
oleh Thulasidasan Jeewaratinam
Seruan untuk mengaitkan reformasi gaji dengan produktiviti sekali lagi berasaskan andaian bahawa pekerja-pekerja di Malaysia masih belum menerima gaji yang lebih tinggi kerana sumbangan mereka kepada ekonomi masih belum cukup tinggi. Bukti-bukti yang wujud menunjukkan sebaliknya. Parti Sosialis Malaysia (PSM) berpandangan bahawa hujahan yang berulang-ulang tentang peningkatan gaji harus menunggu produktiviti yang lebih tinggi itu meletakkan kereta kuda di hadapan kuda.
Dalam sebuah program yang bertemakan “Mengharungi Ketidaktentuan Luaran, Memperkukuhkan Daya Tahan” (Navigating External Uncertainties, Strengthening Resilience) pada 9 Jun 2026, Akmal Nasir, Menteri Ekonomi, berkata bahawa walaupun gaji yang lebih tinggi adalah perlu, “isu yang lebih besar kita harus menangani ialah produktiviti. Gaji yang lebih baik harus bermakna produktiviti yang lebih baik.” [1] Sambil menganggap sekali lagi Dasar Gaji Progresif (DGP) sebagai penyelesaian, Akmal menambah bahawa sama pekerja-pekerja “suka atau tidak”, penyertaan syarikat-syarikat dan perusahaan-perusahaan dalam DGP adalah penting kerana “usaha untuk menangani isu gaji melibatkan sektor kerajaan dan sektor swasta”.
Inilah sebabnya kenapa pekerja-pekerja semakin ragu-ragu apabila pihak majikan menuntut “lebih banyak produktiviti terlebih dahulu” sebelum memberikan sebarang peningkatan gaji. Persoalannya adalah: produktiviti untuk siapa? Hampir setiap hari, pekerja-pekerja di Malaysia diberitahu tidak habis-habis bahawa gaji yang lebih tinggi itu mesti menunggu sampai produktiviti meningkat lebih tinggi. Namun, bukti menunjukkan bahawa produktiviti buruh di Malaysia telah meningkat secara berterusan selama bertahun-tahun, sementara ganjaran yang diperoleh pekerja masih jauh ketinggalan di belakang.
Mengikut data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), produktiviti buruh yang ditakrif sebagai nilai yang ditambahkan setiap jam telah secara konsistennya berada dalam trend meningkat dan bertumbuh sebanyak 4.9% pada suku keempat tahun 2025 (Q4 2025), dengan jumlah RM45.30 sejam. Ia adalah lebih tinggi berbanding pertumbuhan sebanyak 1.4% pada suku keempat tahun 2024 (Q4 2024), dengan jumlah RM44.20 sejam. [2]
Dari segi sektor, produktiviti buruh mencatatkan pertumbuhan di kebanyakan sektor pada suku Q3 2025 dan Q4 2025. [3] Sektor pembinaan mendahului dalam pertumbuhan dengan kadar 10.3% bagi suku itu berbanding 10.2% dan 9.3% pada dua suku sebelumnya. Sektor pembuatan, pertanian dan perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan buruh sebanyak 6.5%, 5.6% dan 4% masing-masing semasa suku Q4 2025, dengan satu-satunya pengecualian ialah sektor perlombongan, yang produktivitinya menurun daripada 9.2% kepada 4.2% pada suku yang sama. [4] Sementara itu, produktiviti buruh bagi setiap pekerja meningkat, mencecah RM26,765 setiap orang pada suku Q4 2025, berbanding RM24,866.10 per orang pada suku Q1 2025.
Data daripada Institut Penyelidikan Khazanah juga mendedahkan bahawa produktiviti buruh telah meningkat sebanyak “hampir dua setengah kali ganda”, sepanjang tempoh tiga dekad, dari tahun 1985 hingga 2016. Tahap produktiviti buruh pada tahun 1985 ialah kira-kira RM28,000 setiap orang pekerja, diukur berdasarkan harga tahun 2010. Produktiviti buruh pekerja yang sama itu meningkat kepada RM71,000 pada tahun 2016. Peningkatan sebanyak dua setengah kali ganda itu didorong oleh “peningkatan dalam produktiviti buruh di sektor pembuatan, yang meningkat hampir tiga dan setengah kali ganda antara tahun 1985 dan 2016”. [5] Sektor perkhidmatan dan pertanian meningkat kira-kira dua dan setengah kali ganda dan dua kali ganda masing-masing dalam tempoh yang sama. Lebih banyak bukti datang daripada Bank Negara Malaysia, yang bersetuju bahawa “gaji hanya menyamai peningkatan produktiviti terkumpul pada tahun 2024” apabila diindekskan kepada paras tahun 2019. [6]
Padankan maklumat di atas dengan yang berikut: menurut Kementerian Kewangan, ekonomi Malaysia bertumbuh sebanyak 5.2% pada tahun 2024 dan 2025, dan “melebihi jangkaan untuk suku kedua berturut-turut” dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.4% pada suku pertama tahun 2026 (Q1 2026) [7]. Peningkatan tahap produktiviti buruh dalam pelbagai sektor antara suku ketiga tahun 2025 (Q3 2025) dan suku keempat tahun 2025 (Q4 2025) turut disertai dengan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam sektor-sektor itu. KDNK sektor perkhidmatan meningkat daripada 5.3% pada Q3 2025 kepada 6.2% pada Q4 2025; dalam tempoh yang sama, KDNK sektor pembuatan meningkat daripada 4.1% kepada 6.0%, sementara KDNK sektor pertanian bertumbuh daripada 0.2% kepada 5.7%. [8] Produktiviti buruh meningkat, dan KDNK meningkat dan “melebihi jangkaan”, oleh itu apa yang kita terlepas pandang?
Di sinilah angka-angka dalam Ganjaran Pekerja (Compensation of Employees, CE) penting. CE mengukur ganjaran yang dibayar kepada pekerja-pekerja bagi buruh mereka, melalui upah, gaji, bonus, komisen, cuti berbayar dan insentif. Dilihat melalui KDNK, CE boleh dilihat sebagai berapa banyak kekayaan yang terkumpul itu sebenarnya telah disalurkan kepada ganjaran pekerja. Bank Negara Malaysia telah lama mengetengahkan bahawa CE di Malaysia “kekal statik pada sedikit melebihi satu pertiga daripada ekonomi” berbanding negara-negara lain, seperti UK (49.8% daripada KDNK), Amerika Syarikat (51.9% daripada KDNK) dan Jerman (54.7% daripada KDNK). [9] Pada tahun 2024, CE merangkumi 33.6% daripada KDNK, bertambah daripada 33.5% daripada KDNK pada tahun 2023 [10]; dengan kedua-dua angka ini masih jauh kurang berbanding sasaran nisbah 40% menjelang tahun 2030 yang ditetapkan oleh Kerajaan MADANI dalam Rancangan Malaysia Ke-13.
Walau bagaimanapun, pemerhatian yang lebih membimbangkan muncul apabila kita melihat melangkaui angka utama bahagian CE sebanyak 33.6% daripada KDNK, dan meneliti dengan lebih mendalam bahagian CE daripada KDNK mengikut sektor. CE daripada KDNK dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan hanya berada pada 2.2% dan 5.5% masing-masing, iaitu kurang daripada satu perenam bahagian CE daripada KDNK negara terkumpul. Sebaliknya, dua penyumbang yang terbesar kepada bahagian CE daripada KDNK ialah sektor perlombongan dan pembinaan, pada 14.2% dan 18.0% masing-masing. [11] Keadaan ini adalah lebih membimbangkan kerana sektor pembuatan dan perkhidmatan mengupah hampir empat perlima tenaga kerja: pada tahun 2024, sektor perkhidmatan mendahului dengan bahagian pekerjaan yang terbesar, iaitu 51.9% (4.70 juta orang) daripada jumlah pekerjaan, manakala sektor pembuatan berada di tempat kedua dengan 22.7% (2.50 juta orang). [12] Ini bermakna bahawa 79.6% daripada jumlah pekerjaan yang dicipta pada tahun 2024 hanya menyumbang kurang daripada satu perenam bahagian CE dalam KDNK. Sektor perlombongan dan pembinaan, yang masing-masing menyumbangkan sebanyak 14.2% dan 18.0% daripada bahagian CE, hanya masing-masing merangkumi 0.9% (80,000 orang) dan 14.0% (1.27 juta orang) daripada jumlah pekerjaan yang diwujudkan. [13]
Oleh itu, tiga pemerhatian yang jelas dapat dibuat. Yang pertama, tahap produktiviti buruh telah meningkat, seperti yang diperhatikan dalam suku tahun terakhir atau sepanjang tiga puluh tahun yang lalu, dalam kebanyakan sektor. Yang kedua, KDNK telah meningkat dari tahun ke tahun dan malah “melebihi jangkaan”, termasuk dua sektor yang penting, iaitu pembuatan dan perkhidmatan. Yang ketiga, bahagian CE bagi kedua-dua sektor yang mengupah hampir empat perlima daripada tenaga kerja Malaysia itu hanya mengembalikan 2.2% dan 5.5% KDNK masing-masing kepada pekerja-pekerja. Dalam keadaan sedemikian, pekerja-pekerja di Malaysia secara harfiahnya telah menjadi lebih miskin. Menurut Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), “Gagi sebenar telah merosot walaupun produktiviti meningkat.” [14] Antara suku pertama tahun 2020 (Q1 2020) dan suku pertama tahun 2025 (Q1 2025), indek harga pengguna (CPI) meningkat sebanyak 9.8%, sementara harga makanan dan minuman meningkat sebanyak 17.5%. Timbalan Gabenor BNM menyatakan bahawa “gaji nominal dalam sektor swasta hanya meningkat sebanyak 7.9% dalam tempoh yang sama — menyebabkan penurunan gaji sebenar sebanyak 1.9%”. Para graduan pula menghadapi penurunan ketara dalam gaji permulaan median, daripada RM2,112 pada tahun 2018 kepada RM1,747 pada tahun 2023, dengan “ramai orang memasuki pasaran buruh dengan gaji yang menghampiri paras gaji minimum”. Apabila melihat daripada konteks sejarah yang lebih luas, seorang bekas Gabenor BNM juga bersetuju bahawa gaji sebenar di Malaysia “telah merosot hampir tiga kali ganda dalam tempoh empat dekad yang lalu.” [15]
Pertimbangkan sekali lagi keadaan negara kita, di mana hampir 80% daripada tenaga kerja bekerja dalam dua sektor yang membayar ganjaran kepada pekerja-pekerja tidak sampai satu perenam daripada KDNK. Persoalan asas yang sepatutnya ditanya oleh Akmal Nasir ialah: jika produktiviti yang meningkat itu tidak membawa kepada peningkatan gaji, berapa banyak lagi produktiviti yang harus dihasilkan oleh pekerja-pekerja sebelum mereka layak untuk menikmati taraf kehidupan yang bermaruah? Menurut anggaran terkini, 80% daripada rakyat Malaysia “hidup dari gaji ke gaji”, dengan hampir keseluruhan pendapatan bulanan dibelanjakan dalam “perbelanjaan harian, sehingga tinggal sedikit atau langsung tiada simpanan wang”. [16] Perintah Gaji Minimum 2024 hanya meningkatkan lantai gaji rasmi kepada RM1,700 pada bulan Ogos 2025, sedangkan Bank Negara Malaysia, sejak tahun 2018, telah menyarankan gaji sara untuk sebanyak RM2,700 bagi dewasa bujang dan RM4,500 bagi pasangan suami isteri (tanpa anak) yang tinggal di Kuala Lumpur. [17]
Inilah sebabnya mengapa mengikatkan peningkatan gaji dengan produktiviti masa hadapan adalah bagaikan mengalihkan tiang gol. Dasar Gaji Progresif (DGP), yang dipromosikan oleh Menteri Ekonomi terdahulu Rafizi dan diperjuangkan oleh Menteri Ekonomi terkini Akmal Nasir, sekali lagi mengikatkan peningkatan gaji yang sedikit itu dengan produktiviti yang meningkat, kononnya melalui kursus-kursus latihan dan peningkatan kemahiran, tanpa mengambil kira secara dasarnya hakikat bahawa produktiviti telah pun meningkat, tetapi gaji yang masih ketinggalan di belakang. Lebih teruk lagi, DGP beroperasi secara sukarela, bermakna para majikan mempunyai pilihan untuk tidak mengambil bahagian. Jika kerajaan begitu tidak serius dalam meningkatkan gaji bagi pekerja, sehingga dasar penting yang digembar-gemburkan oleh Menteri Ekonomi itu masih bersifat sukarela, bagaimana pekerja-pekerja dapat mempercayai usaha kerajaan MADANI itu “lebih prihatin pada pekerja-pekerja”? [18]
Pekerja-pekerja meningkatkan produktiviti. Gaji ketinggalan di belakang. Kemudian pekerja-pekerja diberitahu pula bahawa produktiviti perlu ditingkatkan lagi sebelum gaji boleh dinaikkan. Oleh itu, isu asasnya bukan sama ada produktiviti itu penting atau tidak. Pekerja-pekerja, melalui produktiviti buruh yang meningkat sepanjang tiga dekad yang lalu, telah menunjukkan bahawa produktiviti juga penting bagi mereka. Sebaliknya, persoalan yang belum terjawab ialah siapa yang menikmati manfaat apabila produktiviti meningkat.
Agenda reformasi gaji yang serius tidak harus bermula dengan memberitahu pekerja-pekerja untuk meningkatkan lagi tahap produktiviti mereka, atau menerima DGP sebagai penyelesaian sama ada pekerja itu “suka atau tidak”. [19] PSM menyedari bahawa reformasi gaji yang sebenar dan bermakna harus bermula dengan mengiktiraf pekerja-pekerja Malaysia telah menjana pertumbuhan produktiviti yang ketara. Cabaran sekarang ialah memastikan bahawa manfaat daripada pertumbuhan itu dapat dikongsikan dengan lebih adil, bukannya terus ditangguhkan sehingga mencapai sasaran produktiviti pada masa akan datang yang nampaknya tidak akan tercapai.
==========
Thulasidasan Jeewaratinam ialah anggota Biro Pekerja Parti Sosialis Malaysia (PSM).
==========
Nota:
[1] Tham, L. (2026, June 9). Wage reform needs industry buy-in, productivity link, says economy minister. FMT. https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2026/06/09/wage-reform-needs-industry-buy-in-productivity-link-says-economy-minister
[2] Labour Productivity. OpenDOSM. https://open.dosm.gov.my/dashboard/labour-productivity
[3] Lee, E. (2025, March 5). Cover Story: Closing the gap between productivity and wages. The Edge. https://theedgemalaysia.com/node/793838
[4] Labour Productivity. OpenDOSM. https://open.dosm.gov.my/dashboard/labour-productivity
[5] Ng. A, & Gen, T. Z. (2017, June 1). Productivity in Progress: Labour Productivity in Malaysia Over the Last Three Decades. Khazanah Research Institute. https://www.krinstitute.org/publications/productivity-in-progress-labour-productivity-in-malaysia-over-the-last-three-decades
[6] Amin, L. (2026, March 31). Malaysia’s wage growth lags productivity, more reforms needed, says BNM. The Edge. https://theedgemalaysia.com/node/798036
[7] MOF. (2026, May 15). Press Release: Malaysia’s Economy Grows 5.4% In Q1 2026, Outpacing Expectations Amid Global Uncertainty. https://mof.gov.my/portal/en/news/press-release/malaysias-economy-grows-5-4-in-q1-2026-outpacing-expectations-amid-global-uncertainty
[8] Gross Domestic Product. OpenDOSM. https://open.dosm.gov.my/dashboard/gdp
[9] Amin, 2026.
[10] Ministry of Economy. (2025, July 30). Gross Domestic Product Income Approach. https://www.dosm.gov.my/portal-main/release-content/gross-domestic-product-income-approach-2024
[11] Ibid.
[12] Ministry of Economy. (2025 February 13). Employment Statistics, Fourth Quarter 2024. https://www.dosm.gov.my/portal-main/release-content/employment-statistics-fourth-quarter-2024
[13] Ibid.
[14] Amin, L., & Qing, Y. Y. (2025, June 17). Experts call for urgent labour reforms as Malaysian real wages decline. The Edge. https://theedgemalaysia.com/node/759261
[15] Malaysia’s real wages down threefold in 40 years, says former BNM governor. (2025, May 4). New Straits Times. https://www.nst.com.my/news/nation/2025/05/1211265/malaysias-real-wages-down-threefold-40-years-says-former-bnm-governor?sfnsn=wa
[16] Husin, M. M. (2026, June 9). 70pct of Malaysian workers earn RM5,000 and below. New Straits Times.
[17] Chong, E., & Khong, F. A. (2018, March). The Living Wage: Beyond Making Ends Meet. Bank Negara Malaysia, Monetary Policy Department.
[18] PM urges employers to be more compassionate towards workers. (2026, May 1). FMT. https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2026/05/01/pm-urges-employers-to-be-more-compassionate-towards-workers
[19] Tham, 2026.
