
oleh Arveent Kathirtchelvan
Saya merujuk kepada tulisan Tajuddin Rasdi tentang bagaimana Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning telah menghasilkan tiga pemenang.
Saya bersetuju dengan premis beliau: Barisan Nasional (BN) memang mendapat sokongan yang cukup untuk memenangi pilihan raya, Perikatan Nasional (PN) telah mendapat peningkatan dalam peratusan undi mereka, dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggandakan peratusan undi kami. Setiap calon yang bertanding boleh membawa balik sesuatu untuk membina gerakan mereka ke depan dalam persaingan untuk menjadi lebih relevan.
Dalam tempoh 12 tahun sejak 2013, ini adalah keputusan kami yang terbaik. Sejak Pakatan Harapan (PH) meninggalkan kami pada tahun 2018, kami telah bangkit membina semula diri kami secara perlahan-lahan, namun dengan berhati-hati untuk menjejak tapak kami sendiri.
Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) pada tahun 2018, peratusan undi tertinggi kami adalah 3.52% untuk kerusi Parlimen Sungai Siput dan 4.81% untuk kerusi DUN Jelapang di Perak. Bawani KS sendiri memperoleh undian 1.28% dalam pertandingan untuk kerusi DUN Malim Nawar di Perak. Sejak itu, undi kami berlegar di sekitar 1-2% untuk setiap kerusi lain yang kami tandingi. Bawani mendapat 2.5% untuk kerusi DUN Ayer Kuning dalam PRU-15 dan sekarang sekali lagi di Ayer Kuning, ia adalah 6%. Kami kecil, tetapi semakin berkembang.
Dalam tempoh yang sama, kita telah melihat penyusunan semula parti-parti politik arus perdana. Pakatan Rakyat memutuskan hubungan dengan PSM dan membentuk PH dengan BERSATU yang dipimpin oleh Dr. Mahathir Mohamad.
Pada tahun 2020, seperti yang dijangkakan oleh semua orang, ia dikhianati oleh BERSATU yang mewujudkan pakatan dengan BN dan PAS untuk membentuk PN. PSM, dalam usaha menewaskan BN-PN, telah menawarkan sokongan kami untuk bersekutu dengan PH dalam PRU-15 pada tahun 2022. Selepas bermesra dengan kami selama berminggu-minggu, PH memutuskan untuk menyingkirkan kami sekali lagi, hampir seminggu sebelum pilihan raya. Mereka kemudian memenangi terlalu sedikit kerusi untuk membentuk kerajaan dan memutuskan untuk bersekutu dengan BN.
Optimisme yang mempercayai PH telah pudar. Rakyat dapat melihat dengan mata mereka sendiri. Mereka melihat bagaimana Howard Lee merayakan kemenangan BN dalam PRK Ayer Kuning bersama Saarani Mohamad, mereka melihat bagaimana Ahmad Zahid Hamidi diangkat oleh Anwar Ibrahim. Pemimpin-pemimpin BN ini adalah musuh yang diberitahu oleh PH kepada rakyat sebelum PRU-15 pada tahun 2022. Kerajaan semasa, secara jelas, merupakan sebuah pakatan yang bukan timbul daripada keperluan untuk menghentikan PN, tetapi untuk mengekalkan kuasa.
Kami di PSM melihat rakyat terdesak dan kecewa. Ya, mereka masih mengundi BN, PH atau PN, tetapi kebanyakannya untuk pertimbangan politik, bukan kerana bersetuju dengan mereka. Tiada kuasa lain yang cukup besar untuk mengambil alih kuasa daripada gergasi-gergasi politik ini. Di sinilah kami sebagai PSM melihat diri kami muncul berkembang untuk mengangkat keperluan rakyat, sehingga suatu hari nanti mengambil kuasa untuk rakyat. Dulu kami menjalin pakatan dengan parti-parti PH untuk menewaskan BN. Hari ini, dengan PH menghidupkan semula BN, kami membentuk sebuah lagi kuasa untuk mengalahkan mereka berdua.
Namun, kami akan melakukannya secara organik. Kami tidak terdesak untuk kuasa seperti PH yang sanggup bekerjasama dengan Mahathir atau BN. Kami telah melihat bagaimana ini telah mengubah perangai mereka. Kami terbuka kepada pakatan yang berdasarkan landasan dan program kami.
