oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Terdapatnya lonjakan dalam minat terhadat strategi “pengewangan hutang” (debt monetization) khususnya selepas Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal menyokong pendekatan ini. Terdapatnya suara-suara yang menyokong dan membantahnya. Seorang bergelaran Tan Sri dalam salah satu kumpulan Whatsapp yang saya ada dalamnya menulis, “Mencetak wang adalah tidak bertanggungjawab dan membinasakan. Kita perlu lebih produktif dan lestari.” Ini merupakan contoh pendirian ramai yang menolak idea ini tetapi sebenarnya tidak mempertimbangkan secara teliti kebaikan dan keburukan strategi ini, sebaliknya hanya merasakan ia adalah sesuatu yang keji dari segi moral dan ia akan memusnahkan ekonomi.

Apa itu Pengewangan Hutang?

Pertama sekali, kita perlu bercakap pasal bon kerajaan. Kebanyakan kerajaan mendapatkan dana untuk membiayai defisit belanjawan mereka dengan bon berkadar terapung. Pelabur-pelabur yang membeli bon-bon ini mendapat bayaran faedah secara tahunan (dipanggil kadar kupon) dan pelabur-pelabur ini akan dibayar balik jumlah pelaburan selepas satu jangka masa tetap yang berbeza dari satu hingga 30 tahun atau lebih lama lagi.  

Kerajaan negara kita perlu mengapungkan bon bernilai sebanyak RM90 bilion pada tahun 2021 untuk membiayai defisit 6% yang wujud dalam Belanjawan 2021. Ini adalah tambahan kepada bon-bon yang perlu diapungkan oleh kerajaan untuk “memanjangkan tempoh” (roll-over) bon-bon yang tamat tempoh untuk pembayaran penyelesaian penuh pada tahun 2021. Hutang Kerajaan Persekutuan adalah lebih kurang RM850 bilion pada masa kini. Secara kasarnya lebih kurang 10% daripada jumlah ini akan mencapai tempoh kematangan dalam tahun 2021 dan dengan itu perlu dibayar balik kepada pemiutang. Satu-satu caranya kita dapat membayar balik bon-bon yang matang ini adalah dengan cara mengapungkan bon-bon yang baru. Oleh itu, kerajaan kita perlu mengapungkan bon sejumlah RM175 bilion pada tahun 2021. (Kerajaan Persekutuan telah pun memanjangkan tempoh untuk bon-bon yang matang sepanjang 20 tahun yang lalu kerana negara kita selalunya mempunyai defisit belanjawan dalam tempoh masa itu. Kerajaan PH telah mengapungkan bon-bon yang bernilai lebih kurang RM115 bilion pada tahun 2019.)

Masalah dengan semua pinjaman ini adalah faedah yang perlu kita bayar untuk bon-bon yang belum dijelaskan. Pada masa kini, kadar faedah keseluruhan yang kita sedang bayar untuk pinjaman kita adalah lebih kurang 4% daripada jumlah hutang, iaitu kira-kira RM35 bilion setahun. Ini adalah lebih kurang 12% daripada jumlah belanjawan Persekutuan dan lebih banyak berbanding peruntukan yang diberikan kepada setiap Kementerian kecuali Kementerian Pendidikan. Faedah yang perlu kita bayar untuk menampung hutang negara kita ini mengekang belanjawan kita.

Pengewangan hutang merujuk kepada pembelian bon-bon kerajaan oleh bank pusat sesebuah negara. Berbanding dengan menjual semua bon-bon baru kita kepada pelabur, kita menjual sebahagian daripada bon-bon ini kepada Bank Negara tetapi dengan kadar kupon yang jauh lebih rendah. Oleh itu kita mendapat wang yang kita perlukan untuk menghidupkan semula ekonomi tetapi tanpa menambahkan terlalu banyak beban pembayaran hutang kita.

Inflasi?

Ramai orang takut bahawa pemindahan yang dalam jumlah besar kepada keluarga-keluarga yang memerlukan bantuan akan mendatangkan inflasi kerana akan terdapatnya lebih banyak wang dalam ekonomi domestik yang mengejar jumlah barangan yang sama. Pandangan yang disokong oleh “pakar ekonomi” seperti CEO kepada Center for Market Education ini, adalah silap. Kita perlu berfikir secara dinamik – wang tambahan dalam tangan keluarga-keluarga yang paling terjejas akan mewujudkan peningkatan dalam permintaan untuk barangan keperluan asas – seperti makanan, pembaikpulihan rumah, kesihatan dan sebagainya – yang kebanyakannya boleh dihasilkan oleh pengeluar-pengeluar dalam negara. Jika 1 juta keluarga mendapat pendapatan asas terjamin RM1,000 sebulan, ia akan merangsang pengeluaran, pemprosesan dan pengagihan barangan asas dan keperluan isi rumah yang lain, dan seterusnya akan menjana peluang perniagaan untuk ribuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan peluang pekerjaan untuk puluhan ribu pekerja – yang sekarang ini dalam keadaan lemah kerana permintaan agregat telah merosot akibat daripada kemelesetan yang disebabkan COVID-19. Terdapat kapasiti terpendam yang mencukupi dalam ekonomi kita untuk memenuhi permintaan tambahan yang akan diwujudkan dengan perbelanjaan tambahan melalui pengewangan hutang.

Tekanan ke atas Ringgit?

Ramai orang bimbang bahawa pengewangan hutang akan membawa kepada penyusutan nilai matawang Ringgit Malaysia. Kebimbangan mereka ini bukannya tidak berasas. Nilai relative sesuatu matawang bergantung agak ketara pada pembekalan dan permintaan matawang tersebut dalam pasaran kewangan antarabangsa. Sekiranya terdapat peningkatan ketara matawang itu dalam pasaran kewangan antarabangsa, maka nilai matawang itu akan menyusut berbanding matawang yang lain.

Sebagai contoh, jika Kerajaan Malaysia dengan bodohnya memutuskan untuk memperoleh kesemua RM185 bilion yang diperlukannya pada tahun 2021 melalui pengewangan hutang, ia bermakna bahawa kita membayar sebanyak RM85 bilion kepada pelabur-pelabur bon yang bon-bon mereka matang pada tahun 2021. Tatacara pengendalian standard (SOP) yang normal adalah mendapatkan RM85 bilion dengan menjual bon-bon kepada sekumpulan pelabur yang baru. Jika SOP normal ini diikuti, tidak wujudnya perubahan bersih dalam pembekalan Ringgit Malaysia dalam pasaran kewangan, kerana walaupun kita membayar RM85 bilion kepada pelabur lama tetapi pada masa yang sama kita juga menerima RM85 bilion daripada kumpulan pelabur yang baru. Oleh itu, amalan ini tidak meningkatkan jumlah matawang Ringgit Malaysia dalam pasaran kewangan.

Inilah sebabnya kenapa PSM telah mencadangkan bahawa Kerajaan Persekutuan patut mendapatkan lebih kurang RM130 bilion dengan menggunakan SOP normal yang menjual kepada pelabur-pelabur biasa. Ini lebih kurang sama dengan jumlah yang kita pinjam pada tahun lalu. Kita hanya menggunakan pengewangan hutang untuk jumlah tambahan – mungkin tambahan RM50 bilion hingga RM80 bilion – yang kita perlukan untuk menangani krisis COVID-19.

Keyakinan pelabur

Ini adalah masalah yang lebih besar. Pelabur-pelabur mungkin ketakutan bahawa jika kerajaan terlampau mengambil pendekatan ini, nilai matawang ringgit akan menyusut dan ini akan menjejaskan nilai pelaburan mereka. Oleh yang demikian, mereka mungkin melepaskan pegangan mereka dalam saham dan bon di Malaysia dan menukar ringgit yang dipegang mereka kepada matawang yang lain untuk melabur di tempat lain. Ini akan meningkatkan jumlah matawang Ringgit Malaysia dalam pasaran kewangan antarabangsa dan memberi tekanan untuk mengurangkan nilai matawang ringgit.

Pelabur-pelabur, sama ada dalam negara atau luar negara, mungkin juga khuatir bahawa Kerajaan Malaysia akan tergoda untuk menggunakan sumber dana yang baru ini untuk membantu syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat kroni dalam mengambilalih ekuiti dalam syarikat-syarikat yang berprestasi baik. Memandangkan terdapatnya persepsi bahawa wujudnya budaya pencari sewa yang ketara dalam kalangan elit politik di negara kita dan juga kecenderungan untuk menggunakan dana awam untuk mengkayakan golongan elit, maka ketakutan bahawa kuasa fiscal kerajaan yang bertambah ini akan disalahgunakan adalah sesuatu yang dapat difahami. Ini mungkin membawa kepada penyahlaburan yang ketara. Pengaliran keluar modal akan meningkatkan lagi pembekalan matawang ringgit dalam pasaran kewangan antarabangsa dan menurunkan nilai matawang ringgit.

Sekiranya nilai matawang ringgit merosot, maka kos import barangan kita akan meningkat, dan harga barangan akan naik. Inflasi boleh berlaku dalam senario ini.

Perlunya garis panduan yang berhemah, telus dan tegas

Jika Malaysia ingin mengeksperimen dengan pengewangan hutang, kita perlu tegas pada diri kita sendiri. Kita harus menetapkan had yang jelas untuk jumlah yang boleh dipinjam daripada Bank Negara dalam satu tahun – mungkin 5% daripada KDNK. Ini bersamaan dengan lebih kurang RM75 bilion pada masa ini. Kita sudah tentu tidak patut meminjam keseluruhan wang ini dalam jumlah besar sekaligus, tetapi mengaturkannya secara berperingkat sepanjang tahun, menilai tahap kemantapan ringgit apabila kita melaluinya.  

Kita juga perlu bersetuju bagaimana dana ini boleh digunakan. Ia akan paling kurang kontroversi jika dana ini digunakan secara eksklusif untuk memberi sokongan kepada keluarga-keluarga yang mengalami kehilangan pendapatan isi rumah kerana kemelesetan, pinjaman mudah kepada PKS yang menghadapi masalah aliran tunai dan memperkembangkan serta memperkukuhkan sistem kesihatan awam kita.

Dan harus adanya ketelusan! Harus adanya undang-undang yang mewajibkan Kementerian Kewangan untuk membentang laporan dalam Parlimen mengenai bagaimana dana ini digunakan sebenarnya. Kita juga patut menetapkan had tempoh masa. Sebagai permulaan, kita patut mengehadkan kemudahan Pengewangan Hutang ini untuk tempoh masa kemelesetan COVID-19 – tahun 2021 dan 2022 sahaja. Selepas itu, kita memberhentikannya dan menilai impaknya terhadap ekonomi dan matawang kita.

“Normal Baharu” memerlukan pendekatan yang berani

Kerajaan Persekutuan memerlukan lebih banyak dana untuk melakukan tiga perkara yang penting. Yang pertama adalah memastikan keluarga-keluarga daripada kumpulan rentan dilindungi – supaya mereka mempunyai wang yang mencukupi dalam tangan untuk mendapatkan makanan asas, penginapan dan kesihatan yang diperlukan mereka. Yang kedua, PKS tidak patut tenggelam kerana masalah aliran tunai. Mereka patut diberi pinjaman bebas faedah sehingga KDNK menunjukkan perkembangan yang positif. Dan yang ketiga, belanjawan Kementerian Kesihatan patut ditambahkan sebanyak RM5 bilion atau 6 bilion lagi. Kementerian Kesihatan sedang melakukan kerjanya dengan agak baik dan wang tambahan yang diperuntukkan kepada mereka akan dapat digunakan dengan baik.

Kita tidak patut membiarkan ketakutan yang tidak jelas dan khayalan yang samar-samar itu menghalang kita daripada menggunakan satu strategi yang akan memberikan kerajaan dana tambahan yang diperlukannya untuk melakukan semua perkara yang penting dalam melindungi semua orang pada masa yang luar biasa ini.

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s