oleh S. Arutchelvan

17 Oktober ialah Hari Pembasmian Kemiskinan Antarabangsa. Resolusi untuk menyambut hari ini diluluskan pada 22 Disember 1992 di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Berdasarkan ramalan PBB, menjelang penghujung tahun 2022, 8.4% daripada penduduk dunia (bersamaan 670 juta orang) dijangka hidup dalam kemiskinan tegar, dan kira-kira 575 juta orang masih terperangkap dalam kemiskinan tegar menjelang tahun 2030. Ini mungkin masih belum mengambil kira tentang situasi yang teruk di Gaza, Lubnan dan Timur Tengah.

Baru seminggu yang lalu. P. Gunasegaram menulis sebuah rencana yang mengganggu fikiran yang membincangkan tentang apabila 1% penduduk memiliki 50% kekayaan. Semua ini menunjukkan kepada sebuah dunia yang tidak sama rata yang memerlukan keadilan. Kemiskinan ialah salah satu tragedi terbesar terhadap kesamarataan dan keadilan sosial. Adakah kemiskinan itu semula jadi atau buatan manusia? Pada zaman kecerdasan buatan (AI) ini, umat manusia masih belum dapat mengatasi salah satu kejahatan yang paling tua dalam masyarakat – kemiskinan. 

Setiap 17 Oktober sejak tahun 2021, Gabungan Marhaen, sebuah gabungan yang terdiri daripada komuniti-komuniti akar umbi di Malaysia, menggunakan sambutan hari ini untuk mengetengahkan dan menyuarakan masalah-masalah yang dihadapi oleh golongan miskin. Kami memanggil hari 17 Oktober ini sebagai Hari Marhaen, satu hari untuk rakyat yang tertindas. Hari penting ini didedikasi untuk membasmi kemiskinan. Izinkan saya mengetengahkan beberapa isu yang dihadapi oleh golongan marhaen berhubung dengan Kerajaan MADANI.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata bahawa beliau akan membasmi kemiskinan tegar di Malaysia menjelang penghujung tahun 2023. Ini ialah satu cita-cita tinggi yang bahkan banyak negara Dunia Pertama pun bergelut untuk menyelesaikannya. Sekarang ini kita sedang menghampiri penghujung tahun 2024. Ada orang tertanya-tanya, adakah apa-apa statistik mengenai perkara ini? Saya pasti bahawa kemiskinan tegar masih wujud di setiap bandar dan kawasan luar bandar di negara ini, dengan lebih berleluasa di Pantai Timur Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur.

Anwar – suara marhaen?

Retorik dan ungkapan berbunga-bunga dalam pidato Anwar Ibrahim sentiasa menunjukkan beliau pro-marhaen dan pro-rakyat miskin. Beliau ialah seorang Perdana Menteri yang lebih menggunakan istilah “Maha Kaya” berbanding dengan beberapa orang Perdana Menteri sebelumnya. Kerajaannya digelar Kerajaan Madani, yang dikatakan memberi penekanan dalam keperluan untuk sebuah masyarakat dan kerajaan yang penyayang.

Apabila mula berkuasa pada penghujung tahun 2022, salah satu perkara pertama yang dilakukan oleh Anwar ialah beliau memanggil Tan Sir Syed Mokhtar Al-Bukhary dan membuatkannya memperuntukkan RM10 juta kepada golongan pesawah miskin.

Baru-baru ini, Anwar meningkatkan gaji penjawat awam secara ketara, dan berkata bahawa pekerja-pekerja kerajaan tidak patut dibayar kurang daripada RM2,000. Beliau meminta sektor swasta untuk mengikut jejak langkah kerajaan dalam perkara ini. Beliau memuji Khazanah Nasional Berhad kerana membayar RM3,000 sebagai gaji minimum. Beliau menolak gaji yang dibayar kepadanya. Beliau marah dengan pemaju-pemaju yang enggan berkongsi ruang mereka dengan pangsapuri kos rendah.  

Anwar memang pernah berkata bahawa beliau tidak berminat untuk membina bangunan yang tertinggi atau terbesar, sebaliknya hendak melakukan apa yang perlu dilakukan untuk rakyat dan mengangkat golongan miskin. 

Baru-baru ini dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-78 Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Anwar berkata bahawa beliau tidak akan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kerana GST yang mencukai semua rakyat termasuk golongan miskin, dan beliau tidak mahu membebankan golongan miskin dengan cukai yang lebih tinggi melainkan gaji mereka dinaikkan. 

Apabila Anwar melakukan rasionalisasi subsidi, PSM mengalu-alukannya kerana subsidi patut digunakan untuk membantu golongan miskin dan tiada sebabnya untuk golongan kaya turut menikmati subsidi. Baru-baru ini Anwar bercakap tentang subsidi pendidikan tidak sepatutnya untuk golongan kaya. Semua ini menjadikan Anwar kelihatan seperti Bernie Sanders versi Malaysia. 

Siapa yang membebankan skim pencen?

Sekarang izinkan saya mengetengahkan isu-isu yang dihadapi oleh komuniti-komuniti yang bergabung dalam Gabungan Marhaen, dan melihat sama ada Kerajaan Madani menepati kata-kata mereka. 

Sesetengah orang mengatakan bahawa Anwar membuat pertunjukan yang baik di atas pentas, tetapi tidak begitu di lapangan. Adakah retorik Anwar itu semata-mata retorik? Biar saya bercakap tentang sisi yang lain bagi hujahan-hujahan yang sama ini.

Dua hari yang lalu, pada 15 Oktober 2024, lebih 200 orang berhimpun dalam hujan lebat yang membawa banjir kepada Kuala Lumpur, di luar Parlimen dengan membawa payung, untuk menggesa kerajaan supaya mewujukan skim pencen bagi golongan warga emas yang berumur 65 tahun dan ke atas. 

Hakikatnya jelas bahawa negara kita sudah memasuki masyarakat penuaan, tetapi mereka yang mempunyai akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hampir tiada simpanan hari tua yang mencukupi, sementara warga emas yang lain di Malaysia kebanyakannya bukan pekerja formal dan malah ada yang tidak layak untuk KWSP. Ia hanya menelan belanja 3% daripada seluruh Belanjawan Kerajaan Madani untuk memulakan satu skim pencen bagi mereka yang berumur 65 tahun dan ke atas.

Sebaliknya, apabila bercakap tentang skim pencen kerajaan, ia terlalu terbeban dan nampaknya tidak mampan. Siapa yang mengambil sebahagian besar pencen ini – golongan marhaen atau ahli-ahli politik? Pencen dalam jumlah bayaran yang besar pergi kepada ahli-ahli politik yang hanya berkhidmat selama 5 tahun sebagai wakil rakyat. Adakah Perdana Menteri Madani mempunyai kesungguhan untuk merefomasikan faedah kepada ahli politik ini? Jika kita berkata bahawa golongan kaya tidak layak untuk menikmati petrol dan diesal yang murah, kenapa pula pencen di sini diberikan kepada sekumpulan orang yang terpilih?

Salah satu kategori pekerja yang penting di Malaysia ialah pekerja-pekerja pembersihan dan pengawal-pengawal keselamatan di hospital-hospital dan sekolah-sekolah kerajaan. Mereka sebelum ini merupakan pekerja-pekerja tetap kerajaan, tetapi sekarang menjadi pekerja-pekerja kontrak yang tiada keterjaminan kerja yang diupah oleh kontraktor-kontraktor yang dibayar oleh kerajaan. 

Mereka merupakan mangsa-mangsa projek penswastaan pada tahun 1990-an semasa pentadbiran Mahathir, dan sehingga hari ini, salah satu alasan yang diberikan oleh kerajaan yang enggan menyerapkan semula mereka sebagai pekerja tetap kerajaan adalah kerana ia akan membebankan skim pencen kerajaan. Inilah percanggahannya – ke arah mana Kerajaan Madani mencondong? Golongan marhaen atau kontraktor-kontraktor kroni mereka?

Sistem kesihatan dalam tangan awam atau swasta?

Apabila kami di PSM menyokong langkah untuk menghapuskan subsidi petrol bagi golongan kaya, kami mengharapkan kerajaan dapat menggunakan wang yang dijimatkan itu untuk meningkatkan belanjawan kesihatan. Namun, apa yang kita dapat ialah pengumuman bahawa kerajaan hendak membuka sayap swasta di dalam hospital-hospital kerajaan! Ini akan pasti menjejaskan masa berkualiti dan jagaan kesihatan bagi golongan marhaen. Namun, Kerajaan Madani dan tuan-tuannya nampak lebih cenderung untuk membina sayap swasta di dalam hospital-hospital kerajaan, untuk mengalihkan sumber-sumber kerajaan kepada pesakit-pesakit yang membayar lebih banyak. 

Kenapa tidak Kerajaan Madani sebaliknya mendesak untuk pembukaan sayap awam di dalam hospital-hospital swasta? Institut Jantung Negara (IJN), Subang Jaya Medical Centre, Prince Court Medical Centre, Hospital Gleneagles dan KPJ semuanya ialah hospital milikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di mana kerajaan memegang kebanyakan saham. Bukankah ia ironik untuk Kerajaan Madani menghakis kesihatan awam dengan lebih lanjut sementara mengaut keuntungan daripada hospital-hospital swasta yang dikendalikan oleh GLCnya?

Dasar lembu sifar dan keterjaminan makanan?

Bercakap tentang GLC, sebuah lagi GLC, Sime Darby Berhand, baru-baru ini memperkenalkan satu dasar lembu sifar di ladang-ladangnya, dan mangsa kepada dasar ini ialah banyak penternak lembu yang terdiri daripada pekerja-pekerja ladang dan keluarga-keluarga mereka. Dasar lembu sifar ini akan memusnahkan sama sekali mata pencarian mereka yang menternak lembu selama lebih 60 tahun. Selama beberapa dekad yang lalu, lembu dan ladang telah wujud bersama dalam keharmonian dengan kedua-duanya saling memberikan kebaikan bersama.

Pada tahun 1970-an, Tun Abdul Razak, Perdana Menteri kedua, telah menggalakkan pekerja-pekerja ladang untuk menternak lembu di atas tanah perladangan supaya mengekalkan pendapatan mereka, tetapi pada hari ini, Sime Darby, sebuah GLC, cuba untuk mengusir keluar penternak-penternak bebas yang bekerja keras ini.  

Jika dasar lembu sifar ini berjaya, maka ia bermakna bahawa kita perlu mengimport lebih banyak susu dan daging. Import negara kita akan meningkat, harga barangan akan naik, penternak-penternak tempatan akan hilang pendapatan mereka, dan keterjaminan makanan negara kita akan dijejaskan dengan teruknya.

Mari kita menumpukan perhatian kepada kawasan Parlimen yang diwakili oleh Perdana Menteri sendiri di Tambun pula, kita akan mendapati bahawa petani-petani yang rajin bekerja yang bercucuk tanam selama beberapa generasi dan mengeluarkan tanaman makanan dalam kuantiti besar sedang dihalau, dibuli dan diusir oleh Kerajaan Madani Negeri Perak. Apabila petani-petani pergi berjumpa dengan pegawai Anwar, mereka diberitahu bahawa Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa dalam hal ehwal negeri. Tanah mereka telah dirampas oleh pihak pemilik harta tanah yang kaya, dan tanah subur untuk pertanian telah ditukarkan kepada kegunaan perindustrian dan perlombongan. Lebih-lebih lagi, Kerajaan Negeri Madani menyaman aktivis-aktivis dan petani-petani, sementara Ahli Parlimen kawasan berkenaan yang juga Perdana Menteri itu menutup matanya terhadap kesengsaraan golongan marhaen. 

Satu lagi komuniti marhaen yang menghadapi keadaan yang menyedihkan ialah komuniti Orang Asli, kerana mereka menghadapi ancaman berterusan daripada aktiviti pembalakan dan pembukaan ladang durian Musang King yang diberikan lesen oleh kerajaan. Kerajaan Madani terus mengabaikan nasib komuniti-komuniti ini dan mengejar keuntungan mendahului rakyat. 

Di mana perlindungan undang-undang yang lama ditunggu oleh pekerja-pekerja ladang?

Hari ini akan diadakan satu lagi pendengaran awam kerana terdapat rancangan untuk membangunkan baki 26 ekar tanah di mana terletaknya Ladang Bukit Jalil, salah satu daripada dua buah ladang terakhir yang masih tinggal di Lembah Klang. 

Pekerja-pekerja ladang telah membanting tulang dan bekerja keras selama tiga hingga empat generasi. Hari ini, mereka tidak mempunyai rumah kediaman sendiri, dan Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) sedang kuat berusaha untuk menggesa kerajaan supaya menggubal sebuah undang-undang yang melindungi pekerja-pekerja ladang yang lama bekerja dan memastikan mereka mendapat sekurang-kurangnya rumah kos rendah. Penggubalan undang-undang ini tidak terdapat dalam agenda atau keutamaan kerajaan sekarang ini. Dalam pilihan raya kecil di Kuala Kubu Bharu baru-baru ini, telah berjaya mendapatkan kepastian untuk membina rumah bagi pekerja-pekerja dari 5 buah ladang, tetapi pekerja-pekerja ladang tidak boleh hanya bergantung semata-mata pada pilihan raya kecil untuk membina rumah mereka. 

Memorandum dan draf undang-undang telah dibentangkan kepada kerajaan tetapi tidak mendapat maklum balas daripada kerajaan. 

Pekerja-pekerja e-panggilan terasa ditipu?

Pada bulan Julai tahun lepas, Perdana Menteri bertemu dengan pekerja-pekerja e-panggilan dan pekerja-pekerja gig dalam satu perhimpunan besar. Perdana Menteri marah pada masa itu dan mengumumkan bahawa beliau akan bercakap dengan syarikat-syarikat p-hailing. Tarikh pertemuan telah ditetapkan. Pada hari ini, kebanyakan pemandu e-panggilan dan mereka yang bekerja dalam platform berkata bahawa keadaan mereka lebih teruk hari ini berbanding setahun yang lalu. 

Retorik Anwar dahulu mengujakan mereka tetapi pada hari ini mereka masih kekal dengan bayaran rendah. 

Gaji minimum dan gaji siling?

Pekerja-pekerja berpendapatan rendah memang sangat mengharapkan Perdana Menteri dan Kerajaan Madani untuk meningkatkan pendapatan mereka. Perdana Menteri sendiri sudah berkata bahawa sektor swasta perlu mencontohi sektor awam dalam memberikan gaji minimum RM2,000. Namun, seperti yang dikatakan oleh bos pasar raya Mydin, Ameer, beliau meminta Perdana Menteri supaya memaksa majikan-majikan untuk membayar gaji minimum yang lebih tinggi, kerana tanpa paksaan, mereka tidak akan berbuat demikian. 

Laporan Ketua Audit Negara mengatakan bahawa gaji untuk pengurusan tinggi GLC perlu dikaji dan harus adanya had untuknya. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam GLC hari ini memperolehi gaji bulanan dari RM100,000 hingga RM900,000, lebih tinggi berbanding gaji Perdana Menteri. Gaji pengurusan tinggi yang terlampau tidak masuk akal ini dibenarkan, sedangkan meningkatkan gaji minimum pula nampaknya satu tugas yang susah.

Kerajaan juga membenarkan sektor swasta untuk membawa masuk tenaga buruh murah dalam jumlah yang besar dari luar negara, dan prosesnya telah dipermudahkan. Dan hari ini pekerja-pekerja tempatan gelisah dengan tenaga buruh migran sedangkan ini bukannya salah mereka. Ini merupakan keputusan dasar yang bertujuan untuk memikat hati golongan majikan. Oleh itu, gaji rakyat marhaen ditekan rendah oleh pellagai kuasa tetapi adakah Kerajaan Madani akan berdiri di sisi rakyat marhaen?

Jadi, pada ketika kita menyambut Hari Pembasmian Kemiskinan Antarabangsa, adakah Perdana Menteri akan menepati manteranya yang pro-marhaen atau harapan ini akan dikhianati sekali lagi?

Berharap kita adanya satu Belanjawan untuk rakyat terbanyak dan bukannya untuk segelintir.

==========

S.Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *