oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Saya telah hadir bersama sebuah rombongan ahli PSM ke Parlimen pada 20 Oktober 2026 untuk melobi supaya meningkatkan peruntukan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam Belanjawan 2027. Kami telah bertemu dengan 8 orang ahli parlimen daripada beberapa buah parti politik dan menyerahkan memorandum kami selepas perbincangan. Belanjawan 2027 sedang dibahaskan pada ketika itu. Kami meminta ahli-ahli parlimen berkenaan untuk mengetengahkan beberapa perkara dalam memorandum kami semasa perbahasan yang sedang berlangsung itu.

Penyusutan kuasa beli

Hujah kami yang utama ialah peruntukan sebanyak RM47.704 bilion bagi KKM dalam Belanjawan 2027 merupakan satu langkah ke belakang. Walaupun ia memperlihatkan peningkatan sebanyak RM1.18 bilion dari segi nilai wang nominal berbanding peruntukan sebanyak RM46.52 bilion pada tahun 2026, dari segi kuasa beli pula sebenarnya adalah lebih rendah berbanding peruntukan kepada KKM dalam Belanjawan 2026. Kos perubatan adalah dijangkakan meningkat sekurang-kurangnya 6% sepanjang tahun 2026. Ini bermakna bahawa Belanjawan 2027 sepatutnya memperuntukkan sekurang-kurangnya RM49.31 bilion (iaitu RM46.52 bilion x 1.06) untuk mengekalkan kuasa beli yang setara dengan peruntukan tahun 2026.

Sesetengah ahli parlimen bersetuju dengan kami bahawa kemudahan kesihatan awam kini terbeban secara berketerlaluan dan kekurangan kakitangan. Namun, beberapa orang daripada mereka membangkitkan bahawa defisit fiskal bagi tahun ini sudah mencecah RM80.6 bilion, atau 3.3% daripada KDNK. Kerajaan perlu menerbitkan bon bagi jumlah ini untuk menampung defisit berkenaan. Ini akan meningkatkan hutang kerajaan persekutuan kita kepada RM1.3 trilion pada tahun 2027. Dengan kadar faedah kira-kira 4.5% setahun, kerajaan dianggarkan memerlukan kira-kira RM61 bilion untuk tujuan khidmat hutang (iaitu membayar faedah). Mereka bertanya, “Di mana kita mendapatkan wang tambahan itu, jika kami menambahkan hutang untuk meningkatkan peruntukan yang kamu cadangkan?”

Pengewangan hutang 

Kami merujuk mereka kepada bahagian terakhir memorandum kami di mana kami mencadangkan kaedah “Pengewangan Hutang” (Debt Monetization). Ini merujuk kepada penjualan bon kepada bank pusat, iaitu Bank Negara dalam konteks Malaysia. PSM mencadangkan bahawa, selain bon bernilai sebanyak RM80 bilion yang telah dipersetujui oleh kerajaan untuk menjual kepada pelabur swasta pada tahun 2027 (dengan kadar faedah kira-kira 4.5%), bon tambahan dengan nilai sebanyak RM24 bilion patut dijual kepada Bank Negara dengan kadar faedah yang ditetapkan pada 0.1%. RM12 bilion daripada dana ini wajar digunakan untuk menambahkan belanjawan KKM, sementara baki RM12 bilion patut digunakan untuk melancarkan skim Pencen Warga Emas (satu lagi projek yang diperjuangkan oleh PSM).

Pengewangan hutang seperti yang dicadangkan di atas akan membolehkan kerajaan untuk memulakan penambahbaikan yang amat diperlukan bagi perkhidmatan kesihatan awam kita, di samping melancarkan sebuah skim yang akan mengurangkan kemiskinan usia tua dan membolehkan warga emas kita untuk hidup secara bermaruah. Walau bagaimanapun, hutang RM24 bilion kepada Bank Negara ini tidak akan meningkatkan bayaran khidmat hutang kita, kerana kadar faedah telah ditetapkan pada tahap yang sangat rendah.

Ketakutan terhadap “sentimen” pasaran

Pengewangan hutang merupakan sesuatu yang ditentang keras oleh ramai ahli ekonomi konvensional. Namun, itu adalah kerana ramai dalam kalangan mereka tidak memikirkannya secara menyeluruh. Kebimbangan mereka tentang pengewangan hutang boleh mengakibatkan penyusutan nilai ringgit bukannya salah. Peningkatan perbelanjaan dalam kesihatan awam akan membawa kepada peningkatan dalam pembelian kelengkapan perubatan dengan kebanyakannya akan diimport. Peningkatan dalam import akan meningkatkan jumlah mata wang ringgit dalam pasaran kewangan antarabangsa. Pada dasarnya, penentuan nilai relatif ringgit berbanding mata wang lain bergantung pada keseimbangan penawaran-permintaan ringgit dalam pasaran kewangan antarabangsa.