Tumpuan kami adalah untuk merangka sistem politik dan ekonomi yang memanfaatkan 99% rakyat bawahan di Malaysia. Ini bermakna gaji minimum yang lebih tinggi, sistem kesihatan awam yang lebih mantap, perumahan yang benar-benar mampu milik, menghentikan pengusiran paksa, dan menghapuskan politik perkauman. Pertambahan jumlah undi baru-baru ini, dan kenaikan bilangan keahlian kami sendiri, menunjukkan bahawa kami menjadikan politik kelas relevan di Malaysia.
Kita tidak memerlukan seorang penyelamat seperti Khairy Jamaluddin. Saya berkata ini tanpa sebarang niat untuk tidak menghormati orang lain. Namun, jika individu-individu tersebut membuktikan bahawa mereka mampu menegakkan nilai-nilai kami, kami akan bekerjasama dengan mereka.
Parti seperti PEJUANG dan GERAKAN tidak sesuai dengan aspirasi kita. Kami juga tidak perlu mengorbankan ideologi kami. Sosialisme adalah apa yang mendorong ahli-ahli kami untuk memasak tiga hidangan harian bagi sukarelawan, memasang bendera dan mengedarkan risalah tanpa mengerti kepenatan setiap hari sepanjang kempen kami.
Meninggalkan sosialisme sama dengan menanggalkan jiwa kami. Untuk tujuan apa? Kuasa? Kuasa untuk siapa dan untuk melakukan apa? Kita tidak boleh berhenti pada takat kaedah merampas kuasa tanpa bertanya tentang kuasa itu digunakan untuk memanfaatkan siapa. Inilah sebabnya reformasi kini terencat dan kerajaan kini merayu kepada rakyat supaya menunggu perubahan yang tidak akan berlaku.
Saya meminta rakyat agar jangan bimbang tentang imej “India” kami. Setiap hari kami mendapati lebih ramai rakyat Malaysia daripada semua kaum menyertai kami. Malangnya, pandangan yang menganggap politik kelas kami sebagai tidak praktikal itu menghalang orang ramai daripada menjauhi diri daripada naratif perkauman.
Saya memohon pada para ahli akademik untuk bersikap adil dalam penilaian anda dan mengambil pandangan yang lebih jauh. Kami adalah yang paling lantang menentang diskriminasi kaum dan agama dalam politik. Apabila kami bercakap tentang politik segregasi, kami menekankan, berulang kali, bagaimana ia sebenarnya adalah wayang yang mengaburi mata rakyat supaya tidak melihat pemenang sebenar dalam sistem sekarang merupakan kelas kapitalis.
Kebimbangan bahawa PN akan mendapat kemenangan mudah dalam PRU-16 adalah berasas tetapi sudah keterlaluan. Kita harus mengenal pasti orang-orang yang menyebabkan ketakutan ini. PH, dengan “segala macam kelonggaran” mereka adalah orang-orang yang telah memberi nafas kepada naratif PN. Mereka menghidupkan semula BN, bukannya berpegang kepada politik bukan perkauman.
Dengan tiga buah parti berdasarkan kaum, dan yang terbesar itu turut merupakan pengganggu terbesar keharmonian kaum, menurut parti-parti PH sendiri dalam naratif mereka sebelum ini, bukankah ini satu percanggahan? PN adalah relevan selagi PH memberi laluan kepada BN. Kita tersekat di belakang oleh kerana cita-cita politik beberapa orang individu. Apa gunanya “menyekat” PN apabila PH sendiri sedang terjerumus ke arah politik yang sama?
PSM tidak mengikut cara ini. Kami bertumbuh dan membina kuasa ketiga yang menjauhi diri daripada naratif perkauman. Kami akan menyatukan suara rakyat dan menewaskan parti-parti arus perdana hari ini. Kami akan bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang akan membina masa depan ini bersama kami.
Raksasa politik masa kini akan terus melihat kuasa ketiga kita berkembang, mengecam kita sebagai pemecah undi di setiap peringkat, mengeluh tentang PN, sementara kita meruntuhkan pesimisme mereka satu per satu. Percayalah pada keazaman rakyat – kita mempunyai sebuah dunia untuk dimenangi.
==========
Arveent Kathirtchelvan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).