- Pendahuluan
- Perhambaan
- Perhambaan dan kapitalisme
- Perdagangan hamba merentasi Lautan Atlantik
- Nasib hamba dari Afrika di Amerika
- Pemberontakan hamba di Hispaniola
- Petempatan Maroon awal yang mentadbir sendiri
- Pemberontakan hamba yang awal di Amerika Selatan
- Pemberontakan hamba yang awal di Amerika Utara
- Perang Maroon dan Pemberontakan Tacky
- Pemberontakan Berbice
- Revolusi Haiti
- Revolusi Haiti mencetuskan gelombang pemberontakan hamba di Caribbean
- Pemberontakan hamba selepas kemerdekaan Amerika Syarikat
- Pemberontakan di atas kapal pengangkut hamba
- Pemberontakan Nat Turner
- Abolisionisme di Empayar British
- Perang Baptis
- Penghapusan perhambaan di tanah jajahan Perancis
- Penghapusan perhambaan di tanah jajahan Denmark
- Usaha awal penghapusan perhambaan di Amerika Syarikat
- Abolisionisme di Amerika Syarikat
- Kansas Berdarah dan Pemberontakan John Brown
- Perang Saudara Amerika
- Usaha penghapusan perhambaan di Amerika Latin
- Penghapusan perhambaan di Brazil
- Impak perjuangan pembebasan hamba

Selepas Christopher Columbus (1451-1506) menjejak kakinya buat pertama kali di atas bumi Hemisfera Barat pada 12 Oktober 1492, di sebuah pulau yang merupakan sebahagian daripada Kepulauan Bahamas, dikenali oleh masyarakat orang asal Taíno sebagai Guanahani, tetapi dipanggil oleh Columbus sebagai San Salvador, maka bermulanya sejarah penjajahan Eropah yang berpanjangan di rantau Amerika. “Dunia Baharu” di mata golongan elit pemerintah Eropah pada masa itu bukan sekadar “ditemui” oleh golongan penjelajah dari Eropah, tetapi ia diceroboh, ditakluk, dijajah, dijarah kekayaannya dan “disusun semula” struktur masyarakatnya untuk menjadi sumber penjanaan keuntungan kepada golongan kapitalis moden.
Untuk mengekstrak sebanyak mungkin kekayaan dari bumi Amerika, golongan pemerintah kolonial di situ memerlukan banyak tenaga buruh, maka mereka mendapatkannya melalui cara mengenakan rantai paksaan ke atas manusia yang lain, dengan pendekatan yang dikenali sebagai perhambaan. Oleh itu, bersama dengan penjajahan di benua Amerika, wujudnya perdagangan hamba merentasi Lautan Atlantik, dan sistem perhambaan yang menjadi asas kepada “pembangunan” ekonomi kapitalis imperialis moden.
Perhambaan yang diamalkan oleh kuasa penjajah Eropah di benua Amerika yang bermula pada penghujung abad ke-15 tidak dapat dipisahkan daripada kelahiran kapitalisme itu sendiri. Sistem perhambaan yang wujud di situ bukannya sekadar peninggalan zaman kuno yang belum dihapuskan, seperti perhambaan yang diamalkan semasa zaman Rom purba atau di Dunia Arab pada zaman pertengahan, sebaliknya merupakan ciptaan pada zaman moden itu sendiri dan menjadi sebahagian yang penting dalam pembangunan kapitalisme moden yang tidak berperikemanusiaan. Kapitalisme yang berada pada peringkat awal pada masa itu memerlukan tenaga buruh murah dalam jumlah yang besar, dan perdagangan hamba merentasi Lautan Atlantik menawarkan solusi yang zalim kepada “keperluan” ekonomi kapitalis moden itu. Perhambaan itu tidak wujud secara tidak sengaja dalam perkembangan sejarah, sebaliknya ia diwujudkan secara sengaja untuk menyediakan asas kepada pembentukan kapitalisme global moden.
Sejak perhambaan itu wujud, dari zaman purba hingga zaman moden, sering berlakunya penentangan oleh golongan hamba abdi. Golongan tuan hamba cuba memadamkan identiti golongan hamba abdi dan menjadikan golongan hamba abdi itu sekadar harta benda yang dimiliki sepenuhnya oleh golongan tuan hamba, tetapi kemanusiaan tidak mungkin dipadamkan begitu sahaja. Pemberontakan hamba untuk kebebasan ialah perjuangan untuk memulihkan kemanusiaan.

Apabila ditekan dengan terlalu hebat, penentangan terhadap tekanan eksploitasi sudah pasti juga sangat hebat. Pemberontakan Spartacus di Republik Rom pada tahun 73-71 SM merupakan perjuangan hamba paling hebat yang dicatatkan semasa zaman purba. Pemberontakan Zanj di wilayah Mesopotamia Hilir dan Khuzestan untuk menentang Kerajaan Bani Abbasiyah di situ pada kurun ke-9 menyaksikan penyertaan ramai hamba yang mendahagakan pembebasan daripada belenggu perhambaan. Pemberontakan hamba juga tidak kurang hebatnya di “Dunia Baharu”, apabila jutaan orang hamba kulit hitam diangkut sebagai barangan dagang merentasi Lautan Atlantik.
Apabila dunia melangkah ke dalam zaman moden dengan kemunculan kapitalisme, dari kapal-kapal pengangkut hamba yang merentasi Lautan Atlantik ke kawasan perladangan yang terbentang luas di bumi Amerika, golongan hamba yang diperah tenaga mereka secara paksaan itu sering kali bangkit melawan. Setiap sebatan cambuk yang meninggalkan luka di atas badan hamba, lambat laun pasti dibalas dengan kebangkitan hamba yang hebat untuk menentang penindasan, menuntut kebebasan, menebus keadilan, menegakkan kesamarataan dan memulihkan kemanusiaan.

Perhambaan
Perhambaan memang sudah lama wujud di dunia sebelum kapitalisme. Perhambaan ialah produk pembentukan masyarakat kelas. Perhambaan merupakan bentuk eksploitasi buruh yang paling kasar dalam masyarakat kelas. Perhambaan adalah sesuatu yang menyahmanusia. Perhambaan menurunkan taraf seseorang manusia kepada sekadar harta benda yang boleh dijual beli dan dieksploitasi tenaga buruhnya sesuka hati oleh tuan hamba.
Perhambaan agak jarang ditemui dalam masyarakat primitif yang mengamalkan corak ekonomi “pemburu-pengumpul”, kerana ia memerlukan lebihan ekonomi untuk menampung pengambilan hamba. Perhambaan hanya mula diamalkan di sesetengah tempat selepas masyarakat manusia mencipta kaedah pertanian untuk pengeluaran makanan semasa Revolusi Neolitik.
Perhambaan menjadi lebih berleluasa dengan pembentukan masyarakat kelas pada zaman purba. Hampir semua tamadun purba mengamalkan perhambaan. Perhambaan pada zaman purba biasanya digunakan sebagai cara untuk pembayaran hutang secara paksaan, penghukuman terhadap jenayah dan penggunaan tenaga buruh tawanan perang. Seorang hamba abdi dipaksa untuk melakukan apa-apa kerja yang disuruh oleh tuan hamba, sama ada untuk membayar hutang atau hanya kerana dia ditawan oleh pihak musuh dalam sesuatu peperangan. Di bawah sistem perhambaan mutlak, seseorang tuan hamba mempunyai hak pemilikan ke atas seseorang manusia bersama tenaga buruhnya.
Kemunculan sistem perhambaan berkaitan rapat dengan pembentukan sistem pemilikan harta persendirian yang menjadi asas kepada masyarakat kelas. Surplus ekonomi dan pertumbuhan bilangan penduduk yang pesat mewujudkan keadaan yang sesuai untuk perhambaan secara besar-besaran. Dalam masyarakat perhambaan, hamba dianggap sebagai harta milik tuan hamba. Hamba itu boleh dijual beli. Hamba menduduki strata yang terbawah dalam susunan masyarakat kelas. Hamba tidak dilayan sebagai manusia. Perhambaan ialah penafian sifat kemanusiaan seseorang insan.

Mereka yang diperhambakan itu sering digunakan oleh tuan hamba sebagai tenaga kerja dalam pelbagai aktiviti ekonomi, seperti pertanian, penternakan, pembinaan dan perlombongan. Ramai hamba juga digunakan sebagai tenaga kerja domestik di rumah orang kaya. Golongan hamba juga digunakan sebagai askar untuk dikorbankan dalam peperangan dan pengawal untuk melindungi kepentingan golongan kelas pemerintah dalam sesebuah masyarakat kelas.
Perhambaan juga berhubung rapat dengan rasisme. Rasisme itu berasaskan fahaman sempit yang menganggap seorang individu atau sekumpulan masyarakat lebih rendah tarafnya berbanding orang lain kerana perbezaan warna kulit atau paras rupanya sehingga orang atau anggota kumpulan masyarakat itu boleh diperhambakan sewenang-wenangnya.
Banyak tamadun dan empayar yang “hebat” pada zaman dahulu dibina di atas asas eksploitasi tenaga buruh hamba, seperti Sumeria, Mesir Purba, Empayar Akkadia, Empayar Assyria, Empayar Qin yang menyatukan tanah besar China, Yunani Purba, Empayar Rom, Empayar Bizantium, Empayar Uthmaniyah, Empayar Khmer dan sebagainya.

Kewujudan perhambaan juga membawa kepada kemunculan perdagangan hamba. Perdagangan Hamba Trans-Sahara yang berlarutan lebih 1,000 tahun mulai kurun ke-7 telah mengangkut jutaan orang hamba abdi dari rantau Afrika Sub-Sahara ke Dunia Arab. Perdagangan Hamba Lautan Hindi juga beroperasi untuk tempoh masa yang sangat panjang. Golongan hamba yang didagangkan itu dijual kepada golongan tuan hamba di tanah asing untuk digunakan sebagai buruh kasar, pembantu rumah dan askar.
Perhambaan dan kapitalisme
Walaupun perhambaan bermula pada zaman purba beribu-ribu tahun dahulu, ia masih wujud pada zaman moden, sebagai bentuk eksploitasi yang paling ketara. Walaupun ekonomi perindustrian moden di bawah kapitalisme nampaknya tidak memerlukan tenaga buruh hamba untuk mengeluarkan komoditi yang dijual di pasaran, perhambaan terhadap tenaga buruh sebenarnya telah menyediakan asas penting kepada pembentukan dan pembangunan ekonomi perindustrian kapitalis itu.

“Perhambaan langsung ialah tunjang perindustrian borjuis yang sama penting seperti jentera, kredit dan sebagainya,” begitu tulisnya Karl Marx (1818-1883) dalam bukunya Misère de la philosophie (Kemiskinan Falsafah, 1847), “Tanpa perhambaan, anda tidak mempunyai kapas; tanpa kapas, anda tidak mempunyai perindustrian moden. Perhambaan memberi nilai kepada tanah jajahan; tanah jajahan mewujudkan perdagangan dunia, dan perdagangan dunia ialah prasyarat kepada perindustrian berskala besar. Oleh itu, perhambaan ialah kategori ekonomi yang paling penting.”
“Tanpa perhambaan di Amerika Utara, negara-negara yang paling progresif akan berubah menjadi negara patriarki. Memadamkan Amerika Utara dari peta dunia, dan anda akan mendapat anarki – kehancuran sepenuhnya perdagangan dan tamadun moden. Menghapuskan perhambaan dan anda akan memadamkan Amerika daripada peta bangsa-bangsa,” ulas Marx mengenai perhambaan di benua Amerika. “Oleh itu, perhambaan, oleh sebab ia merupakan satu kategori ekonomi, sentiasa wujud dalam institusi bangsa-bangsa. Bangsa-bangsa moden hanya mampu menyamarkan perhambaan di dalam negara mereka sendiri, tetapi mereka mengenakannya tanpa penyamaran di Dunia Baharu.”
Daripada perspektif Karl Marx, adalah jelas bahawa perhambaan bukannya sekadar peninggalan zaman lampau, tetapi ia merupakan asas dan komponen penting dalam pembangunan kapitalisme moden. Perhambaan menjadi salah satu bentuk pengeluaran kapitalis yang penting untuk menghasilkan nilai surplus, menjana kekayaan dan membina asas kepada perdagangan dunia serta perindustrian moden. Perhambaan membekalkan bahan mentah yang diperlukan oleh perindustrian moden, dan fungsinya yang ganas dalam proses pengeluaran ekonomi itu tidak dapat dipisahkan daripada pertumbuhan kapitalisme. Perhambaan menggabungkan bentuk kekejaman zaman purba dengan bentuk pengeluaran ekonomi yang moden secara dasarnya.

Perdagangan hamba merentasi Lautan Atlantik
Gelombang pertama perluasan kekuasaan imperialis Eropah, yang diterajui oleh Sepanyol dan Portugal pada awal abad ke-16, telah diiringi dengan pengangkutan hamba dari “Dunia Lama” di Hemisfera Timur ke “Dunia Baharu” di Hemisfera Barat, menandakan permulaan Perdagangan Hamba Atlantik.
Perhambaan telah lama wujud di Semenanjung Iberia (di mana terletaknya Sepanyol dan Portugal) sebelum itu. Semasa zaman pertengahan di Eropah, Sepanyol dan Portugal dibekalkan dengan hamba-hamba bukan Katolik dari Eropah Timur melalui Perdagangan Hamba Balkan dan Perdagangan Hamba Laut Hitam. Menjelang abad ke-15, Perdagangan Hamba Balkan yang dikuasai oleh pedagang-pedagang hamba dari Republik Venezia diambil alih oleh Empayar Uthmaniyah, sementara Perdagangan Hamba Laut Hitam digantikan dengan Perdagangan Hamba Krimea yang dikuasai oleh Kekhanan Krimea untuk membekalkan hamba kepada Empayar Uthmaniyah, lalu memutuskan pembekalan hamba kepada Eropah. Oleh itu, Sepanyol dan Portugal menggantikan sumber pembekalan hamba dengan mengimport hamba dari Kepulauan Canaria (yang terletak di Lautan Atlantik, tidak jauh dari pantai barat laut benua Afrika) yang dijajah oleh Sepanyol dan kemudiannya dari tanah besar Afrika.
Sepanyol dan Portugal pada awalnya memperoleh hamba dengan membelinya daripada pedagang-pedagang hamba Arab yang terlibat dalam Perdagangan Hamba Trans-Sahara. Namun, pada pertengahan abad ke-15, golongan pedagang Portugis mula menangkap warga Afrika di kawasan pantai Barat Laut Afrika untuk membawa mereka ke Eropah dan dijadikan hamba di situ. Golongan penjelajah Portugis membina sebuah kubu di Teluk Arguin (yang terletak di Mauritania hari ini) pada tahun 1445 untuk tujuan perdagangan hamba.

Pada tahun 1452, Paus Nicolaus V mengeluarkan titah perintah Dum Diversas yang memberikan “hak” kepada raja Portugal untuk memperhambakan orang bukan Kristian selama-lamanya. Pada tahun 1454, Paus Nicolaus V mengeluarkan satu lagi titah perintah, Romanus Pontifex, yang membenarkan negara-negara Katolik di Eropah untuk memperluaskan jajahan mereka di wilayah-wilayah yang “ditemui” oleh penjelajah Eropah. Kedua-dua titah perintah daripada Paus Gereja Katolik Rom itu menghalalkan perdagangan hamba dari Afrika Barat, mengesahkan penjajahan Eropah di benua Afrika serta Amerika, dan menyokong pembentukan empayar kolonial Eropah.
Kerajaan Sepanyol pula memperkenalkan undang-undang diskriminasi kaum yang dikenali sebagai “limpieza de sangre” (membawa maksud “ketulenan darah”) untuk melarang golongan Muslim dan Yahudi daripada menetap di benua Amerika yang “ditemuinya”. Undang-undang itu menyediakan asas kepada sistem kasta perkauman yang diamalkan oleh golongan penjajah Sepanyol di Nueva España (Sepanyol Baharu), iaitu tanah jajahan Sepanyol di Amerika.
Pada awal abad ke-16, hamba-hamba Afrika yang diangkut ke Amerika berlepas dari Eropah, bukannya secara terus dari Afrika. Pada tahun 1526, kapal Portugis yang mengangkut hamba-hamba Afrika belayar buat pertama kali terus dari benua Afrika merentasi Lautan Atlantik dan sampai di Brazil yang terletak di benua Amerika. Golongan pedagang Eropah lain turut mengikuti jejak langkah Portugal itu dalam menjalankan perdagangan hamba merentasi Lautan Atlantik dengan mengangkut terus hamba-hamba yang ditawan di Afrika ke Amerika.

Golongan pemilik kapal hamba menganggap hamba-hamba yang diangkut dari Afrika ke Amerika itu sebagai “kargo” untuk dijual pada harga yang semurah mungkin. Hamba-hamba yang dibawa merentasi Lautan Atlantik itu dijual untuk dijadikan tenaga buruh di ladang-ladang yang mengeluarkan kapas, gula, koko, kopi dan tembakau, di lombong-lombong emas dan perak, di sawah padi, di tapak pembinaan, serta di kawasan pembalakan. Ada juga hamba yang “digunakan” sebagai pembantu rumah tangga bagi golongan peneroka kolonial di Amerika.
Walaupun Charles V, Maharaja Rom Suci yang juga merupakan Raja Sepanyol (dikenali sebagai Carlos I), mengeluarkan “Undang-undang Baharu” (Leyes Nuevas) pada tahun 1542 untuk mengharamkan perhambaan terhadap orang asal di Amerika, perhambaan terhadap warga kulit hitam dari Afrika untuk dieksploitasi di Amerika masih berterusan. Walaupun menguasai wilayah jajahan yang sangat luas di Amerika, kerajaan monarki Sepanyol jarang terlibat secara langsung dalam perdagangan hamba merentasi Lautan Atlantik. Sebaliknya, kerajaan Sepanyol “menyumberkan luar” pengimportan hamba ke tanah jajahannya di Amerika dengan memberikan kontrak monopoli, yang dikenali sebagai “Asiento de Negros” (“Perjanjian Orang Kulit Hitam”) kepada golongan pedagang dari negara-negara lain di Eropah untuk membekalkan tenaga buruh hamba kepada Amerika Sepanyol. Empayar Sepanyol memerlukan tenaga buruh hamba dari Afrika untuk pengeluaran ekonomi di tanah jajahannya di Amerika, tetapi ia tidak menguasai wilayah jajahan di Afrika Barat yang merupakan sumber utama tenaga buruh hamba, maka ia bergantung kepada golongan pedagang hamba dari Portugal untuk bekalan tenaga buruh hamba.

Selepas Perang Warisan Sepanyol (1701-1714) yang menandakan kemerosotan kekuasaan Empayar Sepanyol secara ketara, kerajaan British mula menguasai monopoli terhadap pengimportan hamba-hamba Afrika di Amerika Sepanyol.
Syarikat Afrika Diraja (RAC) yang ditubuhkan oleh kerajaan Inggeris dan golongan pedagang London pada tahun 1660 menjadi salah sebuah syarikat perdagangan utama dari England yang terlibat dalam aktiviti perdagangan hamba, dengan hamba-hamba Afrika mula diangkut dalam jumlah yang besar ke wilayah-wilayah jajahan Inggeris di Amerika Utara menjelang tahun 1680-an.
Ramai dalam kalangan golongan hamba dari Afrika yang dihantar ke wilayah-wilayah jajahan Inggeris pada awalnya merupakan “hamba kontrak”, dengan status mereka di sisi undang-undang serupa dengan pekerja-pekerja kontrak yang datang dari Kepulauan British. Namun, menjelang pertengahan abad ke-17, keadaan hamba di Amerika menjadi lebih teruk apabila amalan kasta perkauman diperketatkan, dengan hamba-hamba dari Afrika dan anak-anak mereka dijadikan harta milik penuh tuan hamba di sisi undang-undang. Kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu yang merupakan hamba turut dijadikan hamba abdi seumur hidupnya. Hamba abdi yang dianggap sebagai harta milik persendirian itu dijual di pasaran seperti barangan dan perkhidmatan yang lain.

Dalam tempoh 341 tahun, dari tahun 1526 hingga 1867, dianggarkan kira-kira 12.5 juta orang yang kehilangan kebebasan mereka dimasukkan ke dalam kapal-kapal pengangkut hamba di Afrika untuk dibawa merentasi Lautan Atlantik, dan antaranya kira-kira 10.7 juta orang tiba di rantau Amerika. Kira-kira 12% daripada golongan hamba yang diangkut merentasi Lautan Atlantik itu mati dalam perjalanan. Lebih ramai lagi hamba mati tidak lama selepas mereka tiba di rantau Amerika. Jumlah keseluruhan sebenar mereka yang mati dalam proses perdagangan hamba merentasi Lautan Atlantik itu masih menjadi misteri, tetapi adalah dianggarkan jumlah itu bersamaan atau melebihi bilangan hamba yang dapat terus hidup di “Dunia Baharu”. Perdagangan Hamba Atlantik boleh dikatakan penghijrahan paksaan besar-besaran yang paling ngeri dalam sejarah manusia.
Kebanyakan orang yang diangkut dan didagangkan dalam Perdagangan Hamba Atlantik datang dari Afrika Tengah dan Afrika Barat. Sebahagian besar golongan hamba itu dijual oleh golongan pedagang hamba Afrika Barat kepada golongan pedagang hamba Eropah, sementara adanya sebahagian hamba ditangkap secara langsung oleh golongan pedagang hamba Eropah dalam serbuan di kawasan pantai di Afrika Barat. Golongan pedagang hamba Eropah mengumpulkan dan menahan hamba-hamba di kubu-kubu yang didirikan di kawasan pantai Afrika sebelum mengangkut mereka ke Hemisfera Barat.
Bilangan hamba yang diangkut keluar dari Afrika mencecah 30,000 orang setahun pada tahun 1690-an, dan meningkat kepada 85,000 orang setahun selepas satu abad. Antara tahun 1700 dan 1850, lebih 80% daripada hamba Afrika dipaksa untuk merentasi Lautan Atlantik.
Menjelang tahun 1820, bilangan orang Afrika (dengan semuanya merupakan hamba) yang merentasi Lautan Atlantik mencecah hampir empat kali ganda berbanding orang Eropah; sementara kira-kira empat perlima daripada golongan wanita yang merentasi Lautan Atlantik datang dari Afrika merupakan hamba abdi. Dari tahun 1821 hingga 1830, iaitu pada ketika benua Eropah memasuki zaman pasca-Napoleon yang didominasi kuasa-kuasa konservatif Kongres Vienna, lebih 80,000 orang hamba diangkut keluar dari Afrika dengan kapal setiap tahun. Dalam tempoh 20 tahun selepas itu, lebih 1 juta orang, iaitu hampir bersamaan satu persepuluh jumlah orang yang diperhambakan semasa Perdagangan Hamba Atlantik, diangkut ke Amerika.

Kebanyakan hamba Afrika yang dibawa ke wilayah jajahan Amerika Utara British sampai antara tahun 1720 dan 1780. Kebanyakan hamba Afrika yang dibawa ke Brazil datang dari Angola di bahagian barat daya Afrika. Lebih 90% hamba Afrika dihantar ke rantau Kepulauan Caribbean dan Amerika Selatan. Hanya kira-kira 6% daripada hamba Afrika dihantar terus ke Amerika Utara British. Namun, menjelang tahun 1825, populasi Amerika Syarikat (yang mencapai kemerdekaan daripada kerajaan British berikutan Revolusi Amerika) merangkumi kira-kira satu perempat daripada orang berketurunan Afrika di Hemisfera Barat.
Kapal-kapal pengangkut hamba dari Eropah sering menggunakan laluan “perdagangan segi tiga”. Kapal-kapal pedagang Eropah yang membawa barangan buatan perindustrian bertolak dari pelabuhan-pelabuhan di Eropah untuk belayar ke Afrika. Di Afrika, golongan pedagang Eropah membeli orang Afrika yang ditawan sebagai hamba. Kapal-kapal pedagang itu mengangkut hamba-hamba Afrika yang dibeli dari pasaran hamba di Afrika untuk merentasi Lautan Atlantik ke tanah jajahan kuasa imperialis Eropah di rantau Amerika. Di Amerika, golongan pedagang hamba dari Eropah menjual hamba-hamba Afrika kepada golongan peneroka kolonial yang memerlukan tenaga buruh di ladang dan lombong. Hasil daripada penjualan hamba itu digunakan untuk membeli barangan keluaran tanah jajahan Eropah di Amerika, seperti gula, kopi, kapas, tembakau, nila dan pelbagai bahan mentah yang diperlukan oleh sektor perindustrian di Eropah. Kapal-kapal pedagang Eropah itu kemudiannya mengangkut balik barangan keluaran tanah jajahan di Amerika ke Eropah.

Golongan pedagang Portugis dan Belanda mendominasi perdagangan hamba merentasi Lautan Atlantik pada abad ke-16 dan ke-17, tetapi kedudukan mereka digantikan oleh golongan pedagang British dan Perancis menjelang abad ke-18. Negara-negara Eropah lain yang mula memeluk ekonomi kapitalis juga terlibat dalam perdagangan hamba merentasi Lautan Atlantik, termasuk Sepanyol, Denmark, Sweden, Prusia dan beberapa buah negara kota Itali. Golongan pedagang dari Tiga Belas Jajahan, dan kemudiannya Amerika Syarikat selepas mencapai kemerdekaan dari Britain, juga terlibat dalam perdagangan hamba. Warga Afrika yang diperhambakan itu kebanyakannya datang dari wilayah seperti Senegambia, Guinea Hulu, Pantai Windward, Pantai Emas, Teteluk Benin, Teteluk Biafra dan Angola.
Hampir satu pertiga daripada semua kapal yang terlibat dalam perdagangan hamba merentasi Lautan Atlantik dilengkapi di Liverpool, London, Bristol dan pelabuhan-pelabuhan lain di Britain. Kira-kira 13% kapal pengangkut hamba belayar dari pelabuhan-pelabuhan di Perancis, seperti Nantes, Bordeaux, Le Havre dan La Rochelle. Charleston, yang terletak di Carolina Selatan, merupakan bandar pelabuhan hamba yang terbesar di Amerika Syarikat dengan kira-kira 40% daripada hamba Afrika yang dibawa masuk ke Amerika Syarikat mendarat di situ. Di Amerika Selatan, bandar-bandar pelabuhan di Brazil seperti Recife, Salvador dan Rio de Janeiro menjadi pusat pengimportan hamba yang penting.

Nasib hamba dari Afrika di Amerika
Golongan hamba yang dibawa dari Afrika untuk dijadikan buruh paksaan di Amerika hidup dalam keadaan yang amat teruk. Golongan hamba kulit hitam tidak dilayan sebagai manusia. Mereka dianggap sebagai harta dan barangan yang dimiliki sepenuhnya oleh golongan tuan hamba kulit putih yang berasal dari Eropah. Mereka dianggap sebagai unit perburuhan yang boleh dipakai buang sesuka hati. Mereka langsung tidak mempunyai kebebasan dan hak untuk menentukan nasib sendiri.
Golongan hamba dinafikan hak untuk memiliki harta mereka sendiri. Mereka juga dilarang daripada menjadi buruh upahan. Segala keperluan asas golongan hamba, seperti makanan, pakaian dan tempat kediaman, perlu bergantung kepada “ehsan” golongan tuan hamba. Kebergantungan itu merupakan sesuatu yang penting untuk memelihara kekuasaan tuan hamba dan mengekalkan hubungan eksploitasi di bawah sistem perhambaan.

Golongan hamba sering mengalami penindasan dan penganiayaan, seperti keganasan fizikal, keganasan seksual, penderaan dan perogolan. Mereka sering dihukum dengan penderaan, seperti disebat dengan cambuk. Anak-anak mereka dinafikan hak untuk mendapatkan pendidikan. Anak-anak yang dilahirkan oleh hamba juga dianggap sebagai hamba. Keluarga hamba sering dipecahkan secara paksaan, dengan anggota-anggota keluarga hamba dijual secara berasingan kepada orang lain sehingga mereka tidak dapat lagi bertemu antara satu sama lain.
Penindasan dan penganiayaan terhadap golongan hamba sering mencetuskan penentangan daripada golongan hamba. Adanya hamba yang melakukan penentangan secara pasif, seperti berpura-pura sakit, melambat-lambatkan kerja dan merosakkan peralatan kerja, malah adanya yang terus melarikan diri. Adanya juga hamba yang membunuh diri untuk “membebaskan” diri mereka daripada perhambaan. Adanya hamba yang lebih berani terus mencabar tuan hamba, malah membunuh tuan hamba dan memberontak untuk membebaskan diri mereka. Golongan hamba kulit hitam yang berjaya melarikan diri atau membebaskan diri dikenali sebagai “Maroon”. Sesetengah golongan Maroon mendirikan petempatan mereka di kawasan yang susah dicapai oleh golongan penjajah dan bekas tuan hamba mereka.

Terdapat sesetengah hamba yang dapat membebaskan diri mereka melalui manumisi, iaitu tindakan tuan hamba sendiri untuk membebaskan orang yang diperhambakannya. Manumisi itu boleh berlaku dalam beberapa keadaan, misalnya dibuat sebagai tanda penghargaan kepada hamba itu atas perkhidmatannya untuk satu tempoh yang lama, atau sebagai ganjaran untuk mendorong hamba itu bekerja lebih keras. Pembebasan hamba melalui cara manumisi sering kali juga berkaitan rapat dengan pengaruh perkembangan gerakan penghapusan perhambaan, yang dikenali sebagai abolisionisme, dan pemberontakan hamba itu sendiri, sehingga sesetengah golongan tuan hamba mula menyedari bahawa mereka tidak boleh mengekalkan perhambaan itu dan menyimpan hamba-hamba mereka buat selama-lamanya.
Sejak golongan hamba dari Afrika dibawa masuk ke rantau Amerika, perjuangan untuk membebaskan hamba dan menghapuskan sistem perhambaan tidak pernah berhenti. Sepanjang kewujudan perhambaan di benua Amerika, pernah tercetusnya pelbagai pemberontakan hamba, daripada usaha membebaskan diri daripada perhambaan sehingga mencabar seluruh sistem perhambaan itu sendiri. Perjuangan menghapuskan sistem perhambaan merupakan sebahagian penting perjuangan rakyat untuk pembebasan diri, kesamarataan ekonomi dan keadilan sosial.

Pemberontakan hamba di Hispaniola
Pemberontakan hamba berketurunan Afrika di Hemisfera Barat yang paling awal berlaku di Santo Domingo, iaitu tanah jajahan Sepanyol yang didirikan pada tahun 1492 di Pulau Hispaniola apabila Christopher Columbus menjejak kakinya buat pertama kali di rantau Caribbean.
Pada 25 Disember 1521, ketika golongan penjajah Sepanyol menyambut Hari Natal, golongan hamba di Pulau Hispaniola melancarkan pemberontakan untuk menentang golongan penjajah Eropah dan membebaskan diri mereka daripada perhambaan. Pemberontakan itu bermula di ladang gula yang dimiliki oleh Diego Columbus, anak Christopher Columbus yang juga merupakan gabenor Santo Domingo pada masa itu. Sejarah lisan tempatan di Santo Domingo mengatakan bahawa pemberontakan itu dipimpin oleh Maria Wolofa dan Gonzalo Mandinga, sepasang kekasih yang berasal daripada suku kaum Wolof dari wilayah Senegambia, Afrika Barat.
Namun, pemberontakan hamba itu dipatahkan oleh pihak berkuasa penjajah Sepanyol tidak lama kemudian. Beberapa hari selepas pemberontakan itu, pihak berkuasa penjajah Sepanyol memperkenalkan undang-undang yang lebih ketat dan keras untuk mengawal hamba-hamba di situ dengan niat mencegah pemberontakan hamba seterusnya. Undang-undang itu menyekat pergerakan fizikal hamba, melarang hamba daripada mengangkat senjata, mengarahkan tuan hamba untuk menyimpan daftar hamba yang ketat dan memperkenalkan hukuman berat dalam bentuk penderaan fizikal serta hukuman mati.

Walaupun pemberontakan hamba di Santo Domingo pada tahun 1521 dipatahkan, ramai hamba berjaya melarikan diri dan membawa kepada pembentukan komuniti Maroon yang terawal di rantau Amerika. Pemberontakan itu juga merupakan perintis dan pembuka jalan kepada lebih banyak lagi pemberontakan hamba di rantau Amerika yang dijajah oleh kuasa imperialis Eropah.
Terdapat catatan bahawa berlakunya pemberontakan hamba pada tahun 1526 di San Miguel de Gualdape, sebuah kawasan jajahan Sepanyol di tanah besar Amerika Utara (yang kini merupakan negeri Carolina Selatan dan Georgia, Amerika Syarikat). Ia dikatakan sebagai pemberontakan hamba terawal di tanah besar Amerika Utara.
Pada tahun 1532, Sebastián Lemba, seorang hamba yang berasal daripada suku kaum Lemba dari bahagian selatan Afrika, melancarkan pemberontakan terhadap pihak berkuasa kolonial Sepanyol di wilayah Kekaptenan Jeneral Santo Domingo. Golongan hamba yang memberontak itu berjaya melarikan diri ke kawasan pedalaman Pulau Hispaniola yang bergunung-ganang dan memulakan peperangan terhadap kerajaan penjajah Sepanyol, dengan hasrat membebaskan Hispaniola daripada cengkaman perhambaan.
Dalam tempoh 15 tahun selepas itu, golongan pemberontak yang dipimpin oleh Sebastián Lemba melakukan serangan ke atas kawasan perkampungan penjajah di Pulau Hispaniola untuk merampas makanan serta bekalan daripada golongan penjajah Sepanyol, membebaskan hamba-hamba yang lain dan mensabotaj ekonomi penjajah. Golongan pemberontak pimpinan Sebastián Lemba menggunakan taktik perang gerila, termasuk serangan langgar lari terhadap ladang-ladang dan kawasan petempatan penjajah Sepanyol. Tentera pemberontak yang dipimpin oleh Sebastián Lemba telah disertai oleh pejuang-pejuang yang hebat seperti Diego Guzmán, Juan Criollo, Juan Vaquero, Fernando Montoro dan Diego del Ocampo.

Pemberontakan Sebastián Lemba telah membawa kerugian besar kepada golongan penjajah Sepanyol dan menarik perhatian daripada komuniti-komuniti Maroon lain di rantau Caribbean yang menganggapnya sebagai model perjuangan mereka sendiri untuk menentang pemerintahan kolonial.
Sebastián Lemba ditangkap oleh pihak berkuasa kolonial Sepanyol pada bulan September 1547 dan dihukum mati. Sebastián Lemba diperingati oleh rakyat di Republik Dominika (yang mencapai kemerdekaan sementara pada tahun 1821 dan kemudiannya pada tahun 1844) sebagai seorang wira rakyat yang berani bangkit melawan kolonialisme dan perhambaan di rantau Caribbean.
Petempatan Maroon awal yang mentadbir sendiri
Sekitar tahun 1570, Gaspar Yanga, seorang hamba yang berasal dari Afrika Tengah dan dijual ke Nueva España (iaitu wilayah jajahan Sepanyol di Amerika Utara yang merangkumi Mexico hari ini), melarikan diri dari ladang gula yang diuruskan oleh golongan penjajah Sepanyol bersama sekumpulan hamba di situ. Hamba-hamba yang melarikan diri itu mendirikan petempatan kecil di kawasan pergunungan yang berhampiran dengan Veracruz yang terletak di bahagian timur Mexico hari ini. Populasi komuniti Maroon yang dipimpin oleh Gaspar Yanga bertumbuh sehingga kira-kira 500 orang dan mentadbir secara sendiri tanpa gangguan luar selama tiga dekad.
Pada tahun 1609, pihak berkuasa kolonial Sepanyol melancarkan serangan ketenteraan terhadap komuniti Maroon yang dipimpin oleh Gaspar Yanga. Pasukan tentera Sepanyol menceroboh petempatan Maroon dan membakarnya, tetapi golongan pejuang Maroon di situ melawan balik dengan penuh keberanian. Oleh sebab golongan pejuang Maroon sudah biasa dengan rupa bumi di kawasan sekeliling mereka, mereka mampu menangkis serangan tentera kolonial Sepanyol. Keadaan menemui kebuntuan bertahun-tahun lamanya, dengan golongan penjajah Sepanyol tidak dapat mematahkan golongan pejuang Maroon sehingga terpaksa berunding dengan Gaspar Yanga pada tahun 1618.

Gaspar Yanga berjaya merundingkan kebebasan untuk hamba-hamba yang melarikan diri dan kebenaran untuk mewujudkan perkampungan yang ditadbir sendiri oleh golongan Maroon. Perkampungan Maroon yang mengamalkan pentadbiran sendiri dan terletak berdekatan Córdoba itu dikenali sebagai San Lorenzo de los Negros. Penduduk-penduduk kulit hitam di San Lorenzo mengisytihar kesetiaan mereka kepada Gereja Katolik dan Raja Sepanyol, tetapi enggan membayar ufti kepada kerajaan Sepanyol. Pekan San Lorenzo kemudiannya dinamakan semula kepada Yanga pada tahun 1932, sebagai penghormatan kepada Gaspar Yanga. Kewujudan petempatan Maroon yang “merdeka” itu memberi ilham kepada perjuangan untuk pembebasan hamba selanjutnya.
Pemberontakan hamba yang awal di Amerika Selatan
Pada sekitar tahun 1539-1542, Juliana, seorang hamba wanita berketurunan Guaraní yang merupakan salah satu suku kaum masyarakat orang asal di Amerika Selatan, membunuh seorang penjajah Sepanyol yang merupakan tuan hambanya di Asunción (iaitu ibu negara Paraguay hari ini) dengan menggunakan racun, dan menggesa wanita orang asal lain untuk turut berbuat demikian. Pihak berkuasa kolonial Sepanyol menghukum mati Juliana untuk memberi amaran kepada golongan wanita orang asal lain supaya jangan memberontak sepertinya. Tindakan Juliana itu boleh dianggap sebagai pemberontakan masyarakat orang asal yang paling awal terhadap penjajahan Sepanyol di Amerika Selatan.

Pada tahun 1552, Miguel de Buría, seorang hamba berketurunan Afrika yang dibawa masuk dari San Juan, Puerto Rico, ke sebuah lombong emas yang terletak di Wilayah Barat Tengah Venezuela hari ini, melarikan diri bersama dengan sekumpulan hamba yang tidak dapat lagi tahan dengan penganiayaan di kawasan lombong. Mereka yang melarikan diri itu berselindung di kawasan pergunungan yang berdekatan dan melancarkan serangan ke atas lombong milik golongan penjajah Sepanyol, sehingga membunuh beberapa orang penjajah Sepanyol dan membebaskan hamba-hamba lain di situ. Miguel kemudian mengangkat dirinya sebagai Raja Buría yang memerintah wilayah yang dikuasainya. Miguel dan golongan bekas hamba yang dipimpinnya cuba menawan sebuah bandar yang dikuasai oleh golongan penjajah Sepanyol tetapi menemui kegagalan. Miguel dibunuh oleh tentera Sepanyol yang dikerahkan untuk mematahkan pemberontakan hamba di situ.
Sekitar tahun 1605, 40 orang hamba dari Afrika Tengah yang melarikan diri dari pantai utara Brazil yang dikuasai oleh penjajah Portugis, mendirikan sebuah petempatan “quilombo” (iaitu komuniti hamba yang bebas) di kawasan hutan yang berbukit-bukit. Petempatan hamba yang melarikan diri itu dikenali sebagai “Quilombo dos Palmares”. Pihak berkuasa Portugis enggan membiarkan quilombo itu daripada terus wujud, maka sering melancarkan serangan ke atasnya. Pada tahun 1694, tentera penjajah Portugis melancarkan serangan besar-besaran ke atas Quilombo dos Palmares, dan mengambil masa 42 hari untuk menewaskan komuniti bekas hamba di situ yang dipimpin oleh Zumbi dos Palmares (1655-1695), seorang yang dilahirkan bebas daripada ibu bapa bekas hamba. Golongan Maroon dari Quilombo dos Palmares masih meneruskan perjuangan mereka untuk melawan golongan penjajah, tetapi Zumbi dos Palmares dibunuh dan dipancung kepalanya oleh pihak berkuasa Portugis pada 20 November 1695. Walaupun dihancurkan oleh pihak berkuasa penjajah, kewujudan Quilombo dos Palmares sepanjang hampir seluruh kurun ke-17 telah mencabar kekuasaan penjajah dan menjadi teladan kepada perjuangan penentangan hamba pada masa akan datang.

Pemberontakan hamba yang awal di Amerika Utara
Di Panama yang dijajah oleh Sepanyol sejak tahun 1500-an, seorang hamba yang bernama Felipillo memimpin satu pemberontakan hamba pada tahun 1549, dengan hamba-hamba yang melakukan kerja penangkapan mutiara di Kepulauan Mutiara dan hamba-hamba yang bekerja di ladang-ladang di tanah besar Panama melarikan diri ke kawasan pergunungan. Dari tempat persembunyian mereka, Felipillo dan pengikut-pengikutnya melancarkan serbuan ke atas ladang-ladang milik penjajah Sepanyol. Pada tahun 1551, Felipillo dan 30 orang pengikutnya ditangkap oleh pihak berkuasa kolonial Sepanyol. Felipillo dihukum mati, dan pengikut-pengikutnya yang lain dijual semula sebagai hamba.
Pada tahun 1552, kira-kira 1,200 orang hamba yang melarikan diri di Panama, yang dikenali sebagai Cimarron, di bawah kepimpinan seorang bekas hamba yang bernama Bayano, mendirikan sebuah tempat perlindungan hamba dan melancarkan perang terhadap golongan penjajah Sepanyol selama 5 tahun. Pihak berkuasa kolonial akhirnya menawan tempat perlindungan hamba itu dan menangkap semula ramai hamba, termasuk Bayano sendiri. Bayano dihantar ke Amerika Selatan dan mati dalam tahanan di situ.
Pada 1 September 1663, sekumpulan hamba kontrak di Daerah Gloucester, Jajahan Virginia, mengadakan pertemuan untuk merancang pemberontakan terhadap tuan hamba mereka, tetapi rancangan itu dibocorkan kepada pihak berkuasa kolonial Inggeris oleh salah seorang hamba yang menghadiri pertemuan itu. Oleh itu, rancangan pemberontakan hamba itu dipatahkan sebelum ia dapat dilancarkan. Namun, ia menjadi pendahulu kepada lebih banyak lagi pemberontakan hamba yang bakal berlaku selepas itu.
Di Martinique, sebuah pulau yang terletak di bahagian timur Laut Caribbean dan dijajah oleh Perancis selepas ia merampas pulau itu daripada Sepanyol pada tahun 1635, pemberontakan hamba besar-besaran yang pertama tercetus pada tahun 1678 tetapi dipatahkan secara keras oleh pihak berkuasa kolonial Perancis.
Pada 6 April 1712, sekumpulan hamba kulit hitam di Bandar New York melancarkan pemberontakan bersenjata dengan membakar sebuah bangunan di Manhattan dan menyerang golongan peneroka kolonial di situ. 8 orang peneroka kulit putih terbunuh dalam pemberontakan itu, tetapi pemberontakan itu dipatahkan hampir serta-merta dengan semua hamba yang cuba melarikan diri itu ditangkap dan dikembalikan kepada tuan punya mereka. Pihak berkuasa kolonial kemudiannya menangkap 70 orang hamba kulit hitam dan memenjarakan mereka. 27 orang hamba yang ditangkap itu dihadap ke mahkamah untuk dibicarakan. 6 orang hamba yang ditangkap itu membunuh diri sebelum perbicaraan bermula. 21 orang disabit kesalahan dan dijatuhkan hukuman mati, di mana 20 orang dibakar hidup-hidup dan seorang lagi dibunuh dengan roda pemecah. Selepas itu, pihak berkuasa kolonial British memperkenalkan undang-undang yang lebih ketat untuk mengawal golongan hamba di situ.

Ramai orang yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mereka yang mengambil bahagian dalam Pemberontakan Hamba New York 1712 kemudiannya terlibat dalam “Konspirasi New York 1741”, satu komplot oleh golongan hamba kulit hitam dan golongan warga kulit putih miskin di Provinsi New York untuk memberontak terhadap pihak berkuasa kolonial British di situ. Pihak berkuasa kolonial British menangkap 172 orang, kebanyakannya warga kulit hitam yang merupakan hamba atau bekas hamba, dengan tuduhan berkonspirasi untuk membakar Bandar New York, selepas berlakunya siri kebakaran di bandar itu pada bulan Mac-April 1741. Selepas perbicaraan yang penuh bermasalah, 17 orang warga kulit hitam dan 4 orang warga kulit putih miskin dihukum gantung sampai mati, 13 orang warga kulit hitam dikenakan hukuman dibakar di tiang sampai mati, 70 orang warga kulit hitam dan 7 orang warga kulit putih dibuang daerah dari New York.
Pada tahun 1730, kira-kira 200 orang hamba berhimpun di Daerah Princess Anne, Jajahan Virginia yang dikuasai oleh kerajaan British. Mereka tersalah anggap bahawa Raja George II telah mengeluarkan arahan untuk membebaskan semua hamba yang dibaptis di tanah jajahan British di Amerika Utara kerana khabar angin yang tersebar dalam kalangan golongan hamba. Golongan hamba yang berhimpun itu menuntut pihak berkuasa kolonial untuk menghormati titah raja. Golongan peladang kolonial kulit putih bertindak untuk menyuraikan perhimpunan itu secara keras dan menangkap sesetengah hamba. Ratusan orang hamba melarikan diri ke kawasan paya, tetapi diburu oleh pihak berkuasa kolonial.
Pada 23 November 1733, tercetusnya pemberontakan hamba di Kepulauan Hindia Barat Denmark (yang kemudiannya menjadi Kepulauan Virgin Amerika Syarikat pada tahun 1917), iaitu wilayah jajahan Syarikat Hindia Barat Denmark. Golongan hamba di Pulau Sankt Jan (dikenali sebagai Saint John hari ini) bangkit memberontak terhadap golongan pemilik dan pengurus ladang di pulau itu. Golongan hamba yang memberontak itu berasal dari Akwamu (terletak di Ghana hari ini) dan dipimpin oleh seorang hamba wanita yang bernama Breffu. Dengan golongan tuan hamba di situ melarikan diri, golongan pemberontak hamba berjaya menawan kubu di Coral Bay, yang terletak di bahagian tenggara Sankt Jan, dan menguasai hampir seluruh pulau itu buat beberapa bulan. Golongan pemberontak hamba itu malah cuba memulihkan pengeluaran hasil tanaman di situ. Namun, pihak penjajah Denmark meminta bantuan daripada golongan penjajah Perancis di Martinique. Tentera Perancis yang berkelengkapan lebih canggih telah dikerahkan dari Martinique untuk mematahkan pemberontakan hamba di Sankt Jan. Apabila ditewaskan oleh tentera kolonial, Breffu membunuh diri bersama 23 orang pemberontak hamba yang lain untuk mengelakkan diri mereka daripada ditangkap. Golongan penjajah memulihkan penguasaan mereka terhadap Pulau Sankt Jan pada penghujung bulan Mei 1734, dan pasukan militia tempatan yang diwujudkan oleh golongan penjajah terus memburu hamba-hamba yang melarikan diri sehingga bulan Ogos 1734. Pemberontakan hamba di Sankt Jan merupakan perjuangan pemberontakan hamba yang berlarutan paling lama di rantau Caribbean setakat itu.

Pada 9 September 1739, di wilayah Carolina Selatan yang merupakan tanah jajahan British di Pantai Timur Amerika Utara, Jemmy Cato, seorang hamba yang celik huruf, mengumpulkan 22 orang hamba berketurunan Afrika di kawasan berhampiran Sungai Stono, yang terletak kira-kira 30 km dari Charleston, ibu kota wilayah Carolina Selatan. Mereka berarak di jalan dengan mengangkat sepanduk yang tertulis perkataan “Kebebasan!”. Mereka menyerang sebuah kedai di Jambatan Sungai Stono, membunuh dua orang pekedai dan merampas senjata di situ.
Golongan pemberontak hamba yang dipimpin oleh Jemmy telah mengumpulkan lebih ramai lagi orang dalam perjalanan untuk mencari perlindungan di selatan. Mereka juga membakar 6 buah ladang dan membunuh sekurang-kurangnya 23 orang penjajah kulit putih. Golongan peladang kolonial dan pemilik hamba lain mengumpulkan sekumpulan militia untuk mematahkan pemberontakan hamba itu. Dalam satu pertempuran antara golongan pemberontak hamba dan militia penjajah kulit putih pada 10 September 1739, 47 orang hamba mati terkorban sementara 23 orang penjajah terbunuh. Golongan penjajah memenggal kepala hamba-hamba yang memberontak dan meletakkannya di atas tiang di sepanjang jalan utama sebagai amaran kepada hamba-hamba lain supaya jangan memberontak. Leftenan Gabenor Carolina Selatan mengupah orang asal dan hamba lain untuk memburu hamba yang melarikan diri. Kebanyakan pemberontak hamba dihukum mati, sementara yang lain dijual kepada pasaran hamba di Kepulauan Hindia Barat. Dewan perundangan Carolina Selatan kemudiannya menggubal Akta Negro 1740 untuk memperketatkan kawalan ke atas hamba-hamba berketurunan Afrika. Pemberontakan Stono merupakan pemberontakan hamba terbesar di Jajahan Selatan Amerika British.
Di Montserrat, sebuah pulau jajahan British yang merupakan sebahagian daripada Kepulauan Lindung Angin di Caribbean Timur, golongan hamba di situ cuba melancarkan pemberontakan pada tahun 1768. Namun, pemberontakan itu dipatahkan dengan mudah apabila rancangan pemberontakan didedahkan oleh salah seorang hamba kepada pengetahuan golongan penjajah. 9 orang pemberontak digantung sampai mati, sementara 30 orang dipenjarakan dan kemudiannya dijual ke pulau-pulau lain.

Perang Maroon dan Pemberontakan Tacky
Pulau Jamaica yang terletak di Laut Caribbean, kira-kira 145 km di selatan Kuba dan 191 km di barat Pulau Hispaniola, pada awalnya dijajah oleh Sepanyol selepas Christopher Columbus mendarat di situ pada penghujung abad ke-15. Golongan penjajah mendirikan petempatan Eropah berkekalan yang pertama di atas pulau itu pada tahun 1509. Ia dijadikan tanah jajahan Inggeris pada tahun 1655 selepas tentera ekspedisi Inggeris menceroboh pulau itu dan merampasnya daripada pihak penjajah Sepanyol. Golongan penjajah British membangunkan sebuah ekonomi perladangan di Jamaica dengan menggunakan tenaga buruh hamba yang diimport dari benua Afrika melalui Perdagangan Hamba Atlantik.
Selepas golongan penjajah Sepanyol meninggalkan Jamaica, golongan hamba yang diperhambakan oleh penjajah Sepanyol sebelum itu mendirikan komuniti Maroon di kawasan pergunungan di bahagian tengah pulau itu. Golongan Maroon itu terdiri daripada bekas hamba yang berasal dari Afrika dan bercampur dengan masyarakat orang asal Taino yang juga pernah diperhambakan oleh penjajah Sepanyol. Selepas Jamaica diduduki golongan penjajah Inggeris, sesetengah masyarakat Maroon bersekutu dengan pihak Sepanyol yang hendak merampas semula pulau itu dan bertempur dengan golongan penjajah Inggeris. Namun, apabila mendapati pihak penjajah Inggeris semakin kukuh kedudukannya dalam menguasai Pulau Jamaica, kumpulan Maroon yang diketuai oleh Juan de Bolas (1604-1664) bertukar pendirian dan bersekutu dengan Inggeris untuk mengusir keluar semua penjajah Sepanyol.
Charles Lyttelton (1628-1716), seorang pegawai tentera Inggeris yang dilantik sebagai Gabenor Jamaica pada tahun 1662, menandatangani perjanjian pertama dengan masyarakat Maroon pada tahun 1663, yang memberikan tanah kepada Juan de Bolas dan pengikut-pengikutnya dengan syarat yang sama dengan peneroka kolonial Inggeris, sebagai “balasan” kepada sokongannya dalam menyingkirkan semua penjajah Sepanyol. Pihak berkuasa kolonial Inggeris juga membayar kumpulan Maroon yang diketuai oleh Juan de Bolas untuk memburu anggota-anggota komuniti Maroon lain yang mengancam kepentingan penjajah Inggeris. Namun, Juan de Bolas terbunuh dalam satu serangan hendap yang dilancarkan oleh golongan pejuang Maroon yang mungkin setia pada Juan de Serras, seorang lagi ketua masyarakat Maroon di situ.
Juan de Serras dan penyokong-penyokongnya terus menyerang petempatan-petempatan penjajah Inggeris, di mana mereka membakar rumah penjajah, merampas makanan dan membebaskan hamba-hamba di situ. Komuniti Maroon yang dipimpin oleh Juan de Serras menjadi tarikan bagi hamba-hamba yang cuba melarikan diri daripada tuan hamba Inggeris. Golongan penjajah Inggeris pernah melancarkan beberapa kempen ketenteraan terhadap Juan de Serras dan komunitinya pada tahun 1670-an, tetapi tidak dapat menewaskan golongan Maroon sepenuhnya. Komuniti Maroon yang dipimpin oleh Juan de Serras berundur ke kawasan pergunungan yang lebih terpencil lagi di bahagian timur Jamaica untuk mengelakkan diri daripada serangan tentera Inggeris yang lebih lanjut. Golongan Maroon yang berselindung di kawasan pergunungan di bahagian timur Pulau Jamaica kemudiannya membentuk komuniti yang dikenali sebagai Maroon Windward.
Pada tahun 1673, kira-kira 200 orang hamba berketurunan Afrika memberontak di wilayah Saint Ann, yang terletak di pantai utara Pulau Jamaica, dan mewujudkan sebuah komuniti Maroon yang berasingan, dikenali sebagai Maroon Leeward. Komuniti Maroon Leeward bergabung dengan sebuah lagi kumpulan hamba dari Madagaskar yang terselamat daripada kapal karam dan membentuk komuniti Maroon sendiri di wilayah Saint George, yang terletak di bahagian timur laut Jamaica. Beberapa lagi pemberontakan hamba, terutamanya pemberontakan yang melibatkan kira-kira 400 orang hamba berketurunan Afrika pada tahun 1690 di sebuah ladang di wilayah Clarendon, yang terletak di bahagian selatan Pulau Jamaica, memperkuatkan lagi komuniti Maroon Leeward di Jamaica.
Golongan Maroon Leeward di wilayah Clarendon yang berasal daripada kumpulan etnik Akan dari Afrika Barat menubuhkan pekan yang ditadbir mereka sendiri di kawasan pedalaman bergunung-ganang. Salah seorang pemimpin Maroon Leeward yang terkenal di situ ialah Kojo (atau dieja sebagai Cudjoe). Pada masa yang sama, munculnya pemimpin-pemimpin penting dalam kalangan Maroon Windward di bahagian timur Jamaica, antaranya Quao dan Ratu Nanny (juga dikenali sebagai Nenek Nanny atau “Pengasuh Maroon”).
Sejak awal lagi, pihak berkuasa kolonial Inggeris di Jamaica menganggap komuniti-komuniti Maroon sebagai penghalang kepada pembangunan kepentingan Inggeris di kawasan pedalaman pulau itu. Pihak berkuasa kolonial Inggeris pernah mengarahkan serbuan ke atas petempatan Maroon pada tahun 1686 dan 1702, tetapi tidak begitu berkesan. Komuniti Maroon di Jamaica pula menyerbu ladang-ladang milik penjajah Inggeris dari semasa ke semasa.
Di bawah kepimpinan Ratu Nanny, seorang bekas hamba wanita yang berasal daripada suku Ashanti di Ghana hari ini, sebuah petempatan Maroon Windward yang lebih kuat, yang dikenali sebagai Pekan Nanny, dibangunkan pada awal abad ke-18.
Untuk menghapuskan komuniti-komuniti Maroon di Jamaica demi membangunkan petempatan penjajah British yang lebih lanjut, kerajaan British menghantar lebih banyak tentera ke Jamaica pada bulan September 1728. Pada tahun yang sama, kerajaan British melantik Major-Jeneral Robert Hunter (1666-1734) sebagai Gabenor Jamaica. Hunter mengambil pendekatan yang lebih keras terhadap komuniti Maroon di Jamaica, maka meningkatkan lagi ketegangan di pulau itu sehingga mencetuskan Perang Maroon Pertama (1728-1739).
Pada tahun 1729, Jeddo, seorang pejuang Maroon Windward, mengetuai satu serangan ke atas Port Antonio di bahagian timur laut Jamaica. Apabila tentera British cuba mengejar pejuang-pejuang Maroon itu, mereka dikejutkan dengan serangan hendap daripada pejuang-pejuang Maroon.
Golongan Maroon menggunakan taktik perang gerila untuk mencetuskan gangguan terhadap pasukan militia penjajah British. Pada tahun 1730-an, pihak berkuasa kolonial British pula mula mengatur strategi untuk memutuskan komunikasi antara golongan Maroon Windward dan golongan Maroon Leeward.
Pada tahun 1730, sebuah pasukan militia kolonial dalam jumlah yang besar dikerahkan untuk bertempur dengan golongan Maroon Windward, tetapi ditewaskan oleh pejuang-pejuang Maroon yang dipimpin oleh Ratu Nanny dan Quao. Kerajaan British menghantar dua rejimen tambahan ke Jamaica pada tahun 1731 untuk membantu Robert Hunter dalam perangnya terhadap golongan Maroon.
Pada tahun 1732, Robert Hunter mengerahkan tiga pasukan tentera untuk bertempur dengan golongan Maroon Windward. Apabila golongan Maroon yang dipimpin oleh Ratu Nanny berundur ke kawasan pergunungan yang lebih terpencil, pasukan militia penjajah British menduduki Pekan Nanny. Namun, pendudukan terhadap Pekan Nanny agak mencabar, dan Hunter akhirnya memanggil balik pasukan militia di situ, maka membolehkan golongan Maroon mengambil alih semula pekan mereka tanpa pertempuran. Pada tahun 1733, Hunter menghantar lagi sepasukan tentera British untuk bertempur dengan golongan Maroon Windward, tetapi ditewaskan oleh pejuang-pejuang Maroon.
Robert Hunter mati di Jamaica pada tahun 1734, dan penggantinya juga tidak berjaya dalam menewaskan golongan Maroon. Pada tahun itu, golongan Maroon Windward bertempur dengan tentera British di wilayah Portland (terletak di bahagian timur laut Jamaica) dan Saint George. Pejuang-pejuang Maroon yang dipimpin oleh Ratu Nanny berjaya menewaskan sebuah lagi pasukan tentera British. Sekumpulan hamba berketurunan Afrika yang dibebaskan berjaya menawan sebuah ladang di wilayah Saint George. Golongan Maroon Windward mara ke arah barat untuk meneruskan penentangan mereka terhadap golongan penjajah British. Menjelang penghujung tahun 1734, jumlah penduduk kulit putih di Jamaica hanya tinggal kira-kira 2,000 orang, sementara eksport gula merosot dengan ketara, dan pulau itu berada dalam keadaan darurat.
Pada tahun 1735, golongan Maroon Leeward yang dipimpin oleh Kojo menawan sebuah berek tentera di bahagian barat Jamaica. Selepas kumpulan militia penjajah British menduduki Pekan Nanny sekali lagi, pejuang-pejuang Maroon Windward melancarkan serangan ke atas sebuah kubu di Port Antonio yang terletak di bahagian timur laut Jamaica. Pada tahun 1736, golongan Maroon di kedua-dua bahagian barat dan timur Pulau Jamaica melancarkan beberapa serangan ke atas wilayah yang dikuasai oleh golongan peladang kolonial British. Pada tahun 1737, golongan Maroon melakukan lebih banyak serangan di kawasan pantai.
Oleh sebab gagal menewaskan golongan pejuang Maroon, pihak berkuasa kolonial British memulakan pembinaan berek di beberapa buah tempat untuk memperkukuhkan pertahanan. Namun, pembinaan berek memakan kos yang tinggi, dan sesetengah peladang kolonial enggan membiayainya kerana mereka sendiri tidak diganggu oleh golongan Maroon. Peperangan yang berpanjangan dengan masyarakat Maroon terbukti merugikan golongan penjajah British sehingga pihak berkuasa kolonial British mula mengambil pendirian untuk merundingkan perjanjian damai dengan masyarakat Maroon di situ.
Pada tahun 1739, John Guthrie, seorang peladang dan pemimpin militia kolonial, menandatangani perjanjian damai yang pertama dengan Kojo, pemimpin Maroon Leeward yang sudah berjuang bertahun-tahun untuk mengekalkan kemerdekaan komunitinya. Dalam perjanjian itu, pihak penjajah British mengiktiraf kebebasan dan autonomi masyarakat Maroon Leeward. Masyarakat Maroon Leeward juga “diberikan” sebidang tanah yang luas dan tidak perlu membayar sebarang cukai ke atas tanah itu. Sebagai syarat pertukaran, Kojo bersetuju untuk tidak akan memberi perlindungan kepada mana-mana hamba yang melarikan diri pada masa hadapan, dan berjanji untuk membantu pihak British dalam mematahkan sebarang pemberontakan hamba.

Beberapa bulan kemudian, di bawah tekanan daripada golongan penjajah British dan golongan Maroon Leeward, golongan Maroon Windward yang dipimpin oleh Quao juga bersetuju untuk menandatangani perjanjian damai dengan pihak penjajah British. Perjanjian damai itu telah memaksa golongan Maroon, yang merupakan orang berketurunan bekas hamba itu, untuk menyokong sistem perhambaan di Pulau Jamaica. Namun, terdapat perbezaan dalam syarat-syarat perjanjian yang ditandatangani oleh pihak penjajah British dengan kumpulan Maroon yang berbeza, di mana golongan Maroon Windward dikenakan sekatan yang lebih ketat ke atas aktiviti pertanian mereka dan peruntukan tanah yang lebih kecil berbanding apa yang diterima oleh golongan Maroon Leeward.
Pada tahun 1740-an, terdapat sesetengah golongan Maroon Leeward yang menentang perjanjian damai 1739 itu bangkit untuk memberontak, tetapi pemberontakan itu dipatahkan oleh Kojo yang hendak mengotakan janjinya dalam perjanjian damai dengan penjajah British.
Dua dekad kemudian, pada 7 April 1760, tercetusnya pemberontakan hamba di ladang-ladang gula di Port Maria, yang terletak di bahagian timur laut Jamaica. Pemberontakan itu diterajui oleh orang Kromanti, iaitu hamba yang berasal daripada kumpulan etnik Akan dan dibawa masuk dari rantau Pantai Emas di Afrika Barat. Pemberontakan itu mendapat inspirasi daripada kejayaan perjuangan golongan Maroon sebelum itu, seperti yang ditunjukkan dalam Perang Maroon Pertama.
Pemimpin pemberontakan itu ialah Tacky, seorang ketua suku kaum Akan di kampung halamannya yang terletak di Ghana hari ini tetapi ditawan oleh tentera Belanda dalam peperangan dan dijual sebagai hamba ke Jamaica. Tacky dan penyokong-penyokongnya merancang untuk mengambil alih Pulau Jamaica daripada golongan penjajah British, supaya mendirikan sebuah negara yang bebas dan merdeka.
Golongan hamba yang memberontak itu merampas senjata api yang disimpan di bilik stor Fort Haldane dan terus berusaha untuk membebaskan hamba-hamba di ladang-ladang lain. Pihak berkuasa kolonial British mengerahkan tentera dan militia untuk mematahkan pemberontakan hamba yang mengegarkan Pulau Jamaica itu. Pihak berkuasa kolonial juga memanggil bantuan daripada masyarakat Maroon yang dikehendaki untuk menghormati perjanjian yang dibuat sebelum itu.

Kumpulan pejuang yang diketuai oleh Tacky ditewaskan oleh kumpulan militia yang terdiri daripada golongan Maroon pada 14 April 1760, seminggu selepas tercetusnya pemberontakan. Tacky ditembak mati oleh seorang penembak Maroon yang bernama Davy, dan kepalanya dipenggal untuk mendapatkan ganjaran yang lumayan. Kepala Tacky kemudian dipamerkan di atas sebatang tiang di Spanish Town yang terletak di bahagian tenggara Jamaica sehingga seorang pengikutnya menurunkan kepalanya pada waktu tengah malam. Pengikut-pengikut Tacky yang lain membunuh diri untuk mengelakkan diri mereka daripada diperhambakan semula. Pemberontakan Tacky merupakan pemberontakan hamba yang terbesar di Jamaica setakat itu sehingga satu lagi pemberontakan hamba yang lebih besar tercetus pada tahun 1831.
Pada 25 Mei 1760, golongan hamba di bahagian barat Jamaica yang dipimpin oleh Apongo, seorang putera dari Afrika Barat yang diperhambakan dan dijual kepada penjajah British di Jamaica, melancarkan pemberontakan yang bermula di Westmoreland. Pemberontakan hamba yang dipimpin oleh Apongo itu mendapat inspirasi dan dorongan langsung daripada Pemberontakan Tacky.
Selepas gagal mematahkan pemberontakan yang dipimpin oleh Apongo pada peringkat awal, pihak berkuasa kolonial British mengisytihar darurat dan mengerahkan tentera dalam jumlah yang lebih besar. Ramai pemberontak membunuh diri apabila mendapati bahawa mereka sudah ditewaskan oleh pihak penjajah British.
Apongo ditangkap oleh militia kolonial pada 3 Julai 1760 dan dijatuhkan hukuman mati. Dia digantung dengan rantai selama tiga hari, dan mati dalam sangkar yang mengurungnya sebelum sempat menjalani hukuman dibakar sampai mati.
Golongan pemberontak yang masih tinggal kemudiannya dipimpin oleh Simon, seorang hamba yang membebaskan dirinya sendiri. Golongan pemberontak hamba yang berselindung di kawasan Cockpit Country melancarkan beberapa serangan ke atas ladang-ladang di wilayah Saint Elizabeth di bahagian barat daya Jamaica. Golongan pemberontak yang dipimpin oleh Simon cuba memperjuangkan pengiktirafan kebebasan mereka seperti yang dinikmati oleh golongan Maroon di situ. Namun, golongan pemberontak terus diburu oleh pihak berkuasa kolonial British.
Pada tahun 1761, kumpulan pemberontak yang dipimpin oleh Simon berpindah ke wilayah Clarendon di bahagian selatan Jamaica, dan Simon dikatakan terbunuh dalam satu pertempuran dengan pasukan tentera yang memburunya di situ. Golongan pemberontak yang masih tinggal meneruskan perjuangan dengan bentuk perang gerila. Walaupun pihak berkuasa kolonial British mengisytihar pada penghujung tahun 1761 bahawa pemberontakan hamba di bahagian barat Jamaica sudah dipatahkan sepenuhnya, masih terdapat segelintir kecil pemberontak hamba berselindung di kawasan pedalaman hutan.
Pada masa yang sama dengan Pemberontakan Tacky, di bahagian tenggara Jamaica, di Kingston, golongan Kromanti di situ mengangkat seorang hamba wanita yang bernama Akua, atau juga dikenali sebagai Cubah, sebagai “Ratu Kingston”. Apabila pihak berkuasa kolonial British mendapat tahu tentang perkara itu, Akua dituduh terlibat dalam “konspirasi untuk memberontak” dan diangkut keluar dari Pulau Jamaica. Namun, semasa berada di atas kapal, Akua menyogok kapten kapal itu untuk menurunkannya di kawasan pantai yang terletak di bahagian barat Jamaica, di mana dia menyertai golongan Kromanti yang memberontak di situ. Beberapa bulan kemudian, Akua ditangkap oleh pihak berkuasa kolonial dan dihukum mati.
Pihak berkuasa kolonial British mengambil masa yang agak lama untuk mematahkan sepenuhnya saki baki Pemberontakan Tacky dan “memulihkan ketenteraman” di Jamaica. Ratusan orang pemberontak dibunuh. Lebih 500 orang pemberontak yang ditangkap semula telah dijual kepada tuan hamba baharu di Honduras British yang terletak di tanah besar Amerika Tengah. Susulan itu, dewan perundangan kolonial menggubal beberapa buah undang-undang zalim untuk memperketatkan pengawalseliaan terhadap pergerakan hamba.
Walau bagaimanapun, pemberontakan hamba yang diterajui oleh Tacky dan Apongo terus memberi inspirasi kepada pemberontakan selepas itu. Pada tahun 1764, pihak berkuasa kolonial di Spanish Town mematahkan satu konspirasi pemberontakan hamba. Pada tahun 1765, berlakunya satu pemberontakan di wilayah Saint Mary, tetapi dipatahkan oleh pihak berkuasa kolonial, dengan pemimpin pemberontakan itu, Abruco, dikenakan hukuman bakar sampai mati. Pada tahun 1766, satu lagi pemberontakan hamba berlaku di wilayah Westmoreland.
Golongan Maroon yang membantu pihak penjajah British dalam mematahkan Pemberontakan Tacky pula sering menghadapi masalah pencerobohan tanah oleh golongan peladang kolonial. Golongan Maroon Leeward di Trelawny Town merasakan diri mereka telah dilayan dengan teruk di bawah syarat-syarat perjanjian yang ditandatangani pada tahun 1739, sehingga mencetuskan Perang Maroon Kedua (1795-1796).

Pada tahun 1795, dua orang Maroon disabit kesalahan mencuri khinzir oleh mahkamah di Montego Bay yang terletak di bahagian barat laut Jamaica, dan mahkamah mengarahkan seorang hamba kulit hitam untuk menyebat dua orang Maroon itu. Hukuman yang berbentuk penghinaan itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan golongan Maroon di Trelawny Town. Golongan Maroon telah membantu pihak berkuasa kolonial untuk memburu hamba kulit hitam yang melarikan diri selama berdekad-dekad, tetapi akhirnya anggota masyarakat mereka sendiri disebat oleh hamba kulit hitam. Apabila 6 orang pemimpin Maroon, termasuk Montague James dan John Jarret, cuba mengemukakan tuntutan masyarakat Maroon kepada pihak berkuasa kolonial British, mereka terus ditahan. Peristiwa itu mencetuskan konflik bersenjata antara masyarakat Maroon di Trelawny Town dan pihak berkuasa British.
Namun, kumpulan Maroon di Trelawny Town yang melakukan perjuangan gerila kurang mendapat sokongan daripada kumpulan Maroon yang lain. Komuniti-komuniti Maroon Windward di bahagian timur Pulau Jamaica mengambil pendirian neutral dalam konflik itu. Kumpulan Maroon Leeward di Accompong Town pula terus berpihak kepada golongan penjajah British untuk melawan kumpulan Maroon Leeward di Trelawny Town.
Pada awalnya, pasukan militia kolonial British mengalami angka korban yang lebih tinggi berbanding golongan pejuang Maroon di Trelawny Town. Namun, apabila pihak penjajah British menggunakan strategi bumi hangus terhadap golongan Maroon di Trelawny Town, pejuang-pejuang Maroon menghadapi kesukaran untuk mendapatkan makanan, air dan peluru. Memandangkan tidak dapat menewaskan pihak berkuasa kolonial, golongan Maroon di Trelawny Town akhirnya menyerah kalah. Golongan Maroon dipaksa untuk menandatangani sebuah perjanjian yang agak menghina bagi mereka, di mana mereka perlu merayu dengan melutut untuk meminta pengampunan daripada Raja Britain. Kebanyakan Maroon di Trelawny Town diusir ke Nova Scotia di Kanada.
Pemberontakan Berbice
Kira-kira dua tahun selepas Pemberontakan Tacky di Jamaica, satu pemberontakan hamba tercetus di Guyana Belanda, iaitu tanah jajahan Belanda di pantai timur laut Amerika Selatan. Pemberontakan hamba yang tercetus pada bulan Februari 1763 dan berlarutan lebih setahun itu dipimpin oleh Kofi Badu, yang juga dikenali sebagai Cuffy, seorang Kromanti berketurunan etnik Akan dari Afrika Barat dan ditawan sebagai hamba serta diangkut merentasi lautan dalam Perdagangan Hamba Atlantik.
Wilayah di sepanjang Sungai Berbice, yang terletak di bahagian timur Guyana hari ini, mula dijajah oleh Syarikat Hindia Barat Belanda (WIC) pada tahun 1627. Wilayah jajahan Berbice pada awalnya merupakan tanah milik persendirian keluarga Van Peere. Berbice diduduki oleh privatir Perancis pada tahun 1712. Keluarga Van Peere enggan membayar wang tebusan kepada pihak Perancis untuk mendapat semula tanah jajahan itu, tetapi lima orang pedagang Belanda membayar untuk menebus semula tanah jajahan itu daripada pihak Perancis. Lima orang “pemilik” baharu itu menubuhkan “Persatuan Berbice”, sebuah syarikat swasta yang disenaraikan di Bursa Saham Amsterdam pada tahun 1720 untuk mengumpulkan modal bagi tanah jajahan itu.
Menjelang tahun 1760-an, terdapat kira-kira 4,000 orang hamba di Berbice. Semasa berlakunya Perang Tujuh Tahun (1756-1763), iaitu peperangan global yang melibatkan kuasa-kuasa Eropah pada masa itu, bekalan keperluan asas kepada wilayah jajahan Berbice menghadapi gangguan, maka mengakibatkan masalah kebuluran dalam kalangan golongan hamba di situ. Pada tahun 1762, ramai askar yang ditempatkan di Berbice jatuh sakit, malah ada yang mati, kerana penularan wabak penyakit berjangkit di situ. Pada 3 Julai 1762, apabila pemilik Ladang Goed Fortuin meninggalkan ladangnya ke Fort Nassau, iaitu ibu kota wilayah Berbice, golongan hamba di ladang kopi itu menggunakan kesempatan itu memberontak, melarikan diri dan bersembunyi di kawasan hulu sungai.

Pada 23 Februari 1763, golongan hamba di Ladang Magdalenenberg yang terletak di sepanjang Sungai Canje, anak sungai utama Sungai Berbice, melancarkan pemberontakan kerana mereka tidak dapat lagi tahan dengan layanan buruk dan tidak berperikemanusiaan di situ. Mereka membakar rumah ladang dan beredar ke Sungai Courantyne di timur wilayah Berbice, tetapi diserang oleh pasukan tentera penjajah Belanda dari wilayah jajahan Suriname.
Pada 27 Februari 1763, golongan hamba yang dipimpin oleh Kofi Badu di Ladang Hollandia yang terletak di tebing Sungai Berbice bangkit memberontak. Pemberontakan itu terus merebak ke ladang-ladang yang berhampiran. Dengan satu demi satu ladang ditawan oleh golongan pemberontak hamba, golongan peneroka kolonial Belanda melarikan diri ke arah utara, dan golongan pemberontak mengambil alih kawasan yang ditinggalkan oleh golongan penjajah. Untuk tempoh hampir setahun, golongan pemberontak kulit hitam menguasai bahagian selatan wilayah Berbice, sementara golongan penjajah kulit putih masih dapat menguasai bahagian utara wilayah Berbice.
Jumlah pemberontak yang dipimpin oleh Kofi Badu adalah kira-kira 3,000 orang. Mereka telah menggugat kepentingan penjajah Belanda di Guyana. Kofi Badu diangkat sebagai pemimpin politik, sementara rakan seperjuangannya Akara diangkat sebagai pemimpin tentera. Kofi Badu cuba memastikan ladang-ladang yang ditawan oleh golongan pemberontak itu terus beroperasi untuk mencegah kebuluran. Gabenor Berbice meminta bantuan ketenteraan daripada kerajaan Belanda.
Kofi Badu cuba mengadakan rundingan dengan pihak penjajah Belanda, untuk memecahkan wilayah Berbice kepada dua bahagian yang masing-masing dikuasai oleh golongan penjajah Eropah dan golongan bekas hamba dari Afrika. Namun, pihak berkuasa kolonial Belanda berlengah-lengah untuk memberi jawapan kepada cadangan Kofi Badu, sementara menunggu tentera bantuan yang dikerahkan dari wilayah-wilayah jajahan Eropah yang lain di Suriname dan Caribbean.
Kofi Badu melancarkan serangan ke atas golongan penjajah pada bulan Mei 1763, tetapi mengalami kekalahan dan ramai orang pemberontak hamba terkorban. Kekalahan di medan perang mengakibatkan perpecahan dalam kalangan golongan pemberontak dan melemahkan organisasi mereka. Akara menerajui usaha menentang Kofi Badu dan mencetuskan perang saudara antara mereka. Pada bulan Oktober 1763, seorang lagi pemimpin pemberontak, Atta, memberontak terhadap Kofi Badu, dan Kofi Badu dilaporkan telah membunuh diri.

Pada bulan Januari 1764, dengan bantuan ketenteraan dari luar sudah sampai di wilayah Berbice, pihak berkuasa penjajah Belanda melancarkan serangan terhadap golongan pemberontak hamba dan menewaskan mereka. Atta dan Akara ditawan. Selepas ditangkap, Akara bertukar pihak dan membantu pihak Belanda untuk menangkap Accabre, pemimpin pemberontak hamba yang terakhir ditangkap pada 15 April 1764. Pihak penjajah Belanda menghukum mati ramai pemberontak.
Selain memperjuangkan pembebasan hamba, Pemberontakan Berbice juga merupakan perjuangan anti-kolonial yang penting di Guyana.
Di Suriname, sebuah lagi wilayah jajahan Belanda yang bersebelahan dengan Guyana, terdapat komuniti Maroon yang dibentuk oleh golongan hamba yang melarikan diri dari ladang-ladang penjajah. Golongan Maroon di situ juga pernah bangkit menentang golongan penjajah, dengan salah seorang pemimpin yang terkenal ialah Boni (1730-1793). Ibu Boni merupakan seorang hamba yang melarikan diri daripada tuan hamba Belanda, dan Boni membesar dalam masyarakat Maroon yang tinggal di sepanjang Sungai Cottica di bahagian timur laut Suriname. Boni kemudiannya muncul sebagai pemimpin bagi sebuah komuniti Maroon yang kemudiannya dikenali sebagai Aluku.
Pada tahun 1760, masyarakat orang Ndyuka, sebuah komuniti Maroon yang tinggal berdekatan dengan masyarakat orang Aluku, menandatangani perjanjian damai dengan golongan penjajah untuk mendapatkan autonomi wilayah. Masyarakat orang Aluku juga menginginkan perjanjian damai yang serupa, tetapi “Persatuan Suriname”, sebuah syarikat swasta yang ditubuhkan untuk menguruskan wilayah jajahan Suriname, melancarkan perang ke atas komuniti Aluku yang dipimpin oleh Boni pada tahun 1768. Boni dan pejuang-pejuang Aluku menggunakan taktik gerila untuk melawan golongan penjajah Belanda. Mereka membina sebuah kubu di kawasan paya di wilayah Commewijne, dikenali sebagai Fort Boekoe, dan dari situ mereka melancarkan serbuan ke atas ladang-ladang milik penjajah Belanda, untuk merampas bekalan keperluan dan senjata di samping membebaskan hamba-hamba di situ.
Pada tahun 1772, golongan penjajah Belanda mendapat bantuan daripada sepasukan tentera yang terdiri daripada 300 orang bekas hamba dan dipimpin oleh pegawai-pegawai kulit putih, untuk menyerang dan memusnahkan Fort Boekoe. Boni dapat melepaskan diri dan berundur ke arah timur. Pejuang-pejuang Maroon yang dipimpin oleh Boni meneruskan perjuangan dan bergerak sepanjang Sungai Lawa, yang merupakan sempadan antara Suriname dan Guiana Perancis. Masyarakat orang Ndyuka pada awalnya menyerang komuniti orang Aluku kerana dikatakan telah menceroboh ke dalam wilayah mereka, tetapi satu perjanjian damai dicapai pada tahun 1779 antara dua komuniti Maroon itu, dan Boni berjanji bahawa dia tidak akan menyerbu ladang-ladang penjajah Belanda.
Apabila sebuah ladang diserang oleh orang Maroon pada tahun 1788, pertempuran antara golongan Maroon dan golongan penjajah Belanda bersambung semula. Masyarakat orang Aluku yang dipimpin oleh Boni terpaksa melarikan diri ke wilayah Guiana Perancis pada tahun 1791 kerana diburu oleh pihak berkuasa kolonial Belanda. Pada 19 Februari 1793, Boni dikhianati dan dibunuh oleh seorang ketua suku kaum Ndyuka yang bersekutu dengan golongan penjajah Belanda. Walaupun ditumpaskan, Boni menjadi lagenda yang melambangkan perjuangan golongan Maroon di Suriname untuk pembebasan diri.
Belanda menghapuskan perdagangan hamba merentasi Lautan Atlantik pada tahun 1814, dan menandatangani perjanjian dua hala dengan Britain pada tahun 1818 untuk mengambil langkah-langkah tambahan dalam menguatkuasakan larangan perdagangan hamba. Pada 1 Julai 1863, kerajaan Belanda menghapuskan perhambaan di wilayah-wilayah jajahannya, maka membebaskan kira-kira 33,000 orang hamba di Suriname dan kira-kira 12,000 orang di Curaçao pada masa itu.

Revolusi Haiti
Di Saint-Domingue, tanah jajahan Perancis di atas Pulau Hispaniola yang terletak di timur Pulau Jamaica di rantau Caribbean, tercetusnya pemberontakan hamba yang hebat pada bulan Ogos 1791, kemudiannya membawa kepada penghapusan perhambaan di situ pada tahun 1793, dan akhirnya kemerdekaan sepenuhnya Haiti daripada pemerintahan penjajah Perancis pada 1 Januari 1804. Perjuangan pembebasan hamba dan penyahjajahan yang hebat serta penuh bergelora itu dikenali sebagai “Revolusi Haiti”.
Sebelum tercetusnya pemberontakan hamba kulit hitam pada tahun 1791, Saint-Domingue, atau Haiti, merupakan tanah jajahan Eropah yang paling kaya di rantau Amerika. Ia mengeluarkan lebih separuh daripada kopi di dunia dan merupakan tempat pengeluar gula yang paling penting pada masa itu. Kekayaan dari Saint-Domingue dijana daripada eksploitasi yang hebat terhadap ratusan ribu hamba berketurunan Afrika yang menjadi buruh paksaan di situ. Penduduk-penduduk di tanah jajahan itu disusun dalam hierarki kelas sosial yang tegar, dengan golongan hamba kulit hitam berkedudukan paling rendah, selain kelas-kelas sosial yang lain seperti segelintir kecil golongan peladang kolonial kulit putih yang kaya, golongan peladang kolonial kulit putih yang miskin dalam jumlah yang lebih besar, dan golongan mulatto yang merupakan orang berketurunan campuran etnik tetapi menghadapi diskriminasi kaum daripada golongan berkuasa kolonial. Struktur masyarakat yang penuh dengan percanggahan kelas, di samping pengaruh idea-idea tentang “kebebasan” dan “kesamarataan” yang dikembangkan daripada Revolusi Perancis 1789, telah menyediakan ramuan untuk pemberontakan revolusioner besar-besaran di Saint-Domingue.

Pemberontakan hamba kulit hitam pada bulan Ogos 1791 merebak dengan cepatnya ke seluruh Saint-Domingue yang terletak di bahagian barat Pulau Hispaniola, dan menjadikan tanah jajahan itu sebuah medan pertempuran yang sengit antara kumpulan-kumpulan masyarakat yang mempunyai kepentingan yang berbeza. Golongan hamba kulit hitam memperjuangkan pembebasan daripada perhambaan; golongan mulatto memperjuangkan kesamarataan hak; golongan peladang kolonial kulit putih hendak mempertahankan kepentingan sosioekonomi mereka; pihak berkuasa kolonial Perancis cuba mencegah pemisahan tanah jajahan itu daripada pemerintahan negara induknya; sementara golongan penjajah Sepanyol di Santo Domingo yang bersebelahan dengan Saint-Domingue pula berniat untuk memperluaskan penguasaan wilayah mereka. Dengan itu, berlakunya peperangan yang melibatkan pelbagai pihak, termasuk tentera British yang menceroboh pulau itu.
Pihak berkuasa kolonial Perancis menghapuskan perhambaan di Saint-Domingue pada tahun 1793 untuk memikat hati golongan pemberontak hamba dan mencegah tanah jajahan itu daripada dirampas oleh kuasa-kuasa besar lain atau golongan peladang kolonial kulit putih yang mungkin mengisytihar kemerdekaan seperti Amerika Syarikat. Dalam keadaan peperangan yang huru-hara, Toussaint Louverture (1743-1803), seorang bekas hamba yang mampu menyatukan kekuatan sebahagian besar tentera pemberontak hamba, muncul sebagai pemimpin politik yang menguasai seluruh Saint-Domingue dan memerintahnya atas nama Perancis tetapi dengan kuasa autonomi yang besar.

Namun, Napoleon Bonaparte cuba memulihkan perhambaan di tanah jajahan itu dan menghantar tentera ekspedisi ke Saint-Domingue untuk mematahkan mereka yang menentang perhambaan. Walaupun Toussaint Louverture ditangkap dan mati di dalam penjara Perancis, pemimpin-pemimpin bekas hamba lain meneruskan perjuangannya untuk menentang pemulihan perhambaan, malah bertukar menjadi perjuangan menuntut kemerdekaan daripada pemerintahan Perancis. Tentera pemberontak yang dipimpin oleh Jean-Jacques Dessalines (1758-1806) akhirnya berjaya menewaskan tentera Perancis dan mengisytihar kemerdekaan Haiti pada 1 Januari 1804.
Revolusi Haiti telah berjaya mencapai apa yang tidak dapat dicapai oleh Pemberontakan Spartacus kira-kira 1,800 tahun sebelum itu. Ia bukan sahaja membebaskan hamba dan menghapuskan sistem perhambaan, malah juga menubuhkan negara republik pertama yang diperintah oleh warga kulit hitam yang pernah diperhambakan.

Revolusi Haiti telah menghancurkan mitos mengenai ketuanan orang kulit putih yang dibawa oleh golongan penjajah Eropah. Kejayaan Revolusi Haiti memberi inspirasi kepada golongan hamba kulit hitam di seluruh Amerika untuk terus bangkit menentang perhambaan, melawan rasisme dan memperjuangkan kebebasan.
Di wilayah Santo Domingo yang bersebelahan dengan Saint-Domingue yang terletak di bahagian timur Pulau Hispaniola, mendapat inspirasi daripada Revolusi Haiti, kira-kira 200 orang hamba memberontak pada bulan Oktober 1796 di ladang gula di Boca de Nigua, yang terletak kira-kira 13 km ke barat bandar Santo Domingo, ibu kota wilayah jajahan Sepanyol itu. Golongan hamba yang memberontak itu memusnahkan ladang-ladang dan harta benda tuan hamba. Pihak berkuasa kolonial Sepanyol mengerahkan tentera untuk mematahkan pemberontakan itu secara ganas. Pemberontakan hamba di Boca de Nigua gagal mencapai kejayaan seperti wilayah jirannya Saint-Domingue.

Revolusi Haiti mencetuskan gelombang pemberontakan hamba di Caribbean
Revolusi Haiti yang menyaksikan kejayaan hamba membebaskan diri mereka daripada perhambaan melalui perjuangan bersenjata, telah memberi inspirasi kepada golongan hamba lain di rantau Caribbean pada tahun 1790-an. Selain Pemberontakan Boca de Nigua, pemberontakan hamba turut tercetus di tanah jajahan Eropah seperti Barbados, Curaçao, Grenada, Guyana, Jamaica, Kuba, Saint Lucia, Saint Vincent dan Venezuela.
Di Curaçao, sebuah pulau di bahagian selatan Laut Caribbean yang dijajah oleh Belanda sejak tahun 1634, kira-kira 60% penduduknya merupakan hamba menjelang tahun 1790-an. Semasa tercetusnya Perang Revolusi Perancis (1792-1802) berikutan Revolusi Perancis 1789, pada musim sejuk tahun 1794-1795, revolusi yang menentang pemerintahan kerabat Orange-Nassau tercetus di Republik Belanda, sementara Tentera Revolusioner Perancis menceroboh Republik Belanda dengan bantuan golongan Patriotten (iaitu mereka yang menentang pemerintahan Willem V dari Orange-Nassau sebagai Stadhouder Belanda), maka membawa kepada pembentukan Republik Batavia (1795-1806) yang merupakan negara satelit Republik Perancis Pertama. Tula, seorang hamba Curaçao yang mendengar tentang Revolusi Haiti yang membebaskan hamba di tanah jajahan Perancis itu, memberitahu rakan-rakannya bahawa oleh sebab Belanda sudah menjadi negara satelit Perancis, maka golongan hamba di Curaçao juga patut memperoleh kebebasan mereka.
Pada 17 Ogos 1795, Tula enggan pergi bekerja, dan bersama-sama 40-50 orang hamba yang lain di sebuah ladang di daerah Bandabou yang terletak di bahagian utara Curaçao, dia mendesak tuan hambanya untuk memberi kebebasan kepada mereka. Di bawah tekanan yang hebat, tuan hambanya meminta dia untuk mengemukakan tuntutan mereka kepada gabenor di Willemstad, ibu kota wilayah Curaçao yang terletak di bahagian selatan pulau itu. Kumpulan hamba yang dipimpin oleh Tula terus meninggalkan tuan hamba mereka dan bergerak menuju Willemstad. Di sepanjang perjalanan mereka merentasi Pulau Curaçao, dari sebuah ladang ke ladang lain, mereka membebaskan hamba-hamba yang dikurung, dan semakin ramai hamba menyertai mereka, termasuk kumpulan pemberontak hamba yang dipimpin oleh Bastian Karpata, Louis Mercier dan Pedro Wakao.
Pihak berkuasa kolonial Belanda pernah menghantar beberapa utusan untuk berunding dengan Tula tentang pemulangan hamba ke ladang-ladang mereka, sementara mengerahkan pasukan tentera untuk mematahkan pemberontakan itu. Apabila mendapati golongan pemberontak hamba itu semakin mengancam kepentingan golongan peladang kulit putih dan Tula bertegas untuk menuntut kebebasan, pihak berkuasa kolonial Belanda mengerahkan pasukan tentera yang lebih besar untuk mematahkan pemberontakan hamba yang dipimpin oleh Tula.
Pemberontakan Hamba Curaçao 1795 yang melibatkan kira-kira 4,000 orang hamba itu berlarutan selama satu bulan, dengan lebih 1,000 orang hamba mengambil bahagian dalam pertempuran dengan pihak berkuasa kolonial Belanda. Pemberontakan hamba itu akhirnya ditumpaskan, dengan ramai pemberontak hamba dibunuh. Pada 19 September 1795, Tula dan Bastian Karpata dikhianati oleh seorang hamba sehingga ditangkap oleh pihak berkuasa kolonial. Tula diseksa sampai mati di hadapan khalayak ramai pada 3 Oktober 1795. Rakan-rakan seperjuangannya, Bastian Karpata, Louis Mercier dan Pedro Wakao juga dihukum mati. Selepas pemberontakan itu dipatahkan, kerajaan kolonial Belanda memberikan sedikit hak kepada golongan hamba di Curaçao untuk mencegah pemberontakan baharu.
Di Grenada, sebuah pulau di bahagian tenggara Laut Caribbean yang dijajah oleh British sejak tahun 1763, tercetusnya satu pemberontakan pada bulan Mac 1795 di kawasan pedalaman pergunungan pulau itu. Pemberontakan itu dipimpin oleh Julien Fédon, seorang pemilik ladang berketurunan campuran etnik (dengan emaknya seorang warga kulit hitam bebas) yang berasal dari Pulau Martinique. Fédon berhasrat untuk menubuhkan sebuah republik seperti yang berlaku dalam Revolusi Haiti. Ramai golongan hamba menyertai pemberontakan yang dipimpin oleh Fédon dengan harapan mereka juga dapat mencapai pembebasan seperti golongan hamba di Saint-Domingue. Golongan pemberontak yang dipimpin oleh Fédon menguasai banyak kawasan di Pulau Grenada, dan menubuhkan kerajaan sendiri. Namun, Pemberontakan Fédon ditumpaskan sepenuhnya oleh tentera British pada bulan Jun 1796. Fédon tidak pernah ditangkap, tetapi keberadaannya juga tidak diketahui selepas itu.

José Leonardo Chirino (1754-1796), seorang zambo (orang berketurunan campuran Afrika dan pribumi Amerika) yang bebas di wilayah Kekaptenan Jeneral Venezuela yang dijajah oleh Sepanyol, telah mendengar tentang Revolusi Haiti apabila dia mengembara ke Saint-Domingue dan juga mendapat pengetahuan tentang Revolusi Perancis. Chirino melancarkan pemberontakan pada 10 Mei 1795 di Santa Ana de Coro, dengan matlamat yang radikal, seperti penubuhan sebuah republik yang demokratik, penghapusan perhambaan, penghapusan pembayaran ufti yang dikenakan ke atas masyarakat orang asal dan penghapusan ketuanan orang kulit putih. Namun, pemberontakan itu dipatahkan oleh pihak berkuasa kolonial Sepanyol tidak lama kemudian. Chirino ditangkap apabila dia dikhianati oleh seorang rakan seperjuangan, dan dihukum mati pada 10 Disember 1796.
Di Tobago, sebuah pulau yang menjadi perebutan antara Britain dan Perancis, terdapat rancangan untuk melancarkan pemberontakan hamba di situ pada tahun 1801, tetapi ia dibongkarkan sebelum pemberontakan itu dapat berlaku. Untuk memberi amaran kepada golongan hamba yang lain, pihak berkuasa kolonial di Tobago menghukum mati mereka yang terlibat dalam perancangan pemberontakan itu di hadapan khalayak ramai.
Di Guadeloupe, sebuah kepulauan yang terletak di bahagian timur Laut Caribbean dan mula dijajah oleh Perancis sejak tahun 1635, pihak berkuasa Perancis menghapuskan perhambaan di situ selepas merampas balik tanah jajahan itu daripada pendudukan sementara tentera British pada tahun 1794, seperti yang dilakukan di Saint-Domingue setahun sebelum itu. Apabila Napoleon Bonaparte mengerahkan tentera ekspedisi ke Guadeloupe pada tahun 1802 untuk memulihkan perhambaan di situ, Louis Delgrès (1766-1802), seorang warga mulatto bebas yang merupakan pegawai tentera Perancis di situ, melancarkan pemberontakan terhadap tentera penceroboh yang hendak memulihkan perhambaan. Dalam Pertempuran Matouba pada 28 Mei 1802, dengan menyedari tiada peluang untuk menewaskan tentera ekspedisi Perancis, Louis Delgrès dan sebahagian pengikutnya membunuh diri dengan meletupkan gedung serbuk bedil. Solitude, seorang wanita mengandung pada masa itu yang merupakan pengikut Louis Delgrès dan ditangkap oleh pihak berkuasa, dihukum mati selepas dia melahirkan anaknya.

Pemberontakan hamba selepas kemerdekaan Amerika Syarikat
Amerika Syarikat yang ditubuhkan hasil daripada kejayaan perjuangan revolusioner golongan peneroka kulit putih yang dikenali sebagai Patriot di Tiga Belas Jajahan yang menentang pemerintahan kolonial British, walaupun berlandaskan idea bahawa “semua manusia dicipta sama rata” dan semua orang berhak untuk “hidup, bebas, dan mencari kebahagiaan” seperti yang termaktub dalam “Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat”, hak kebebasan nampaknya hanya dapat dinikmati oleh warga kulit putih pada awalnya. Perhambaan masih diamalkan di banyak ladang di Amerika Syarikat selepas kemerdekaannya untuk beberapa dekad lamanya. Oleh itu, sering berlakunya pemberontakan hamba yang mencabar sistem perhambaan di Amerika Syarikat selepas kemerdekaannya.
Gabriel Prosser (1776-1800), seorang berketurunan Afrika yang dilahirkan sebagai hamba di sebuah ladang tembakau di negeri Virginia, bahagian timur Amerika Syarikat, banyak dipengaruhi oleh idea kebebasan yang dikembangkan dalam Revolusi Amerika. Gabriel, yang juga mendapat inspirasi daripada Revolusi Haiti, telah merancang satu pemberontakan untuk menghapuskan perhambaan di Virginia, bersama-sama golongan hamba di lebih 10 buah bandar di Virginia, termasuk Richmond, Norfolk dan Petersburg. Mereka merancang untuk mengambil alih kilang senjata di Richmond dan menjadikan Gabenor Virginia sebagai tebusan untuk merundingkan kebebasan mereka.

Namun, rancangan Gabriel untuk pemberontakan hamba telah dibongkarkan dan pihak berkuasa terus mengerahkan pasukan militia untuk mematahkan pemberontakan itu sebelum ia berlaku. Gabriel melarikan diri untuk menuju ke Norfolk tetapi dia ditangkap selepas dikhianati oleh seorang hamba. Lebih 70 orang hamba ditangkap oleh pihak berkuasa kerana disyaki terlibat dalam konspirasi pemberontakan.
Dalam perbicaraan terhadap Gabriel dan rakan-rakannya, seorang saksi memberi kenyataan bahawa Gabriel berhasrat untuk menulis perkataan “kematian atau kebebasan” di atas sehelai bendera. Slogan itu barangkali merujuk kepada ucapan Patrick Henry dalam Konvensyen Virginia Kedua semasa Revolusi Amerika yang mengatakan bahawa “berikan aku kebebasan, atau berikan aku kematian!”. Slogan yang serupa, “kebebasan atau kematian”, juga digunakan semasa Revolusi Haiti.
Seramai 26 orang, termasuk Gabriel, dijatuhkan hukuman mati. Selain itu, seorang hamba membunuh diri sebelum pendakwaan terhadapnya; 8 orang hamba dipindahkan atau dijual ke luar Virginia; 13 orang yang disabit kesalahan tetapi mendapat pengampunan daripada Gabenor; sementara 25 orang dibebaskan daripada pertuduhan. Dua orang hamba mendapat kebebasan kerana mereka memberitahu tuan hamba mereka tentang rancangan pemberontakan itu. Selepas itu, dewan perundangan Virginia dan beberapa buah negeri lain di Selatan Amerika Syarikat meluluskan undang-undang yang menyekat kebebasan warga kulit hitam bebas, di samping melarang hamba daripada mendapatkan pendidikan dan hak untuk berhimpun, kerana takut pada golongan hamba dan bekas hamba yang mungkin merancang pemberontakan yang serupa.
Pada bulan Januari 1805, di Chatham Manor, sebuah rumah agam milik William Fitzhugh, seorang peladang dan ahli politik yang pernah menyertai Revolusi Amerika, beberapa orang hamba memberontak dengan memukul penyelia yang mengarahkan mereka untuk kembali bekerja selepas cuti Hari Natal. Pemberontakan kecil itu dipatahkan secara keras oleh pasukan militia, dan mereka yang terlibat dikenakan hukuman berat. Seorang hamba dihukum mati, dua orang hamba mati semasa cuba melarikan diri, dan dua orang lagi dibuang negeri.

Pada 8 Januari 1811, hamba-hamba di ladang-ladang di sekitar kawasan German Coast, Wilayah Orleans (yang kemudiannya menjadi negeri Louisiana), memberontak terhadap tuan hamba mereka. Golongan hamba yang memperjuangkan kebebasan itu mara menuju bandar New Orleans, dan disertai oleh lebih ramai lagi hamba yang hendak membebaskan diri mereka. Sejumlah 200-500 orang hamba menyertai Pemberontakan German Coast 1811. Sepanjang perjalanan selama dua hari menuju New Orleans, golongan pemberontak hamba itu membakar 5 buah ladang. Mereka telah membunuh beberapa orang peladang kulit putih.
Pihak berkuasa Wilayah Orleans mengerahkan pasukan militia untuk mematahkan pemberontakan hamba di German Coast. Dalam pertempuran pada 10 Januari 1811, lebih 40 orang hamba yang memberontak itu dibunuh. Pasukan militia terus memburu hamba-hamba lain yang melarikan diri dan membunuh beberapa orang lagi tanpa perbicaraan, termasuk Charles Deslondes, salah seorang pemimpin utama pemberontakan itu. Dalam tempoh dua minggu selepas itu, pihak berkuasa menyoal siasat, mengadakan perbicaraan dan menghukum mati 44 orang hamba yang ditangkap semula.

Pada tahun 1815, George Boxley (1780–1865), seorang bekas tuan hamba dari negeri Virginia, cuba menganjurkan pemberontakan hamba di daerah Spotsylvania, Virginia, untuk membebaskan hamba-hamba di situ. Namun, rancangannya telah dibongkarkan oleh seorang hamba sebelum apa-apa pemberontakan dapat berlaku. Sekurang-kurangnya 27 orang hamba ditangkap dan didakwa bersubahat dengan Boxley dalam cubaan memberontak. 5 orang hamba dihukum mati, dan 6 orang dijatuh hukuman diangkut keluar dari Virginia. Boxley menyerah diri pada tahun 1816 dan didakwa menghasut pemberontakan, tetapi dia berjaya melarikan diri dari penjara. Boxley melarikan diri ke negeri Indiana. Di Indiana, Boxley membantu hamba yang melarikan diri, dan menyokong gerakan penghapusan perhambaan.
Denmark Vesey (1767-1822), seorang bekas hamba yang tinggal di Charleston, Carolina Selatan, dapat menebus kebebasannya melalui manumisi selepas memenangi loteri, tetapi dia tidak berpuas hati dengan sedikit hamba sahaja yang dapat membeli kebebasan mereka. Vesey merancang untuk melancarkan pemberontakan pada 14 Julai 1822, sempena hari memperingati Serbuan Bastille, satu peristiwa penting dalam Revolusi Perancis 1789. Vesey cuba menghasut golongan hamba kulit hitam untuk menghukum mati tuan hamba mereka dan menguasai bandar Charleston buat sementara waktu. Vesey dan penyokong-penyokongnya juga merancang untuk melarikan diri ke Haiti supaya mengelakkan diri daripada tindak balas ganas pihak berkuasa. Namun, rancangan Vesey dibongkarkan oleh dua orang hamba yang tidak bersetuju dengannya. Pihak berkuasa Charleston mendakwa 131 orang atas pertuduhan berkonspirasi untuk memberontak. 67 orang disabit kesalahan, dengan 41 orang dikenakan hukuman gantung sampai mati, termasuk Denmark Vesey.
Pemberontakan hamba juga pernah berlaku di wilayah masyarakat orang asal Amerika Syarikat. Sesetengah masyarakat orang asal di Amerika Syarikat juga masih mengamalkan perhambaan pada masa itu, salah satunya ialah suku kaum Cherokee. Pada 15 November 1842, 20 orang warga kulit hitam yang diperhambakan di wilayah Bangsa Cherokee, yang terletak di bahagian selatan tengah Amerika Syarikat, melarikan diri dari ladang milik peladang Cherokee dan pergi ke arah selatan menuju Mexico yang sudah melarang perhambaan pada masa itu. Dalam perjalanan itu, mereka disertai oleh 15 orang hamba yang melarikan diri dari wilayah suku kaum Creek. Tuan hamba Cherokee dan Creek cuba mengejar hamba-hamba yang melarikan diri. Dalam satu pertempuran, 14 orang hamba sama ada dibunuh atau ditangkap, tetapi 21 orang hamba yang lain dapat meneruskan perjalanan mereka untuk menuju ke arah selatan. Sepanjang perjalanan, hamba-hamba yang melarikan diri itu bertembung dengan dua orang pemburu hamba yang sedang membawa pulang sebuah keluarga hamba yang melarikan diri. Mereka membunuh dua orang pemburu hamba itu dan membebaskan keluarga hamba itu yang turut menyertai perjalanan mereka. Pemimpin-pemimpin Bangsa Cherokee mengerahkan sekumpulan militia seramai 100 orang untuk menangkap hamba-hamba yang melarikan diri itu. Pasukan militia Cherokee berjaya menangkap kumpulan hamba yang melarikan diri itu pada 28 November 1842. Hamba-hamba itu sudah tidak bertenaga kerana kelaparan, maka mereka terpaksa menyerah diri. Antara hamba-hamba yang “dipulangkan” kepada tuan hamba mereka, 5 orang dihukum mati atas tuduhan membunuh dua orang pemburu hamba. Pemberontakan hamba itu memberi inspirasi kepada hamba-hamba lain di wilayah orang asal Amerika Syarikat untuk turut melarikan diri.
Pada 13 Julai 1849, seorang hamba yang bernama Nicholas Kelly (1822-1849) memimpin satu pemberontakan hamba di sebuah tempat pengurungan hamba di Charleston, Carolina Selatan. Nicholas Kelly dan rakan-rakannya mencederakan beberapa orang pengawal di tempat pengurungan hamba itu dan membebaskan hamba-hamba lain di situ. Daripada 37 orang hamba yang melarikan diri, 18 orang ditangkap dalam tempoh 24 jam, termasuk Nicholas Kelly. Nicholas Kelly, bersama dua orang rakannya yang menganjurkan pemberontakan itu, dibicarakan dan dihukum gantung sampai mati di khalayak ramai.

Pemberontakan di atas kapal pengangkut hamba
Selain pemberontakan hamba di tanah jajahan Eropah di rantau Amerika, pernah berlakunya banyak penentangan hamba di atas kapal pengangkut hamba, sama ada kapal yang terlibat dalam perdagangan hamba merentasi Lautan Atlantik atau perdagangan hamba di pesisir laut benua Amerika.
Penentangan hamba di atas kapal pengangkut hamba itu merangkumi tindakan individu, seperti mengamuk secara ganas atau cuba melompat ke dalam laut, sehinggalah pemberontakan beramai-ramai yang berakhir dengan pertempuran hidup mati antara golongan hamba kulit hitam dan anak-anak kapal. Kadang-kadang pemberontakan di atas kapal boleh menenggelamkan kapal itu kerana letupan atau kebakaran. Namun, dalam kebanyakan situasi, golongan pemberontak hamba dipatahkan secara ganas oleh anak-anak kapal yang dilengkapi senjata api.
Pada tahun 1729, golongan hamba di atas kapal pengangkut hamba British yang bernama Clare memberontak dan berjaya mengusir anak-anak kapal dari kapal itu. Golongan hamba yang merampas kapal itu kemudiannya mendarat di Cape Coast, yang terletak di Ghana hari ini, untuk membebaskan diri mereka.
Pada bulan Mei 1803, 75 orang hamba yang berasal daripada kumpulan etnik Igbo, dari wilayah yang membentuk Nigeria hari ini, memberontak di atas kapal yang mengangkut mereka. Golongan hamba yang memberontak itu menguasai kapal yang mengangkut mereka dan melemaskan orang yang menahan mereka. Kapal itu terkandas di bahagian tenggara negeri Georgia, Selatan Amerika Syarikat, dan kemudiannya sebahagian hamba yang memberontak itu membunuh diri di sebatang anak sungai. Tempat di mana kapal itu terkandas kini dikenali sebagai Igbo Landing (bermaksud “pendaratan Igbo”).
Pada bulan April 1826, berlakunya pemberontakan hamba di atas Decatur, sebuah kapal pengangkut hamba yang berada dalam pelayaran dari Baltimore, negeri Maryland, ke pasaran hamba New Orleans di hilir Sungai Mississippi. Kapten kapal itu dan pembantunya dibuang ke dalam laut oleh golongan hamba yang memberontak. Kapal yang dirampas oleh golongan hamba itu kemudiannya dipintas oleh kapal lain dan hamba-hamba yang memberontak itu ditahan semula. Apabila kapal Decatur tiba di New York, 14 orang hamba melarikan diri. Namun, salah seorang hamba yang melarikan diri, yang bernama William Bowser, ditangkap semula. Dia didakwa di mahkamah atas pertuduhan membunuh kapten kapal dan pembantunya, dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Pada bulan Julai 1839, golongan hamba beretnik Mende dari Afrika Barat yang diangkut dengan kapal La Amistad memberontak dan merampas kapal itu. Kapal pengangkut hamba itu pada asalnya hendak membawa golongan hamba itu dari Havana di bahagian barat laut Kuba, ke ladang berdekatan Puerto Príncipe (dikenali sebagai Camagüey hari ini) yang terletak di bahagian tengah Pulau Kuba. Semasa dalam perjalanan di laut, Sengbe Pieh (1814-1879), yang juga dikenali sebagai Joseph Cinqué, melepaskan dirinya daripada belenggu bersama hamba-hamba lain, maka mencetuskan pemberontakan di atas kapal. Kapten kapal dan tukang masak dibunuh oleh hamba-hamba yang memberontak.
Sengbe Pieh mengarahkan pelayar Sepanyol di atas kapal itu untuk belayar merentasi Lautan Atlantik ke Afrika. Namun, pelayar Sepanyol menipu mereka dan kapal itu belayar ke arah utara menuju Pantai Timur Amerika Syarikat. Kapal La Amistad ditahan oleh sebuah kapal Amerika Syarikat di luar pesisir pantai Long Island pada penghujung bulan Ogos 1839. Sengbe Pieh dan hamba-hamba yang cuba melarikan diri telah ditangkap, dan kemudiannya ditahan di dalam penjara di negeri Connecticut yang terletak di utara New York. Kedutaan Sepanyol meminta pihak Amerika Syarikat untuk “memulangkan” warga Afrika itu ke Kuba.

Kes mengenai nasib hamba-hamba di atas kapal La Amistad dibicarakan di mahkamah. Martin Van Buren (1783-1862), Presiden Amerika Syarikat pada masa itu yang hendak meraih undi daripada golongan yang menyokong perhambaan, telah mengarahkan sebuah kapal tentera laut ke Connecticut untuk “memulangkan” hamba kulit hitam yang ditahan itu ke Kuba selepas perbicaraan itu selesai. Namun, hakim di mahkamah Hartford, Connecticut, memutuskan bahawa warga Afrika di atas La Amistad itu merupakan mangsa penculikan dan mereka mempunyai hak untuk melarikan diri daripada penculik mereka dalam apa jua cara pun. Kerajaan Amerika Syarikat membuat rayuan terhadap kes ini di Mahkamah Agung Amerika Syarikat, tetapi Mahkamah Agung memutuskan pada bulan Mac 1841 untuk mengekalkan keputusan mahkamah peringkat rendah. Dengan itu, semua hamba di atas kapal La Amistad dibebaskan. Dengan sumbangan derma yang dikutip daripada persatuan mubaligh, 35 orang bekas hamba di atas kapal La Amistad dapat pulang ke Afrika Barat. Pemberontakan La Amistad dan keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat yang membebaskan hamba-hamba di atas kapal pengangkut hamba itu telah menjadi simbol penting kepada gerakan perjuangan penghapusan perhambaan di Amerika Syarikat.
Pada 7 November 1841, 19 orang hamba yang berada di atas kapal pengangkut hamba Amerika Syarikat yang bernama Creole bangkit memberontak. Pemimpin utama golongan hamba yang memberontak itu ialah Madison Washington, seorang hamba kulit hitam yang dilahirkan di negeri Virginia dan pernah berjaya melarikan diri tetapi ditangkap semula. Golongan hamba yang memberontak itu membunuh salah seorang pedagang hamba di atas kapal itu, dan mereka berjaya merampas kapal itu. Kapal yang dirampas itu tiba di Nassau yang terletak di Kepulauan Bahamas yang dijajah oleh British pada masa itu. Oleh sebab Britain sudah menghapuskan perdagangan hamba pada masa itu, pihak berkuasa British di Bahamas memutuskan bahawa golongan hamba di atas kapal Creole adalah bebas selepas mereka tiba di Nassau jika mereka memilih untuk terus tinggal di situ. 19 orang yang dikenal pasti sebagai mereka yang bertanggungjawab dalam melakukan pemberontakan di atas kapal Creole, termasuk Madison Washington, ditahan atas dakwaan memberontak, tetapi mahkamah maritim memutuskan pada bulan April 1842 bahawa mereka telah ditahan secara haram sebagai hamba dan mereka mempunyai hak untuk mendapatkan kebebasan dengan menggunakan kekerasan. Seramai 128 orang hamba kulit hitam berjaya mendapat kebebasan hasil daripada pemberontakan di atas kapal Creole, maka menjadikannya salah satu pemberontakan hamba yang paling berjaya dalam sejarah Amerika Syarikat.
Pemberontakan Nat Turner
Nat Turner ialah seorang warga kulit hitam yang dilahirkan sebagai hamba di daerah Southampton, negeri Virginia, Amerika Syarikat. Daerah Southampton ialah sebuah kawasan perladangan luar bandar dengan bilangan penduduk kulit hitam lebih ramai berbanding orang kulit putih. Nat Turner telah belajar untuk membaca dan menulis sejak umur muda, di samping memeluk agama Kristian. Nat Turner kemudian sering menganjurkan upacara keagamaan dan menghimpunkan penyokong-penyokongnya. Didorong oleh pegangan agamanya yang kuat itu, Nat Turner mengorganisasi golongan hamba untuk menentang perhambaan yang dianggap bercanggah dengan kepercayaannya.
Apabila berlakunya gerhana matahari cincin pada bulan Februari 1831, yang dapat dilihat di kebanyakan tempat di bahagian tenggara Amerika Syarikat, termasuk Virginia, Nat Turner menganggap ia sebagai petanda untuk melancarkan pemberontakan. Pada 21 Ogos 1831, Nat Turner bersama 7 orang hamba yang lain membunuh tuan hamba mereka dan memulakan pemberontakan. Nat Turner bersama pengikut-pengikutnya mara ke arah pekan Jerusalem (kini dikenali sebagai Courtland), pusat pentadbiran Daerah Southampton. Kumpulan pemberontak yang dipimpin oleh Nat Turner disertai oleh golongan hamba dan bekas hamba sepanjang perjalanan mereka, dengan mencecah kira-kira 70 orang pada kemuncaknya.

Dalam tempoh dua hari selepas bermulanya pemberontakan itu, golongan pemberontak yang bersenjatakan pisau, kapak dan alat tumpul menyerang sebuah rumah demi sebuah rumah, untuk membebaskan hamba di situ dan membunuh warga berkulit putih yang ditemui mereka. Namun, mereka tidak menyerang beberapa buah rumah yang dihuni oleh warga kulit putih miskin, kerana Nat Turner menganggap bahawa nasib warga kulit putih miskin tidak lebih baik berbanding warga kulit hitam.
Pihak berkuasa negeri Virginia mengerahkan pasukan militia untuk mematahkan pemberontakan hamba pimpinan Nat Turner dalam satu pertempuran di Ladang Belmont pada 23 Ogos 1831. Dianggarkan antara 55 hingga 65 orang kulit putih dibunuh sepanjang pemberontakan hamba itu. Tindak balas ganas daripada golongan tuan hamba kulit putih pula membunuh kira-kira 120 orang warga kulit hitam. Pemberontakan Nat Turner merupakan pemberontakan hamba dengan jumlah kematian tertinggi dalam sejarah Amerika Syarikat.
Selepas pemberontakan dipatahkan, Nat Turner dapat mengelakkan diri daripada ditangkap serta-merta dan bersembunyi buat sementara waktu. Nat Turner ditangkap pada penghujung bulan Oktober 1831. Dia didakwa atas pertuduhan berkonspirasi untuk memberontak dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati pada bulan November 1831. Seramai 56 orang hamba yang didakwa terlibat dalam pemberontakan, termasuk Nat Turner, dihukum mati.

Oleh sebab Nat Turner merupakan seorang pendakwah yang berpendidikan, dewan perundangan di negeri-negeri Selatan Amerika Syarikat yang mengamalkan perhambaan, kecuali Maryland, Kentucky dan Tennessee, meluluskan undang-undang yang mengharamkan aktiviti mengajar warga kulit hitam untuk membaca dan menulis, serta menyekat golongan warga kulit hitam daripada mengadakan perjumpaan keagamaan tanpa kehadiran paderi kulit putih yang bertauliah. Bagi golongan tuan hamba kulit putih, pendidikan kepada golongan warga kulit hitam adalah sesuatu yang berbahaya, kerana ia boleh membangunkan kesedaran dalam kalangan golongan warga kulit hitam untuk menuntut pembebasan, maka mengancam kelangsungan sistem perhambaan.
Walau bagaimanapun, Pemberontakan Nat Turner telah memberi dorongan kepada perkembangan lanjut gerakan penghapusan perhambaan (atau abolisionisme) di Amerika Syarikat.
Abolisionisme di Empayar British
Abolisionisme ialah gerakan masyarakat yang mula muncul di Eropah Barat dan rantau Amerika pada abad ke-18 dengan hasrat menamatkan Perdagangan Hamba Atlantik dan menghapuskan perhambaan mutlak yang menjadikan seseorang manusia itu harta milik penuh orang lain. Penghapusan perdagangan hamba dan penghapusan perhambaan merupakan dua perkara yang berbeza. Bukan semua golongan abolisionis memperjuangkan kedua-duanya. Sesetengah orang hanya memperjuangkan pengharaman perdagangan hamba tetapi tidak memperjuangkan penghapusan perhambaan; tetapi sesetengah abolisionis yang lebih radikal memperjuangkan kedua-duanya dan penghapusan perhambaan itu harus dilakukan serta-merta, bukannya secara beransur-ansur.
Dengan perkembangan pemikiran Zaman Pencerahan di Eropah sejak penghujung abad ke-17, ramai dalam kalangan golongan intelek yang berpegang pada pandangan rasional menganggap perhambaan sebagai sesuatu yang mencabuli hak asasi manusia. Kezaliman perhambaan yang semakin terdedah kerana skalanya yang begitu besar, telah mencetuskan reaksi dalam kalangan masyarakat untuk mendesak pemansuhannya, sama ada secara beransur-ansur atau serta-merta.
Walaupun perhambaan menjadi asas kepada pengeluaran bahan mentah bagi memacukan pembangunan perindustrian, peralihan daripada ekonomi merkantilis dan ekonomi berasaskan perladangan kepada ekonomi kapitalis perindustrian dan ekonomi pasaran bebas, telah menjadikan perhambaan mutlak sesuatu yang tidak lagi berkesan dalam proses pengumpulan modal. Ekonomi kapitalis perindustrian menekankan “buruh bebas”, efisiensi dan produktiviti yang berasaskan buruh upahan. “Buruh bebas” ialah tenaga kerja yang tidak terikat kepada apa-apa tetapi juga tidak memiliki apa-apa sumber pengeluaran kecuali tenaga buruhnya yang boleh dijual secara “bebas” dalam pasaran. Oleh itu, “pembebasan” hamba boleh membawa kepada pertumbuhan tenaga kerja “bebas” dalam pasaran yang dapat dibeli oleh pemilik modal (iaitu kapitalis) dengan mudah, dan sering kali dengan kadar bayaran upah yang rendah, demi memaksimumkan keuntungan.
Penentangan terhadap perhambaan daripada golongan bukan hamba semakin berkembang dengan perluasan pengaruh fahaman Zaman Pencerahan yang menegakkan kebebasan rakyat, dan semakin ramai orang berpegang pada pendirian bahawa mana-mana insan tidak harus dijadikan harta milik persendirian. Golongan intelek yang berperikemanusiaan dan berhati nurani menjadi penggerak usaha mendesak penghapusan perhambaan di sisi undang-undang. Gerakan penghapusan perhambaan telah membangunkan kesedaran dalam kalangan orang ramai tentang kezaliman sistem perhambaan, maka mewujudkan tekanan moral dan politik kepada golongan berkuasa untuk mengharamkan perhambaan.
Walaupun sudah wujudnya suara yang mengkritik perhambaan buat selama beberapa abad, gerakan penghapusan perhambaan memperoleh momentum yang hebat semasa Zaman Pencerahan di Eropah. Pertembungan antara pembaharuan agama, falsafah pemodenan dan idea-idea kemanusiaan pada abad ke-18, telah mewujudkan suasana intelek yang penting untuk pembangunan abolisionisme. Tokoh-tokoh pemikir Zaman Pencerahan, seperti John Locke (1632-1704) dan Jean-Jacques Rousseau (1712-1778), telah mengembangkan konsep tentang kebebasan individu dan hak semula jadi. Namun, John Locke sendiri pernah melabur dalam syarikat Royal African Company (RAC) yang menjalankan perdagangan hamba. Dia juga pernah menulis Perlembagaan Asas Carolina pada tahun 1669 yang menegakkan perhambaan di Amerika Utara yang dijajah oleh kuasa imperialis Inggeris pada masa itu. Ternyata bahawa liberalisme klasikal yang dibawa oleh John Locke hanya menawarkan kebebasan kepada golongan pemilik harta persendirian kapitalis, bukannya golongan hamba.
Di England, Religious Society of Friends, atau lebih dikenali sebagai Quaker, yang ditubuhkan oleh George Fox (1624-1691) semasa berlakunya Revolusi Inggeris pada tahun 1640-an, berpegang pada pendirian bahawa semua manusia adalah sama rata dan perhambaan itu bertentangan dengan kepercayaan agama Kristian. Sesetengah anggota golongan Quaker dan beberapa kumpulan Evangelikal (sebuah gerakan antara mazhab Protestan yang menekankan penginjilan atau penyebaran “Khabar Baik” Tuhan) terlibat dalam usaha menggesa penghapusan perhambaan. Golongan Quaker memainkan peranan penting dalam memulakan gerakan abolisionis di Britain dan Amerika Syarikat.
Golongan Quaker memutuskan pada tahun 1761 bahawa anggota-anggotanya dilarang daripada terlibat dalam perdagangan hamba. Golongan Quaker menubuhkan jawatankuasa anti-perhambaan dan mengemukakan petisyen membantah perdagangan hamba kepada Parlimen British pada tahun 1783.
James Edward Oglethorpe (1696-1785), seorang pegawai tentera British yang menjadi ketua pentadbir kolonial yang pertama di Wilayah Georgia di Amerika Utara British pada tahun 1732, mengharamkan perhambaan di tanah jajahan British itu. Selain pertimbangan moral dan kemanusiaan, Oglethorpe berpandangan bahawa golongan hamba akan bekerjasama dengan golongan penjajah Sepanyol untuk memperjuangkan kebebasan mereka, maka menjejaskan usaha untuk menjadikan Wilayah Georgia sebagai kawasan penampan terhadap tanah jajahan Sepanyol di Amerika Utara. Tambahan pula, golongan penjajah British di Georgia pada masa itu tidak berniat untuk membangunkan ekonomi yang bergantung pada perhambaan berskala besar. Hasil daripada desakan Oglethorpe, Dewan Rakyat British meluluskan rang undang-undang untuk mengharamkan perhambaan di Wilayah Georgia pada tahun 1735. Namun, pengharaman perhambaan di Georgia dibatalkan pada tahun 1751, selepas ancaman Sepanyol di Amerika Utara telah berkurangan dan terdapat desakan daripada golongan peladang kolonial di situ yang hendak menggunakan tenaga buruh hamba.
Semasa tercetusnya Perang Revolusi Amerika (1775-1783), pihak berkuasa British mengeluarkan proklamasi yang menjanjikan kebebasan kepada golongan hamba yang dimiliki oleh golongan Patriot di Tiga Belas Jajahan jika mereka bersedia untuk bertempur bagi pihak Loyalis British. Tindakan pembebasan bersyarat bagi golongan hamba yang dimiliki pihak lawan itu diambil bukan kerana kerajaan British pada masa itu berhasrat untuk membebaskan semua hamba kulit hitam, tetapi sekadar taktik untuk mengurangkan bekalan buruh hamba di ladang-ladang milik golongan Patriot. Selepas British ditewaskan dalam Perang Revolusi Amerika, ramai bekas hamba kulit hitam yang pernah berkhidmat dalam tentera Loyalis dipindahkan oleh pihak British ke Nova Scotia. Namun, warga kulit hitam yang pernah bertempur bagi pihak Loyalis itu telah menghadapi diskriminasi dan keganasan daripada golongan peneroka Loyalis kulit putih di Nova Scotia. Pada tahun 1792, kerajaan British menawarkan penempatan semula golongan Loyalis kulit hitam di Sierra Leone yang terletak di Afrika Barat. Separuh daripada Loyalis kulit hitam di Nova Scotia berhijrah ke Sierra Leone.

Granville Sharp (1735-1813), seorang penjawat awam Inggeris yang mendukung usaha penghapusan perhambaan, terlibat secara aktif dalam kes mahkamah yang mencabar amalan perhambaan, termasuk kes “Somerset melawan Stewart” pada tahun 1772. William Murray (1705-1793), atau lebih dikenali sebagai Lord Mansfield, Ketua Hakim England dan Wales yang membicarakan kes “Somerset melawan Stewart”, memutuskan untuk membebaskan James Somerset, seorang hamba yang melarikan diri daripada tuan hambanya Charles Stewart tetapi ditangkap semula dan bakal dihantar ke Jamaica. Lord Mansfield mengatakan bahawa ia adalah menyalahi undang-undang untuk mengangkut seorang hamba keluar dari England secara paksaan. Lord Mansfield memutuskan bahawa perhambaan tidak pernah diwujudkan melalui statut di Britain dan tidak disokong oleh undang-undang am. Keputusan kes “Somerset melawan Stewart” memberi galakan kepada usaha pembebasan hamba di Britain dan tanah jajahannya.
Granville Sharp cuba mendesak untuk mendakwa anak-anak kapal sebuah kapal pengangkut hamba, yang bernama Zong, berkenaan peristiwa pembunuhan beramai-ramai lebih 130 orang hamba berketurunan Afrika yang berlaku pada bulan November 1781, tetapi tidak berjaya. Walau bagaimanapun, apabila pemilik kapal itu cuba menuntut bayaran ganti rugi atas kehilangan warga Afrika yang diperhambakannya dan penanggung insurans itu enggan membayar, kes itu dibicarakan di mahkamah. Dalam perbicaraan pertama, juri memberi keputusan yang berpihak kepada pemilik kapal dan mengkehendaki pihak penanggung insurans untuk membayar ganti rugi. Namun, apabila rayuan terhadap kes itu didengar di hadapan panel hakim yang diketuai oleh Lord Mansfield, panel hakim membatalkan keputusan yang berpihak kepada pemilik kapal, atas alasan bahawa terdapat bukti baharu yang menunjukkan kapten dan anak-anak kapal bersalah. Kes pembunuhan beramai-ramai di atas kapal Zong mendapat perhatian orang ramai dan membangkitkan kesedaran masyarakat umum tentang kezaliman perdagangan hamba, maka mengembangkan lagi gerakan abolisionis.

Granville Sharp kemudiannya terlibat dalam pembentukan “Persatuan untuk Melaksanakan Penghapusan Perdagangan Hamba” (Society for Effecting the Abolition of the Slave Trade) pada tahun 1787. Pengasas persatuan itu terdiri daripada 9 orang Quaker dan 3 orang Anglikan (termasuk Granville Sharp). Salah seorang pengasas persatuan itu yang terkenal ialah Thomas Clarkson (1760-1846). Semasa Thomas Clarkson menyertai satu pertandingan penulisan esei bahasa Latin di Universiti Cambridge pada tahun 1785, dengan tajuk esei yang ditetapkan adalah “Anne liceat invitos in servitutem dare” (Adakah sah untuk menjadikan orang lain hamba tanpa kerelaan mereka?), dia telah membaca dan mengkaji banyak bahan tulisan mengenai kezaliman di bawah perhambaan, maka mendorongnya untuk mengambil pendirian yang menentang perhambaan. Clarkson kemudiannya menerbitkan risalah terjemahan eseinya yang memenangi pertandingan itu dalam bahasa Inggeris, yang bertajuk “Esei mengenai Perhambaan dan Perdagangan Spesies Manusia, terutamanya warga Afrika” (An essay on the slavery and commerce of the human species, particularly the African), pada tahun 1786, dan dia mula melibatkan diri dalam usaha penghapusan perdagangan hamba.
Society for Effecting the Abolition of the Slave Trade memaklumkan orang ramai tentang layanan tidak berperikemanusiaan dan tidak bermoral terhadap warga Afrika di bawah perhambaan, di samping berkempen untuk menggubal undang-undang yang menghapuskan perdagangan hamba di seluruh Empayar British. Society for Effecting the Abolition of the Slave Trade menerbitkan risalah, buku dan poster untuk menyebarkan kesedaran tentang kejahatan perhambaan. Ia juga menganjurkan ceramah di pekan-pekan dan bandar-bandar di England. Dalam kempen mendesak kerajaan British untuk menghapuskan perhambaan, Society for Effecting the Abolition of the Slave Trade menganjurkan perhimpunan dan menyerahkan petisyen kepada Parlimen.
Thomas Clarkson menjelajah ke seluruh negara untuk menubuhkan sebuah jaringan masyarakat sivil yang terdiri daripada kira-kira 1,200 buah kumpulan abolisionis. Petisyen yang dibawa oleh golongan abolisionis mendapat sambutan yang baik. Sebuah petisyen yang dikemukakan pada tahun 1792 memperoleh kira-kira 400,000 tandatangan.
Pada masa yang sama dengan penubuhan Society for Effecting the Abolition of the Slave Trade, sebuah organisasi abolisionis yang dianggotai oleh bekas hamba kulit hitam yang berpendidikan juga ditubuhkan di Britain. Organisasi itu dikenali sebagai “Anak-anak Afrika” (Sons of Africa). Antara anggota Sons of Africa yang terkenal ialah Olaudah Equiano (1745-1797) dan Ottobah Cugoano (1757-1797).

Olaudah Equiano diperhambakan sejak zaman kanak-kanaknya di Afrika Barat, diangkut ke rantau Caribbean dan dijual di situ. Olaudah Equiano dijual dua kali lagi sebelum dia dapat membeli kebebasannya pada tahun 1766. Selepas memperoleh kebebasan di London, Olaudah Equiano giat terlibat dalam usaha menuntut penghapusan perhambaan. Ottobah Cugoano pula berasal dari Pantai Emas (Ghana hari ini) dan diculik semasa dia berusia 13 tahun untuk dijual sebagai hamba. Ottobah Cugoano diangkut ke rantau Caribbean dan bekerja di ladang. Ottobah Cugoano pergi ke England bersama tuan pemiliknya, dan dia berjaya memperoleh kebebasan di situ. Pada tahun 1787, Ottobah Cugoano menerbitkan tulisannya “Pemikiran dan Sentimen mengenai Pemerdagangan Perhambaan dan Perdagangan Spesies Manusia yang Jahat dan Keji” (Thoughts and Sentiments on the Evil and Wicked Traffic of the Slavery and Commerce of the Human Species).
John Wesley (1703-1791), seorang agamawan yang merupakan pengasas mazhab Protestan yang dikenali sebagai Metodisme, menulis sebuah risalah yang berjudul “Pemikiran tentang Perhambaan” (Thoughts upon Slavery) pada tahun 1774 untuk mengkritik perhambaan dan perdagangan hamba. “Kebebasan adalah hak setiap makhluk manusia, sebaik sahaja dia bernafaskan udara yang penting. Dan tiada undang-undang manusia boleh merampas hak itu, yang diperolehnya daripada hukum alam,” begitu tulisnya John Wesley. John Wesley merupakan mentor kepada William Wilberforce (1759-1833), seorang ahli politik berpengaruh yang memainkan peranan penting dalam penghapusan perhambaan di Britain dan tanah jajahannya.

William Wilberforce, yang berasal daripada sebuah keluarga saudagar yang kaya dan tertarik kepada kepercayaan Evangelikalisme sejak muda lagi, dipilih sebagai Ahli Parlimen British pada tahun 1780. Walaupun dia membantah hak pekerja untuk berkesatuan dan mendukung undang-undang yang menyekat aktiviti kesatuan pekerja, William Wilberforce menyokong usaha penghapusan perdagangan hamba. Hasil daripada pujukan golongan abolisionis seperti Thomas Clarkson, William Wilberforce bersetuju untuk membawa idea penghapusan perdagangan hamba di Parlimen, dan mula menyampaikan ucapan tentang penghapusan perdagangan hamba di Dewan Rakyat pada tahun 1789, di mana dia berhujah bahawa perdagangan hamba itu sesuatu yang patut dikeji dan ia merupakan isu tentang keadilan semula jadi.
William Wilberforce mengusulkan rang undang-undang untuk menghapuskan perdagangan hamba buat pertama kali pada tahun 1791, tetapi usulnya telah ditolak dengan 163 undi membantah berbanding 88 undi menyokong. Pada masa itu, gerakan abolisionis menghadapi pelbagai rintangan di dalam negara Britain kerana pengaruh golongan tuan hamba di tanah jajahan yang agak besar. Lebih-lebih lagi, kerajaan British mengerahkan tenteranya ke Saint-Domingue pada tahun 1793 untuk membantu golongan peladang kolonial di situ yang hendak memulihkan perhambaan yang telah dimansuhkan berikutan pemberontakan hamba yang hebat.
Namun begitu, golongan abolisionis seperti Thomas Clarkson terus berkempen untuk meraih sokongan orang ramai, sementara William Wilberforce mengemukakan usul untuk penghapusan perdagangan hamba hampir setiap tahun.

Hasil daripada usaha desakan gerakan abolisionis yang berterusan, Parlimen British meluluskan Akta Perdagangan Hamba 1807, atau dikenali sebagai Akta Penghapusan Perdagangan Hamba, dengan 283 undi menyokong berbanding 16 undi menolak. Akta Perdagangan Hamba 1807 melarang perdagangan hamba di dalam wilayah-wilayah yang dikuasai oleh Empayar British. Akta itu mengenakan hukuman denda terhadap kapten kapal yang mengangkut hamba untuk didagangkan, dengan jumlah denda boleh mencecah £100 bagi setiap orang hamba yang ditemui di atas kapal. Tentera Laut Diraja British mewujudkan “Skuadron Afrika Barat” pada tahun 1808 untuk menguatkuasakan undang-undang itu di pesisir pantai Afrika Barat.
Namun begitu, penguatkuasaan Akta Perdagangan Hamba 1807 masih tidak mencukupi untuk menghentikan perdagangan hamba yang amat menguntungkan itu. Pedagang-pedagang hamba masih meneruskan aktiviti-aktiviti mereka melalui penyeludupan. Kadang-kadang, apabila kapal pengangkut hamba itu dipintas oleh Tentera Laut Diraja British, kapten kapal itu akan terus membuang hamba-hamba di atas kapal itu ke dalam laut untuk mengurangkan denda yang dikenakan ke atas mereka. Oleh itu, Parlimen British meluluskan Akta Feloni Perdagangan Hamba 1811 untuk menjadikan penglibatan dalam perdagangan hamba sebagai feloni, atau jenayah berat, di seluruh Empayar British.
Pada tahun 1827, kerajaan British mendefinisikan penglibatan dalam perdagangan hamba sebagai pelanunan dan boleh dihukum mati. Antara tahun 1807 dan 1860, Skuadron Afrika Barat telah merampas kira-kira 1,600 buah kapal yang terlibat dalam perdagangan hamba dan membebaskan kira-kira 150,000 orang warga Afrika yang berada di atas kapal-kapal itu.
Akta Perdagangan Hamba 1807 hanya mengharamkan perdagangan hamba merentasi Lautan Atlantik, tetapi ia tidak menghapuskan perhambaan di tanah jajahan British. Amalan perhambaan masih wujud di dalam Empayar British, meskipun hamba-hamba itu tidak boleh lagi dijual. Oleh itu, gerakan abolisionis di Britain menganjurkan lagi kempen untuk penghapusan sistem perhambaan sepenuhnya pada tahun 1820-an. “Persatuan untuk Mitigasi dan Penghapusan Perhambaan secara Beransur-ansur di seluruh Wilayah-wilayah British” (Society for the Mitigation and Gradual Abolition of Slavery Throughout the British Dominions), yang juga dikenali sebagai “Persatuan Anti-Perhambaan” (Anti-Slavery Society) ditubuhkan pada tahun 1823. Anggota-anggota persatuan itu terdiri daripada ramai dalam kalangan mereka yang pernah berkempen untuk menghapuskan perdagangan hamba, seperti Thomas Clarkson.

Di Barbados, sebuah pulau di bahagian tenggara Laut Caribbean yang dijajah oleh Inggeris sejak tahun 1627, tercetusnya pemberontakan hamba pada bulan April 1816. Pemberontakan hamba itu dipimpin oleh seorang hamba kulit hitam yang bernama Bussa. Gerakan abolisionis di Britain pada masa itu memainkan sebahagian peranan dalam mendorong pemberontakan itu. Kira-kira 20,000 orang hamba dari lebih 70 buah ladang terlibat dalam pemberontakan itu. Pemberontakan itu ditumpaskan oleh pasukan militia kolonial, dan Bussa terbunuh dalam pertempuran. Seramai 120 orang hamba mati dalam pertempuran, sementara 144 orang dibicarakan dan dihukum mati. Hamba-hamba lain yang terlibat dalam pemberontakan itu diangkut keluar dari pulau itu. Pemberontakan Bussa merupakan salah satu daripada tiga pemberontakan hamba di Hindia Barat British selepas penghapusan perdagangan hamba tanpa penghapusan perhambaan di Empayar British. Dua buah pemberontakan yang lain ialah Pemberontakan Demerara pada tahun 1823 dan Perang Baptis pada tahun 1831-1832.
Pada 15 Mei 1823, Fowell Buxton (1786-1845), Ahli Parlimen yang mewakili kawasan Great Bedwyn yang terletak di England Tenggara, berhujah dalam Dewan Rakyat British bahawa perhambaan “bertentangan dengan prinsip perlembagaan British dan agama Kristian”, dan “ia harus dihapuskan secara beransur-ansur di seluruh tanah jajahan British”. Fowell Buxton mengambil alih tugasan sebagai kepimpinan utama gerakan abolisionis dalam Dewan Rakyat British selepas William Wilberforce bersara pada tahun 1825. Priscilla Buxton (1808-1852), anak perempuan Fowell Buxton, juga terlibat secara aktif dalam gerakan abolisionis dengan menjadi setiausaha bersama Persatuan Anti-Perhambaan Wanita London. Priscilla Buxton memainkan peranan penting dalam menggerakkan usaha mengutip sebanyak 187,000 tandatangan bagi petisyen wanita kepada Parlimen British pada tahun 1833 untuk menggesa penghapusan perhambaan.
Di wilayah Demerara di Guyana, Amerika Selatan, yang dikuasai oleh British pada masa itu, kira-kira 9,000-12,000 orang hamba mengambil bahagian dalam pemberontakan yang tercetus pada 18 Ogos 1823. Pemberontakan itu hanya berlaku selama 2 hari dan dipatahkan secara ganas oleh pihak berkuasa kolonial pada 20 Ogos 1823. Ramai hamba yang memberontak itu tersalah anggap bahawa Parlimen British telah meluluskan undang-undang yang menghapuskan perhambaan tetapi enggan dilaksanakan oleh pihak berkuasa kolonial. Dianggarkan 200-500 orang hamba terbunuh dalam pertempuran. Selepas mematahkan pemberontakan, pihak berkuasa kolonial menjatuhkan hukuman mati ke atas 45 orang, dengan 27 orang dilaksanakan hukuman mati. Jack Gladstone, seorang hamba yang bekerja sebagai tukang pembuat tong di sebuah ladang di Demerara dan merupakan salah seorang yang menghasut untuk pemberontakan itu, dijatuhkan hukuman mati tetapi diringankan hukumannya dengan dibuang negeri ke Saint Lucia. John Smith (1790-1834), seorang paderi Inggeris yang menyokong pembebasan hamba di Demerara, turut dijatuhkan hukuman mati dan dia mati di dalam penjara sementara menunggu keputusan rayuannya.

Hasil daripada desakan gerakan abolisionis, tambahan pula dengan pemberontakan hamba besar-besaran pada tahun 1831 di Jamaica, tanah jajahan British di rantau Caribbean, yang menyemarakkan lagi sentimen anti-perhambaan, Parlimen British meluluskan Akta Penghapusan Perhambaan 1833 untuk menghapuskan perhambaan di seluruh Empayar British dengan cara membayar ganti rugi kepada golongan tuan hamba yang “kehilangan” hamba mereka yang dianggap sebagai harta benda. Di bawah syarat-syarat yang ditetapkan dalam akta itu, kerajaan British mengumpul sebanyak £20 juta (bersamaan 40% belanjawan kerajaan tahunan atau kira-kira 5% Keluaran Dalam Negara Kasar Britain pada masa itu) untuk membayar “kehilangan harta” pemilik hamba yang berdaftar.
Pada bulan Jun 1837, sekumpulan warga Afrika yang baharu dibebaskan oleh Tentera Laut Diraja British daripada kapal pengangkut hamba dan terus dikerahkan ke dalam Rejimen Hindia Barat, melancarkan pemberontakan di berek di Saint Joseph, yang terletak di Pulau Trinidad. Kira-kira 60-100 orang askar menyertai pemberontakan itu, dengan merampas senjata dan amunisi, di samping membakar kuarters pegawai. Tentera Darat British dan Militia Trinidad dikerahkan untuk mematahkan pemberontakan askar bekas hamba itu. 12 orang pemberontak dibunuh, 6 orang membunuh diri untuk mengelakkan diri daripada ditangkap. 3 orang pemimpin pemberontakan itu dihukum mati, sementara 2 orang yang dijatuhkan hukuman mati dikurangkan hukuman kepada dibuang negeri ke Australia. Salah seorang pemimpin pemberontakan yang dihukum mati, Daaga (1800-1837), yang juga dikenali sebagai Donald Stewart, telah dianggap sebagai wira rakyat dalam kalangan masyarakat Trinidad dan kemudiannya menjadi sumber inspirasi kepada “Revolusi Kuasa Hitam” di Trinidad dan Tobago pada tahun 1970.

Trinidad menjadi tanah jajahan British yang pertama untuk membebaskan semua hamba pada tahun 1838. Walau bagaimanapun, amalan perhambaan hanya dihapuskan sepenuhnya di dalam Empayar British pada tahun 1937, dengan Nigeria dan Bahrain menjadi wilayah jajahan British yang terakhir untuk menghapuskan perhambaan.
Kejayaan penghapusan perhambaan di Empayar British telah mendorong golongan abolisionis, seperti Joseph Sturge (1793-1859), untuk menubuhkan “Persatuan Anti-Perhambaan British dan Luar Negeri” (British and Foreign Anti-Slavery Society) pada tahun 1839, yang kemudiannya dikenali sebagai “Internasional Anti-Perhambaan” (Anti-Slavery International). Pertubuhan itu berusaha untuk mendesak penghapusan perhambaan di negara-negara lain.
Pada masa yang sama dengan perkembangan gerakan abolisionis di Britain, Jawatankuasa Bantuan untuk Orang Miskin Kulit Hitam (Committee for the Relief of the Black Poor) ditubuhkan di London pada tahun 1786 untuk menyediakan bantuan kepada bekas hamba dan warga kulit hitam yang memperoleh kebebasan kerana bertempur bagi pihak British dalam Perang Revolusi Amerika tetapi tidak mempunyai pekerjaan setelah berhijrah ke London. Jawatankuasa itu kemudiannya memutuskan untuk memujuk ratusan orang warga kulit hitam di London untuk berhijrah ke Afrika, dan ia memainkan peranan dalam penempatan semula bekas hamba kulit hitam di Jajahan Sierra Leone yang terletak di Afrika Barat. Selain warga kulit hitam miskin dari London, golongan bekas hamba yang ditempatkan di Nova Scotia selepas bertempur bagi pihak British dalam Perang Revolusi Amerika dan mereka yang dibebaskan oleh Tentera Laut Diraja British yang menguatkuasakan Akta Perdagangan Hamba 1807, juga ditempatkan semula di Sierra Leone.
Perang Baptis
Peristiwa bersejarah yang menjadi pemangkin kepada peningkatan sentimen anti-perhambaan yang akhirnya membawa kepada Akta Penghapusan Perhambaan 1833 di Empayar British ialah pemberontakan hamba yang tercetus di Jamaica pada bulan Disember 1831. Pemberontakan hamba yang hebat itu juga dikenali sebagai “Perang Baptis”. Ia berlaku tujuh dekad selepas Pemberontakan Tacky di pulau yang sama.
Pemberontakan hamba yang tercetus pada Hari Natal tahun 1831 itu dipimpin oleh Samuel Sharpe (1801-1832), seorang warga kulit hitam yang dilahirkan sebagai hamba di daerah Saint James di bahagian barat laut Pulau Jamaica. Sharpe telah dibenarkan untuk mendapatkan pendidikan dan kemudiannya menjadi pendakwah bagi Gereja Baptis. Sharpe merupakan diakon (atau pembantu paderi) di Gereja Baptis yang dikendalikan oleh Thomas Burchell (1799-1846) di Montego Bay, ibu kota daerah Saint James. Sharpe telah menjelajah ke daerah-daerah lain di Jamaica, untuk mengajar golongan hamba tentang agama Kristian yang dipercayainya boleh menjanjikan kebebasan.
Di bawah kepimpinan Samuel Sharpe, golongan hamba kulit hitam melancarkan mogok kerja pada 25 Disember 1831, dengan tuntutan untuk memperoleh lebih banyak kebebasan dan upah kerja yang bersamaan dengan separuh kadar upah semasa bagi warga bebas.
Pada 27 Disember 1831, golongan hamba membakar sebuah ladang berdekatan Montego Bay dan api menular ke ladang gula yang lain. Untuk mematahkan mogok dan memaksa golongan hamba itu kembali bekerja, pihak berkuasa kolonial melantik seorang tuan tanah yang berpengaruh untuk mengetuai pasukan militia yang dikerahkan. Pasukan militia penjajah terpaksa berundur selepas menghadapi tentangan yang hebat daripada golongan hamba yang memberontak. Menjelang 28 Disember 1831, golongan pemberontak hamba yang dipimpin oleh Samuel Sharpe telah menguasai kawasan desa di daerah Saint James.

Pada 31 Disember 1831, pihak berkuasa kolonial mengisytihar darurat, dan Tentera Darat British mengambil alih tugasan untuk mematahkan pemberontakan itu. Tentera British mendapatkan bantuan daripada golongan Maroon di Accompong Town, di daerah Saint Elizabeth yang terletak di bahagian barat daya. Walaupun golongan Maroon itu merupakan orang berketurunan hamba yang melarikan diri, mereka telah membentuk perikatan yang longgar dengan kerajaan kolonial British untuk melindungi komuniti mereka daripada ancaman serangan. Tentera British yang lebih tersusun dan disokong oleh golongan Maroon akhirnya menewaskan golongan pemberontak hamba pada 5 Januari 1832, dengan ramai hamba yang memberontak itu dibunuh.
Pemberontakan hamba selama 11 hari itu melibatkan kira-kira 60,000 daripada sejumlah 300,000 orang hamba (iaitu 20% hamba) di Jamaica pada masa itu, maka menjadikannya pemberontakan hamba yang terbesar di Hindia Barat British. Semasa pemberontakan hamba yang dikenali sebagai Perang Baptis itu, 207 orang pemberontak hamba dibunuh, sementara 14 orang kulit putih dibunuh. Selepas kegagalan pemberontakan, ratusan orang hamba yang tidak ditangkap telah melarikan diri ke kawasan pergunungan pedalaman. Pihak berkuasa kolonial menghantar golongan Maroon untuk memburu mereka, tetapi hanya segelintir hamba dapat ditangkap semula.
Selepas mematahkan pemberontakan itu, kerajaan kolonial British di Jamaica membicarakan mereka yang terlibat dalam pemberontakan. Lebih 310 orang dihukum mati, termasuk Samuel Sharpe. Rekod penghakiman menunjukkan bahawa banyak hukuman mati dijatuhkan untuk sabitan kesalahan kecil, seperti mencuri lembu. Samuel Sharpe digantung sampai mati pada 23 Mei 1832. Semasa di dalam penjara sementara menunggu hukuman mati, Samuel Sharpe memberitahu paderi yang melawatnya, “Saya lebih rela mati di tali gantung berbanding menjalani hidup saya dalam perhambaan.”

Golongan mubaligh Baptis kulit putih turut disyaki oleh pihak berkuasa kolonial dan ditangkap, atas tuduhan menggalakkan dan menyokong pemberontakan. Mereka yang ditangkap termasuk William Knibb (1803-1845) dan Henry Bleby (1809-1882). Mereka telah diseksa semasa dalam tahanan tetapi dibebaskan kemudian.
Namun, pengorbanan Samuel Sharpe dan golongan pemberontak dalam Perang Baptis tidak menjadi sia-sia. Parlimen British menjalankan siasatan terhadap peristiwa pemberontakan itu dan tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa kolonial di Jamaica. Thomas Burchell dan William Knibb telah dipanggil untuk memberi keterangan saksi di dalam Dewan Rakyat. Pembongkaran tentang keadaan sebenar yang membawa kepada pemberontakan hamba dan tindakan ganas pihak berkuasa kolonial dalam mematahkan pemberontakan hamba di Jamaica, telah mempercepatkan proses kelulusan undang-undang untuk pembebasan hamba. Akta Penghapusan Perhambaan 1833 boleh dikatakan sebagai hasil pengorbanan golongan pemberontak hamba di Jamaica.
Penghapusan perhambaan di tanah jajahan Perancis
Semasa Zaman Pencerahan yang mencetuskan pelbagai idea baharu tentang pembebasan manusia, ramai ahli falsafah Perancis menghasilkan tulisan yang menentang perhambaan dengan pelbagai hujahan, sama ada dari segi moral atau ekonomi, seperti Montesquieu (1689-1755) dan Denis Diderot (1713-1784). Mendapat inspirasi daripada Society for Effecting the Abolition of the Slave Trade di Britain, Jacques Pierre Brissot (1754-1793) dan Étienne Clavière (1735-1793) mengasaskan Persatuan Sahabat Warga Kulit Hitam (Société des amis des Noirs) pada tahun 1788. Henri Grégoire (1750-1831), seorang paderi yang mendukung Revolusi Perancis, juga memainkan peranannya dalam mengembangkan usaha penghapusan perhambaan selepas Revolusi Perancis 1789.

Revolusi Perancis yang menyaksikan siri perubahan radikal dalam landskap politik di negara itu boleh dikatakan sebagai salah satu pemangkin kepada pemberontakan hamba besar-besaran pada tahun 1791 di tanah jajahan utamanya di rantau Caribbean, iaitu Saint-Domingue, yang mencetuskan Revolusi Haiti. Kebangkitan golongan hamba di Saint-Domingue memaksa Léger-Félicité Sonthonax (1763-1813) dan Étienne Polverel (1740-1795), dua orang pesuruhjaya awam Perancis yang dihantar ke Saint-Domingue, untuk mengeluarkan proklamasi pembebasan hamba yang pertama dalam dunia moden pada tahun 1793.
Pada 4 Februari 1794, Konvensyen Kebangsaan Perancis yang didominasi oleh golongan Jacobin-Montagne yang dipimpin oleh Maximilien Robespierre (1758-1794) memutuskan untuk menghapuskan perhambaan di seluruh negara Perancis dan tanah jajahannya. Namun, selepas Napoleon Bonaparte merampas kuasa pada tahun 1799, dia mengeluarkan dekri yang dikenali sebagai “Undang-undang 20 Mei 1802” untuk memulihkan perhambaan di tanah jajahan Perancis. Napoleon Bonaparte cuba mengembalikan perhambaan di Saint-Domingue secara keras, tetapi mencetuskan peperangan yang akhirnya membawa kepada kemerdekaan Haiti pada tahun 1804.

Perhambaan di tanah jajahan Perancis di Amerika akhirnya dihapuskan apabila Kerajaan Sementara yang mengambil alih kuasa berikutan Revolusi Februari 1848 mengemukakan Dekri Penghapusan Perhambaan pada 27 April 1848. Dekri itu dirangka oleh Victor Schœlcher (1804-1893), Timbalan Setiausaha Negara untuk Tanah Jajahan pada masa itu yang mula menentang perhambaan selepas dia terdedah kepada realiti kezaliman perhambaan semasa pengembaraannya ke Amerika Utara pada usia muda. Victor Schœlcher merupakan tokoh abolisionis Eropah yang pertama melawat Haiti selepas kemerdekaannya. Kerajaan Perancis membayar sejumlah 126 juta franc dalam emas kepada golongan tuan hamba sebagai ganti rugi “kehilangan harta” mereka, kerana membebaskan kira-kira 250,000 orang hamba. Golongan hamba pula tidak menerima apa-apa ganti rugi dalam bentuk kewangan atas penderitaan yang dialami mereka sepanjang perhambaan.
Di Martinique, sebuah lagi tanah jajahan Perancis di rantau Caribbean, sebelum Dekri Penghapusan Perhambaan dari Paris sampai di situ pada bulan Jun 1848, perhambaan telah dihapuskan oleh gabenor di situ kerana pemberontakan hamba. Pada 20 Mei 1848, di Le Prêcheur yang terletak di bahagian utara Pulau Martinique, seorang peladang kulit putih melarang golongan hamba di situ daripada memainkan gendang. Seorang hamba yang mengingkar arahan itu telah ditangkap dan penahanannya mencetuskan kemarahan hamba-hamba lain sehingga memberontak dengan mengangkat senjata. Golongan hamba berarak menuju ke Saint-Pierre. Mereka menuntut kebebasan daripada perhambaan dengan serta-merta. Pihak berkuasa tempatan melepaskan tembakan sehingga membunuh kira-kira 65-70 orang hamba, dan golongan hamba bertindak balas dengan membakar beberapa buah rumah di Saint-Pierre. Untuk meredakan kemarahan golongan hamba, gabenor Martinique mengumumkan penghapusan perhambaan di situ pada 22 Mei 1848.
Di Guadeloupe, yang terletak agak dekat dengan Martinique, oleh sebab bimbang tentang pemberontakan hamba yang serupa, gabenor di situ juga mengumumkan penghapusan perhambaan pada 27 Mei 1848. Di Guiana yang tidak terkesan dengan pemberontakan hamba, penghapusan perhambaan hanya diumumkan pada 10 Ogos 1848. Réunion yang terletak di Lautan Hindi pula menghapuskan perhambaan pada 20 Disember 1848.
Penghapusan perhambaan di tanah jajahan Denmark
Denmark-Norway menjadi negara Eropah pertama yang mengharamkan perdagangan hamba apabila Raja Christian VII menandatangani sebuah ordinan pada 16 Mac 1792. Namun, sebagai kompromi oleh kerajaan Denmark dengan golongan peladang kolonial di Hindia Barat Denmark, penguatkuasaan ordinan penghapusan perdagangan hamba itu hanya bermula tahun 1802, maka golongan peladang kolonial mempunyai tempoh masa 10 tahun untuk menambahkan bekalan tenaga hamba mereka sebelum perdagangan hamba itu diberhentikan. Walau bagaimanapun, pelaksanaan penghapusan perdagangan hamba di tanah jajahan Denmark masih lima tahun lebih awal berbanding Empayar British yang memperkenalkan Akta Perdagangan Hamba 1807 oleh Parlimen British.
Perhambaan telah diamalkan di Hindia Barat Denmark sejak tahun 1670-an, dengan kebanyakan hamba bekerja di ladang-ladang, terutamanya ladang pengeluar gula, dan sesetengah pula bekerja di pelabuhan. Walaupun kerajaan Denmark menghapuskan perdagangan hamba merentasi Lautan Atlantik pada tahun 1802, perhambaan masih diamalkan secara berleluasa di tanah jajahannya di rantau Caribbean itu.
Selepas Parlimen British meluluskan Akta Penghapusan Perhambaan pada tahun 1833, persoalan penghapusan perhambaan di Hindia Barat Denmark telah menjadi tumpuan perhatian orang ramai. Raja Christian VIII, yang mengambil alih takhta raja Denmark pada tahun 1839, menyokong penghapusan perhambaan secara beransur-ansur. Raja Christian VIII memerintah pada tahun 1847 bahawa setiap kanak-kanak yang dilahirkan oleh hamba wanita harus bebas sejak lahir, dan perhambaan akan ditamatkan selepas 12 tahun. Namun, kedua-dua golongan hamba dan golongan pemilik ladang yang menggunakan tenaga hamba itu tidak berpuas hati dengan perintah raja Denmark itu atas sebab masing-masing yang saling bertentangan.

Seperti golongan hamba di Martinique dan Guadeloupe, golongan hamba di Hindia Barat Denmark juga tidak sabar untuk menunggu kebebasan mereka. Pada 2 Julai 1848, sekumpulan warga kulit hitam bebas, termasuk John “Moses” Gottlieb, yang juga dikenali sebagai Jeneral Buddhoe, melancarkan pemberontakan dan mengambil alih Frederiksted, sebuah bandar di Pulau Saint Croix yang merupakan sebahagian daripada Kepulauan Virgin Denmark. Ratusan orang hamba berhimpun secara aman di luar Fort Frederik, sebuah kubu di Frederiksted, menyatakan keengganan mereka untuk bekerja dan menuntut kebebasan.
Pada 3 Julai 1848, kira-kira 8,000 orang hamba menyertai aksi protes. Untuk menghentikan pemberontakan dan mencegah pertumpahan darah, Peter von Scholten (1784-1854), Gabenor Hindia Barat Denmark pada masa itu, pergi ke Frederiksted dan mengumumkan pembebasan serta-merta semua hamba. Peter von Scholten kemudian pergi ke Christiansted, sebuah lagi bandar di Pulau Saint Croix, di mana tercetusnya satu lagi pemberontakan hamba. Notis pengisytiharan pembebasan hamba juga disebarkan ke pulau-pulau lain di Hindia Barat Denmark.
Jeneral Buddhoe bekerjasama dengan pihak berkuasa kolonial untuk menghentikan rusuhan yang tercetus di beberapa buah ladang. Namun, selepas pemberontakan hamba itu sudah tamat, dia dipenjarakan dan dibuang negeri ke Trinidad. Gabenor Peter von Scholten pula dipanggil balik ke Denmark untuk menghadap perbicaraan atas pertuduhan mengkhianati negara, tetapi dia kemudian dibebaskan daripada pertuduhan. Penghapusan perhambaan itu menjadi kenyataan kerana kebangkitan golongan hamba, dan dikekalkan kerana pihak berkuasa kolonial takut pada pemberontakan selanjutnya. Namun begitu, ramai pemilik ladang menuntut pampasan atas sebab kehilangan harta (iaitu hamba) mereka dan keperluan untuk mereka membayar tenaga buruh pada masa hadapan. Kerajaan Denmark membayar pemilik ladang pampasan sebanyak 50 rigsdaler bagi setiap orang hamba yang dimiliki mereka tetapi telah dibebaskan.
Walaupun perhambaan dihapuskan, kehidupan bekas hamba di Hindia Barat Denmark tidak berubah banyak, kerana ramai dalam kalangan mereka masih terus terikat dengan ladang-ladang asal sebagai buruh kontrak yang teruk dieksploitasi. 30 tahun selepas penghapusan perhambaan di Hindia Barat Denmark, keadaan kerja bekas hamba itu yang teruk dan tidak berbeza berbanding perhambaan sebelum itu telah mencetuskan pemberontakan golongan buruh di Saint Croix pada 1 Oktober 1878, yang dipimpin oleh empat orang wanita, iaitu Mary Thomas, Axelene “Agnes” Salomon, Mathilda McBean dan Susanna Abramsen. Pihak berkuasa kolonial Denmark mematahkan pemberontakan pekerja itu dengan cara yang ganas. Hampir 100 orang terbunuh dalam peristiwa pemberontakan buruh itu, sementara 50 buah rumah dibakar dan hampir 900 ekar ladang gula dimusnahkan. Kira-kira 400 orang ditangkap, dengan 12 orang pekerja yang memberontak dihukum mati. 4 orang wanita yang memimpin pemberontakan buruh itu dipenjarakan.
Tanah jajahan Denmark di Caribbean dijual kepada Amerika Syarikat pada tahun 1917 berikutan penandatanganan Perjanjian Hindia Barat Denmark, dan menjadi Kepulauan Virgin Amerika Syarikat hari ini.
Usaha awal penghapusan perhambaan di Amerika Syarikat
Menjelang abad ke-17, hamba-hamba di tanah jajahan Eropah di Amerika Utara dapat membebaskan diri mereka dengan cara manumisi, tetapi pendekatan itu sangat bergantung kepada kesudian tuan hamba untuk membebaskan orang yang diperhambakannya. Sesetengah hamba mungkin boleh mengaturkan manumisi dengan bersetuju untuk “membeli diri mereka sendiri” dengan membayar sejumlah wang kepada tuan hamba mereka.
Pada tahun 1644, Reytory Angola (1626-1689), seorang hamba wanita di New Amsterdam (terletak di Manhattan, Bandar Raya New York hari ini), bersama-sama suaminya memperoleh manumisi bersyarat, iaitu mereka adalah bebas selagi mereka membayar cukai tahunan dalam bentuk hasil tanaman dan ternakan. Reytort Angola kemudiannya menjadi warga kulit hitam pertama yang mempetisyen badan perundangan New Amsterdam, untuk meminta manumisi anak angkatnya yang diperhambakan, dan dia berjaya berbuat demikian pada tahun 1661. Golongan penjajah Inggeris menawan New Amsterdam pada tahun 1664, dan menamakan semula bandar itu kepada New York.
Pada tahun 1688, golongan Quaker yang menjadi peneroka di Germantown, Jajahan Pennsylvania, mengemukakan petisyen kepada pihak berkuasa kolonial British dengan tuntutan menghapuskan perhambaan. Petisyen itu bertujuan untuk menghentikan perhambaan yang diamalkan dalam komuniti Quaker pada masa itu, dan mengiktiraf hak sejagat bagi semua orang. Walaupun tuntutan yang dibawa dalam Petisyen Germantown itu tidak dilaksanakan pada masa itu, ia membangkitkan semangat untuk memperjuangkan penghapusan perhambaan di tanah jajahan British di Amerika Utara yang kemudiannya menjadi Amerika Syarikat.
Ramai dalam kalangan golongan Patriot Amerika, iaitu golongan peneroka kulit putih yang memperjuangkan kemerdekaan Tiga Belas Jajahan daripada British, merupakan pemilik hamba yang mengambil tenaga buruh hamba untuk bekerja di ladang-ladang mereka. Tokoh-tokoh politik perjuangan kemerdekaan Amerika Syarikat, seperti George Washington (1731-1799), Thomas Jefferson (1743-1826) dan James Madison (1751-1836), merupakan tuan hamba yang memiliki banyak hamba. Walau bagaimanapun, fahaman kemanusiaan Zaman Pencerahan yang mempengaruhi ramai pemimpin Patriot telah mendorong pembangunan pandangan untuk menghapuskan perhambaan, sekurang-kurangnya secara beransur-ansur.
Semasa menulis draf Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat, Thomas Jefferson pernah memasukkan perenggan yang mengecam tindakan Raja George III dari Britain yang mengekalkan perdagangan hamba di wilayah-wilayah jajahan di Amerika Utara. Namun, untuk mendapatkan sokongan daripada golongan Patriot yang terlibat secara ketara dalam perdagangan hamba di Jajahan-jajahan Selatan, seperti Carolina Selatan dan Georgia, ayat itu dipadamkan daripada teks akhir yang diluluskan oleh Kongres Kontinental Kedua. Perhambaan merupakan sebahagian yang penting dalam ekonomi Amerika Syarikat semasa ia mencapai kemerdekaan. Malah, perhambaan terus berkembang di negeri-negeri Selatan Amerika Syarikat, walaupun Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat menyatakan bahawa “semua manusia dicipta sama rata” dan semua rakyatnya mempunyai hak kebebasan.
“Persatuan untuk Membantu Negro Bebas yang Ditahan Secara Tidak Sah dalam Perhambaan” (Society for the Relief of Free Negroes Unlawfully Held in Bondage) yang ditubuhkan pada 14 April 1775 di Philadelphia, Pennsylvania, beberapa hari sebelum tercetusnya Perang Revolusi Amerika, boleh dikatakan sebagai pertubuhan abolisionis yang pertama di Amerika Syarikat. Kebanyakan anggota pertubuhan itu pada awalnya merupakan golongan Quaker. Namun, persatuan itu menggantungkan operasinya semasa Perang Revolusi Amerika. Persatuan itu disusun semula pada tahun 1784 dan menukar nama kepada “Persatuan Pennsylvania untuk Menggalakkan Penghapusan Perhambaan dan untuk Membantu Negro Bebas yang Ditahan Secara Tidak Sah dalam Perhambaan” (Pennsylvania Society for Promoting the Abolition of Slavery and for the Relief of Free Negroes Unlawfully Held in Bondage), atau lebih dikenali sebagai “Persatuan Penghapusan Perhambaan Pennsylvania” (Pennsylvania Abolition Society).
Benjamin Franklin (1706-1790), salah seorang tokoh perjuangan kemerdekaan Amerika Syarikat, dipilih sebagai Presiden Persatuan Penghapusan Perhambaan Pennsylvania, dan dia diminta untuk membawa isu mengenai perhambaan ke dalam Konvensyen Perlembagaan yang diadakan di Philadelphia pada tahun 1787. Walaupun Benjamin Franklin sendiri pernah memiliki hamba, dia mula mempersoalkan amalan perhambaan sejak tahun 1760-an, di samping mendukung usaha pendidikan bagi golongan warga kulit hitam.
Oleh sebab kompromi yang dicapai antara ahli-ahli perwakilan yang pro-perhambaan dan mereka yang anti-perhambaan dalam Konvensyen Perlembagaan, Perlembagaan Amerika Syarikat yang digubal pada tahun 1787 dan mula berkuat kuasa pada tahun 1789 tidak menyentuh apa-apa mengenai penghapusan perhambaan, dan juga tidak memberikan hak kewarganegaraan serta hak mengundi kepada bekas hamba kulit hitam. Namun begitu, Ordinan Barat Laut yang diluluskan oleh Kongres Konfederasi pada tahun 1787 melarang perhambaan di Wilayah Barat Laut Sungai Ohio, iaitu sebahagian daripada wilayah di barat yang dirampas oleh Amerika Syarikat semasa perang kemerdekaan.
Apabila Kongres Kontinental Kedua mengisytihar kemerdekaan Amerika Syarikat pada tahun 1776, terdapat kira-kira 500,000 orang hamba kulit hitam di Tiga Belas Jajahan yang mempunyai sebanyak kira-kira 2.5 juta orang penduduk, bermakna kira-kira 20% penduduk di situ merupakan hamba. Kebanyakan hamba kulit hitam tertumpu di Selatan Amerika Syarikat, sementara hanya 5% daripada jumlah penduduk di wilayah-wilayah New England, yang merupakan sebahagian daripada Utara Amerika Syarikat, merupakan hamba. Selepas tahun 1776, hasil daripada pemujukan oleh golongan Quaker, sesetengah golongan tuan hamba membebaskan orang yang diperhambakan mereka, maka meningkatkan kadar manumisi dan ribuan orang hamba memperoleh kebebasan.
Dalam bancian pertama di Amerika Syarikat yang merdeka pada tahun 1790, hampir 700,000 orang (bersamaan 17.8%) daripada kira-kira 3.9 juta orang penduduk di Amerika Syarikat merupakan hamba kulit hitam. Walaupun terdapat usaha untuk membebaskan hamba dengan cara manumisi, peratusan hamba masih tidak banyak berubah. Hanya dua buah negeri, iaitu Massachusetts dan Vermont, tidak mempunyai hamba dalam rekod menjelang tahun 1790, manakala negeri-negeri di Selatan Amerika Syarikat masih mempunyai peratusan hamba yang sangat tinggi, seperti Carolina Selatan (43%), Virginia (39.1%), Georgia (35.5%), Maryland (32.2%) dan Carolina Utara (25.5%).
Walaupun Jajahan-jajahan New England di bahagian utara seperti Rhode Island dan Connecticut telah mengharamkan pengimportan hamba dari luar wilayah jajahan itu pada tahun 1774, iaitu sebelum kemerdekaan Amerika Syarikat, perdagangan hamba di dalam wilayah jajahan masih dibenarkan. Republik Vermont yang ditubuhkan pada tahun 1777 semasa revolusi melanda Tiga Belas Jajahan, menjadi bekas jajahan British pertama di Amerika Utara yang menghapuskan perhambaan melalui penggubalan perlembagaan. Hasil daripada desakan golongan abolisionis di wilayah itu yang mendapat pengaruh daripada fahaman penghapusan perhambaan yang dibawa oleh golongan Quaker, dewan perundangan Vermont meluluskan Perlembagaan Vermont pada bulan Julai 1777 yang membebaskan hamba di situ, dan memberikan hak mengundi kepada semua warga lelaki dewasa, termasuk lelaki kulit hitam. Walau bagaimanapun, golongan hamba yang sedia ada di situ tidak dibebaskan secara langsung, tetapi golongan tuan hamba dikehendaki untuk menghantar semua hamba mereka keluar dari Vermont. Tambahan pula, larangan perhambaan di Vermont juga tidak dikuatkuasakan dengan tegas.
Pada 1 Mac 1780, Perhimpunan Agung Pennsylvania, iaitu dewan perundangan Komanwel Pennsylvania yang merupakan salah sebuah negeri terawal dalam pembentukan Amerika Syarikat, meluluskan undang-undang untuk menghapuskan perhambaan secara beransur-ansur. Undang-undang itu melarang pengimportan kanak-kanak dan orang dewasa ke dalam Komanwel Pennsylvania dengan tujuan memperhambakan mereka, mewajibkan pemilik hamba untuk mendaftarkan nama individu yang diperhambakan mereka setiap tahun (jika tidak, hamba itu akan dibebaskan), dan menetapkan bahawa semua kanak-kanak yang dilahirkan di Pennsylvania adalah bebas tanpa mengira keadaan atau etnik ibu bapa mereka. Mereka yang menjadi hamba di Pennsylvania sebelum pelaksanaan undang-undang 1780 itu masih tidak bebas lagi sehingga tahun 1847.
Di negeri-negeri Utara Amerika Syarikat yang mempunyai ekonomi perindustrian yang lebih maju, golongan pekerja kulit putih di situ menyokong usaha penghapusan perhambaan, bukannya kerana mereka mendukung pembebasan hamba berkulit hitam, tetapi lebih kepada mengurangkan persaingan ekonomi daripada golongan hamba yang lebih mudah dieksploitasi. John Adams (1735-1826), salah seorang tokoh perjuangan kemerdekaan Amerika Syarikat yang kemudian menjadi Presiden Amerika Syarikat kedua (1797-1801), pernah menulis, “Jika golongan terhormat dibenarkan oleh undang-undang untuk memiliki hamba, orang kulit putih biasa akan membunuh negro-negro itu dan mungkin juga tuan mereka.”
Badan perundangan Massachusetts pernah mengusulkan cadangan untuk penghapusan perhambaan secara beransur-ansur pada tahun 1777. Namun, draf perlembagaan negeri itu yang dikemukakan pada tahun 1778 oleh Konvensyen Perlembagaan Massachusetts yang pertama mengiktiraf perhambaan secara sah di sisi undang-undang dan melarang warga kulit hitam yang bebas daripada mengundi. Draf perlembagaan 1778 itu ditolak oleh pengundi-pengundi Massachusetts atas sebab-sebab lain. Konvensyen Perlembagaan Massachusetts yang kedua bersidang pada tahun 1779 dan menghasilkan sebuah lagi draf perlembagaan bagi negeri itu tetapi bersifat lebih liberal. Dokumen perlembagaan itu dirangka oleh John Adams, Samuel Adams (1722-1803) yang merupakan abang sepupu John Adams dan James Bowdoin (1726-1790). Perlembagaan Komanwel Massachusetts diluluskan oleh pengundi pada 15 Jun 1780 dan berkuat kuasa mulai 25 Oktober 1780, dengan Perkara 1 yang berbunyi, “Semua orang adalah dilahirkan bebas dan sama rata serta mempunyai hak-hak tertentu yang semula jadi, penting dan tidak boleh dicabuli; antaranya boleh termasuk hak untuk menikmati dan mempertahankan nyawa serta kebebasan mereka; hak untuk memperolehi, memiliki dan melindungi harta; dan secara umumnya, hak untuk mencari serta mendapatkan keselamatan dan kebahagiaan mereka.”
Walaupun tidak menyatakan penghapusan perhambaan, tafsiran kehakiman terhadap Perkara 1 Perlembagaan Komanwel Massachusetts tidak lama kemudian telah membawa kepada penghapusan perhambaan di negeri itu. Elizabeth Freeman (1744-1829), yang juga dikenali sebagai Mumbet atau Bett, merupakan salah seorang hamba kulit hitam yang paling awal memfailkan kes “saman kebebasan” (freedom suit) di Massachusetts dengan menggunakan peruntukan dalam Perkara 1 perlembagaan negeri itu.

Mahkamah Kehakiman Agung Massachusetts memutuskan pada tahun 1781 bahawa perhambaan tidak seiras dengan Perlembagaan Komanwel Massachusetts dan menganugerahkan kebebasan kepada Elizabeth Freeman. Kes saman kebebasan Elizabeth Freeman kemudian dipetik dalam semakan rayuan di Mahkamah Kehakiman Agung Massachusetts pada tahun 1783 terhadap saman kebebasan seorang lagi hamba kulit hitam, Quock Walker, di mana Quock Walker dibayar ganti rugi kerana dipukul oleh tuan hamba sementara tuan hamba yang memukulnya dikenakan denda. Dengan penghakiman mahkamah di Massachusetts yang tidak berpihak kepada perhambaan, Massachusetts menjadi negeri pertama di Amerika Syarikat yang menghapuskan perhambaan secara berkesan dan sepenuhnya menjelang tahun 1790.
Connecticut dan Rhode Island masing-masing meluluskan undang-undang yang membolehkan pembebasan hamba secara beransur-ansur pada tahun 1784. Akta Perdagangan Hamba yang diluluskan oleh Kongres Amerika Syarikat pada tahun 1794 melarang pembinaan atau pemasangan kapal di pelabuhan Amerika Syarikat untuk perdagangan hamba antarabangsa. Menjelang tahun 1798, semua negeri di Amerika Syarikat mengharamkan perdagangan hamba merentasi Lautan Atlantik. Akta Perdagangan Hamba 1800 pula melarang warganegara Amerika Syarikat daripada pelaburan dan pekerjaan dalam perdagangan hamba antarabangsa.
Di negeri-negeri di Utara Amerika Syarikat yang mempunyai bilangan hamba yang lebih banyak, seperti New York dan New Jersey, undang-undang untuk pembebasan hamba secara beransur-ansur juga diluluskan. Namun, warga kulit hitam yang bebas di New York dan New Jersey tidak dibenarkan untuk mengundi. Menjelang tahun 1804, semua negeri di Utara Amerika Syarikat (Vermont, New Hampshire, Massachusetts, Connecticut, Rhode Island, New York dan New Jersey) telah menghapuskan perhambaan dengan penggubalan undang-undang, tetapi ia tidak bermakna semua hamba yang sedia ada terus dibebaskan. Di kebanyakan negeri, undang-undang yang “menghapuskan perhambaan” itu hanya memberikan kebebasan kepada anak-anak hamba. Di New York, hamba-hamba yang “dibebaskan” masih perlu bekerja tanpa bayaran upah sebagai hamba kontrak selama dua dekad lagi sebelum memperoleh pembebasan sepenuhnya pada tahun 1827. Di New Jersey, perhambaan masih tidak dilarang sepenuhnya selama lebih setengah abad.
Persatuan Manumisi New York ditubuhkan pada tahun 1785 dengan objektif untuk menggalakkan pembebasan hamba secara beransur-ansur. Salah seorang pengasas persatuan itu ialah John Jay (1745-1829), yang bakal menjadi Ketua Hakim Amerika Syarikat pertama pada tahun 1789 dan dia sendiri memiliki hamba. Walaupun menyokong usaha pembebasan hamba secara beransur-ansur, John Jay masih membeli hamba dan hanya membebaskan mereka selepas dia menganggap hamba itu melakukan kerja yang mencukupi. Pembebasan hamba melalui pendekatan manumisi telah sedikit sebanyak menambahkan bilangan warga kulit hitam bebas di Amerika Syarikat, tetapi masih amat tidak mencukupi.
Akta Hamba Pelarian 1793 yang diluluskan oleh Kongres Amerika Syarikat telah memudahkan golongan tuan hamba dan orang yang menangkap hamba untuk memperhambakan semula mereka yang melarikan diri daripada perhambaan. Akta itu merupakan kompromi yang dibuat oleh Kongres Amerika Syarikat untuk memenuhi kehendak golongan pemerintah di Selatan Amerika Syarikat. Undang-undang itu mewajibkan kerajaan di “negeri bebas” (iaitu negeri yang sudah menghapuskan perhambaan) untuk membantu golongan tuan hamba atau ejen mereka yang hendak menangkap semula hamba-hamba yang melarikan diri. Namun, sesetengah badan perundangan negeri melarang perkara itu.
Kongres Amerika Syarikat meluluskan Akta Melarang Pengimportan Hamba pada tahun 1807, tetapi perhambaan dan perdagangan hamba di dalam sempadan negara Amerika Syarikat masih dibenarkan, malah berleluasa, terutamanya di bahagian selatan negara itu. Penyeludupan hamba secara haram dari luar sempadan juga diteruskan. Akta untuk Melindungi Perdagangan Amerika Syarikat dan Menghukum Jenayah Pelanunan yang diluluskan pada tahun 1819, menjadikan pengimportan hamba ke dalam Amerika Syarikat sebagai kesalahan yang boleh dijatuhkan hukuman mati.
Di negeri-negeri Selatan Amerika Syarikat, hampir semua saman kebebasan yang difailkan oleh golongan hamba kulit hitam ditolak oleh mahkamah-mahkamah di situ yang memutuskan bahawa hak yang termaktub dalam perlembagaan negeri tidak terpakai untuk warga kulit hitam. Amalan perhambaan sangat kukuh di Selatan Amerika Syarikat, dengan golongan tuan hamba yang berkuasa di situ menentang kuat pendirian anti-perhambaan yang dipegang oleh pemimpin-pemimpin politik di Utara Amerika Syarikat.
Oleh sebab usaha pembebasan hamba secara beransur-ansur itu, terutamanya di negeri-negeri Utara Amerika Syarikat, terdapat peningkatan dalam bilangan warga kulit hitam bebas di Amerika Syarikat, dengan ramai dalam kalangan mereka dilahirkan bebas daripada ibu bapa yang merupakan hamba. Walaupun dilahirkan bebas, warga kulit hitam menghadapi diskriminasi yang teruk daripada golongan warga kulit putih yang berkuasa. Ramai warga kulit hitam masih tidak dapat menikmati hak kewarganegaraan, seperti hak mengundi. Golongan pekerja kulit putih juga sering menganggap warga kulit hitam sebagai ancaman yang merampas pekerjaan mereka kerana warga kulit hitam yang didiskriminasi itu sanggup bekerja dengan upah yang lebih rendah.
Golongan tuan hamba di Selatan Amerika Syarikat juga bimbang tentang kewujudan warga kulit hitam bebas dalam jumlah yang besar boleh menjadi ancaman keselamatan kepada susunan masyarakat yang sedia ada. Mereka takut bahawa pemberontakan hamba besar-besaran seperti Revolusi Haiti boleh berlaku di Amerika Syarikat. Selepas rancangan pemberontakan hamba yang dipimpin oleh Gabriel Prosser pada tahun 1800 digagalkan, sesetengah tuan hamba mula menyokong pendekatan menghantar keluar golongan bekas hamba dari Amerika Syarikat.
Apabila wilayah Amerika Syarikat diperluaskan lagi dengan “Pembelian Louisiana” pada tahun 1803, golongan pemerintah di negeri-negeri Utara Amerika Syarikat cuba menghalang pengembangan perhambaan ke dalam wilayah “baharu” yang diperoleh itu, sementara golongan pemerintah di negeri Selatan Amerika Syarikat hendak mengembangkan lagi perhambaan. Untuk mengimbangi kepentingan yang berbeza antara golongan elit pemerintah di Utara dan Selatan, Kongres Amerika Syarikat meluluskan undang-undang yang dikenali sebagai “Kompromi Missouri” pada tahun 1820, di mana Missouri dimasukkan ke dalam persekutuan sebagai “negeri hamba” dan Maine ditubuhkan sebagai “negeri bebas”. Kompromi Missouri mengisytiharkan sebuah dasar yang melarang perhambaan di tanah selebihnya yang diperoleh melalui Pembelian Louisiana di utara garis selari 36°30’. Kompromi Missouri cuba mengekalkan keseimbangan antara perwakilan-perwakilan dari negeri bebas dan negeri hamba dalam Senat Amerika Syarikat.

Mendapat ilham daripada penempatan semula bekas hamba kulit hitam di Sierra Leone oleh kerajaan British, “Persatuan Penjajahan Amerika” (American Colonization Society) ditubuhkan pada tahun 1816 untuk mendukung usaha “penghantaran pulang” warga kulit hitam yang dilahirkan bebas dan bekas hamba ke Afrika. Boleh dikatakan bahawa pemikiran di sebalik usaha penempatan semula warga kulit hitam bebas itu adalah berasaskan fahaman rasis dalam kalangan golongan elit kulit putih yang memandang rendah pada warga kulit hitam. Oleh itu, Persatuan Penjajahan Amerika mendapat sokongan daripada sesetengah tuan hamba yang percaya bahawa “penghantaran pulang” warga kulit hitam bebas boleh mengelakkan pemberontakan hamba.
Dalam mesyuarat penubuhan Persatuan Penjajahan Amerika, Robert Finley (1772-1817), seorang paderi Presbiterian yang merupakan salah seorang pengasas persatuan itu, mencadangkan bahawa kerajaan Amerika Syarikat patut mewujudkan sebuah tanah jajahan di benua Afrika supaya menempatkan warga kulit hitam bebas dari Amerika Syarikat. Persatuan Penjajahan Amerika mula menghantar warga kulit hitam bebas ke wilayah Pantai Lada, yang terletak di Afrika Barat dan bersebelahan dengan Sierra Leone, pada tahun 1820-an untuk memulakan penjajahan di situ. Wilayah jajahan itu diberikan nama Liberia. Golongan peneroka kulit hitam di wilayah jajahan itu mengisytihar kemerdekaan pada tahun 1847, maka melahirkan Republik Liberia. Walaupun perlembagaan Republik Liberia digubal berdasarkan Perlembagaan Amerika Syarikat dan bendera kebangsaan Liberia direka cipta dengan meniru bendera kebangsaan Amerika Syarikat, Amerika Syarikat hanya mengiktiraf kemerdekaan Liberia pada tahun 1862, iaitu selepas 15 tahun perisytiharan kemerdekaannya.
Frances “Fanny” Wright (1795-1852), seorang sosialis utopia yang berasal dari Scotland dan kemudiannya menjadi warganegara Amerika Syarikat, menganjurkan sebuah projek eksperimen utopia di negeri Tennessee pada tahun 1825, yang dikenali sebagai “Komuniti Nashoba”. Projek itu cuba menunjukkan bagaimana golongan hamba boleh dibebaskan tanpa mengakibatkan tuan milik mereka kerugian wang. Untuk melaksanakan projek itu, Fanny Wright membeli kira-kira 30 orang hamba, dengan hampir separuhnya merupakan kanak-kanak, untuk tinggal di komuniti eksperimennya itu. Menurut rancangan Fanny Wright, hamba-hamba yang bekerja di dalam komuniti itu secara beransur-ansur boleh mendapatkan wang yang mencukupi untuk membeli kebebasan mereka, dan hamba-hamba yang dibebaskan itu akan dihantar ke tanah jajahan lain. Namun, Fanny Wright sendiri terpaksa meninggalkan komuniti itu selepas dia menghidapi penyakit malaria, dan projek itu menemui kegagalan pada tahun 1826 apabila kekurangan sumbangan dana dari luar. Selepas projek Komuniti Nashoba gagal, Fanny Wright menyewa sebuah kapal untuk menghantar hamba-hamba yang masih berada di situ ke Haiti, dan membebaskan mereka di situ.
Abolisionisme di Amerika Syarikat
Penghapusan perhambaan secara beransur-ansur yang diamalkan oleh sesetengah negeri di Utara Amerika Syarikat dan amalan perhambaan yang masih berleluasa di negeri-negeri Selatan Amerika Syarikat, telah menimbulkan perasaan ketidaksabaran dan ketidakpuasan hati dalam kalangan sesetengah orang yang anti-perhambaan. Golongan pemerintah di Selatan Amerika Syarikat memperketatkan lagi sekatan terhadap usaha pembebasan hamba selepas Pemberontakan Nat Turner pada tahun 1831, termasuk melarang pengedaran terbitan yang anti-perhambaan. Menjelang tahun 1830-an, semakin ramai dalam kalangan golongan abolisionis di Utara Amerika Syarikat mula mengambil pendirian yang lebih radikal, iaitu menghapuskan perhambaan sepenuhnya dan membebaskan semua hamba dengan serta-merta.
Freedom’s Journal yang diasaskan pada 16 Mac 1827 di New York merupakan akhbar pertama di Amerika Syarikat yang dimiliki dan diusahakan oleh golongan warga kulit hitam bebas. Akhbar itu menerbitkan rencana-rencana yang membawa pandangan anti-perhambaan, termasuk tulisan mengenai sejarah Haiti dan Revolusi Haiti. Penerbitan Freedom’s Journal menyediakan ruang untuk menyiarkan suara daripada penulis-penulis dan aktivis-aktivis kulit hitam, terutamanya di Utara Amerika Syarikat.
Samuel Cornish (1795-1858), seorang paderi gereja Presbiterian dan pemimpin komuniti warga kulit hitam di New York, dilantik sebagai salah seorang pengarang Freedom’s Journal. Freedom’s Journal pada awalnya mengambil pendirian yang membantah Persatuan Penjajahan Amerika, tetapi berikutan Samuel Cornish meletak jawatan selepas menjadi pengarang selama enam bulan, seorang lagi pengarang, John Brown Russwurm (1799-1851), mengambil pendirian yang menyokong usaha Persatuan Penjajahan Amerika dalam mewujudkan tanah jajahan di Afrika untuk menempatkan semula golongan bekas hamba di Amerika Syarikat. Selepas Russwurm berpindah ke Liberia pada tahun 1829, Cornish melancarkan The Rights of All, sebuah akhbar abolisionis yang baharu untuk menggantikan Freedom’s Journal dan meneruskan bantahannya terhadap Persatuan Penjajahan Amerika.
David Walker (1796-1830), seorang warga kulit hitam yang dilahirkan bebas, pernah menjadi ejen jualan dan penulis bagi Freedom’s Journal. David Walker merupakan salah seorang pengasas “Persatuan Warga Kulit Hitam Umum Massachusetts” (Massachusetts General Colored Association) yang ditubuhkan di Boston pada tahun 1826 untuk menentang perhambaan dan rasisme. Pada bulan September 1829, David Walker menerbitkan rayuannya yang ditujukan kepada semua warga kulit hitam yang sama ada bebas atau diperhambakan. Rayuan Walker menyeru golongan warga kulit hitam untuk mengambil bahagian secara aktif dalam usaha menentang perhambaan dengan menggunakan apa jua cara, sementara mendesak golongan warga kulit putih untuk menyedari bahawa perhambaan adalah menjijikkan dari segi moral. Walker mencabar fahaman dan amalan rasis pada masa itu, khususnya pendekatan Persatuan Penjajahan Amerika yang cuba menghantar semua warga kulit hitam bebas dari Amerika Syarikat ke sebuah tanah jajahan di Afrika.
Pada tahun 1831, William Lloyd Garrison (1805-1879), seorang wartawan yang mendukung aspirasi abolisionisme, mula menerbitkan The Liberator, sebuah akhbar mingguan abolisionis yang berpangkalan di Boston, Massachusetts. Walaupun edarannya agak sederhana, ramai dalam kalangan pembaca The Liberator merupakan orang yang berpengaruh, maka membolehkan penyebaran fahaman abolisionis yang lebih lanjut.
Selain mendukung penghapusan perhambaan, The Liberator juga menyokong hak wanita. Akhbar itu pernah menerbitkan tulisan Maria W. Stewart (1803-1879), seorang warga kulit hitam bebas dari Hartford, Connecticut, yang pernah bekerja sebagai pembantu rumah dan kemudiannya menjadi guru dan aktivis abolisionis. Maria W. Stewart merupakan salah seorang wanita terawal di Amerika Syarikat yang bersuara secara terbuka tentang penghapusan perhambaan dan penegakan hak wanita. Maria W. Stewart menggesa golongan wanita kulit hitam untuk bangkit mengatasi batasan yang dikenakan ke atas mereka dan membina kehidupan mereka sendiri.

Dalam tulisannya yang diterbitkan pada tahun 1832 dengan tajuk “Pemikiran mengenai Penjajahan Afrika” (Thoughts on African Colonization), William Lloyd Garrison mengemukakan kritikan tajam terhadap Persatuan Penjajahan Amerika. Garrison berpandangan bahawa pendekatan yang diambil oleh Persatuan Penjajahan Amerika tidak memanfaatkan warga kulit hitam dan bukannya penyelesaian kepada masalah perhambaan di Amerika Syarikat, sebaliknya hanya membantu dalam mengekalkan perhambaan, bertentangan dengan prinsip-prinsip keadilan dan kemanusiaan.
Selain menerbitkan akhbar mingguan yang abolisionis, William Lloyd Garrison juga menerajui usaha menyusun gerakan baharu untuk menuntut penghapusan perhambaan sepenuhnya di Amerika Syarikat. William Lloyd Garrison menubuhkan “Persatuan Anti-Perhambaan New England” (New England Anti-Slavery Society). Persatuan Anti-Perhambaan New England disusun semula sebagai “Persatuan Anti-Perhambaan Massachusetts” (Massachusetts Anti-Slavery Society) pada tahun 1838.
Persatuan Anti-Perhambaan New England telah menjadi pusat penggerak usaha anti-perhambaan yang penting di Amerika Syarikat. Hasil daripada usaha William Lloyd Garrison dan Arthur Tappan (1786-1865) dalam mengembangkan gerakan abolisionis, “Persatuan Anti-Perhambaan Amerika” (American Anti-Slavery Society, singkatan AASS) ditubuhkan pada 4 Disember 1833 dalam sebuah konvensyen yang disertai oleh golongan abolisionis dari 10 buah negeri. Arthur Tappan dilantik sebagai Presiden AASS yang pertama. James Forten (1766-1842), seorang warga kulit hitam bebas yang pernah mengambil bahagian dalam Perang Revolusi Amerika bagi pihak Patriot dan membantu dalam membiayai penerbitan The Liberator, telah dilantik sebagai Naib Presiden AASS.
Sebagai respons kepada seruan William Lloyd Garrison untuk golongan wanita mengambil bahagian secara aktif dalam gerakan abolisionis, banyak organisasi abolisionis yang diterajui oleh wanita ditubuhkan. Salah sebuah organisasi yang terbesar ialah “Persatuan Anti-Perhambaan Wanita Boston” (Boston Female Anti-Slavery Society) yang ditubuhkan pada tahun 1833. Persatuan Anti-Perhambaan Wanita Boston mengumpul dana untuk menyokong akhbar The Liberator, menerbitkan risalah anti-perhambaan dan menganjurkan kempen petisyen anti-perhambaan.
Konvensyen Anti-Perhambaan Wanita Amerika yang pertama diadakan di Bandar Raya New York pada 9-12 Mei 1837. Ia merupakan perhimpunan julung kali di mana golongan wanita dari pelbagai tempat di seluruh Amerika Syarikat bertemu untuk membincangkan usaha perjuangan anti-perhambaan. Mereka yang hadir dalam konvensyen itu termasuk Sarah Moore Grimké (1792-1873), Lucretia Mott (1793-1880), Sarah Pugh (1800-1884), Lydia Maria Child (1802-1880), Angelina Grimké (1805-1879) dan ramai lagi. Tokoh-tokoh abolisionis wanita itu juga merupakan perintis perjuangan hak wanita di Amerika Syarikat, maka menjadikan perjuangan pembebasan hamba berkaitan rapat dengan perjuangan pembebasan wanita.

Sojourner Truth (1797-1883), seorang hamba wanita dari negeri New York yang melarikan diri bersama anak perempuannya yang kecil pada tahun 1826, berjaya menuntut hak penjagaan anak lelakinya di mahkamah pada tahun 1828. Sojourner Truth kemudiannya menjadi seorang tokoh abolisionis yang terkenal dengan pidatonya. Dalam salah satu ucapannya yang terkenal, “Bukankah Aku Seorang Wanita?” (Ain’t I a Woman?) pada tahun 1851, Sojourner Truth berkata, “Jika wanita pertama yang pernah Tuhan ciptakan cukup kuat untuk menerbalikkan dunia seorang diri, wanita-wanita ini secara bersama-sama sudah tentu boleh menerbalikkannya semula, dan menegakkannya kembali! Dan sekarang mereka sedang meminta untuk melakukannya, lebih baik golongan lelaki membiarkan mereka.”
Namun, penyertaan wanita dalam gerakan abolisionis tidak dipersetujui oleh sesetengah aktivis lelaki yang mungkin masih terperangkap dalam minda patriarki dan mempunyai prejudis seksis yang mendalam terhadap wanita, maka menyebabkan perpecahan dalam AASS. Pada tahun 1840, Arthur Tappan, adiknya Lewis Tappan (1788-1873) dan sekumpulan paderi kulit hitam, termasuk Henry Highland Garnet (1815-1882), seorang bekas hamba yang menjadi paderi Gereja Presbiterian, menubuhkan “Persatuan Anti-Perhambaan Amerika dan Luar Negeri” (American and Foreign Anti-Slavery Society, singkatan AFAS) yang menekankan kepimpinan lelaki di peringkat atasan dalam gerakan abolisionis.

Pada tahun 1837, Frederick Douglass (1818-1895), seorang warga kulit hitam sebaya dengan Karl Marx yang dilahirkan dalam perhambaan di negeri Maryland dan pernah cuba melarikan diri daripada perhambaan tetapi gagal, bertemu dan jatuh cinta dengan Anna Murray (1813-1882), seorang warga kulit hitam yang dilahirkan bebas oleh ibu bapa bekas hamba. Status Anna Murray yang bebas memberi keyakinan kepada Frederick Douglass tentang kemungkinan dia dapat memperoleh kebebasannya. Pada tahun 1838, dengan bantuan Anna Murray, Frederick Douglass berjaya melepaskan diri daripada perhambaan, dengan melarikan diri dari Maryland ke Massachusetts. Semasa dalam perjalanan melarikan diri, Frederick Douglass dan Anna Murray pernah mendapatkan perlindungan di rumah Nathan Johnson (1797-1880) di New Bedford, Massachusetts. Nathan Johnson, seorang ahli perniagaan kulit hitam, bersama isterinya Mary J. “Polly” Johnson (1784-1871), telah menggunakan rumah mereka sebagai rumah perlindungan bagi hamba yang melarikan diri sejak tahun 1822. Selepas mendapat kebebasan, Frederick Douglass yang pandai berpidato itu muncul sebagai salah seorang pemimpin gerakan abolisionis yang terkenal.
Dengan gerakan abolisionis semakin berkembang, semakin ramai hamba kulit hitam cuba melarikan diri daripada perhambaan. Oleh itu, munculnya sebuah jaringan laluan rahsia dan rumah perlindungan untuk hamba-hamba yang melarikan diri ke Utara Amerika Syarikat dan Kanada Timur yang sudah menghapuskan perhambaan pada masa itu. Jaringan itu dikenali sebagai “Landasan Kereta Api Bawah Tanah” (Underground Railroad), walaupun ia tidak begitu melibatkan landasan kereta api (kerana kebanyakan masa proses melarikan diri itu melibatkan laluan pejalan kaki, sungai, feri dan sebagainya) mahupun ia dilakukan di bawah tanah. Jaringan sebegitu sudah wujud sejak tahun 1790-an, namun menjelang tahun 1840-an dan 1850-an, Underground Railroad menjadi sebuah kuasa abolisionis yang kuat.
Jaringan Underground Railroad dikendalikan oleh golongan warga kulit hitam yang bebas dengan bantuan daripada golongan abolisionis lain dan mereka yang bersimpati dengan hamba-hamba yang melarikan diri. Mereka yang memberi bantuan kepada hamba-hamba yang melarikan diri itu dikenali sebagai “konduktor”; sementara hamba-hamba yang melarikan diri dan mendapat bantuan daripada Underground Railroad dikenali sebagai “penumpang”.
Levi Coffin Jr. (1798-1877), seorang Quaker yang menjadi pemimpin penting Underground Railroad di Indiana dan Ohio, pernah memberi perlindungan kepada kira-kira 2,000 orang hamba yang melarikan diri di rumahnya di negeri Indiana dalam tempoh 20 tahun (1826 hingga 1847). John Rankin (1793-1886), seorang paderi Gereja Presbiterian, menjadi salah seorang konduktor Underground Railroad yang paling aktif di negeri Ohio selepas dia berpindah ke Ripley, Ohio, pada tahun 1822. Selepas Frederick Douglass sekeluarga berpindah ke Rochester, New York, pada tahun 1847, isterinya Anna Murray menjadikan rumah mereka pangkalan Underground Railroad, dengan menyediakan makanan dan penginapan kepada hamba-hamba yang melarikan diri.
William Still (1821-1902), seorang warga kulit hitam yang berasal daripada keluarga bekas hamba di New Jersey, mula terlibat dalam gerakan abolisionis selepas dia berpindah ke Philadelphia, Pennsylvania, pada tahun 1840-an. William Still bekerja sebagai kerani untuk Persatuan Anti-Perhambaan Pennsylvania pada tahun 1847. Apabila golongan abolisionis di Philadelphia menubuhkan “Jawatankuasa Pengawasan” (Vigilance Committee) untuk membantu hamba-hamba yang melarikan diri dan bersinggah di bandar itu, William Still menjadi pengerusi jawatankuasa itu. Sebagai seorang konduktor Underground Railroad, William Still telah membantu ratusan hamba yang melarikan diri. Dia menemu ramah dan menyimpan rekod setiap orang hamba yang dibantunya, termasuk biografi dan tempat destinasi setiap orang. Akhbar The New York Times pernah menggelar William Still sebagai “Bapa Underground Railroad”.

Harriet Tubman (1822-1913), seorang wanita kulit hitam yang dilahirkan sebagai hamba di Maryland, berjaya melarikan diri ke Philadelphia untuk membebaskan diri daripada perhambaan pada tahun 1849. Harriet Tubman mendapat sokongan material dan dorongan daripada William Still untuk menjadi seorang konduktor Underground Railroad. Pada tahun 1850-an, Harriet Tubman sering mempertaruhkan nyawanya dengan kembali ke Selatan Amerika Syarikat untuk membantu hamba-hamba lain dalam usaha mereka melarikan diri.
Underground Railroad merupakan usaha pembebasan hamba yang dilakukan oleh golongan hamba kulit hitam di Selatan Amerika Syarikat, dengan sokongan daripada golongan abolisionis di Utara Amerika Syarikat. Underground Railroad yang melanggar undang-undang negara itu telah membantu ribuan orang hamba kulit hitam untuk membebaskan diri mereka daripada belenggu perhambaan. Bagi golongan warga kulit hitam di Amerika Syarikat, gerakan abolisionis bukannya hadiah yang diberikan oleh orang lain, tetapi dibina dan dibangunkan oleh komuniti warga kulit hitam itu sendiri, berakar umbi dalam penentangan berabad-abad lamanya, dibawa maju ke hadapan oleh mereka mendahagakan kebebasan.
Pada 15-19 Ogos 1843, Konvensyen Kebangsaan Warga Kulit Hitam diadakan di Buffalo, New York, untuk membincangkan usaha menyusun gerakan anti-perhambaan dalam kalangan warga kulit hitam di Amerika Syarikat. Henry Highland Garnet mencadangkan bahawa konvensyen itu mengemukakan seruan secara langsung kepada hamba-hamba di Selatan Amerika Syarikat. Dalam ucapannya, Henry Highland Garnet mendukung “mogok umum” yang dilakukan oleh golongan hamba, sebagai tindakan memberontak terhadap tuan hamba, dengan cara enggan bekerja sehingga mendapat kebebasan daripada perhambaan dan pampasan bagi tenaga buruh yang disumbangkan oleh mereka.
Ucapan Garnet itu menandakan kebangkitan bentuk perjuangan abolisionis yang lebih “agresif”, iaitu golongan hamba mengambil tindakan langsung untuk menghancurkan sistem perhambaan. Namun, Frederick Douglass yang turut hadir dalam konvensyen itu membantah cadangan Garnet. Douglass mendukung pendekatan bukan keganasan untuk memperjuangkan penghapusan perhambaan, dan mengkritik ucapan Garnet yang dianggap terlalu agresif itu.

Frederick Douglass bersama Martin Delany (1812-1885), seorang warga kulit hitam bebas yang berasal dari Virginia dan kemudian menjadi pemimpin gerakan abolisionis di Pennsylvania, mengasaskan The North Star, sebuah akhbar mingguan abolisionis yang mula diterbitkan pada 3 Disember 1847.
Lysander Spooner (1808-1887), seorang peguam dari Massachusetts yang mendukung abolisionisme, menulis sebuah buku pada tahun 1845 dengan tajuk “Ketidakberperlembagaan Perhambaan” (The Unconstitutionality of Slavery). Spooner berhujah bahawa perhambaan adalah bercanggah dengan Perlembagaan Amerika Syarikat dan tiada asas undang-undang untuk kewujudan perhambaan di Amerika Syarikat, maka Kongres Amerika Syarikat wajib melarang perhambaan. Hujahan yang dibawa oleh Spooner itu bertentangan dengan pandangan golongan abolisionis lain seperti William Lloyd Garrison dan Wendell Phillips (1811-1884) yang menganggap bahawa Perlembagaan Amerika Syarikat membenarkan penindasan terhadap golongan hamba. Perbezaan pandangan mengenai tafsiran Perlembagaan Amerika Syarikat itu menyebabkan perpecahan gerakan abolisionis ke dalam dua aliran menjelang awal tahun 1850-an.
Perkembangan pesat gerakan abolisionis telah mewujudkan suasana anti-perhambaan yang kuat di negeri-negeri Utara Amerika Syarikat, dan ahli-ahli politik di situ turut semakin mengambil pendirian anti-perhambaan yang lebih tegas. Namun, oleh sebab ketegangan antara negeri-negeri bebas dan negeri-negeri hamba yang semakin hebat sehingga menjejaskan kestabilan negara Amerika Syarikat, Kongres Amerika Syarikat meluluskan siri rang undang-undang yang dikenali sebagai “Kompromi 1850”.
Kompromi 1850 merupakan satu cubaan untuk menyelesaikan isu-isu berkisar pada persoalan perhambaan yang timbul berikutan Amerika Syarikat merampas wilayah yang luas daripada Mexico dalam Perang Amerika Syarikat-Mexico (1846-1848) dan penyertaan Republik Texas yang mengamalkan perhambaan ke dalam Kesatuan Amerika Syarikat pada tahun 1845. Melalui Kompromi 1850, California diterima ke dalam Amerika Syarikat sebagai sebuah “negeri bebas” selepas Konvensyen Perlembagaan California yang diadakan pada tahun 1849 memutuskan untuk melarang perhambaan di negeri baharu itu; sementara Texas dibayar ganti rugi atas kehilangan sebahagian wilayahnya di barat laut sempadan negeri itu.
Sebuah lagi rang undang-undang yang diluluskan di bawah Kompromi 1850 ialah Akta Hamba Pelarian 1850. Akta baharu yang lebih ketat berbanding Akta Hamba Pelarian 1793 itu mewajibkan pegawai-pegawai kehakiman persekutuan di semua negeri, termasuk negeri bebas, untuk membantu dalam usaha pemulangan hamba yang melarikan diri kepada tuan pemilik mereka di negeri hamba. Mana-mana marsyal persekutuan dan pegawai lain yang tidak menangkap hamba yang melarikan diri akan dikenakan denda. Akta itu boleh dikatakan melarang negeri-negeri bebas di Utara Amerika Syarikat daripada memberi perlindungan kepada hamba-hamba yang melarikan diri ke situ, dan mengharamkan aktiviti Underground Railroad sepenuhnya, tetapi ia tidak menghalang para aktivis abolisionis seperti Harriet Tubman untuk terus membantu hamba-hamba yang melarikan diri. Akta itu mendapat tentangan hebat di negeri-negeri Utara Amerika Syarikat.
Sebagai respons kepada Akta Hamba Pelarian 1850, Harriet Beecher Stowe (1811-1896), seorang penulis dari Connecticut, menerbitkan sebuah novel yang terkenal pada tahun 1852, dengan judul Uncle Tom’s Cabin. Novel yang menggambarkan kesusahan yang dialami oleh golongan hamba kulit hitam itu telah disebarkan secara meluas dan menjadi sangat berpengaruh di Amerika Syarikat. Novel itu memberi semangat kepada gerakan abolisionis di Utara Amerika Syarikat, sementara mencetuskan kemarahan dalam kalangan golongan pro-perhambaan di Selatan Amerika Syarikat.
Kansas Berdarah dan Pemberontakan John Brown
Menjelang tahun 1850, selepas California diterima sebagai negeri yang ke-31 dalam Amerika Syarikat, negara itu sudah berpecah secara ketara dari segi geografi dalam persoalan perhambaan. Negeri-negeri di Utara Amerika Syarikat yang sudah menghapuskan perhambaan dikenali sebagai “negeri bebas” (free state); sementara negeri-negeri di Selatan Amerika Syarikat yang masih mengekalkan perhambaan dikenali sebagai “negeri hamba” (slave state). 15 daripada 31 buah negeri pada penghujung tahun 1850 merupakan “negeri hamba” dengan semuanya terletak di Selatan Amerika Syarikat; sementara 15 buah negeri di Utara Amerika Syarikat dan California di Pantai Barat Amerika Syarikat yang baharu dimasukkan ke dalam persekutuan itu merupakan “negeri bebas” dengan gerakan abolisionis yang semakin berkembang pesat. Sehingga tahun 1850, golongan elit pemerintah di Amerika Syarikat sentiasa mengekalkan undian yang seimbang antara negeri bebas dan negeri hamba dalam Senat Amerika Syarikat, demi melindungi kestabilan persekutuan itu.

Dalam bancian yang diadakan di Amerika Syarikat pada tahun 1850, daripada kira-kira 23 juta orang penduduk di negara itu pada masa itu (tidak termasuk California), kira-kira 3.2 juta orang merupakan hamba, bersamaan kira-kira 13.5% daripada jumlah penduduk Amerika Syarikat.
Pada tahun 1854, Kongres Amerika Syarikat meluluskan Akta Kansas-Nebraska. Akta itu memberi kebebasan kepada penduduk-penduduk di dua buah wilayah yang baharu ditubuhkan pada masa itu, iaitu Kansas dan Nebraska, untuk memilih sama ada mereka membenarkan perhambaan atau tidak. Akta itu secara praktiknya telah membatalkan Kompromi Missouri dan Kompromi 1850 yang bertujuan untuk mengekalkan keseimbangan antara negeri-negeri bebas dan negeri-negeri hamba. Dengan pelaksanaan Akta Kansas-Nebraska, kedua-dua golongan pro-perhambaan dan golongan anti-perhambaan cuba meyakinkan golongan peneroka yang bersetuju dengan pendirian mereka untuk berpindah ke Kansas, supaya dapat mempengaruhi pengundian mengenai status perhambaan di situ.
Sebuah syarikat pengangkutan yang dikenali sebagai New England Emigrant Aid Company ditubuhkan oleh golongan anti-perhambaan di Boston, Massachusetts, untuk menghantar peneroka-peneroka yang anti-perhambaan ke Wilayah Kansas. Sekumpulan aktivis anti-perhambaan mengasaskan pekan Lawrence yang terletak di bahagian timur laut Kansas. Golongan peneroka yang anti-perhambaan itu digelar sebagai “Free-Stater” (Pendukung Negeri Bebas). Pada masa yang sama, golongan peneroka yang pro-perhambaan dari Missouri, negeri hamba yang terletak bersebelahan dengan Kansas, mula merentasi sempadan negeri, dengan sesetengah orang cuba menjadikan diri mereka penduduk di “wilayah baharu” itu, dan sesetengah orang pula hanya pergi ke Kansas sekadar untuk mengundi. Golongan peneroka yang pro-perhambaan itu digelar oleh pengkritik mereka sebagai “Border Ruffian” (Samseng Sempadan).
Siri konfrontasi ganas yang tercetus kerana permusuhan antara golongan Free-Stater dan golongan Border Ruffian dikenali sebagai “Kansas Berdarah” (1854-1859). Golongan pro-perhambaan memenangi pilihan raya di Wilayah Kansas pada awalnya, sering melalui cara penipuan dan mengintimidasi pihak lawan. Beberapa orang gabenor wilayah yang dilantik untuk mentadbir wilayah itu, biasanya berpihak kepada golongan pro-perhambaan, cuba menjaga ketenteraman di situ. Namun, oleh sebab ibu kota wilayah itu, Lecompton, dikuasai oleh golongan pro-perhambaan dan suasana di situ sangat tidak mesra pada golongan Free-Stater, maka golongan Free-Stater mewujudkan badan perundangan mereka sendiri yang tidak rasmi di Topeka, yang terletak kira-kira 29 km di barat Lecompton.
Pada bulan November 1855, apabila seorang peneroka pro-perhambaan menembak mati seorang Free-Stater di Daerah Douglas, Kansas, tercetusnya pertempuran di situ yang dikenali sebagai “Perang Wakarusa”. Gabenor wilayah itu mengerahkan pasukan militia yang dianggotai oleh golongan pro-perhambaan dan ditempatkan di luar Lawrence, ibu kota Daerah Douglas. Oleh itu, golongan anti-perhambaan di Lawrence mengumpulkan pasukan militia mereka sendiri.
Pada 21 Mei 1856, golongan Border Ruffian menyerang bandar Lawrence, membakar Hotel Free State (sebuah tempat persinggahan sementara bagi peneroka), memusnahkan dua buah pejabat akhbar anti-perhambaan, dan menjarah rumah serta kedai di situ. Sehari kemudian, pada 22 Mei 1856, Charles Sumner (1811-1874), seorang Senator daripada Parti Republikan yang mewakili negeri Massachusetts dan lantang bersuara untuk mengecam ancaman perhambaan di Kansas, hampir dipukul sampai mati oleh Preston Brooks (1819-1857), seorang Ahli Dewan Perwakilan daripada Parti Demokratik yang mewakili Carolina Selatan. Peristiwa itu meningkatkan lagi permusuhan antara golongan anti-perhambaan dan golongan pro-perhambaan.
Dengan pertembungan antara golongan Free-Stater dan golongan Border Ruffian semakin hebat, peristiwa keganasan juga semakin banyak. Kansas telah menjadi medan perang saudara peringkat negeri. Wilayah itu berpecah kepada dua. Wilayah itu mempunyai dua buah ibu kota, iaitu Lecompton yang pro-perhambaan dan Topeka yang anti-perhambaan. Ia mempunyai dua buah perlembagaan negeri, iaitu Perlembagaan Lecompton (1858) yang pro-perhambaan dan Perlembagaan Topeka (1855) yang anti-perhambaan, begitu juga terdapatnya dua buah badan perundangan yang bersidang di ibu kota masing-masing. Kedua-dua pihak cuba mendapatkan bantuan dari luar. Pihak pro-perhambaan mempunyai kelebihan yang lebih besar kerana ia mendapat bantuan daripada kerajaan persekutuan pada masa itu, dengan Presiden Franklin Pierce dan penggantinya Presiden James Buchanan menyokong golongan pro-perhambaan secara terbuka.
Walaupun siasatan kongres mendapati bahawa majoriti penduduk Kansas mahu Kansas menjadi sebuah negeri bebas, ahli-ahli politik dari Selatan Amerika Syarikat menyekat Kongres Amerika Syarikat daripada meluluskan penerimaannya ke dalam Kesatuan Amerika Syarikat sebagai sebuah “negeri bebas”.
Salah seorang tokoh abolisionis yang terlibat dalam pergolakan “Kansas Berdarah” ialah John Brown (1800-1859). John Brown, yang dipengaruhi oleh kepercayaan Puritan semasa dibesarkan dan berpegang teguh pada etika Kristian, menganggap bahawa penghapusan perhambaan itu merupakan satu kewajipan suci. Dia berpandangan bahawa keganasan diperlukan untuk mencapai matlamat perjuangan penghapusan perhambaan di Amerika Syarikat. John Brown berpindah ke Kansas pada tahun 1855 untuk menyokong usaha menjadikan wilayah itu sebuah negeri bebas.

Pada 24-25 Mei 1856, sebagai tindak balas terhadap serangan golongan Border Ruffian yang pro-perhambaan ke atas pekan Lawrence dan berita tentang serangan terhadap Senator Charles Sumner di dalam Dewan Senat beberapa hari sebelum itu, John Brown bersama sekumpulan peneroka yang anti-perhambaan menculik dan membunuh 5 orang peneroka yang pro-perhambaan di Daerah Franklin yang terletak di bahagian timur Kansas. Peristiwa itu dikenali sebagai “Pembunuhan Pottawatomie”.
Dalam “Pertempuran Black Jack” yang berlaku pada 2 Jun 1856 di kawasan Palmyra, Daerah Douglas, John Brown bersama 9 orang pengikutnya dan 20 orang tempatan berjaya mempertahankan petempatan Free-Stater di situ daripada serangan sekumpulan Border Ruffian.
Pada bulan Ogos 1856, golongan pro-perhambaan mengumpulkan tentera yang terdiri daripada ribuan orang dan mara ke Kansas. Pada 30 Ogos 1856, sekumpulan Border Ruffian yang pro-perhambaan menyerang pekan Osawatomie di bahagian timur Kansas yang diduduki oleh golongan peneroka Free-Stater yang anti-perhambaan. John Brown cuba mempertahankan pekan itu daripada serangan golongan Border Ruffian itu dengan hanya kira-kira 40 orang yang bersenjata. Oleh sebab tidak dapat menandingi pasukan bersenjata dalam jumlah yang lebih besar, John Brown terpaksa berundur. 5 orang Free-Stater terbunuh dalam “Pertempuran Osawatomie” dan pekan itu kemudiannya dijarah serta dibakar oleh golongan Border Ruffian.
Pada bulan September 1856, John Brown pergi ke Lawrence untuk membantu golongan Free-Stater di situ dalam memperkukuhkan pertahanan pekan itu daripada serangan golongan pro-perhambaan. Walau bagaimanapun, pertempuran serius dapat dielakkan apabila John W. Geary (1819-1873), Gabenor Kansas yang baharu dilantik pada masa itu, mengarahkan kedua-dua pihak yang bermusuhan itu untuk meletakkan senjata, dan menawarkan pengampunan kepada pejuang-pejuang daripada kedua-dua pihak.
Oleh sebab penglibatannya dalam peristiwa berdarah di Kansas, pihak berkuasa persekutuan Amerika Syarikat mengeluarkan waran tangkap terhadap John Brown. John Brown meninggalkan Kansas dan mengelakkan dirinya daripada ditangkap.
John Brown sudah lama merancang untuk melancarkan serangan hebat terhadap sistem perhambaan Amerika Syarikat. Selepas meninggalkan Kansas, John Brown menjelajah ke negeri-negeri Utara Amerika Syarikat, seperti Massachusetts, New York dan Connecticut, untuk bertemu dengan golongan abolisionis di situ dengan tujuan mendapatkan sokongan kewangan serta sokongan politik bagi rancangan pemberontakannya.
John Brown pernah mengajak Frederick Douglass untuk menyertainya dalam melancarkan pemberontakan bersenjata, tetapi Frederick Douglass menolaknya. Douglass berpandangan bahawa tindakan perjuangan secara aman lebih berkesan, dan rancangan John Brown itu seolah-olah membunuh diri.
Pada 16 Oktober 1859, sekumpulan penyerang yang dianggotai oleh 22 orang, dengan John Brown sebagai pemimpin, melancarkan serbuan ke atas sebuah gudang senjata persekutuan di Harpers Ferry, Virginia (terletak di Virginia Barat hari ini), dengan hasrat mencetuskan pemberontakan hamba besar-besaran yang dapat menamatkan amalan perhambaan di Selatan Amerika Syarikat. Kumpulan penyerang yang dipimpin oleh John Brown itu disertai oleh 5 orang warga kulit hitam. Rancangan John Brown pada masa itu ialah mengambil alih gudang senjata, pekan dan kilang senapang, kemudiannya membebaskan semua hamba di Harpers Ferry, sebelum bergerak bersama hamba-hamba yang baharu dibebaskan itu ke arah selatan untuk membebaskan hamba-hamba lain.
Presiden James Buchanan mengerahkan Kor Marin Amerika Syarikat untuk menumpaskan pemberontakan John Brown. Pemberontakan itu dipatahkan pada 18 Oktober 1859, dengan 10 orang pemberontak terbunuh, 7 orang ditangkap dan dihukum mati selepas perbicaraan, sementara 5 orang dapat melarikan diri.

John Brown merupakan salah seorang yang ditangkap selepas pemberontakannya dipatahkan. Dia didakwa dan dibicarakan di sebuah mahkamah di Charles Town (yang terletak di Virginia Barat hari ini), atas pertuduhan menderhaka terhadap Komanwel Virginia, membunuh dan menghasut pemberontakan hamba. John Brown menjadi orang pertama yang dihukum mati atas dakwaan penderhakaan dalam sejarah Amerika Syarikat.
Sebelum menjalani hukuman gantung sampai mati, John Brown menulis kata-kata terakhirnya di atas sekeping kertas, “Aku, John Brown, kini agak yakin bahawa jenayah tanah yang bersalah ini tidak akan dapat disucikan melainkan dengan darah. Aku, seperti yang ku fikir sekarang, pernah memperdaya diriku sendiri dengan sia-sia bahawa ia mungkin akan dicapai tanpa pertumpahan darah yang banyak.”
Pergolakan “Kansas Berdarah” dan pemberontakan John Brown yang gagal itu, telah menjadi raptai kepada Perang Saudara Amerika (1861-1865) yang tercetus untuk menyelesaikan persoalan mengenai perhambaan secara muktamad.

Perang Saudara Amerika
Dalam bancian yang diadakan di Amerika Syarikat pada tahun 1860, daripada kira-kira 31 juta orang penduduk pada masa itu, terdapat hampir 4 juta orang yang merupakan hamba, bersamaan kira-kira 12.5% daripada jumlah penduduk. Pada tahun itu, jumlah negeri bebas telah bertambah kepada 18 buah berbanding 15 buah negeri hamba, dengan pertambahan Minnesota (1858) dan Oregon (1859), sementara Kansas masih menjadi wilayah perebutan antara golongan pro-perhambaan dan golongan anti-perhambaan.
Pada tahun 1857, Mahkamah Agung Amerika Syarikat memutuskan dalam kes “Dred Scott lawan Sandford” bahawa Perlembagaan Amerika Syarikat tidak memberikan kewarganegaraan kepada warga kulit hitam berketurunan Afrika, maka mereka tidak mempunyai hak-hak kewarganegaraan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Amerika Syarikat. Keputusan yang penuh kontroversi itu mengesahkan perhambaan dan menimbulkan persoalan tentang nasib warga kulit hitam di Amerika Syarikat. Ia juga membangkitkan lagi kemarahan golongan abolisionis di Utara Amerika Syarikat.

Setahun kemudian, seorang ahli politik yang berasal dari Kentucky (sebuah negeri hamba di Selatan Amerika Syarikat) dan berpindah ke Illinois (sebuah negeri bebas di Utara Amerika Syarikat) pada usia muda, mendapat perhatian ramai dalam perdebatannya untuk pemilihan Senator Illinois. Abraham Lincoln (1809-1865) telah dinamakan sebagai calon Parti Republikan dalam pemilihan Senator Illinois pada tahun 1858, di mana isu perhambaan menjadi tumpuan utama. Walaupun Lincoln akhirnya kalah kepada Stephen A. Douglas (1813-1861), calon daripada Parti Demokratik yang merupakan penyandang jawatan Senator Illinois, dia telah mencipta namanya sebagai tokoh politik anti-perhambaan yang terkenal di seluruh Amerika Syarikat.
Lincoln menyampaikan ucapannya yang terkenal “Sebuah Rumah yang Berpecah Sesama Sendiri Tidak Dapat Berdiri” selepas dinamakan sebagai calon dalam pemilihan Senator Illinois, pada 16 Jun 1858. “Saya percaya kerajaan ini tidak akan dapat bertahan, jika selama-lamanya separuh hamba dan separuh bebas,” kata Abraham Lincoln. “Saya tidak mengharapkan Kesatuan ini akan dibubarkan – saya tidak mengharapkan rumah ini akan runtuh – namun saya mengharapkan ia akan berhenti daripada berpecah. Ia akan menjadi sepenuhnya satu bentuk, atau sepenuhnya bentuk yang satu lagi. Sama ada golongan yang menentang perhambaan akan menyekat penyebarannya yang lebih lanjut, dan meletakkannya di mana minda awam yakin bahawa ia sedang menuju ke penghapusan muktamad; atau para pendukungnya akan terus menolaknya ke hadapan sehingga ia menjadi sah di sisi undang-undang di semua negeri, yang lama mahupun yang baharu, di Utara mahupun di Selatan.”

Parti Republikan dan Parti Demokratik ialah dua parti politik arus perdana yang mendominasi arena politik Amerika Syarikat hari ini. Pada hari ini, Parti Demokratik dianggap lebih liberal dan lebih progresif berbanding Parti Republikan. Namun, pada pertengahan abad ke-19, Parti Republikan yang baharu ditubuhkan pada masa itu mengambil pendirian yang lebih liberal dan lebih progresif berbanding Parti Demokratik, terutamanya dalam persoalan perhambaan.
Parti Demokratik yang ditubuhkan pada tahun 1828, yang boleh dijejaki asal usulnya daripada Parti Demokratik-Republikan (1792-1825), telah didominasi oleh ahli-ahli politik yang pro-perhambaan pada awalnya dan membantah penghapusan perhambaan semasa ia ditubuhkan. Parti Republikan pula ditubuhkan pada tahun 1854 sebagai sebuah parti yang memperjuangkan agenda anti-perhambaan. Parti Republikan mendapat sokongan besar di Utara Amerika Syarikat, dengan penyertaan daripada bekas anggota Parti Whig (1833-1854) yang membantah perluasan amalan perhambaan ke negeri-negeri yang baharu ditubuhkan, begitu juga bekas anggota daripada Parti Tanah Bebas (1848-1854) dan Parti Kebebasan (1840-1855), serta sesetengah anggota Parti Demokratik yang anti-perhambaan.
Dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada tahun 1856, John C. Frémont (1813-1890), calon presiden yang pertama bagi Parti Republikan, bertanding dengan slogan “tanah bebas, bersuara bebas, buruh bebas, orang bebas” (free soil, free speech, free labour, free men). Abraham Lincoln mengatakan bahawa sistem buruh bebas merupakan “sistem yang adil, pemurah dan makmur, yang membuka jalan untuk semua – memberi harapan kepada semua, dan tenaga, dan kemajuan dan penambahbaikan keadaan untuk semua.” Lincoln dan Parti Republikan menganggap perhambaan sebagai penghalang kepada pembangunan ekonomi kapitalis perindustrian yang selanjutnya.
Parti Republikan mempunyai ramai anggota yang berpendirian radikal, iaitu penghapusan perhambaan sepenuhnya dan segera, tetapi Abraham Lincoln merupakan seorang yang lebih moderat, kerana dia menyokong penghapusan perhambaan secara beransur-ansur. Dia membantah perluasan perhambaan ke negeri-negeri atau wilayah-wilayah baharu, tetapi mengakui bahawa Perlembagaan Amerika Syarikat menghalang penghapusan perhambaan di negeri-negeri yang sudah wujud pada masa itu. Lincoln berhasrat untuk menyekat perluasan perhambaan dan menawarkan pampasan wang kepada golongan tuan hamba di negeri-negeri hamba yang bersetuju untuk menamatkan perhambaan secara beransur-ansur. Namun, pendirian Abraham Lincoln yang amat moderat itu sudah cukup menggerunkan bagi golongan tuan hamba di Selatan Amerika Syarikat.

Abraham Lincoln yang mewakili Parti Republikan telah menang dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat yang diadakan pada 6 November 1860, dan menjadi Presiden Amerika Syarikat yang ke-16. Janji Lincoln semasa berkempen ialah membantah perluasan perhambaan ke wilayah-wilayah baharu. Program Parti Republikan yang dibawa dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada tahun 1860 mencerminkan aspirasi ekonomi kapitalis yang pesat bertumbuh di Utara Amerika Syarikat dan komuniti peneroka yang semakin mengembang di Barat Amerika Syarikat. Dasar yang dibawa oleh Parti Republikan termasuk tarif yang lebih tinggi untuk melindungi sektor perindustrian Amerika Syarikat, tanah ladang percuma untuk peneroka baharu, dan subsidi kerajaan untuk pembinaan landasan kereta api.
Terdapat 4 orang calon utama yang bertanding dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada tahun 1860. Pada masa itu, Parti Demokratik telah berpecah kepada dua puak kerana perbezaan pandangan mengenai persoalan perhambaan, iaitu Demokrat Selatan yang mendukung perluasan perhambaan dan Demokrat Utara yang menyokong “kedaulatan rakyat” (dengan membenarkan rakyat di sesebuah negeri menentukan sendiri sama ada ia menjadi negeri bebas atau negeri hamba). Oleh itu, kedua-dua Demokrat Selatan dan Demokrat Utara meletakkan calon masing-masing dalam pilihan raya itu. Demokrat Selatan meletakkan John C. Breckinridge (1821-1875), Naib Presiden Amerika Syarikat pada masa itu yang berkhidmat di bawah Presiden James Buchanan, sebagai calonnya; sementara Demokrat Utara mencalonkan Stephen A. Douglas, Senator Illinois yang pernah menewaskan Lincoln pemilihan senator pada tahun 1858. Seorang lagi calon ialah John Bell (1796-1869) yang mewakili Parti Kesatuan Perlembagaan, yang ditubuhkan oleh ahli-ahli politik Selatan Amerika Syarikat dan berkempen untuk mengekalkan “Kesatuan” Amerika Syarikat daripada berpecah.
Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada tahun 1860 merupakan salah satu pilihan raya yang paling polarisasi dalam sejarah Amerika Syarikat. Undian yang diperoleh Lincoln daripada Parti Republikan tidak sampai 40%; Stephen A. Douglas daripada Demokrat Utara meraih undian sebanyak 21.47%; John C. Breckinridge daripada Demokrat Selatan meraih undian sebanyak 14.38%; John Bell daripada Parti Kesatuan Perlembagaan memperoleh undian sebanyak 12.64%.

Kemenangan Lincoln dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat dianggap sebagai ancaman daripada Utara Amerika Syarikat terhadap negeri-negeri hamba di Selatan Amerika Syarikat. Walaupun undi yang diperoleh Lincoln di negeri-negeri Selatan Amerika Syarikat adalah sangat sedikit, malah namanya tidak dicetak di atas kertas undi di kebanyakan negeri hamba (seperti Alabama, Arkansas, Carolina Utara, Florida, Georgia, Louisiana, Mississippi dan Texas), dia masih memenangi sebanyak 180 daripada 303 undi badan pemilih, dengan meraih 39.67% undian popular. Lincoln memperoleh undian lebih 50% di kebanyakan negeri di Utara Amerika Syarikat. Oleh itu, golongan pemerintah di negeri hamba di Selatan Amerika Syarikat memutuskan untuk memisahkan diri mereka daripada “Kesatuan” Amerika Syarikat.
Carolina Selatan menganjurkan konvensyen pemisahan yang pertama pada bulan Disember 1860 dan memutuskan untuk menarik diri daripada Kesatuan Amerika Syarikat. Apabila Abraham Lincoln mengambil alih jawatan Presiden Amerika Syarikat pada 4 Mac 1861, 7 buah negeri hamba di Selatan Amerika Syarikat telah mengisytihar pemisahan mereka.
Pada bulan Februari 1861, perwakilan dari 7 buah negeri hamba yang berpisah keluar daripada “Kesatuan” Amerika Syarikat mengadakan konvensyen di Montgomery, Alabama, dan menubuhkan “Negeri-negeri Gabungan Amerika”, atau juga dikenali sebagai Konfederasi. Jefferson Davis (1808-1889), seorang ahli politik daripada Parti Demokratik yang pernah menjadi Setiausaha Perang semasa kepresidenan Franklin Pierce, dilantik sebagai Presiden Konfederasi. Perlembagaan Sementara Konfederasi yang dikemukakan pada 8 Februari 1861 telah memperuntukkan perlindungan kepada amalan perhambaan.
Pada 12 April 1861, pasukan militia Carolina Selatan melancarkan serangan dengan membedil Fort Sumter yang dikuasai oleh Tentera Darat Amerika Syarikat, berdekatan dengan Charleston, Carolina Selatan. Abraham Lincoln mengemukakan apa yang dikenali sebagai “Proklamasi 80” pada 15 April 1861, dengan seruan untuk mengumpulkan militia seramai 75,000 orang demi menghadapi ancaman Konfederasi. Dengan itu, tercetusnya Perang Saudara Amerika. Negeri-negeri di Utara Amerika Syarikat yang menyokong kerajaan persekutuan di bawah kepimpinan Presiden Abraham Lincoln dikenali sebagai “Kesatuan” (Union), sementara 11 buah negeri di Selatan menganggotai Konfederasi yang pro-perhambaan.
Semasa Perang Saudara Amerika, terdapat 5 buah negeri yang dikenali sebagai “negeri sempadan” (border state), iaitu Delaware, Kentucky, Maryland, Missouri dan Virginia Barat (selepas tahun 1863). Negeri sempadan ialah negeri hamba yang menyokong pihak Kesatuan.
Kentucky ialah sebuah negeri hamba di Selatan Amerika Syarikat yang dianggap sebagai “negeri sempadan” semasa Perang Saudara Amerika. Negeri itu secara rasminya mengisytihar keberkecualian pada awal peperangan, tetapi selepas tentera Konfederasi cuba menawannya, badan perundangan negeri itu meminta bantuan daripada Tentera Kesatuan. Walaupun pihak Konfederasi menguasai lebih separuh wilayah di Kentucky pada awal perang, pihak Kesatuan dapat menguasai hampir seluruh negeri itu menjelang tahun 1862.
Ringkasan tentang dua pihak yang terlibat dalam Perang Saudara Amerika:
| Pihak yang berperang | Kesatuan | Konfederasi |
| Negeri anggota | “Negeri-negeri bebas”:California, Connecticut, Illinois, Indiana, Iowa, Kansas, Maine, Massachusetts, Michigan, Minnesota, Nevada, New Hampshire, New Jersey, New York, Ohio, Oregon, Pennsylvania, Rhode Island, Vermont, Wisconsin | “Negeri-negeri hamba”:Alabama, Arkansas, Carolina Selatan, Carolina Utara, Florida, Georgia, Louisiana, Mississippi, Tennessee, Texas, Virginia |
| Presiden | Abraham Lincoln (Parti Republikan) | Jefferson Davis (Parti Demokratik) |
| Ibu negara | Washington, D.C. | Richmond, Virginia (sehingga bulan April 1865) |
| Jumlah penduduk pada tahun 1861 | Kira-kira 18.5 juta orang | Kira-kira 9 juta orang (dengan 3.5 juta orang hamba) |
| Perindustrian | 101,000 buah kilang; 1.1 juta orang pekerja kilang Landasan kereta api sepanjang kira-kira 32,000 km | 21,000 buah kilang; 111,000 orang pekerja kilang Landasan kereta api sepanjang kira-kira 14,000 km |
| Pertanian | Tembakau – 110 juta paun setahun Kapas – boleh diabaikan Beras – boleh diabaikan Gandum – 100 juta busyel setahun Jagung – 400 juta busyel setahun Lembu tenusu – 5 juta ekor Lembu untuk daging – 5.4 juta ekor | Tembakau – 225 juta paun setahun Kapas – 5 juta bandela setahun Beras – 225 juta busyel setahun Gandum – 35 juta busyel setahun Jagung – 250 juta busyel setahun Lembu tenusu – 2.7 juta ekor Lembu untuk daging – 7 juta ekor |
| Persoalan perhambaan | Anti-perhambaan | Pro-perhambaan |
| Pemimpin tentera utama | John E. Wool (1784-1869), Henry Halleck (1815-1872), George Meade (1815-1872), William Tecumseh Sherman (1820-1891), Ulysses S. Grant (1822-1885) | Robert E. Lee (1807-1870), Stonewall Jackson (1824-1863), James Longstreet (1821-1904) |
| Kekuatan tentera | Keseluruhan – 2.6 juta orang Kemuncak – 698,000 orang | Keseluruhan – 1 juta orang Kemuncak – 360,000 orang |
| Angka korban | 110,100 orang mati dalam pertempuran 224,580 orang mati kerana penyakit 275,174 orang cedera dalam pertempuran 30,192 orang ditawan musuh | 94,000 orang mati dalam pertempuran 164,000 orang mati kerana penyakit 194,026 orang cedera dalam pertempuran 31,000 orang ditawan musuh |

Apabila Perang Saudara Amerika tercetus pada bulan April 1861, kebanyakan warga Amerika Syarikat pada masa itu menjangkakan peperangan itu akan tamat dalam tempoh yang singkat. Malah, Abraham Lincoln hanya memanggil 75,000 orang militia untuk berkhidmat selama 90 hari. Namun, peperangan itu berlarutan selama lebih 4 tahun, dengan sekurang-kurangnya 650,000 orang warga Amerika Syarikat kehilangan nyawa mereka.
Perang Saudara Amerika merupakan peristiwa yang amat penting dalam sejarah Amerika Syarikat. Ia boleh dikatakan sebagai “Revolusi Amerika Kedua”, atau “Perang Revolusi Kedua” untuk menyempurnakan usaha yang belum selesai dalam Perang Revolusi Pertama (1775-1783), dan menentukan yang mana satu daripada dua sistem sosioekonomi di bawah kapitalisme bakal mendominasi benua Amerika Utara.
Abraham Lincoln pada awalnya menyatakan bahawa perang itu adalah hanya untuk mempertahankan “Kesatuan” Amerika Syarikat daripada pemisahan negeri-negeri Selatan Amerika Syarikat, bukannya untuk menghapuskan perhambaan sepenuhnya. “Objektif paling utama saya dalam perjuangan ini adalah untuk menyelamatkan Kesatuan, dan bukan untuk menyelamatkan atau memusnahkan perhambaan,” begitu tulisnya Lincoln pada bulan Ogos 1862. “Jika saya dapat menyelamatkan Kesatuan tanpa membebaskan mana-mana hamba, saya akan melakukannya, dan jika saya dapat menyelamatkannya dengan membebaskan semua hamba, saya akan melakukannya; dan jika saya dapat menyelamatkannya dengan membebaskan sebahagian hamba dan membiarkan yang lain, saya juga akan berbuat demikian…” Walaupun mengekalkan “Kesatuan” Amerika Syarikat itu merupakan matlamat utama bagi golongan pemerintah di Utara Amerika Syarikat pada masa itu, perhambaan tetap menjadi persoalan penting yang harus diselesaikan sepenuhnya dalam Perang Saudara Amerika.
Berbeza dengan pandangan dan pertimbangan golongan elit politik di Utara Amerika Selatan, pemimpin-pemimpin di negeri-negeri hamba di Selatan Amerika Selatan agak jelas dalam pendirian mereka sejak awal lagi, iaitu peperangan itu adalah untuk mengekalkan institusi perhambaan. “Penentangan berterusan terhadap perhambaan di Amerika Syarikat bermakna perang terhadapnya, di mana ia berada, bukan di mana ia tidak berada,” ulas Jefferson Davis pada tahun 1861 sebelum dia dilantik sebagai Presiden Konfederasi yang pro-perhambaan.
Semasa menjelaskan asas penubuhan Konfederasi, Alexander H. Stephens (1812-1883), Naib Presiden Konfederasi, berkata, “Asasnya telah diletakkan, batu penjurunya terletak di atas kebenaran agung bahawa negro adalah tidak setaraf dengan orang putih; bahawa perhambaan, penundukan kepada kaum yang lebih unggul, ialah keadaan yang semula jadi dan normal baginya.”
Perhambaan memang merupakan isu utama yang menyebabkan penduduk-penduduk di Utara dan Selatan untuk berjuang bermati-matian dengan pertumpahan darah selama 4 tahun dalam peperangan yang sengit itu, sama ada menentangnya atau mengekalkannya. Oleh sebab melibatkan wilayah yang meluas, penggunaan senjata moden yang mempunyai kuasa pemusnah lebih hebat, dan keupayaan pengeluaran perindustrian besar-besaran untuk melengkapkan tentera yang besar, peperangan itu menjadi begitu sengit dan mengambil masa yang panjang. Namun, pertaruhan yang paling utama adalah ia merupakan perang revolusi untuk menentukan masyarakat jenis apa yang akan dibentuk di Amerika Syarikat selepas itu.
Golongan elit borjuis di Utara Amerika Syarikat menganggap tenaga buruh yang dibebaskan daripada amalan perhambaan sebagai pemacu penting kepada pembangunan pesat ekonomi kapitalis perindustrian. Selatan Amerika Syarikat masih sebuah masyarakat pertanian yang bergantung pada keuntungan daripada eksport komoditi, terutamanya kapas. Ekonomi kapitalis juga bertumbuh pesat di Selatan Amerika Syarikat, tetapi ia sejenis ekonomi kapitalis yang berasaskan perladangan. Kekayaan yang dikumpulkan oleh golongan peladang di Selatan Amerika Syarikat amat bergantung pada tenaga buruh diperah daripada hampir 4 juta orang hamba kulit hitam di situ.

Dengan sektor perindustrian tekstil semakin berkembang di Utara Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan negara-negara lain, permintaan untuk kapas melonjak tinggi, begitu juga dengan harganya. Pada tahun 1800, eksport kapas dari Amerika Syarikat bernilai kira-kira AS$5 juta, bersamaan kira-kira 7% daripada jumlah eksport Amerika Syarikat pada masa itu. Menjelang tahun 1860, eksport kapas dari Amerika Syarikat mencecah AS$191 juta, bersamaan kira-kira 57% daripada jumlah eksport negara itu. Pada ketika pemilik kilang, pengusaha lombong dan pengendali landasan kereta api di Utara Amerika Syarikat semakin kaya dengan pembangunan kapitalis perindustrian, golongan peladang tradisional yang menggunakan tenaga buruh hamba di Selatan Amerika Syarikat juga bertambah kaya.
Golongan kapitalis di Utara dan Selatan mengumpul kekayaan mereka melalui corak pengeluaran kapitalis yang agak berbeza, maka dasar kerajaan yang perlu diambil untuk mengekalkan corak pengeluaran yang berbeza itu juga agak berbeza. Tarif yang dikenakan oleh kerajaan bertujuan untuk melindungi sektor perindustrian di Utara Amerika Syarikat, tetapi ia bermakna harga yang lebih tinggi bagi para pengguna di Selatan Amerika Syarikat. Pengembangan wilayah ke bahagian barat didorong terutamanya oleh golongan peneroka dari Utara Amerika Syarikat, maka mengganggu keseimbangan kuasa antara negeri-negeri bebas dan negeri-negeri hamba dalam Kesatuan Amerika Syarikat. Subsidi landasan kereta api memperkayakan golongan kapitalis di Utara Amerika Syarikat, bukannya golongan peladang di Selatan Amerika Syarikat. Jelasnya terdapat percanggahan kepentingan yang serius antara kedua-dua golongan kapitalis di Utara dan Selatan Amerika Syarikat pada masa itu.
Dua jenis sistem ekonomi kapitalis, dua jenis susunan masyarakat kapitalis, dua jenis kelas pemerintah kapitalis dengan kepentingan yang berbeza telah digabungkan dalam sebuah entiti politik tunggal. Kepentingan siapa yang harus diwakili oleh kerajaan negara itu? Terdapatnya satu isu yang menjadi tumpuan kepada pertentangan yang semakin hebat antara dua pihak itu dan akhirnya mencetuskan konflik peperangan yang hebat, iaitu perhambaan.

Golongan abolisionis di Utara Amerika Syarikat tidak ragu-ragu tentang apa yang berlaku dalam Perang Revolusi Amerika. Perang itu ialah perang revolusioner untuk menamatkan sistem perhambaan sama sekali. Ia merupakan pertembungan ganas antara dua jenis sistem sosioekonomi yang saling bersaing, antara dua ideologi politik yang saling bertentangan, walaupun sama-sama bersifat kapitalis. Bagi mereka yang mengambil bahagian sepenuh hati dalam perjuangan itu, tiadanya kompromi, tiadanya penyelesaian yang boleh dirundingkan, tiadanya jalan tengah. Pilihannya mudah: kekalkan perhambaan atau hapuskan perhambaan.
Apa yang dipertaruhkan dalam Perang Saudara Amerika itu adalah amat tinggi bagi kedua-dua pihak yang berperang. Bagi golongan elit pemerintah di negeri-negeri bebas di Utara Amerika Syarikat, ia berkaitan dengan kelangsungan Kesatuan Amerika Syarikat, sebuah ekonomi negara yang bersatu dan pelaksanaan dasar yang menjurus kepada pertumbuhan ekonomi perindustrian; bagi golongan elit pemerintah di negeri-negeri hamba di Selatan Amerika Syarikat, ia berkaitan dengan usaha mempertahankan sistem perhambaan, asas susunan masyarakat kapitalis perladangan di situ.
Keamatan dan tempoh yang berpanjangan perjuangan itu telah membawanya ke arah yang radikal. Pada peringkat awal perang itu, memang penghapusan perhambaan bukannya matlamat utama penglibatan pihak Kesatuan dalam peperangan itu. Dengan peperangan yang berterusan telah menemui jalan buntu dan semangat perjuangan semakin terjejas, di samping menyedari bahawa perhambaan merupakan persoalan utama yang perlu ditangani dalam konflik itu, Abraham Lincoln terpaksa menyemarakkan semula semangat perjuangan itu dengan menandatangani “Perisytiharan Pembebasan” (Emancipation Proclamation), atau dikenali sebagai Proklamasi 95, pada 22 September 1862, dan berkuat kuasa mulai 1 Januari 1863.

Perisytiharan Pembebasan yang dikeluarkan oleh Abraham Lincoln menyatakan bahawa hamba-hamba yang melepaskan diri daripada kawalan golongan tuan hamba di negeri-negeri hamba Selatan Amerika Syarikat, sama ada melarikan diri ke wilayah yang dikuasai oleh pihak Kesatuan atau dibebaskan semasa kemaraan Tentera Kesatuan, adalah bebas selama-lamanya. Di samping itu, Perisytiharan Pembebasan juga membenarkan golongan bekas hamba untuk diterima ke dalam Tentera Kesatuan. Perisytiharan Pembebasan bermakna 3.5 juta daripada 4 juta orang hamba di Amerika Syarikat pada masa itu bakal dibebaskan.
Perisytiharan Pembebasan mempunyai kegunaan yang praktikal pada masa itu, kerana ia boleh menjejaskan ekonomi Konfederasi dengan mengurangkan tenaga kerja hamba di ladang-ladang di Selatan Amerika Syarikat, di samping menjejaskan usaha pengambilan warga kulit putih ke dalam Tentera Konfederasi kerana ladang-ladang di situ tidak mencukupi tenaga kerja. Sementara itu, hamba-hamba yang melarikan diri dari Selatan Amerika Syarikat boleh dijadikan askar-askar yang bertempur bagi pihak Kesatuan. Namun, ia mempunyai implikasi politik yang lebih besar, kerana perang terhadap perhambaan menjadikan perjuangan pihak Kesatuan itu lebih bermoral berbanding pihak Konfederasi. Kuasa-kuasa besar Eropah, seperti Britain dan Perancis yang sudah menghapuskan perhambaan, tidak lagi mempunyai alasan yang baik untuk menyokong pihak Konfederasi. Di samping itu, golongan abolisionis dan golongan hamba kulit hitam sendiri lebih bersemangat lagi untuk melibatkan diri dalam perjuangan menewaskan pihak Konfederasi demi merealisasikan impian penghapusan perhambaan.

Abraham Lincoln menyimpulkan bahawa “kita harus membebaskan hamba atau diri kita ditundukkan”. Perisytiharan Pembebasan telah menafsir semula demokrasi Amerika Syarikat. “Sepertimana saya tidak akan menjadi seorang hamba, begitu juga saya tidak akan menjadi seorang tuan,” begitu katanya Lincoln. “Inilah yang menyatakan idea saya tentang demokrasi. Apa-apa yang berbeza daripada ini, setakat mana perbezaan pun, adalah bukan demokrasi.”
Selepas Tentera Kesatuan mencapai kemenangan penting dalam “Pertempuran Gettysburg” di Pennsylvania pada 1-3 Julai 1863, Abraham Lincoln menyampaikan ucapannya yang terkenal di tanah perkuburan askar di Gettysburg pada 19 November 1863. Lincoln memuji pengorbanan ribuan orang askar yang mati dalam Pertempuran Gettysburg untuk mempertahankan prinsip-prinsip kebebasan dan kesamarataan. Dia berkata, “… mereka yang gugur ini tidak akan mati dengan sia-sia – bahawa negara ini, di bawah Tuhan, akan mengalami kelahiran kebebasan yang baharu, dan bahawa kerajaan daripada rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat, tidak akan lenyap dari bumi.” Ramai orang yang mendapat inspirasi daripada wawasan Lincoln tentang “kelahiran kebebasan yang baharu” itu menjadi lebih bersemangat dan meningkatkan usaha untuk membawa kemenangan bagi pihak Kesatuan dalam Perang Saudara Amerika.

Terdapat tiga medan perang utama semasa Perang Saudara Amerika, iaitu Teater Timur, Teater Barat dan Teater Trans-Mississippi. Tentera Tennessee, salah sebuah tentera darat medan dalam Tentera Kesatuan yang dipimpin oleh Ulysses S. Grant, telah memainkan peranan penting dalam banyak kemenangan di Teater Barat pada tahun 1862. Ulysses S. Grant kemudiannya mengetuai “Kempen Vicksburg” pada tahun 1863 yang membolehkan Tentera Kesatuan menguasai Sungai Mississippi dan memberi tamparan strategik yang besar kepada Tentera Konfederasi. Selepas menewaskan Tentera Konfederasi di Tennessee dalam “Kempen Chattanooga” pada penghujung tahun 1863, Ulysses S. Grant dinaikkan pangkat oleh Presiden Abraham Lincoln sebagai ketua komander yang memerintah seluruh Tentera Kesatuan pada bulan Mac 1864.
Tentera Kesatuan melakukan serangan selama hampir 10 bulan ke atas Petersburg, Virginia, yang merupakan pintu masuk ke Richmond, ibu negara Konfederasi, dari bulan Jun 1864 hingga bulan April 1865. Pihak Konfederasi meninggalkan Richmond pada 9 April 1865. Robert E. Lee, ketua komander Tentera Konfederasi, menyerah kalah pada hari yang sama kepada Ulysses S. Grant selaku ketua komander Tentera Kesatuan, selepas Tentera Konfederasi ditewaskan dalam pertempuran di Daerah Appomattox.

Beberapa hari selepas penyerahan kalah ketua komander Tentera Konfederasi, Abraham Lincoln, yang baharu mengangkat sumpah untuk penggal kepresidenannya yang kedua beberapa minggu sebelum itu, ditembak oleh seorang penyokong Konfederasi di Washington, D.C. pada 14 April 1865, dan dia mati pada keesokan harinya. Namun, pembunuhan Lincoln tidak dapat lagi mengubah realiti kekalahan Konfederasi.
Perang Saudara Amerika berakhir dengan kemenangan pihak Kesatuan, dan Amerika Syarikat berjaya mengelakkan perpecahan negara itu. Konfederasi yang ditubuhkan pada tahun 1861 dibubarkan, begitu juga dengan perhambaan yang diamalkan di negeri-negeri hamba yang membentuk Konfederasi itu.
Pindaan Ketiga Belas Perlembagaan Amerika Syarikat diluluskan dalam Senat Amerika Syarikat pada 8 April 1864, dengan 38 undi menyokong berbanding 6 undi menolak. Ia kemudiannya diluluskan oleh Dewan Perwakilan Amerika Syarikat pada 31 Januari 1865, dengan 119 undi menyokong berbanding 56 undi menolak. Selepas mendapat ratifikasi daripada 27 buah negeri dalam kalangan 36 buah negeri pada 6 Disember 1865, Pindaan Ketiga Belas mula berkuat kuasa pada 18 Disember 1865. Pindaan Ketiga Belas mengharamkan perhambaan di seluruh negara Amerika Syarikat, kecuali hukuman untuk jenayah.

Penguatkuasaan Pindaan Ketiga Belas membebaskan lagi lebih 50,000 orang yang masih diperhambakan pada masa itu di Kentucky dan Delaware, iaitu dua buah “negeri sempadan” yang bersekutu dengan pihak Kesatuan semasa Perang Saudara Amerika. Pindaan Ketiga Belas juga menghapuskan perhambaan yang diamalkan oleh suku-suku kaum masyarakat orang asal di Amerika Syarikat.
Hasil daripada perjuangan yang hebat dalam Perang Saudara Amerika, perhambaan tidak dihapuskan secara beransur-ansur, tetapi serta-merta dan berkekalan. Kejayaan yang bersejarah itu dapat dicapai kerana pengorbanan ratusan ribu orang yang berjuang demi matlamat penghapusan perhambaan, termasuk golongan hamba kulit hitam sendiri. Dianggarkan seramai 200,000 orang warga kulit hitam pernah berkhidmat sebagai askar dalam Tentera Kesatuan, membentuk kira-kira 10% daripada seluruh Tentera Kesatuan. Kira-kira 20% daripada warga kulit hitam yang berkhidmat dalam Tentera Kesatuan mati semasa Perang Saudara Amerika. Pengorbanan mereka telah menyumbang kepada sebuah revolusi yang membebaskan semua hamba dan menghapuskan perhambaan.
“Revolusi hebat sebenarnya telah berlaku,” begitu tulisnya dalam diari Charles Francis Adams (1807-1886), seorang pendukung abolisionisme yang merupakan anak John Quincy Adams (Presiden Amerika Syarikat ke-6 ) dan cucu John Adams (Presiden Amerika Syarikat ke-2), “Negara ini telah buat selama-lamanya melepaskan diri daripada dominasi golongan pemilik hamba.”

Kebanyakan infrastruktur di Selatan Amerika Syarikat telah dimusnahkan semasa Perang Saudara Amerika. Amerika Syarikat memasuki “Era Pembinaan Semula” (1865-1877) dalam tempoh sedekad selepas tamatnya Perang Saudara Amerika. Sepanjang Era Pembinaan Semula, kebanyakan tempat di Selatan Amerika Syarikat masih diduduki oleh tentera persekutuan. Golongan usahawan oportunis dari Utara Amerika Syarikat, yang dikenali sebagai “carpetbagger”, berpindah ke Selatan Amerika Syarikat untuk mencari peluang perniagaan “cepat kaya”. Hamba-hamba yang dibebaskan itu mendapat hak untuk mengundi. Mereka menggunakan hak mengundi itu untuk memilih warga kulit hitam sebagai wakil rakyat dan hakim.
Namun, apabila kekuasaan golongan peladang tradisional di Selatan Amerika Syarikat dianggap sudah dipatahkan dan dominasi kuasa modal dari Utara Amerika Syarikat terjamin, Tentera Kesatuan berundur dari Selatan Amerika Syarikat pada tahun 1877, dan kerajaan-kerajaan negeri di Selatan Amerika Syarikat dikuasai semula oleh golongan elit lama yang rasis tidak lama kemudian. Parti Demokratik yang dikuasai oleh golongan elit kulit putih terus menguasai negeri-negeri di Selatan Amerika Syarikat, dan dengan pantasnya melaksanakan dasar-dasar yang menyekat hak sivil dan kuasa politik warga kulit hitam. Oleh itu, golongan warga kulit hitam di Selatan Amerika Syarikat yang dapat membebaskan diri daripada perhambaan berikutan Perang Saudara Amerika itu terus dilucutkan hak sivil mereka, diasingkan dan diancam dengan keganasan oleh kumpulan-kumpulan samseng rasis, seperti Ku Klux Klan yang diasaskan oleh bekas pegawai Tentera Konfederasi dan memeluk ideologi ketuanan orang putih. Kebanyakan warga kulit hitam hanya dapat bekerja sebagai buruh kasar atau pekerja pertanian yang dibayar dengan upah rendah. Perhambaan digantikan oleh pengasingan etnik atau apartheid perkauman di Selatan Amerika Syarikat.

Seperti revolusi-revolusi borjuis yang lain, Perang Saudara Amerika membawa kemajuan yang besar kepada masyarakat, tetapi pada masa yang sama juga mendatangkan kekecewaan yang hebat. Ia telah memusnahkan sistem eksploitasi yang lama, tetapi membolehkan kemunculan sistem eksploitasi yang baharu. Golongan warga kulit hitam di Amerika Syarikat yang bebas daripada perhambaan itu memerlukan perjuangan selama satu abad lagi untuk menghapuskan sistem pengasingan kaum di Selatan Amerika Syarikat. Mereka juga perlu membina gerakan sosial yang lebih hebat untuk menegakkan hak sivil bagi semua orang tanpa mengira warna kulit.
Usaha penghapusan perhambaan di Amerika Latin
Penghapusan perhambaan berkaitan rapat dengan perjuangan kemerdekaan di Amerika Latin yang membebaskan tanah-tanah jajahan Sepanyol di situ. Ramai dalam kalangan pejuang kemerdekaan Amerika Latin, seperti Simón Bolívar (1783-1830), mendukung penghapusan perhambaan. Untuk mendapatkan bantuan ketenteraan daripada Alexandre Pétion (1770-1818), pemimpin revolusioner yang merupakan Presiden Republik Haiti yang pertama, Simón Bolívar berjanji bahawa dia akan membebaskan semua hamba di wilayah-wilayah yang ditawannya daripada penjajah Sepanyol.
Di tanah jajahan Sepanyol di Amerika, tindakan politik dan sosial yang memperjuangkan kemerdekaan pada awal abad ke-19 telah memberikan motivasi dan ruang yang lebih besar kepada golongan hamba di situ untuk berusaha mencapai pembebasan diri mereka sendiri. Apabila usaha perjuangan kemerdekaan itu beralih kepada peperangan, warga berketurunan Afrika yang sama ada bebas atau masih diperhambakan telah menjadi sumber tenaga yang penting dalam tentera-tentera revolusioner di Amerika Latin. Ramai hamba mendapat kebebasan melalui manumisi kerana berkhidmat dalam tentera revolusioner.
Kongres Kebangsaan Chile yang Pertama meluluskan “Undang-undang Rahim Bebas” (Ley de Libertad de Vientres) pada tahun 1811 sebagai langkah pertama menuju penghapusan perhambaan. Undang-undang itu diusulkan oleh Manuel de Salas (1754-1841), seorang tokoh Patriot yang memperjuangkan kemerdekaan Chile. Ia menetapkan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan oleh hamba adalah bebas, perdagangan hamba diharamkan, pembawaan masuk hamba ke Chile adalah dilarang, dan hamba yang tinggal di wilayah Chile lebih daripada 6 bulan akan dianggap sebagai warga bebas. Pada 24 Julai 1823, Senat Chile mengisytihar penghapusan perhambaan, maka membebaskan kira-kira 3,000-5,000 orang hamba yang masih berada di Chile pada masa itu.

Di Wilayah Bersatu Río de la Plata (iaitu Argentina hari ini), Perhimpunan Tahun XIII meluluskan Undang-undang Rahim pada tahun 1813. Undang-undang itu menetapkan bahawa mereka yang dilahirkan oleh hamba selepas 31 Januari 1813 akan diberikan kebebasan apabila mereka berkahwin, atau pada hari jadi mereka yang ke-16 bagi wanita dan hari jadi ke-20 bagi lelaki. Hamba-hamba yang dibebaskan itu akan diberikan tanah dan peralatan supaya mereka dapat mengusahakannya. Perlembagaan Argentina 1853, yang diterima oleh Konfederasi Argentina pada 1 Mei 1853, menghapuskan perhambaan sepenuhnya di negara itu.
Pada tahun 1821, Gran Colombia melaksanakan undang-undang yang membebaskan kanak-kanak yang dilahirkan oleh hamba, dan memulakan program pembebasan hamba dengan membayar ganti rugi kepada tuan hamba. Republik Nueva Granada yang menggantikan Gran Colombia menghapuskan perhambaan sepenuhnya pada tahun 1851.
Selepas membebaskan Peru daripada cengkaman kekuasaan Sepanyol pada tahun 1821, José de San Martín (1778-1850) mengharamkan perdagangan hamba, dan Peru memulakan pelaksanaan rancangan untuk menghapuskan perhambaan secara beransur-ansur. Namun, usaha penghapusan perhambaan disekat malah diterbalikkan apabila golongan konservatif berkuasa pada tahun 1830-an. Selepas berlakunya Revolusi Liberal pada tahun 1854, kerajaan Peru yang dipimpin oleh Ramón Castilla (1797-1867) menghapuskan perhambaan.
Di Venezuela, usaha penghapusan perhambaan sudah bermula sejak “Revolusi 19 April 1810”, dengan Junta Agung Caracas yang ditubuhkan pada masa itu melarang perdagangan hamba pada bulan Ogos 1810. Namun, impian Simón Bolívar dan janjinya kepada Alexandre Pétion tentang penghapusan perhambaan masih tidak dapat tercapai, kerana golongan elit tempatan enggan melakukannya. Kongres Cúcuta yang diadakan pada tahun 1821 meluluskan “Undang-undang Rahim” yang menetapkan semua kanak-kanak yang dilahirkan oleh hamba adalah bebas. Venezuela menandatangani perjanjian dua hala dengan Britain pada tahun 1840 untuk menghapuskan perdagangan hamba. Pada 24 Mac 1854, José Gregorio Monagas (1785-1858), Presiden Venezuela pada masa itu, menandatangani undang-undang yang menghapuskan perhambaan sepenuhnya di negara itu.
Selepas tiga bulan tercetusnya pemberontakan menentang pemerintahan kolonial Sepanyol di Nueva España, Miguel Hidalgo y Costilla (1753-1811), pemimpin utama perjuangan kemerdekaan Mexico pada masa itu, menubuhkan sebuah kerajaan alternatif di Guadalajara, dan mengisytiharkan penghapusan perhambaan pada 6 Disember 1810, dengan amaran bahawa sesiapa yang tidak mematuhinya akan dihukum mati. Dokumen “Perasaan Bangsa” (Sentimientos de la Nación) yang dibentangkan dalam Kongres Chilpancingo oleh José María Morelos (1765-1815), menyatakan bahawa perhambaan adalah dilarang selama-lamanya, begitu juga dengan perbezaan kasta, supaya menjadikan semua orang adalah sama rata.
“Pelan Iguala” yang dikemukakan 24 Februari 1821, hasil daripada persetujuan antara dua orang pemimpin utama gerakan perjuangan kemerdekaan Mexico, Vicente Guerrero (1782-1831) dan Agustín de Iturbide (1783-1824), menjanjikan kebebasan kepada hamba-hamba yang lahir di Mexico. Perdagangan hamba diharamkan di Mexico pada tahun 1824. Selepas Vicente Guerrero, seorang berketurunan separa Afrika, menjadi Presiden Mexico pada 1 April 1829, dia mengeluarkan dekri pada 15 September 1829 untuk menghapuskan perhambaan sepenuhnya. Walaupun kerajaan Mexico mengharamkan perhambaan, wilayah Texas yang dikuasai oleh Mexico pada masa itu masih mengamalkan perhambaan, dan ia menjadi salah satu sebab penduduk-penduduk Texas yang memiliki hamba itu memberontak terhadap kerajaan pusat Mexico sehingga membawa kepada kemerdekaan Texas pada tahun 1836. Texas diterima ke dalam Kesatuan Amerika Syarikat pada tahun 1845 sebagai sebuah “negeri hamba”.
Republik Persekutuan Amerika Tengah (terdiri daripada Guatemala, Honduras, El Salvador, Costa Rica dan Nicaragua), yang ditubuhkan pada tahun 1823, menghapuskan perhambaan pada 17 April 1824. Bolivia telah menyekat perhambaan sejak kemerdekaannya pada tahun 1825, tetapi perhambaan masih tidak dihapuskan sepenuhnya sehingga tahun 1851. Ecuador yang mencapai kemerdekaan dengan berpisah daripada Gran Colombia pada tahun 1830, menghapuskan perhambaan pada tahun 1851 selepas José María Urvina (1808-1891) menjadi Presiden negara itu.
Menjelang tahun 1860-an, semua negara Amerika Latin yang mencapai kemerdekaan pada masa itu telah menghapuskan perhambaan, kecuali Brazil. Puerto Rico, yang masih berada di bawah penjajahan Sepanyol, menghapuskan perhambaan pada tahun 1873 apabila Cortes Generales (iaitu Parlimen Sepanyol) meluluskan undang-undang yang menghapuskan perhambaan di tanah jajahan itu. Pada masa itu, pemerintahan monarki di Sepanyol ditumbangkan buat sementara waktu dan Republik Sepanyol Pertama (1873-1874) ditubuhkan tetapi tidak bertahan lama. Walau bagaimanapun, undang-undang yang diluluskan semasa pemerintahan Republik Sepanyol Pertama itu telah membebaskan sejumlah kira-kira 29,000 orang hamba, bersamaan kira-kira 5% daripada jumlah penduduk Puerto Rico pada masa itu.

Kekaptenan Jeneral Kuba, sebuah lagi tanah jajahan Sepanyol, pernah dilanda banyak pemberontakan hamba, sejak penghujung abad ke-18 dan sepanjang abad ke-19 sehingga perhambaan dihapuskan pada tahun 1886.
Pada tahun 1795, Nicolás Morales, seorang warga kulit hitam yang bebas, memimpin satu pemberontakan hamba yang tercetus di Bayamo dan merebak ke seluruh bahagian timur Kuba. Pihak berkuasa kolonial Sepanyol terus mengerahkan tentera untuk mematahkan pemberontakan itu secara ganas. Pemberontakan itu turut disertai oleh golongan warga kulit putih, menjadikannya sebuah pemberontakan multi-etnik yang menuntut kesamarataan kaum, maka menimbulkan kegusaran dalam kalangan golongan tuan hamba kulit putih.
Menjelang awal abad ke-19, oleh sebab pertumbuhan permintaan terhadap gula yang pesat, ekonomi perladangan turut berkembang pesat di Pulau Kuba. Dengan semakin ramai hamba dibawa masuk ke Kuba untuk bekerja dalam sektor perladangan, masyarakat Kuba menjadi semakin berpecah kepada kelas-kelas sosial mengikut perkauman. Warga berketurunan Afrika yang bebas mendapati diri mereka didiskriminasi oleh rejim perkauman, maka mereka lebih cenderung untuk bergabung dengan golongan hamba kulit hitam untuk menentang ketidakadilan sosial yang wujud pada masa itu.

Apabila Napoleon menceroboh Sepanyol pada tahun 1808, wujudnya harapan dalam kalangan warga kulit hitam di Kuba untuk menghapuskan perhambaan di situ. Oleh itu, José Antonio Aponte, seorang pegawai militia warga kulit hitam bebas, merancang untuk melancarkan pemberontakan besar-besaran demi menghapuskan perhambaan, menjatuhkan pemerintahan kolonial dan mewujudkan sebuah negara merdeka yang bebas daripada diskriminasi. Aponte mengumpulkan hamba-hamba dan warga kulit hitam bebas untuk tujuan melancarkan pemberontakan anti-perhambaan itu. Satu siri pemberontakan hamba telah berlaku pada tahun 1812, dengan golongan pemberontak membakar ladang-ladang dan membunuh warga kulit putih. Namun, rancangan Aponte telah dibongkarkan pada bulan Mac 1812, dan pihak berkuasa kolonial Sepanyol terus bertindak untuk mematahkan pemberontakan itu secara ganas. Lebih 50 orang yang dikaitkan dengan Pemberontakan Aponte ditangkap dan dibicarakan. Aponte dan beberapa orang lagi dihukum mati pada 9 April 1812.
Pada bulan Jun 1825, tercetusnya pemberontakan hamba kulit hitam secara besar-besaran di kawasan luar bandar Kuba. Berbeza dengan Pemberontakan Aponte yang melibatkan usaha sama golongan warga kulit hitam bebas dan golongan hamba, pemberontakan pada tahun 1825 dianggotai sepenuhnya oleh hamba-hamba kulit hitam. Pemberontakan hamba pada tahun 1825 memulakan siri pemberontakan yang berlarutan sehingga pertengahan tahun 1840-an.

Pada bulan Disember 1843, seorang pemilik ladang besar di wilayah Matanzas, yang terletak di bahagian barat Kuba, mendakwa bahawa terdapat konspirasi untuk pemberontakan hamba di situ. Pihak berkuasa kolonial Sepanyol menangkap ramai orang yang disyaki, mendera tahanan, dan menghukum mati mereka yang “mengaku” sebagai pemimpin pemberontakan. Pihak berkuasa kolonial Sepanyol mendakwa bahawa ia menemui konspirasi yang melibatkan golongan hamba, warga kulit hitam bebas, warga criollo (orang putih yang lahir di Kuba) dan warga asing. Golongan intelek yang mengkritik kerajaan, seperti José de la Luz y Caballero (1800-1862) dan Domingo del Monte (1804-1853), turut dikaitkan dengan pemberontakan itu. David Turnbull (1793-1851), seorang abolisionis dan bekas konsul British di Kuba tetapi sudah dihalau keluar pada tahun 1842 atas tuduhan menghasut pemberontakan hamba, telah didakwa dan disabitkan kesalahan dalam perbicaraan tanpa kehadirannya pada tahun 1844 atas pertuduhan bahawa dia merupakan “penggerak utama” pemberontakan hamba. Adalah dianggarkan bahawa seramai 300 orang warga kulit hitam dan warga campuran etnik mati kerana penderaan, 78 orang dihukum mati, lebih 600 orang dipenjarakan dan lebih 400 orang diusir keluar dari Pulau Kuba pada tahun 1844. José Antonio Saco (1797-1879), seorang penulis dan tokoh pemikir yang terkenal di Kuba pada masa itu, juga dihalau keluar dari pulau itu.
Oleh sebab tekanan daripada kerajaan British, kerajaan kolonial Sepanyol di Kuba menghapuskan perdagangan hamba pada tahun 1862. Carlos Manuel de Céspedes (1819-1874), seorang pemilik ladang di Kuba, bersama pemimpin-pemimpin perjuangan kemerdekaan Kuba yang lain, membebaskan hamba-hamba di ladang mereka, dan mengisytihar kemerdekaan Kuba melalui “Tangisan Yara” (El Grito de Yara) yang dikeluarkan pada 10 Oktober 1868, maka mencetuskan “Perang Sepuluh Tahun” (1868-1878). Selepas tamatnya Perang Sepuluh Tahun, hamba-hamba yang bertempur bagi kedua-dua pihak penjajah Sepanyol dan golongan anti-kolonial telah diberikan kebebasan pada tahun 1878, tetapi hamba-hamba tidak bertempur bagi mana-mana pihak masih tidak bebas.

Pada tahun 1880, Cortes Generales Sepanyol meluluskan sebuah undang-undang penghapusan perhambaan dengan mewujudkan sistem patronato, untuk menjadikan hamba abdi sebagai perantis paksaan. Langkah itu hanya mengubah perhambaan mutlak kepada perhambaan kontrak. Pada 7 Oktober 1886, kerajaan Sepanyol mengeluarkan dekri diraja yang mengharamkan amalan patronato, maka menghapuskan perhambaan sepenuhnya.
Penghapusan perhambaan di Brazil
Selepas Portugal menjajah Brazil pada tahun 1500, golongan penjajah menggunakan tenaga buruh hamba yang terdiri daripada orang asal dan orang berketurunan Afrika. Semasa zaman Perdagangan Hamba Atlantik, Brazil mengimport lebih banyak hamba dari Afrika berbanding mana-mana negara lain di dunia pada masa itu. Daripada kira-kira 12 juta orang hamba berketurunan Afrika yang dibawa secara paksaan ke Amerika antara tahun 1540 dan 1860-an, kira-kira 5.5 juta orang dibawa masuk ke Brazil.

Semasa zaman pemerintahan kolonial Portugis, selain daripada komuniti quilombo yang ditubuhkan oleh golongan bekas hamba itu cuba mempertahankan diri mereka daripada ancaman pihak berkuasa kolonial, pernah berlakunya banyak pemberontakan hamba. Sebuah pemberontakan di wilayah Kekaptenan Bahia pada tahun 1798, yang dikenali sebagai “Pemberontakan Tukang Jahit” dan mendapat inspirasi daripada Revolusi Perancis, telah disertai oleh ramai golongan hamba. Salah satu matlamat utama perjuangan menentang pihak berkuasa kolonial Portugis itu ialah pembebasan hamba. Namun, pemberontakan itu dipatahkan oleh pihak berkuasa kolonial Portugis tidak lama kemudian. 4 orang pemimpin yang terlibat dalam pemberontakan itu digantung sampai mati di khalayak ramai pada tahun 1799.
Pada tahun 1814, sekumpulan hamba yang bekerja sebagai nelayan melancarkan pemberontakan di wilayah Bahia, dengan membakar pelabuhan dan membunuh mandur di situ. Pasukan tentera yang dikerahkan oleh pihak berkuasa kolonial di Salvador mematahkan pemberontakan itu secara ganas. 4 orang pemberontak hamba yang ditangkap telah digantung sampai mati di khalayak ramai, sementara 12 orang lagi dihantar ke tanah jajahan Portugis di Afrika.
Seruan untuk penghapusan perhambaan di Brazil yang merdeka telah kedengaran sejak awal abad ke-19. José Bonifácio de Andrada e Silva (1763-1838), tokoh penggerak perjuangan kemerdekaan Brazil, pernah mencadangkan penghapusan perhambaan secara beransur-ansur.
Kerajaan Brazil dan kerajaan British menandatangani sebuah perjanjian di Rio de Janeiro pada tahun 1826, dengan Brazil bersetuju untuk mengharamkan perdagangan hamba dari Afrika. Sebuah undang-undang yang melarang perdagangan hamba maritim diluluskan pada tahun 1828 dan berkuat kuasa mulai tahun 1831. Undang-undang itu mengharamkan pengimportan hamba dan memberi kebebasan kepada hamba-hamba yang diimport secara haram ke Brazil. Namun, undang-undang itu tidak dipedulikan oleh golongan pedagang hamba dan tiada penguatkuasaan yang berkesan. Kebanyakan pedagang dan ahli politik di Brazil menganggap undang-undang itu digubal sekadar untuk mengambil hati Britain yang mengharamkan perdagangan hamba pada masa itu kerana kebergantungan kewangan Brazil kepada Britain sebagai rakan dagang utamanya.
Pada 13 Mei 1833, tercetusnya pemberontakan hamba di Carrancas, negeri Minas Gerais yang terletak di Wilayah Tenggara Brazil. Golongan hamba yang dipimpin oleh Ventura Mina membunuh tuan hamba mereka dan menyerang ladang-ladang di sekitar Carrancas. Ventura Mina dan beberapa orang pemberontak terbunuh dalam pertempuran dengan golongan peladang. 17 orang pemberontak yang ditangkap dikenakan hukuman gantung sampai mati.
Pada bulan Januari 1835, tercetusnya pemberontakan hamba di Salvador, negeri Bahia yang terletak di Wilayah Timur Laut Brazil. Pemberontakan itu dikenali sebagai “Pemberontakan Malê”, dengan malê merupakan nama panggilan untuk golongan Muslim di Bahia pada masa itu. Pemberontakan itu dirancang oleh golongan hamba kulit hitam yang beragama Islam. Walaupun ia dirancang oleh golongan malê dan berlaku semasa bulan Ramadan, pemberontakan itu disertai oleh kedua-dua golongan Muslim dan golongan bukan Muslim.
Oleh sebab rancangan pemberontakan telah dibongkarkan lebih awal, Pemberontakan Malê tercetus lebih awal daripada masa yang dirancang, dengan golongan pemberontak menyerang sebuah penjara untuk membebaskan seorang pemimpin Muslim di situ. Pihak berkuasa mengerahkan pasukan tentera untuk mematahkan pemberontakan itu secara keras. Kira-kira 80 orang pemberontak dibunuh. Kira-kira 300 orang ditangkap, dan 5 orang dihukum mati.
Pada bulan November 1838, selepas seorang hamba ditembak mati oleh seorang penyelia ladang di Lembah Paraíba yang terletak di negeri São Paulo, Wilayah Tenggara Brazil, tercetusnya pemberontakan hamba di situ. Manuel Congo, seorang hamba yang bekerja sebagai tukang besi, bersama Mariana Crioula, seorang hamba wanita yang bekerja sebagai tukang jahit dan pembantu rumah, mengatur pelarian beramai-ramai golongan hamba dari ladang mereka. Lebih 300 orang hamba berjaya melarikan diri. Namun, pihak berkuasa mengerahkan pasukan tentera untuk memburu mereka dan mematahkan pemberontakan itu. 16 orang ditangkap, termasuk Manuel Congo dan Mariana Crioula. Manuel Congo dijatuhkan hukuman mati, dan dia digantung sampai mati pada 4 September 1839.
Bento Gonçalves da Silva (1788-1847) dan David Canabarro (1796-1867), dua orang pegawai tentera yang terlibat dalam Perang Farrapo (1835-1845), iaitu pemberontakan golongan republikan di negeri Rio Grande do Sul terhadap golongan pemerintahan Empayar Brazil, telah membebaskan hamba-hamba semasa perang itu pada tahun 1839.

Di bawah tekanan Britain yang merupakan rakan dagang utama Brazil, pada 4 September 1850, Perhimpunan Agung Brazil meluluskan sebuah undang-undang yang mengharamkan perdagangan hamba antarabangsa di negara itu. Di bawah undang-undang itu, perdagangan hamba maritim dianggap sebagai jenayah pelanunan, dan lebih banyak sekatan undang-undang jenayah dikenakan terhadap pengimportan hamba yang sepatutnya sudah diharamkan sejak tahun 1831.
Persatuan abolisionis di Brazil mula ditubuhkan pada tahun 1852, dan berkembang pesat dalam tiga dekad selepasnya. Golongan intelek, artis, peguam, wartawan dan ahli politik melibatkan diri dalam gerakan itu untuk menuntut pembaharuan menuju penghapusan perhambaan. Golongan abolisionis juga mengumpulkan dana yang dapat digunakan untuk tujuan manumisi, iaitu pembebasan hamba oleh tuan hamba itu sendiri.
Perang Paraguay (1864-1870), yang tercetus antara Brazil dan Paraguay, telah membawa kepada perubahan ideologi dalam persoalan perhambaan. Ramai hamba yang dikerahkan ke dalam tentera Brazil telah menunjukkan keupayaan mereka di medan pertempuran, sehingga menyebabkan semakin ramai pegawai tentera mempersoalkan institusi perhambaan itu dan enggan melaksanakan tanggungjawab tentera untuk menangkap hamba-hamba yang melarikan diri. Gerakan pemikiran baharu seperti Positivisme (falsafah yang menekankan ilmu datang daripada analisis logik dan bukti saintifik yang boleh diperhatikan) dan Republikanisme (falsafah yang menentang pemerintahan monarki), yang diterima oleh ramai ahli politik Brazil pada masa itu, telah menekankan kerasionalan dan seiring dengan seruan meluas untuk pemodenan sosioekonomi.
Maria Firmina dos Reis (1822-1917), seorang yang dianggap sebagai penulis novel wanita kulit hitam pertama di Brazil, menerbitkan buku novelnya yang pertama pada tahun 1859, dengan judul Úrsula. Úrsula boleh dikatakan sebagai novel abolisionis yang pertama di Brazil, kerana novel yang mengisahkan percintaan segi tiga itu turut mempersoalkan sistem perhambaan.

Luís Gama (1830-1882), seorang yang dilahirkan oleh ibu yang merupakan bekas hamba kulit hitam, dijual oleh bapanya, seorang warga kulit putih, sebagai hamba untuk membayar hutang judi ketika dia berumur 10 tahun. Luís Gama berjaya menuntut kebebasannya di mahkamah pada tahun 1848, dan kemudiannya menjadi peguam dengan belajar undang-undang secara sendiri. Sebagai peguam, Luís Gama memperjuangkan pembebasan hamba di mahkamah menjelang tahun 1860-an. Luís Gama juga menjadi penulis dan pemidato yang terkenal dalam menerajui usaha perjuangan abolisionis di Brazil. Luís Gama sentiasa menganggap kebebasan itu hak semula jadi setiap umat manusia tanpa mengira warna kulit.
Pada 28 September 1871, Perhimpunan Agung Brazil meluluskan “Undang-undang Rahim” yang memberikan kebebasan kepada semua kanak-kanak yang dilahirkan oleh hamba. Namun, kanak-kanak yang dilahirkan oleh hamba masih diwajibkan untuk berkhidmat kepada tuan hamba yang memiliki ibu mereka sehingga umur 21 tahun. Oleh itu, penghapusan perhambaan itu masih dilambat-lambatkan dan hanya sedikit orang yang memperoleh kebebasan, sementara lebih 1 juta orang masih diperhambakan di seluruh negara Brazil.
Menjelang tahun 1871, dianggarkan kira-kira 15% daripada penduduk Brazil sejumlah 10 juta orang pada masa itu merupakan hamba. Walau bagaimanapun, oleh sebab manumisi yang semakin berleluasa dengan perluasan fahaman abolisionis, kira-kira 75% daripada golongan kulit hitam di Brazil pada masa itu merupakan warga bebas.

Konfederasi Abolisionis Brazil ditubuhkan pada 13 Ogos 1883, dengan menggabungkan 13 buah persatuan abolisionis di negara itu. Antara tokoh yang penting dalam menggerakkan usaha abolisionis di Brazil pada masa itu ialah Maria Tomásia Figueira Lima (1826-1902), André Rebouças (1838-1898), Dragão do Mar (1839-1914), Joaquim Nabuco (1849-1910) dan José do Patrocínio (1854-1905). Dragão do Mar, dengan nama sebenarnya Francisco José do Nascimento, ialah seorang warga kulit hitam yang dilahirkan di Canoa Quebrada, negeri Ceará, Brazil, dan merupakan seorang nelayan rakit (yang dikenali sebagai jangadeiro). Dragão do Mar pernah memimpin aksi mogok jangadeiro pada tahun 1881 di pelabuhan Fortaleza, ibu negeri Ceará yang terletak di Wilayah Timur Laut Brazil, untuk menolak daripada mengangkut hamba kulit hitam yang dijual ke Rio de Janeiro dan wilayah-wilayah Brazil yang lain.
Kempen awam untuk penghapusan perhambaan telah dipertingkatkan mulai tahun 1884. “Persatuan Salam Kebebasan” (Sociedade Ave Libertas) yang ditubuhkan pada tahun 1884 oleh aktivis-aktivis abolisionis wanita yang tinggal di Recife, ibu negeri Pernambuco, berjaya membantu dalam pembebasan 200 orang hamba dalam tempoh setahun, menunjukkan kehebatan golongan wanita dalam gerakan abolisionis di Brazil. Menjelang tahun 1880-an, sebahagian golongan abolisionis yang semakin radikal mengemukakan cadangan penghapusan perhambaan tanpa membayar pampasan kepada tuan hamba.

Pada tahun 1885, Perhimpunan Agung Brazil meluluskan undang-undang yang memberi kebebasan kepada hamba-hamba yang berumur 60 tahun dan ke atas. Namun, sebelum hamba-hamba itu dilepaskan, mereka masih perlu memberikan perkhidmatan secara wajib dan percuma, sebagai pampasan kepada tuan hamba, kecuali hamba itu sudah mencecah umur 65 tahun. Kerajaan Brazil mewujudkan sebuah dana manumisi untuk tujuan itu. Undang-undang itu memberikan kesan praktikal yang terhad, kerana hanya sebilangan kecil hamba yang berumur lebih 60 tahun. Pada tahun 1887, daripada sejumlah 723,000 orang hamba di Brazil, hanya kira-kira 28,800 orang berumur lebih 55 tahun.
Walau bagaimanapun, hasil daripada usaha perjuangan golongan abolisionis di Brazil, keadaan yang dialami oleh hamba-hamba di negara itu semakin bertambah baik. Kerajaan Brazil mengharamkan hukuman sebat terhadap hamba.
Pada 13 Mei 1888, Dona Isabel (1846-1921), Puteri Empayar Brazil yang merupakan pemangku maharaja pada masa itu, menandatangani “Undang-undang Emas” (Lei Áurea) yang menghapuskan perhambaan di Brazil. Undang-undang penghapusan hamba di Brazil itu bukannya sesuatu yang jatuh dari langit, atau ehsan golongan pemerintah di negara itu, tetapi merupakan hasil daripada tekanan untuk pembaharuan daripada pelbagai pihak dan pembangunan kesedaran awam bahawa perhambaan yang berterusan hanya membawa kepada kekacauan. Golongan peladang dan golongan pemilik lombong menerima undang-undang penghapusan perhambaan itu dengan penuh berat hati, tetapi mereka juga mengalihkan perhatian kepada membawa masuk pekerja-pekerja imigran dari seluruh Eropah untuk mengisi keperluan buruh murah di situ. Brazil merupakan negara terakhir di benua Amerika atau Hemisfera Barat yang menghapuskan perhambaan.

Impak perjuangan pembebasan hamba
Perjuangan pembebasan hamba dan usaha penghapusan perhambaan merupakan sebahagian yang penting daripada perjuangan masyarakat dalam sejarah. Hasil daripada perjuangan pembebasan hamba, termasuk pemberontakan hamba sendiri, ramai orang telah dapat membebaskan diri daripada belenggu perhambaan. Ia juga menghapuskan sebuah sistem eksploitasi yang amat kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Konvensyen untuk Membanteras Perdagangan Hamba dan Perhambaan yang ditandatangani pada 25 September 1926, di bawah naungan Liga Bangsa-Bangsa (1920-1946), pendahulu kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini, merupakan sebuah perjanjian antarabangsa yang penting dalam mengesahkan bahawa perhambaan dan perdagangan hamba harus dihapuskan sepenuhnya. Konvensyen mengenai Buruh Paksaan, yang diterima oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada 28 Jun 1930, melarang penggunaan buruh paksaan dalam segala bentuk tanpa mengira jenis kerja atau sektor aktiviti di mana ia mungkin dilakukan.

Perkara 4 dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat yang diterima oleh Perhimpunan Agung PBB pada 10 Disember 1948, melalui Resolusi 217(III), jelas menyatakan bahawa “tiada sesiapa pun boleh diperhambakan atau diperabdikan; keabdian dan dagangan hamba abdi hendaklah dilarang dalam semua bentuknya”. Konvensyen Tambahan mengenai Penghapusan Perhambaan yang diterima oleh PBB pada 7 September 1956 menegaskan semula keperluan untuk menghapuskan perhambaan dan amalan yang serupa di seluruh dunia. Perkara 6 Perlembagaan Persekutuan Malaysia dengan jelasnya melarang perhambaan dan segala bentuk kerja paksa. Mauritania menjadi negara terakhir di dunia yang melarang perhambaan melalui penggubalan undang-undang, iaitu pada tahun 1981.
Pada 2 Disember 1949, Perhimpunan Agung PBB meluluskan Konvensyen untuk Larangan Pemerdagangan Orang dan Eksploitasi Pelacuran Orang Lain. 2 Disember setiap tahun disambut sebagai Hari Antarabangsa untuk Penghapusan Perhambaan. Persidangan Agung Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menerima Resolusi 29 C/40 pada tahun 1997 untuk menetapkan bahawa 23 Ogos setiap tahun disambut sebagai Hari Antarabangsa untuk Memperingati Perdagangan Hamba dan Pemansuhannya. Tarikh itu dipilih kerana ia dikatakan tarikh bermulanya Revolusi Haiti. Perhimpunan Agung PBB meluluskan Resolusi 57/195 pada tahun 2002, untuk mengisytihar tahun 2004 sebagai Tahun Antarabangsa untuk Memperingati Perjuangan Menentang Perhambaan dan Penghapusannya.

Pada tahun 2006, Perhimpunan Agung PBB menerima Resolusi 61/19, yang mengiktiraf bahawa “perdagangan hamba dan perhambaan adalah antara pencabulan hak asasi manusia yang paling teruk dalam sejarah manusia, dengan mengambil kira skala dan tempohnya”, dan menetapkan 25 Mac 2007 sebagai Hari Antarabangsa untuk Memperingati Ulang Tahun ke-200 Penghapusan Perdagangan Hamba Transatlantik. Setahun kemudian pada tahun 2007, Perhimpunan Agung PBB menerima Resolusi 62/122, yang menetapkan 25 Mac setiap tahun sebagai Hari Antarabangsa untuk Memperingati Mangsa-mangsa Perhambaan dan Perdagangan Hamba Transatlantik mulai tahun 2008. Tarikh itu dipilih kerana Akta Penghapusan Perdagangan Hamba diluluskan di Britain pada 25 Mac 1807.
Pada 25 Mac 2026, Perhimpunan Agung PBB meluluskan Resolusi A/80/L.48 yang mengisytihar bahawa pemerdagangan warga Afrika dan perhambaan yang bersifat perkauman terhadap warga Afrika merupakan jenayah yang paling berat terhadap kemanusiaan. Resolusi itu menegaskan kepentingan untuk menangani kesalahan sejarah yang meninggalkan kesan mendalam kepada warga Afrika dan orang berketurunan Afrika, di samping menekankan tuntutan pampasan daripada negara-negara yang pernah terlibat dalam Perdagangan Hamba Atlantik sebagai langkah konkrit menuju ke arah memperbetulkan kesalahan sejarah itu.
Pembebasan hamba dan penghapusan perhambaan telah mendatangkan impak besar kepada masyarakat sedunia. Perhambaan sebagai satu bentuk eksploitasi yang paling tidak berperikemanusiaan tidak lagi diamalkan, atau sekurang-kurangnya diharamkan melalui undang-undang, hampir di seluruh dunia. Walaupun diharamkan undang-undang, masih wujudnya amalan perhambaan secara haram di sesetengah tempat pada hari ini, dan keadaan itu memerlukan usaha perjuangan yang lebih lanjut.

Kejayaan perjuangan pembebasan hamba dan penghapusan perhambaan mengesahkan satu idea progresif yang penting, iaitu semua orang adalah dilahirkan bebas. Dengan penghapusan perhambaan, mereka yang pernah diperhambakan, dalam angka berjuta-juta, akhirnya dapat menguasai nasib mereka sendiri dan tidak lagi menjadi “harta” milik orang lain. Orang yang tidak diperhambakan lagi itu berpeluang untuk hidup secara bermaruah.
Perjuangan pembebasan hamba dan penghapusan perhambaan telah melalui perjalanan yang penuh cabaran dan pengorbanan. Jika bukannya pengorbanan hamba-hamba yang berani bangkit memberontak demi menentang penindasan dan menuntut kebebasan, jika bukannya gerakan abolisionis yang digerakkan oleh golongan lelaki dan golongan wanita tanpa mengira warna kulit, kita tidak mungkin dapat menghapuskan perhambaan di dunia. Pembebasan tidak mungkin tercapai tanpa perjuangan.

Walau bagaimanapun, kebebasan tidak semestinya membawa kepada kesamarataan dan keadilan sosial. Lebih-lebih lagi, dengan masih wujudnya susunan masyarakat kelas dan sistem ekonomi kapitalis yang berasaskan eksploitasi buruh, penghapusan perhambaan tidak bermakna berakhirnya penindasan dan eksploitasi yang dialami oleh rakyat bawahan. Malah, ramai bekas hamba mendapati diri mereka masih terperangkap dalam kemiskinan dan kitaran keganasan. Diskriminasi kaum dan ketidaksamarataan ekonomi masih wujud di banyak tempat yang sudah dihapuskan perhambaan. Walaupun perdagangan hamba telah lama diharamkan, aktiviti pemerdagangan manusia masih dijalankan secara haram untuk membekalkan tenaga manusia dalam bentuk buruh paksaan, atau digunakan untuk eksploitasi seksual. Segala masalah yang masih wujud itu memerlukan perjuangan yang berterusan, dan perjuangan pembebasan hamba yang hebat itu boleh memberi inspirasi kepada orang ramai untuk terus berjuang.
Penghapusan amalan perhambaan mutlak tidak bermakna penghapusan eksploitasi. Eksploitasi boleh mengambil bentuk baharu di bawah sistem sosioekonomi kapitalis yang diubah suai dan diperbaharui. Hamba abdi mungkin tidak wujud lagi, tetapi golongan pekerja yang “bebas” itu sering terperangkap dalam satu lagi bentuk eksploitasi baharu, iaitu “perhambaan upah”… Oleh itu, perjuangan melawan eksploitasi diteruskan lagi…

==========
Rencana ini ditulis oleh Choo Chon Kai, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Ketua Pengarang Sosialis.net.
==========
Rencana lain dalam Siri Revolusi Dunia:
