(grafik: Maria Paina / istockphoto.com)

(Kenyataan PSM sempena Hari Migran Antarabangsa – 18 Disember 2024)

oleh Bryan Rozells

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyeru pada Kerajaan Malaysia agar menangani penyalahgunaan kuasa dan ketirisan dalam proses migrasi buruh ke dalam negara kita. Pihak berkuasa harus mengambil tindakan yang serius untuk menangani isu penipuan dalam pengambilan pekerja.

Masalah penipuan dalam pengambilan pekerja ini telah timbul sejak penghujung tahun 2022. Ia menjadi punca kepada kesengsaraan para pekerja yang terkesan, dan kemelut mereka merupakan ketidakadilan yang berterusan. Keadaan ini menjadi lebih parah lagi dengan kegagalan pihak Kerajaan Malaysia dalam mengambil tindakan. Pihak kerajaan harus menentukan sama ada rasional di sebalik dasar migrasi buruh adalah untuk saling melengkapkan tenaga kerja tempatan, dan bukannya menjadi cara untuk kroni mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit.

Pihak berkuasa harus serius menangani masalah penipuan dalam pengambilan pekerja. Satu Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu perlu dibuat. Prosedur untuk mempercepatkan tuntutan pembelaan amat diperlukan, dan ia akan membantu para pekerja yang terperangkap dalam kancah masalah ini. Jabatan Tenaga Kerja (JTK) harus proaktif dalam turun ke lapangan dan menerima aduan daripada pekerja, memproses tuntutan gaji dan percepatkan proses. Pendekatan secara langsung ini akan mempermudahkan urusan untuk para pekerja terbabit.

Dalam satu kes yang melibatkan syarikat dalam sektor pembinaan, para pekerja dari negara Bangladesh teraniaya apabila mereka menuntut hak selepas tidak diberi tugasan kerja secara konsisten, dengan gaji yang tidak menentu. Dalam satu lagi kes, syarikat sektor pembuatan berhenti operasi, menyebabkan para pekerja yang tidak menerima gaji berbulan-bulan lamanya, dan berada dalam keadaan terumbang-ambing.

Pihak Kerajaan Malaysia masih perlu melakukan banyak perkara lagi demi memastikan hak-hak golongan pekerja migran dilindungi, terutamanya mangsa penipuan dalam pengambilan pekerja.

Untuk menangani isu ini secara holistik, Rangka Kerja Dasar Kebangsaan yang Komprehensif untuk Pekerja Migran di Malaysia telah disediakan secara bersama dengan badan-badan masyarakat sivil yang lain. Kami menggesa agar Kerajaan Malaysia membentuk sebuah dasar menyeluruh untuk menangani kekurangan dalam dasar sedia ada. Ini adalah demi kebaikan negara, serta para pekerja tempatan dan luar negara.

Kerajaan Malaysia harus memainkan peranan aktif dalam lindungi hak pekerja. Tindakan perlu diambil untuk menghentikan penindasan dan penganiayaan terhadap para pekerja. Hapuskan sistem tidak berkesan yang telah gagal. Sistem sedia ada telah menggagalkan begitu ramai insan, dan membawa kepada penindasan mereka yang terkesab. Ketidakadilan yang berlaku memangsakan manusia ini harus ditamatkan.

==========

Bryan Rozells ialah Penyelaras Meja Migran Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *