oleh M. Sivaranjani

Mesyuarat Tergempar Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada 17 Jun 2026 telah memutuskan untuk menangguhkan Kongres Nasional parti serta pemilihan dalaman parti yang pada asalnya dijadualkan pada 24 hingga 26 Julai 2026. Kongres Nasional PSM yang ke-28 akan diadakan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos 2026.

Tarikh baharu bagi Kongres Nasional dan pemilihan parti PSM telah ditetapkan pada 21 hingga 23 Ogos 2026.

Walaupun PSM hanya akan bertanding di beberapa kerusi yang terhad dan akan menyokong MUDA sebagai sebahagian daripada Blok Progresif, Jawatankuasa Pusat mengambil keputusan bahawa tempoh kempen pilihan raya yang sedang berlangsung akan mengganggu tumpuan serta tenaga ahli parti untuk Kongres Nasional. Ini kerana jentera parti perlu digerakkan sepenuhnya bagi menghadapi dua pilihan raya negeri yang akan berlangsung.

Penangguhan ini juga memberi ruang kepada parti untuk mengadakan sesi penilaian dan analisis prestasi pilihan raya, serta memperhalusi strategi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan diadakan pada tahun hadapan.

==========

M. Sivaranjani ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *