PUTRAJAYA – 19 JUN 2023: Atas ketegasan dan kegigihan 4 orang pengawal keselamatan hospital kerajaan yang berani lagi tegas dalam memperjuangkan hak mereka, akhirnya mereka berjaya dipulihkan kerja mereka selepas lebih 9 bulan diberhentikan kerja secara tidak adil. Kemenangan ini tercapai selepas 4 orang pengawal keselamatan ini, bersama-sama dengan aktivis-aktivis daripada Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), berprotes di ibu pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada hari ini.

4 orang pengawal keselamatan yang bekerja di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak, diberhentikan kerja pada bulan September 2022, hanya kerana mereka membuat aduan di Pejabat Tenaga Kerja terhadap majikan mereka yang merupakan syarikat kontraktor lantikan KKM atas masalah kegagalan membayar gaji mengikut kadar gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan dan pengiraan bayaran kerja lebih masa (OT) yang tidak betul. Mereka telah menganggur untuk selama 9 bulan sejak diberhentikan kerja.

Turut hadir bersolidariti dengan 4 orang pekerja pada hari di KKM ialah M. Sivaranjani selaku Penyelaras JPKK, R. Saratbabu selaku aktivis JPKK Perak, Rani Rasiah selaku Ahli Jawatankuasa Pusat PSM dan ramai lagi aktivis-aktivis pekerja.

4 orang orang pengawal keselamatan tersebut bertegas untuk terus berprotes di ibu pejabat KKM sehingga masalah mereka diselesaikan. Oleh sebab ketegasan untuk memperjuangkan hak pekerja inilah, mereka berjaya dipulihkan kerja.

Selepas perbincangan diadakan dengan pegawai-pegawai daripada KKM, termasuk Sivamalar Genapathy selaku Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Kesihatan, Napsiah Khamis selaku Setiausaha Politik kepada Menteri Kesihatan dan Mohd Fauzee Abd Majid selaku Setiausaha Bahagian Perolehan dan Penswastaan KKM, serta wakil daripada syarikat United Security Services Sdn Bhd yang merupakan pihak majikan mereka, wakil daripada syarikat bersetuju untuk memulihkan kerja 4 orang pekerja ini di tempat kerja yang sama, iaitu di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, mulai 1 Julai 2023.

“Keempat-empat orang pekerja yang telah dibuang kerja akan diambil balik semula pada 1 Julai 2023,” begitu katanya R. Saratbabu, aktivis JPKK Perak, semasa menyampaikan berita baik ini kepada semua orang yang hadir bersolidariti di ibu pejabat KKM pada hari ini. “Pada masa yang sama, kes mereka di Mahkamah Perusahaan akan diteruskan untuk menuntut gaji ke belakang sebanyak 9 bulan bagi pekerja-pekerja ini.”

Ini merupakan satu kemenangan yang bermakna kerana ia menunjukkan bahawa pekerja-pekerja dapat mempertahankan hak mereka hanya jika mereka berani dan tegas untuk berjuang.

**********

Maklumat lanjut tentang latar belakang isu ini boleh dibaca di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *