
JOHOR BAHRU, JOHOR – 25 OKTOBER 2026: Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa kerajaan Indonesia untuk mengambil tindakan yang bertanggungjawab, segera, telus dan berkesan supaya menangani masalah jerebu rentas sempadan yang membelenggu rakyat jelata di rantau Nusantara. Gesaan ini disampaikan dalam memorandum yang diserahkan kepada Konsulat Republik Indonesia di Johor Bahru pada hari ini.
Aksi protes dan penyerahan memorandum pada hari ini dianjurkan oleh PSM Johor. Turut hadir dalam aksi protes ialah Amir Syafiq Ameer Soekre selaku Pengerusi PSM Johor, Poopathy Subramaniam selaku Setiausaha PSM Johor, Arangkannal Rajoo selaku Ahli Jawatankuasa PSM Johor, Sachin Nair daripada Biro Alam Sekitar, Krisis Iklim dan Orang Asli (BAKO) PSM, Hegabisek Kumar selaku Penyelaras Biro Alam Sekitar PSM Johor dan Shakila Zen daripada Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA).
Dalam memorandum yang diserahkan kepada Konsulat Republik Indonesia, PSM mendesak kerajaan Indonesia supaya bertindak segera dalam mengawal kebakaran hutan di negara itu dan menghentikan pencemaran jerebu yang merentas sempadan negara.
“Kesihatan rakyat, keselamatan pekerja dan kelangsungan kehidupan masyarakat rentas sempadan mesti menjadi keutamaan pemerintah Republik Indonesia,” kata Amir Syafiq ketika menyerahkan memorandum kepada wakil Konsulat Republik Indonesia. “Kami turut berdiri dan bersolidariti bersama rakyat Indonesia yang tinggal berhampiran kawasan kebakaran yang turut terkesan dan berhadapan secara langsung dengan asap, kehilangan sumber kehidupan serta gangguan harian. Sehubungan itu, kami memohon pihak Konsulat Jeneral menyampaikan tuntutan kami ini dengan segera kepada pihak pemerintah Republik Indonesia.”

Gelombang awal jerebu mula dirasai di Malaysia dan Singapura pada bulan Ogos 2026. Walaupun telah muncul tanda-tanda awal, kebakaran hutan masih tidak dikawal secara berkesan sehingga ia telah terjadi satu bencana yang begitu besar dan merebak merentas sempadan. Terdapat sekolah di Malaysia yang terpaksa ditutup akibat pencemaran udara yang teruk, dan terdapat banyak kes masalah kesihatan yang melibatkan jerebu dilaporkan oleh media massa Malaysia serta negara-negara serantau yang terlibat. Zarah halus PM2.5 yang terhasil daripada kebakaran hutan membawa risiko penyakit paru-paru dan jantung. Warga emas, wanita hamil dan individu berpenyakit kronik merupakan golongan yang paling terkesan apabila situasi menjadi semakin buruk.
Setakat Oktober 2026, media melaporkan bahawa hampir 600,000 hektar kebakaran masih belum dipadamkan oleh kerajaan Indonesia. Ini menunjukkan bahawa kerajaan Indonesia tidak serius dalam menangani isu ini yang jelas telah mengakibatkan kerosakan alam sekitar yang sangat dahsyat apabila syarikat kapitalis dan komersial dibiarkan sewenang-sewenangnya untuk membakar hutan-hutan dan ladang-ladang yang menyebabkan krisis jerebu merentas sempadan ini.
“Isu ini tidak boleh dipandang remeh lagi kerana krisis kemanusiaan ini telah memberi kesan kepada orang ramai untuk bernafas, bekerja, belajar dan menjalani kehidupan dengan selamat,” ulas Amir Syafiq. “Apabila krisis ini menjadi semakin runcing akibat kegagalan pemerintah Republik Indonesia dalam mengawal kebakaran hutan dan jerebu rentas sempadan, sudah tentunya kaum pekerja adalah paling terkesan sekali. Tidak semua pekerjaan adalah melibatkan di dalam bangunan dan ini akan memberi kesan jangka panjang kepada sumber pendapatan kepada mereka yang terpaksa dicutikan, dan lebih teruk, kesihatan mereka terjejas oleh jerebu rentas sempadan ini.”
Amir Syafiq juga membidas kenyataan yang dikeluarkan oleh Syahganda Nainggolan, Ketua Badan Komunikasi Kerajaan Indonesia, yang mengatakan bahawa “kami menghantar oksigen apabila tiadanya asap”, dan menuntut permohonan maaf atas kenyataan tersebut. Amir Syafiq menyifatkan kenyataan tersebut adalah tidak bertanggungjawab dan tidak sensitif terhadap penderitaan masyarakat serantau.
Tuntutan yang dikemukakan dalam memorandum daripada PSM ialah:
- Bertindak tegas terhadap mana-mana syarikat, individu atau konglomerat kapitalis yang telah melakukan jenayah pembakaran hutan yang mengakibatkan krisis jerebu rentas sempadan ini;
- Melaksanakan undang-undang yang lebih ketat agar tidak berlaku lagi mana-mana krisis pembakaran dan masalah jerebu rentas sempadan sebegini kerana masyarakat serantau telah muak dengan krisis ini yang masih berlaku saban tahun tanpa ada penghujungnya.
- Bekerjasama dengan negara-negara lain yang serius membantu memadamkan kebakaran hutan tanpa perlu adanya sebarang masalah birokrasi daripada pihak pemerintah Republik Indonesia kerana krisis ini perlu diselesaikan dengan segera.




