oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Malaysia sedang menghadapi satu masalah yang mencabar. Walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kita telah berlipat ganda 24 kali dalam tempoh 50 tahun antara 1970 dan 2019, 60% daripada keluarga di negara kita dibelenggu masalah hutang dan harus bersusah payah untuk menampung keperluan keluarga mereka walaupun ramai antara mereka bekerja lebih masa ataupun melakukan dua kerja.

Gaji median sebenar pekerja kilang pada tahun 2019 adalah 1.4 kali gaji median pekerja kilang pada tahun 1970 walaupun pendapatan per kapita Malaysia telah berlipat ganda 7.6 kali. Masalah ini wujud kerana kita tersangkut dalam sebuah ekonomi gaji rendah di mana strategi perindustrian negara kita adalah untuk menyertai rantaian-rantaian pengeluaran global (global production chains) yang dikuasai oleh syarikat-syarikat antarabangsa gergasi yang beribu pejabat di negara-negara maju. Syarikat-syarikat gergasi ini menggunakan persaingan untuk pelaburan asing (FDI) antara negara-negara ASEAN untuk menekan kos pengeluaran ke paras yang rendah sekali.

Oleh kerana ini, adalah penting untuk negara Malaysia melaksanakan pendekatan “gaji sosial” di mana sebahagian daripada keperluan asas disubsidi oleh kerajaan (kesihatan, perumahan, pendidikan, pengangkutan awam) dan satu sistem jaringan keselamatan sosial yang menyeluruh (termasuk pencen warga emas) diwujudkan demi kesejahteraan rakyat biasa di negara kita. Bagi PSM, ini merupakan tanggungjawab utama sesebuah kerajaan.

Tetapi di Malaysia, sejak dahulu lagi, kerajaan negara kita – Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan sekarang PH-BN – menggunakan hutang negara (sebanyak RM 1 trilion) dan defisit dalam belanjawan semasa sebagai alasan untuk menangguhkan pelaksanaan skim-skim yang memperkasakan sistem jaringan keselamatan sosial di negara kita.

Inilah latar belakang kepada sesi-sesi perbincangan meja bulat yang telah diadakan pada 17 dan 18 Jun 2023 di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor. Para peserta sesi telah mengadakan perbincangan mengenai 6 tajuk berikut:

  • Bolehkah cukai terhadap 1% terkaya dipertingkatkan?
  • Cukai terhadap perbelanjaan rakyat (consumption taxes)
  • Bagaimana menyalurkan lebih sedikit daripada keuntungan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memperkasakan sistem jaringan keselamatan sosial?
  • Merasionalisasi subsidi yang sedia ada
  • Langkah-langkah praktikal untuk mengurangkan rasuah dan ketirisan
  • Kaedah “Pengewangan Hutang” (Debt Monetization)

PSM percaya bahawa Malaysia boleh memperolehi dana yang mencukupi untuk membina sebuah masyarakat mesra rakyat melalui kaedah-kaedah yang disenaraikan di atas. Tetapi kita mesti melakukan perancangan jangka masa panjang untuk menjayakan usaha ini.

PSM berharap sesi perbincangan meja bulat yang telah kami adakan akan memacu perbincangan yang lebih meluas dan mendalam dalam masyarakat kita sehingga kita dapat mencapai matlamat meningkatkan hasil Kerajaan Persekutuan. Hasil perbincangan dua hari ini akan disimpulkan dalam sebuah kertas kerja dan diserahkan kepada Kementerian Kewangan Malaysia dalam jangka masa dua bulan.  

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras Biro Kajian Dasar PSM.

==========

Maklumat latar belakang

KDNK dalam nilai ringgit semasa

   1970                 RM 11.829 bilion

   2019                 RM 1513.2 bilion

                                                          (Sumber: Jabatan Statistik Negara)

Kadar Inflasi 1970 – 2019

   1000 ————–5292.73

(Sumber: www.worlddata.info/asia/malaysia/inflation-rates.php)

Bilangan Penduduk Malaysia

   1970                 10.31 juta     (Sumber: https://www.macrotrends.net/countries/MYS/malaysia/population)

   2019                 32.8 juta        (Sumber: Jabatan Statistik Negara)

Pengiraan

KDNK dalam nilai ringgit semasa

   1970                 RM 11.829 bilion

   2019                 RM 1513.2 bilion                           =  RM 285.5 bilion dalam ringgit 1970

                                                                                            (1513.2 dibahagi 5.3)

Peningkatan KDNK dari 1970 hingga 2019 :  285.5  dibahagi  11.829  =  24.14 kali

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *