
oleh S. Arutchelvan
Pada satu ketika dahulu, seorang pemimpin kesatuan sekerja memberitahu saya bahawa kesatuan sekerja di Singapura sangat kuat, dan dengan menjadi anggota kesatuan sekerja, mereka mendapat beberapa faedah seperti diskaun apabila membeli-belah di pasar raya. Hakikatnya adalah kesatuan sekerja di Singapura hampir serupa dengan syarikat milik kerajaan yang mematuhi perintah golongan berkuasa dan menari mengikut nada demokrasi terkawal di Singapura.
Jadi, apa yang terlintas dalam fikiran saya apabila mendapat tahu tentang sejuta ahli kesatuan sekerja di negara kita akan menerima Kad Pekerja MADANI, iaitu kad diskaun yang diberikan oleh Kerajaan MADANI untuk ahli kesatuan sekerja membeli barangan keperluan dan perkhidmatan di syarikat-syarikat terpilih, adalah jelas. Adakah ini bermakna bahawa kesatuan-kesatuan sekerja dijangka juga akan memberi diskaun kepada kerajaan apabila mereka memperjuangkan hak pekerja?
Walaupun agak gembira untuk melihat bahawa kita mempunyai seorang Menteri Sumber Manusia yang pro-pekerja seperti Steven Sim yang baru-baru ini menggubah sebuah lagu pekerja yang sangat bermakna dalam alunan irama “Solidariti Selama-lamanya”, keadaan yang dihadapi oleh kesatuan-kesatuan pekerja di Malaysia masih sangat membimbangkan. Terdapat beberapa kebimbangan serius mengenai keadaan kesatuan sekerja kita perlu ditangani.
1. Keanggotaan kesatuan sekerja tidak meningkat, sebaliknya merosot dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Menteri Sumber Manusia yang terdahulu, V. Sivakumar, meletakkan sasaran peningkatan keahlian kesatuan sekerja kepada 50% sementara M. Kulasegaran meletakkan sasaran 30%. Dalam realitinya, keahlian kesatuan sekerja di negara kita hanya sekitar 6%. Menteri Sumber Manusia sekarang menetapkan sasaran yang realistik, iaitu 10%, tetapi ia masih merupakan satu cabaran yang besar. Jadi, apakah langkah-langkah konkrit yang telah diambil untuk meningkatkan keahlian kesatuan sekerja? Sebuah kesatuan sekerja yang kuat mungkin tidak dialu-alukan oleh mana-mana majikan kerana pihak majikan perlu mengorbankan sedikit keuntungan mereka.
2. Amalan pemusnahan kesatuan sekerja (union busting) masih berleluasa. Hampir tiadanya perlindungan bagi pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja. Bagaimana kesatuan sekerja dapat meningkatkan keahliannya apabila kepimpinannya sentiasa diancam kecuali mereka menjadi sebuah kesatuan kuning yang jinak? Ramai anggota kesatuan sekerja yang baik sama ada dipecat atau dinaikkan pangkat sebagai cara untuk menyingkirkan mereka.
3. Hanya 2% daripada tenaga kerja mempunyai perjanjian bersama. Bagaimana pekerja-pekerja boleh mendapat manfaat yang lebih baik apabila tiadanya rancangan seperti mengkehendaki majikan duduk berbincang dengan kesatuan sekerja dan menetapkan ambang yang lebih rendah untuk mempromosi perjanjian bersama supaya kepentingan pekerja dilindungi? Hari ini, pekerja-pekerja perlu bergantung sepenuhnya pada piawaian minimum dalam Akta Kerja.
4. Walaupun tiada sekatan dalam Akta Kerja dalam membenarkan pekerja migran berdokumen untuk menyertai kesatuan sekerja, tetapi terdapat klausa imigresen yang menafikan hak pekerja migran daripada menyertai mana-mana organisasi tempatan. Kebanyakan pekerja migran juga dikawal secara ketat dan disekat hak serta pergerakan mereka. Ini melemahkan kesatuan-kesatuan sekerja kerana tidak dapat mewakili kepentingan semua pekerja dan akhirnya hanya mewakili sebahagian kecil tenaga kerja.
5. Bagi pekerja-pekerja kontrak kerajaan di mana kontraktor yang merupakan majikan itu bertukar setiap 3 tahun, mereka tidak dapat menubuhkan kesatuan sekerja untuk melindungi hak mereka. Perkara serupa juga dihadapi oleh pekerja-pekerja gig. Adakah undang-undang baharu akan memberikan mereka kuasa untuk merundingkan gaji mereka? Bolehkah kita memberikan mereka sedikit diskaun di sini untuk menubuhkan kesatuan sekerja?
6. Kesatuan sekerja tidak dibenarkan untuk memperoleh dana selain daripada yuran kesatuan. Namun, adalah sangat sukar untuk mendapat persetujuan daripada pihak majikan supaya mewujudkan aturan “check-off” (potongan gaji untuk yuran kesatuan) melainkan kesatuan sekerja itu berkompromi dengan pihak majikan. Sebuah undang-undang perlu digubal supaya pekerja-pekerja dan kesatuan sekerja dapat menentukan bagaimana aturan check-off dapat dilaksanakan.
7. Di sebalik undang-undang kesatuan sekerja yang baharu, nampaknya perlindungan bagi kesatuan sekerja masih terus dihakis. Mungkin Menteri Sumber Manusia boleh menggalakkan supaya kesatuan-kesatuan sekerja ditubuhkan dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
==========
S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).