunai GST atau CPF yang mengimbangi kesusahan daripada peningkatan kos atau penurunan gaji. Bagi pekerja-pekerja platform, pembaharuan struktural yang paling penting ialah jaminan bayaran tambang minimum.
Adalah menggembirakan semasa melihat dua orang Ahli Parlimen membangkitkan keperluan untuk penyelesaian mengenai gaji pekerja-pekerja platform. Ahli Parlimen PSP Leong Mun Wai membangkitkan idea tentang jaminan bayaran tambang minimum. Sebagai respon, Menteri Kanan untuk Tenaga Manusia Koh Poh Koon berkata bahawa ini adalah untuk Persatuan-persatuan Pekerja Platform (PWA) merundingkannya sebaik sahaja mereka didaftarkan secara sah. Rang undang-undang Pekerja Platform menggariskan bagaimananya rupa bentuk badan sebegini. PWA hendaklah diberi kuasa oleh Kementerian Tenaga Manusia, dan tidak memerlukan mandat daripada pekerja-pekerja yang cuba diwakili oleh mereka. PWA hanya memerlukan sebuah jawatankuasa 7-orang, yang mana bukan setiap orang perlu merupakan seorang pekerja platform. Di satu pihak, adanya sedikit perwakilan adalah lebih baik daripada langsung tiada perwakilan. Sekurang-kurangnya, kerangka bagi PWA memperkasakan organisasi-organisasi sebegini untuk merundingkan perjanjian-perjanjian bersama dengan platform-platform.
Namun begitu, terdapat sekurang-kurangnya 3 masalah dengan kerangka untuk perwakilan ini. Yang pertama, bagaimana sebuah PWA boleh mendakwa ia mewakili penunggang-penunggang dengan hanya 7 orang ahli, sedangkan bukan semua 7 orang itu perlu merupakan pekerja platform? Adalah ironik bahawa PWA perlu mendapatkan mandat daripada MOM, tetapi bukannya pekerja-pekerja platform, untuk didaftarkan. Pada tahun lepas, kerajaan Singapura mengatakan bahawa ia menerima cadangan mengenai proses bagi PWA mendapatkan mandat pekerja-pekerja untuk mewakili pekerja-pekerja platform. Ini akan dilakukan melalui pengudian rahsia yang memerlukan kuorum sebanyak 20% daripada pekerja-pekerja platform yang layak. Namun, ini tidak dimasukkan ke dalam Akta Pekerja Platform.
Yang kedua, dengan MOM mempunyai kuasa untuk memberikan kebenaran kepada sebuah kumpulan untuk menjadi sebuah PWA, adakah mungkin timbulnya ruang untuk konflik kepentingan? Parti Tindakan Rakyat (PAP) membentuk kerajaan, dan banyak ahli politik PAP juga ahli Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC). Ketiga-tiga buah persatuan yang sudah menyatakan hasrat mereka untuk mendaftar sebagai PWA semuanya merupakan pertubuhan yang bersekutu dengan NTUC dengan ahli-ahli politik PAP sebagai penasihat mereka. Adalah sangat tidak mungkin untuk MOM menolak mereka apabila mereka memohon untuk didaftarkan. Namun, apakah akan terjadi jika sebuah pertubuhan pekerja-pekerja platform yang bukan berkaitan NTUC cuba mendaftar sebagai sebuah PWA? Adakah mereka dapat didaftarkan. Jika SG Riders mendaftar untuk menubuhkan sebuah PWA, adakah MOM akan membenarkannya? Berasaskan apa MOM akan memutuskan sama ada sebuah PWA dibenarkan untuk didaftarkan? Kenapa bukannya mahkamah menjadi badan yang memutuskan tentang keputusan pendaftaran PWA?
Yang ketiga, pekerja-pekerja platform yang merupakan ahli-ahli kepada sebuah PWA mungkin lebih tersekat berbanding mereka yang bukan ahli PWA dalam mengadakan tindakan kolektif. Menurut Akta ini, PWA tidak harus “memulakan, mempromosi, menganjurkan atau membiayai apa-apa mogok atau sebarang bentuk tindakan perusahaan… tanpa mendapat persetujuan, melalui pengundian rahsia, daripada majoriti ahli yang terkesan”. Jika sebuah PWA melanggar peruntukan undang-undang ini, ia dikehendaki untuk membayar denda sehingga S$3,000.
Walau bagaimanapun, takrifan “mogok” dalam Akta ini sangat meluas. Di bawah kerangka sebegini, adakah aksi pembantahan penunggang-penunggang penghantaran makanan terhadap pengharaman peranti mobiliti peribadi (PMD) pada tahun 2019 itu dianggap sebagai salah di sisi undang-undang jika mereka ialah ahli-ahli sebuah PWA dan tidak mengadakan pengundian rahsia sebelum pergi menghadiri Sesi Bertemu Rakyat (MPS) sebagai sebuah kumpulan?
(nota: PMD ialah alat pengangkutan peribadi yang digerakkan oleh kuasa elektrik, seperti e-skuter dan papan selaju elektrik.)
Namun jika anda tertanya-tanya kenapa perlu sebuah undang-undang yang berasingan untuk pekerja-pekerja platform dan bukannya hanya memasukkan mereka di bawah Akta Pekerjaan dan mengiktiraf mereka setaraf dengan mana-mana kumpulan pekerja yang lain, maka anda tidak bersendirian. Baru-baru ini, mantan Presiden Singapura Halimah Yacob berkata dalam hantaran media sosialnya bahawa pekerja-pekerja platform harus diberikan hak yang sama seperti pekerja-pekerja yang lain. Misalnya, jika pekerja-pekerja platform jatuh sakit, mereka akan sama ada perlu terus bekerja semasa sakit untuk memperolehi pendapatan, atau melepaskan pendapatan untuk hari-hari yang mereka tidak dapat bekerja. Tanpa perlindungan untuk cuti sakit berbayar, cuti bersalin, atau satu hari rehat seminggu, pekerja-pekerja platform perlu membuat pilihan yang sukar dan tidak adil antara kerja dan kesihatan serta keselamatan diri mereka.
Walaupun saya bersetuju dengan pandangan bahawa pekerja-pekerja platform patut dilindungi di bawah Akta Pekerjaan, ramai penunggang penghantaran makanan tidak berfikir begitu. Ramai penunggang memilih kerja penghantaran makanan kerana kefleksibelan yang ditawarkannya. Oleh itu, mereka bimbang bahawa jika dimasukkan dalam Akta Pekerjaan yang sedia wujud, mereka akan kehilangan kefleksibelan itu dan perlu mematuhi jam kerja yang ketat dan syarat yang tegar. Sebaliknya, ramai penunggang yang saya bercakap dengan mahukan platform-platform untuk mengekalkan tawar-menawar mengenai kefleksibelan dengan menghentikan amalan yang menghukum penunggang-penunggang kerana menolak pesanan. Mereka percaya bahawa dengan itu, penunggang-penunggang akan mempunyai lebih banyak kuasa untuk berunding dengan platform-platform tentang jenis pesanan dan bayaran tambang yang diperolehi mereka.
Keengganan penunggang-penunggang penghantaran makanan dilayan seperti pekerja lain, sebenarnya, ialah satu petunjuk tentang betapa ketinggalan zaman Akta Pekerjaan di Singapura (yang digubal pada tahun 1968). Lagipun, pekerja-pekerja pejabat di Singapura telah memperjuangkan persetujuan kerja fleksibel (FWA) selama bertahun-tahun. Pada bulan April tahun ini, kerajaan Singapura mengumumkan bahawa semua majikan harus mempunyai proses untuk pekerja-pekerja meminta FWA. Namun begitu, tiadanya penalti untuk majikan-majikan sekiranya mereka tidak menyediakan FWA kepada pekerja-pekerja. Mungkin penunggang-penunggang penghantaran makanan akan berasa lebih bersemangat tentang memasukkan mereka ke dalam Akta Pekerjaan sebaik sahaja ia dikemas kini dan diperkukuhkan secara ketara supaya relevan dan responsif terhadap keperluan dan keadaan pekerja-pekerja serta budaya kerja moden.
Bilakah perjuangan untuk perlindungan pekerja platform bermula?
NTUC dan PAP berkata bahawa kerja mengenai Rang Undang-undang Pekerja Platform bermula pada bulan September 2021, apabila sebuah jawatankuasa penasihat tiga pihak 15-orang ditubuhkan untuk memberikan cadangan kepada kerajaan Singapura mengenai perlindungan bagi pekerja gig.
Walau bagaimanapun, saya berpendapat bahawa jawatankuasa penasihat seperti ini tidak akan ditubuhkan jika tidak kerana aksi yang mengejutkan seluruh negara Singapura pada bulan November 2019 – mobilisasi dari bawah oleh penunggang-penunggang penghantaran makanan untuk menentang rancangan kerajaan Singapura untuk mengharamkan PMD. Kumpulan penunggang ini telah mengorganisasi diri mereka secara independen, dan langsung tidak berkaitan dengan NTUC.
Pada 4 November 2019, Menteri Kanan Pengangkutan Singapura pada masa itu Lam Pin Min mengumumkan bahawa PMD akan diharamkan selama-lamanya daripada laluan pejalan kaki pada hari keesokannya. 7,000 orang penunggang yang melakukan penghantaran mereka dengan menggunakan PMD pada masa itu sangat terjejas. Dari 5 hingga 13 November 2019, penunggang-penunggang telah bermobilisasi untuk menghadiri Sesi Bertemu Rakyat oleh Menteri-menteri dan Ahli-ahli Parlimen, akhirnya 300 orang penunggang membanjiri Sesi Bertemu Rakyat oleh Lam Pin Min. Walaupun kompromi tertentu dibuat, pengharaman tersebut tidak dibatalkan.
Namun, mobilisasi mereka ini mencapai sesuatu yang lain – dalam tempoh masa yang singkat, sekumpulan pekerja yang sebelum itu sebahagian besarnya tidak kelihatan di mata orang ramai, tiba-tiba menjadi sukar untuk tidak disedari. Penunggang-penunggang ini menukarkan Sesi Bertemu Rakyat kepada sesi townhall, menyerahkan petisyen kepada Ahli-ahli Parlimen mereka, dan bercakap secara berani dengan media. Dengan mengambil langkah-langkah ini, mereka menerima sokongan dan solidariti yang ketara daripada orang awam.
Setahun selepas perjuangan penunggang-penunggang melawan pengharaman PMD, NTUC menubuhkan Persatuan Pejuang Pengiriman Nasional (NDCA) untuk menangani masalah-masalah penunggang-penunggang penghantaran makanan. Pimpinan dalam NDCA telah dimasukkan sebagai anggota jawatankuasa penasihat tiga pihak, dan mengadakan sesi maklum balas dengan penunggang-penunggang. NDCA juga dijangka akan mendaftar sebagai Persatuan Pekerja Platform sebaik sahaja Akta Pekerja Platform berkuat kuasa.
Jika bukan kerana usaha pengorganisasian penungggang-penunggang dan aksi mereka untuk menyuarakan rungutan mereka dan menunjukkan kuasa mereka, adalah tidak mungkin NDCA atau Rang Undang-undang Pekerja Platform itu menjadi kenyataan.
Malah, NTUC bersetuju bahawa Akta Pekerja Platform ialah respon kepada penentangan penunggang-penunggang terhadap pengharaman PMD oleh kerajaan Singapura. Pada bulan Januari 2023, Penolong Setiausaha Agung NTUC dan Ahli Parlimen PAP Desmond Choo berkata, “Terdapat keinginan yang lebih besar daripada (pekerja-pekerja platform) untuk mengorganisasikan diri mereka… Kita telah melihatnya di kawasan tempatan sebagai respon terhadap pengharaman PMD. Pekerja-pekerja berkumpul bersama untuk menuntut perubahan. Jadi, kita perlukan satu perubahan dalam undang-undang yang membenarkan pertubuhan kesatuan untuk mewakili kumpulan ini.”
Penentangan penunggang-penunggang terhadap dasar CPF asal yang dicadangkan kerajaan
Setelah jawatankuasa penasihat ditubuhkan pada bulan September 2021, mereka mengenal pasti tiga “bidang keutamaan untuk memberi pekerja-pekerja platform sebuah masa hadapan yang lebih terjamin”:
- Menambahbaikkan perumahan dan ketersediaan untuk persaraan;
- Memperkukuhkan perlindungan kewangan sekiranya berlaku kecederaan semasa kerja;
- Meningkatkan perwakilan kepentingan mereka.
Pada bulan November 2021, proses konsultasi awam bermula. NDCA juga menganjurkan “sesi kopi” bersama penunggang-penunggang penghantaran makanan untuk mendengar pandangan mereka tentang 3 bidang keutamaan itu. Saya ialah seorang penunggang penghantaran makanan di kawasan Punggol pada masa itu, dan saya menghadiri beberapa sesi yang dianjurkan oleh NDCA. Dalam sesi itu, seorang kakitangan NDCA (bukan seorang penunggang) mengemukakan 3 bidang keutamaan itu. Terdapat konsensus umum tentang nilai perwakilan dan pengukuhan perlindungan sekiranya berlaku kecederaan semasa kerja, tetapi wujudnya perselisihan pendapat yang ketara tentang bagaimana menambahbaikkan perumahan dan ketersediaan persaraan.
Kakitangan NDCA itu bertanya pada kami mengenai apa pendapat kami tentang menjadikan pencaruman CPF itu mandatori untuk semua penunggang. Kebanyakan penunggang dalam sesi itu tidak bersetuju, dengan berkata bahawa ia patut dijadikan pilihan untuk penunggang-penunggang dan bukan menjadikannya wajib. Seorang penunggang yang berumur 50-an berkata bahawa dia tidak begitu perlu menggunakan CPF, kerana dia sudah membeli rumahnya, tetapi itu mungkin satu isu untuk penunggang-penunggang yang lebih muda. Dia membangkitkan tentang sebab utama bagi dia menyertai penghantaran makanan adalah untuk mendapatkan gaji bawa pulang yang lebih tinggi.
Namun begitu, kakitangan NDCA itu terus cuba meyakinkan semua orang tentang kenapa CPF akan memanfaatkan kita dalam jangka panjang. Saya cuba mengulangi apa yang dikatakan oleh penunggang-penunggang lain dan menggesa kakitangan itu untuk mendengar kebimbangan mereka dan memasukkannya dalam konsultasi. Walau bagaimanapun, seorang lagi penunggang memberitahu saya (di hadapan kakitangan NDCA itu), “Hei… tak payah bazir tenaga. Bosnya sudah membuat keputusan. Betul?” Dan sebagai jawapan, kakitangan NDCA itu mengangguk kepalanya. Saya terkejut dengan apa yang saya nampak sebentar tadi.
Dalam satu lagi pertemuan, saya berjumpa dengan penasihat NDCA dan Ahli Parlimen PAP Yeo Wan Ling, dan berkongsi dengannya kebimbangan saya tentang pencaruman CPF mandatori. Begitu juga, satu berdebatan berlaku di mana dia cuba meyakinkan saya tentang kenapa ramai penunggang dan diri saya beranggapan salah tentang bagaimana pencaruman CPF harus dijadikan satu pilihan, dan kenapa dia adalah betul. Pada satu ketika dia menuding jarinya ke arah saya dan menegaskan bahawa saya harus pergi meyakinkan penunggang-penunggang yang saya kenal tentang membuat caruman CPF adalah untuk kepentingan mereka. Saya sangat keliru dengan nadanya. Bukankah ini sepatutnya satu konsultasi?
Semasa saya bercakap dengan penunggang-penunggang lain tentang sesi-sesi konsultasi itu, ramai mempunyai perasaan yang sama. Mereka berasa bahawa konsultasi yang diterajui NDCA tidak begitu bermakna. Sesetengah penunggang yang saya kenal sangat kecewa tentang sesi-sesi konsultasi itu sehingga mereka berfikir untuk mengkritik secara terbuka terhadap langkah untuk pencaruman CPF mandatori. Kami bukannya membantah CPF. Kami membantah ia dikenakan dengan cara mewajibkan semua penunggang.
Selepas itu, pada bulan Februari 2022, satu kajian oleh Institut Kajian Dasar (IPS) mengenai pekerja-pekerja gig menunjukkan bahawa 84% pekerja bimbang tentang sama ada mereka mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi. Kajian itu mengesyorkan antara lain pencaruman CPF dan dasar tempoh rehat. Akan tetapi, penunggang-penunggang penghantaran tidak ditinjau pandangan mereka mengenai syor-syor ini, dan syor-syor ini juga tidak dimaklumkan oleh cadangan-cadangan penunggang penghantaran tentang cara bagaimana menangani isu ketersediaan persaraan. Menteri Kanan Kerajaan Koh Poh Koon menyatakan secara rasmi dalam ucapan belanjawannya, bahawa kerajaan Singapura sedang mempertimbangkan pencaruman CPF mandatori.
Sebagai respon, sekumpulan penunggang-penunggang penghantaran makanan berpakat untuk mewujudkan sebuah laman instagram yang dikenali sebagai SG Roo Riders (sejak itu ia berkembang menjadi sebuah organisasi akar umbi penunggang-penunggang penghantaran makanan yang dikenali sebagai SG Riders). Mereka mengeluarkan kenyataan tegas yang mengkritik cadangan Menteri untuk menjadikan pencaruman CPF mandatori buat semua penunggang. “Pada tahun 2019, kerajaan mengharamkan PMD semalaman. Pada tahun 2021, ia menaikkan harga petrol. Pada tahun 2022, patutkah kita membiarkan kerajaan untuk menjadikan pencaruman CPF mandatori tanpa menjamin bayaran tambang minimum untuk semua penunggang terlebih dahulu?”
Kenyataan ini dikongsikan secara meluas oleh penunggang-penunggang dan orang ramai. Sentimen yang terkandung dalamnya telah diulangi semasa beberapa sesi pertemuan lain antara penunggang-penunggang dengan pihak berkuasa. Penunggang-penunggang malah mempertimbangkan untuk meningkat respon mereka dengan mengadakan petisyen awam yang ditandatangani oleh ramai penunggang. Namun, mereka tidak perlu berbuat demikian.
Pada bulan November 2022, kerajaan Singapura menerima cadangan lengkap yang diberikan oleh jawatankuasa penasihat. Kesemua 3 bidang keutamaan itu dikekalkan, dengan satu pindaan yang penting – pencaruman CPF hanya dijadikan mandatori untuk pekerja-pekerja platform yang berumur di bawah 30 tahun. Bagi penunggang-penunggang yang berumur 30 tahun dan ke atas, pencaruman CPF adalah pilihan. Dasar ini diluluskan ke dalam undang-undang melalui Akta Pekerja Platform.
Jika penunggang-penunggang tidak berorganisasi secara independen untuk menyatakan bantahan mereka terhadap rancangan mewajibkan pencaruman CPF untuk semua, dan memberi tekanan kepada para pembuat dasar mengenai isu ini, dasar CPF dalam PWA mungkin akan lebih kurang sama dengan apa yang dicadangkan oleh kerajaan pada awalnya.
Namun, penunggang-penunggang tidak berhenti di situ. SG Riders mengeluarkan satu kenyataan tentang cadangan-cadangan yang dikemas kini. Mereka mengkritik jawatankuasa penasihat kerana tidak dapat memberi jaminan kepada penunggang-penunggang bahawa gaji dibawa pulang mereka tidak akan dijejaskan oleh dasar CPF, dan menekankan keperluan untuk jaminan bayaran tambang minimum.
Pada bulan Ogos 2023, MOM meminta pandangan orang ramai mengenai perkara menggolongkan pekerja-pekerja platform sebagai satu kelas pekerja sah di sisi undang-undang yang berbeza. Patutkah pekerja-pekerja platform dimasukkan ke dalam Akta Pekerjaan atau patutkah mereka diklasifikasikan secara berasingan? SG Riders menghimpunkan penunggang-penunggang dari bahagian-bahagian yang berlainan di Singapura dan mengadakan satu forum mengenai perkara ini. Mereka merumuskan perbincangan kepada 10 perkara yang luas dan menyerahkannya kepada kerajaan Singapura. Walaupun pada awalnya terdapat beberapa ketidaksepakatan tentang sama ada penunggang patut dianggap sebagai pekerja, kumpulan penunggang-penunggang ini membuat kesimpulan bahawa mereka menyokong cadangan untuk menjadikan mereka sebuah kelas yang berbeza selagi mereka memperoleh hak asasi tertentu seperti perlindungan daripada penggantungan yang tidak adil, hak untuk menolak pesanan secara bebas, dan bayaran tambang asas, sebagai tambahan kepada 3 bidang keutamaan yang sudah diterima oleh kerajaan Singapura.
Kepentingan sebuah gerakan buruh yang sentiasa bertumbuh dan independen
Oleh itu, kisah tentang bagaimana Akta Pekerja Platform menjadi kenyataan adalah tidak lengkap tanpa menceritakan kisah tentang usaha-usaha pengorganisasian dari bawah oleh penunggang-penunggang dan aktivisme yang penuh bersemangat. Hakikat bahawa mereka dapat mempengaruhi dasar sementara bergerak di luar NTUC, NDCA dan saluran-saluran lain yang diwujudkan oleh kerajaan adalah sangat signifikan. Malah, saya berpendapat bahawa mereka boleh menjadi berkesan hanya kerana mereka bergerak secara independen.
Kisah ini juga menawarkan sesetengah perspektif kepada perbahasan parlimen yang hangat mengenai Akta Pekerja Platform – terutamanya ucapan Ahli Parlimen Parti Pekerja (WP) Gerald Giam mengenai kepentingan kemerdekaan kesatuan sekerja dan respon yang tidak berpuas hati daripada Ahli-ahli Parlimen PAP yang menyusul. Ahli Parlimen Giam mempersoalkan sama ada hubungan rapat antara PAP dan NTUC telah memanfaatkan pekerja-pekerja. Kenyataan En. Giam mengundang kritikan yang keras daripada Ahli-ahli Parlimen PAP. Sebagai contoh, Ahli Parlimen PAP Christopher De Souza menuduh ucapan En. Giam tidak relevan sama sekali dengan Akta Pekerja Platform. Menteri Koh Poh Koon malah menggesa Parti Pekerja untuk menukar nama mereka, dengan menuduh mereka enggan bekerjasama dengan kesatuan sekerja.
Namun, cara bagaimana organisasi-organisasi berkaitan NTUC mengadakan sesi-sesi libat urus bersama penunggang-penunggang tentang Akta Pekerja Platform menunjukkan bahawa persoalan En. Giam berkenaan keberkesanan NTUC yang berkaitan PAP dalam benar-benar mewakili kepentingan pekerja itu adalah sah. “Sesi kopi” anjuran NDCA merupakan peluang untuk penunggang-penunggang menyuarakan pandangan mereka, tetapi apabila terdapat bantahan terhadap apa yang dirancang oleh kerajaan, mereka cuba meyakinkan penunggang-penunggang tentang manfaat daripada apa yang dicadangkan oleh kerajaan, bukannya terbuka untuk meminda cadangan mereka. Peranan mana-mana persatuan pekerja seharusnya untuk mewakili kepentingan sebenar pekerja-pekerja yang ditentukan oleh pekerja-pekerja, bukan untuk memujuk mereka supaya menyokong cadangan kerajaan. Berbanding dengan itu, SG Rider, sebuah persatuan yang independen, mengadakan perbincangan demokratik bersama pekerja-pekerja, melakukan campur tangan yang penting berasaskan sepenuhnya pengalaman hidup dan keperluan pekerja-pekerja, dan berjaya dalam mempengaruhi perubahan dasar yang melindungi pekerja-pekerja platform dengan lebih baik.
Memandangkan kos sara hidup terus melambung tinggi sementara gaji tidak berubah, sebuah gerakan buruh yang kuat adalah penting, bukan sahaja untuk pekerja-pekerja platform tetapi untuk semua pekerja. Kisah bagaimana Akta Pekerja Platform diwujudkan itu menunjukkan pada kita bahawa gerakan sebegini adalah berkemungkinan, dan bebas daripada monopoli NTUC.
Sebuah gerakan buruh yang independen sedang bertumbuh di Singapura, dan ia telah membuktikan bahawa is mampu menyampaikan apa yang diperlukan oleh pekerja-pekerja – suara yang lebih lantang dan perubahan yang praktikal. Walaupun masih kecil pada ketika ini, ia boleh menular – apabila pekerja-pekerja melihat usaha-usaha dan kemenangan-kemenangan oleh pekerja-pekerja lain yang mengorak langkah untuk mengorganisasi diri mereka dan berjuang demi hak mereka, maka mereka juga akan didorong untuk mengorganisasi diri mereka dan menyertai perjuangan.
Terdapat banyak lagi usaha yang harus dilakukan oleh SG Riders dan persatuan-persatuan pekerja lain dalam memastikan keadaan bekerja yang adil dan perlindungan yang sesuai bagi pekerja-pekerja platform. Namun, apabila kita meneruskan perjuangan ini, bergantung pada kecerdasan pekerja, kekuatan kolektif dan solidariti, bukannya niat baik daripada mereka yang berkuasa, maka kita akan terus kuat.
==========
Suraendher Kumarr ialah seorang aktivis pekerja Singapura yang bersama “Workers Make Possible”, sebuah platform pekerja yang berjuang untuk memajukan hak pekerja dan membina kuasa pekerja serta solidariti di Singapura.
==========
Diterjemah daripada rencana asal dalam Bahasa Inggeris di sini.