Jadi, sudah pasti wujudnya tekanan ke bawah terhadap ringgit. Tambahan pula, peningkatan dalam perbelanjaan pengguna oleh golongan warga emas juga akan meningkatkan bil import kita secara keseluruhan. Ini kerana terdapatnya komponen import dalam hampir setiap barangan pengguna. Sebagai contoh, jika warga emas kita makan lebih banyak ayam kerana pencen bulanan yang kecil ini, ia akan meningkatkan bil import kita kerana sebahagian besar makanan ternakan ayam adalah diimport. Sebarang peningkatan dalam import Malaysia akan menambah jumlah ringgit dalam pasaran kewangan antarabangsa, dan cenderung untuk menurunkan nilai relatif mata wang ringgit.

Namun, kita harus melihat ini dalam konteks yang sewajarnya — walaupun peningkatan bil import ini dianggarkan kira-kira RM14.4 bilion (dianggarkan sebagai 60% daripada RM24 bilion), ia hanya bahagian yang sangat kecil (1.3%) daripada jumlah import kita, yang mencatatkan RM1,140 bilion bagi 8 bulan pertama pada tahun 2026. Negara kita mencatatkan imbangan perdagangan barangan yang sihat, sebanyak RM220 bilion bagi 8 bulan ini (iaitu eksport ditolak import dari bulan Januari hingga Ogos 2026 ialah RM220 bilion). Berdasarkan angka-angka ini, kami percaya bahawa peningkatan dalam import kerana pengewangan hutang sebanyak RM24 bilion hanya memberikan kesan yang boleh diabaikan terhadap nilai mata wang ringgit.

Walau bagaimanapun, sekiranya kerajaan ingin lebih berhati-hati, kami mencadangkan pengenalan permit untuk pembelian kereta berkapasiti enjin 1500 cc dan ke atas. Langkah ini harus terpakai bagi kedua-dua kereta keluaran tempatan dan kereta yang diimport sepenuhnya. Peningkatan kos kereta akan menurunkan penjualan kereta sedikit, dan seterusnya mengurangkan import keseluruhan – kira-kira 50% daripada kos pengeluaran kereta yang dipasang di dalam negara ini datang daripada komponen yang diimport dari China dan Jepun. Dan sudah tentu, kandungan import bagi kereta yang diimport sepenuhnya adalah 100% daripada harga kereta itu. Pengurangan bil import yang terhasil ini akan lebih daripada sekadar mengimbangi peningkatan kerana RM24 bilion digunakan untuk program-program yang memanfaatkan rakyat biasa di Malaysia. Kami juga mencadangkan seterusnya agar hasil yang dijana daripada permit pembelian kereta ini digunakan untuk membangunkan pengeluaran bas elektrik tempatan untuk memperkukuhkan sistem pengangkutan awam.

Idea tentang menggunakan kaedah pengewangan hutang bukannya sesuatu yang baharu. Ia telah dibincangkan dalam persidangan dua hari yang dianjurkan oleh PSM pada bulan Jun 2023 untuk meningkatkan hasil kerajaan. Ini telah dimasukkan dalam memorandum yang diserahkan kepada Kementerian Kewangan dan PMX sendiri pada bulan Oktober 2023. Malah, beberapa buah negara lain, termasuklah India, Indonesia, New Zealand dan Australia, telah pun menggunakan kaedah ini.

Namun, ini merupakan idea yang tidak disokong oleh ahli-ahli ekonomi daripada Bank Dunia yang mendapat pendidikan di Harvard. Perancang ekonomi Malaysia harus mempunyai keyakinan diri untuk meminta mereka untuk menjelaskan kenapa pengewangan hutang merupakan idea yang begitu buruk, dan membincangkan secara terperinci keburukan-keburukan yang dikenal pasti oleh ahli-ahli ekonomi ini.

Kita harus bersikap saintifik dan rasional dalam pendekatan kita terhadap isu-isu seperti pengewangan hutang, bukannya dibelenggu ketakutan yang samar-samar dan tidak berasas bahawa kaedah tertentu akan memusnahkan ekonomi kita. Kita bertanggungjawab kepada rakyat kita untuk menguruskan ekonomi negara kita dengan baik, supaya rakyat menikmati manfaat daripada pertumbuhan KDNK. Pengewangan hutang, sekiranya digunakan secara bijaksana untuk memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial bagi rakyat kita, boleh membawa banyak kebaikan kepada rakyat kita. Kami berharap kerajaan akan meneliti cadangan ini dengan sikap yang terbuka dan rasional.  

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM). Beliau pernah menjadi Ahli Parlimen kawasan Sungai Siput selama dua penggal, dari tahun 2008 hingga 2018. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *