oleh Nik Aziz Afiq
Bulan November 2024 yang lalu, negeri Kelantan mencatat rekod terburuk berbanding negeri-negeri lain dalam menghadapi musibah banjir. Hampir 100 ribu orang daripada hampir 30 ribu keluarga terjejas di negeri ini. Anggaran awal yang dibuat menunjukkan Kelantan alami kerugian RM30 juta akibat banjir yang melanda.
Simpati dengan kejadian yang berlaku, kami di Parti Sosialis Malaysia (PSM) berasa terpanggil untuk menghulurkan bantuan. Meskipun berdepan jadual padat dengan perancangan beberapa program besar yang diatur lebih awal, seperti Konferens Sosialisme 2024 dan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan PSM di Kedah, sebuah seruan mobilasi dilaungkan untuk membentuk pasukan bagi misi bantuan pasca banjir ke Kelantan.
Jujurnya, saya tidak mengharapkan sesiapa akan bersedia terlibat apabila maklumat mencari aktivis yang mahu menyertai misi ini mula tersebar. Tetapi dalam masa begitu singkat, saya mula terima mesej masuk seorang demi seorang menyatakan minat dan kesediaan. Namun, kami berdepan dengan masalah masa dan tarikh, ramai yang tidak dapat mengambil cuti dan bersedia hanya hujung minggu. Juga bertembung dengan protes solidariti untuk Palestin yang telah kami rancangkan lebih awal menyebabkan jumlah penyertaan untuk misi ini semakin kecil.
Akhirnya, pasukan kami hanya dapat dibentuk oleh 3 orang sahaja dari Kuala Lumpur/Selangor. 4 orang lagi aktivis PSM Kelantan menyatakan kesediaan menanti kami di sana, ditambah 4 orang lagi aktivis daripada NGO “R – Royalti”. Walaupun jumlah kecil, semangat daripada aktivis muda dan baharu telah menguatkan saya. Kami bertolak dari Ibu Pejabat PSM di Brickfields sekitar jam 10 pagi pada hari Khamis 12 Disember 2024.
Sekitar jam 7 petang kami sampai di tempat operasi, iaitu rumah Kak Puja, penggerak NGO R di Nilam Puri, Kota Bharu. Perbincangan ringkas dibuat, kami putuskan misi ini akan berjalan dalam dua bentuk, iaitu bantuan khidmat pembersihan dan edaran bubur nasi. Kami terus bergegas mendapatkan barangan penting seperti penyembur air (water jet) dan kelengkapan pembersihan. Pada sekitar jam 10 malam lebih, kami tumpang berehat di kedai milik Khamis dan Zafirah di Wakaf Che Yeh. Khamis adalah aktivis Royalti yang sentiasa sudi menyediakan segala kemudahan termasuk dalam misi-misi sebelum ini. Beliau, isteri dan pekerja mereka sentiasa dalam keadaan sedia membantu apa sahaja yang kami perlukan, membuatkan segalanya begitu mudah dan lancar.
Pada hari Jumaat 13 Disember 2024, walaupun kami berjanji untuk bertemu di pusat operasi jam 8 pagi, aktivis PSM Kelantan, Komrad Borhan telah tiba lebih awal. Sesudah sarapan dan semua telah hadir, kami bertolak menuju ke Tumpat. Saya ucapkan terima kasih kepada pasukan Khidmat Malaysia dan Mesra Kelantan kerana dua pertubuhan ini yang banyak berkongsi data dan maklumat di mana rumah kami perlu pergi. Bank data seperti ini sangat berharga kerana begitu banyak bantuan masuk dan tanpa koordinasi, maka bantuan tidak akan menyeluruh serta akan ada kawasan yang tercicir.
Kami sampai di Kampung Teluk Jering, Tumpat. Suasana kampung buat kami terdiam. Begitu banyak longgokan sampah daripada perabot-perabot yang musnah akibat banjir di depan hampir setiap rumah di sini. Kami bergegas pecahkan kumpulan kepada dua. Satu kumpulan fokus kepada edaran bubur nasi. Satu kumpulan terus membantu mengangkat bahan rosak dari sebuah rumah berdekatan ke tempat buangan.
Pasukan pembersihan kemudian bertemu dengan Penghulu kampung, meminta maklumat rumah yang memerlukan bantuan. Penghulu telah membawa kami ke sebuah rumah yang didiami sepasang warga emas. Kami tercengang lagi, kelihatan begitu banyak barang lusuh yang perlu dilupuskan ada sekitar rumah. Pemilik rumah dalam nada sedih memberitahu beliau langsung tidak terdaya untuk membersihkan rumahnya. Beliau menghidap penyakit jantung menyebabkan tenaganya terbatas dan tidak mampu mengangkat barangan berat.
Setelah mendapat keizinan, kami mula masuk ke dalam rumah dan memulakan operasi di ruangan dapur. Ruangan dapur biasanya menjadi tempat paling kritikal kerana ada banyak bahan makanan yang telah rosak. Selesai kawasan dapur, waktu menunjukkan kami perlu berhenti seketika untuk menunaikan solat Jumaat di masjid berdekatan.
Kami diberitahu solat Jumaat di situ telah tertangguh selama dua minggu kerana banjir. Sesudah selesai solat Jumaat, kami begitu gembira melihat beberapa kumpulan bantuan daripada pelbagai persatuan juga tiba di kampung sama. Kelihatan ada pasukan Khidmat Malaysia bersama anggota PAS dari kawasan DUN Tanjong Mas. Juga kami diberitahu ada persatuan penunda kenderaan yang mengiklankan khidmat percuma menunda kereta orang kampung yang terjejas disebabkan banjir ke bengkel-bengkel berdekatan.
Walaupun kami saling tidak kenal, bahkan daripada parti yang begitu berbeza, atas nama bantuan kemanusiaan, kami ketepikan segala perbezaan dan fokus kepada membantu mangsa.
Kami selesaikan kerja pembersihan di beberapa ruangan luar dan sebahagian lagi kerja pembersihan kami serahkan kepada pasukan lain untuk diteruskan.
Berlaku adegan menakutkan ketika kami memunggah timbunan sampah untuk dialihkan apabila seorang aktivis menjerit kerana terperasan ada ular dalam timbunan tersebut. Kami terus berjaga-jaga dan meneruskan operasi sehingga masalah ular ini dapat diselesaikan. Sememangnya kami semua sudah maklum bahawa ini antara risiko yang perlu kami hadapi. Haiwan berbisa, penyakit bawaan air dan sebagainya adalah kebiasaan untuk misi pasca banjir.
Kami jangkakan kami akan dapat membantu mencuci beberapa rumah dalam sehari, ternyata kapasiti kami yang kecil membuatkan semua aktivis begitu kepenatan. Kami tinggalkan kampung ini dengan hati berat.
Pada hari Sabtu 14 Disember 2024, kami sekali lagi menuju ke Tumpat berdasarkan lokasi yang dikongsikan kepada kami. Oleh kerana hari ini pasukan kami semakin mengecil, maka kami fokuskan kepada pengagihan bubur nasi terlebih dahulu kemudian baru operasi mencuci. Seperti hari sebelumnya, penduduk di Taman Dalam Rhu begitu terharu menerima bubur nasi. Mereka saling panggil memanggil jiran tetangga, menggunakan kumpulan Whatsapp kejiranan yang menyebabkan ramai orang berpusu-pusu hadir.
Kebanyakan mereka sedang sibuk mencuci rumah masing-masing. Dengan adanya bubur nasi ini, sekalipun sederhana, telah dapat membantu mereka supaya kekal bertenaga dan tidak perlu memasak untuk satu waktu makan. Sedikit sebanyak beban mereka dapat dikurangkan.
Tetapi kami tidak menjangka ketika kami bersedia untuk mulakan operasi mencuci rumah, kami difahamkan ada masalah bekalan air telah berlaku. Kami meminta maaf berkali-kali kerana tidak dapat membantu, tetapi tuan rumah yang juga warga emas berkali-kali juga mengatakan terima kasih atas kehadiran kami walaupun kami sebenarnya tidak membantu apa-apa.
Kami pusing kawasan sekitar dan dapati masalah sama juga dihadapi penduduk lain. Dalam hujan lebat, kami akhiri misi hari kedua lebih awal dengan rasa kecewa. Kecewa tidak dapat lebih membantu.
Hari Ahad 15 Disember 2024 adalah hari terakhir misi ini mengikut perancangan. Aktivis dari Kuala Lumpur dan Selangor perlu pulang pada hari ini. Sesudah sarapan, kami putuskan untuk meninjau Daerah Pasir Mas dan Rantau Panjang, kerana banjir terburuk berlaku di sini. Kami juga telah kehabisan data rumah yang memerlukan bantuan pembersihan kerana begitu banyak NGO dan pasukan dari dalam dan dari luar Kelantan, termasuk daripada persatuan-persatuan mahasiswa, telah tiba dan menawarkan bantuan.
Suasana sayu sepanjang tinjauan kami, ada tempat kenderaan rosak ditinggalkan di tepi jalan. Ada tempat motosikal rosak dihimpun bersama. Ada rumah atapnya runtuh. Rata-rata semua cuba menjemur tilam dan bantal meskipun hujan masih turun.
Saya telah dapat menghubungi Haji Rushdan, seorang pimpinan daripada Parti Amanah di Kelantan. Beliau adalah koordinator kepada pasukan saya dalam misi banjir 10 tahun lalu. Ternyata beliau masih aktif dan sedang sibuk di lokasi bantuan di Bakong, Pasir Mas. Kami melawat beliau dan rakan-rakannya, kami dapati keadaan di situ seperti diberitahu begitu kritikal.
Kami berpatah balik ke Kota Bharu, buat persiapan untuk pulang dan putuskan baki duit sumbangan daripada Tabung Bencana PSM kami mahu belanjakan dengan membeli alas tidur buat penduduk di Bakong. Jujurnya wang tidak begitu banyak untuk tampung semua keperluan, tetapi apa yang ada kami gunakan dan beli setakat termampu.
Kami berjaya dapatkan 40 keping alas tidur dengan kualiti sederhana. Sukar juga ketika mahu memilih antara kualiti dan kuantiti, akhirnya kami memilih kuantiti agar lebih ramai dapat merasai bantuan ini.
SKami begitu terharu kerana pemilik kedai ini telah berikan diskaun cukup banyak. Ketika kami sedang memuatkan alas tidur tiba-tiba pemilik kedai meletakkan bersama dua guni besar bantal berjumlah 50 unit. Katanya beliau mahu menyumbang juga.
“Saya tak boleh tinggalkan kedai, paling tidak inilah yang saya mampu buat untuk turut menyumbang, iaitu dengan tumpang kebaikan awak semua,” begitu katanya.
Menjelang waktu petang, kami sampai ke Bakong. Oerasi edaran alas tidur terus dilakukan dengan orang tempatan menjadi juru arah. Sekali lagi kami terkilan, 40 unit alas tidur dan 50 unit bantal habis dalam masa begitu sekejap. Saya terpaksa angkat tangan memanggil juru arah ketika dia mahu bawa kami ke rumah yang lain sambil membuat isyarat “habis”. Itulah tanda isyarat paling sedih pernah saya buat. Muka kami semua hampa, tetapi kami perlu menerima realiti.
Sekali lagi, kami bersedih kerana dengan tamatnya operasi ini, maka kami juga perlu bertolak balik. Di Bakong, kami berpisah dengan arah tuju berlainan. Pasukan KL-Selangor sampai ke Kuala Lumpur pada sekitar jam 4.30 pagi keesokannya.
Saya ingin zahirkan penghargaan tidak terhingga kepada nama-nama berikut:
Sivaranjani, Setiausaha Agung PSM;
Soh Sook Hwa, Bendahari Kehormat PSM.
Mereka berdua yang memberikan kepercayaan dan bantuan dari awal bagi menjayakan misi ini.
Bryan, Setiausaha PSM Cawangan Subang;
Onysha, ahli PSM Unit Puchong.
Mereka berdua bersama saya dari Kuala Lumpur dan alami semuanya. Walaupun kepenatan, kesusahan dan tidak selesa, mereka tidak merungut dan sentiasa bersedia menerima segala tugasan.
Aduka Taruna, Borhan, Faisal dan Bob.
Mereka berempat adalah aktivis PSM di Kelantan. Mereka memberikan komitmen sepenuh hati, meninggalkan pekerjaan dan perniagaan mereka walaupun mereka sendiri adalah mangsa banjir yang terkesan dari sudut kewangan, tetapi mendahulukan bakti kepada masyarakat.
Kak Pujaa, Zul Rambo, Suriati, Khamis, Khairil Amin.
Mereka adalah aktivis NGO Royalti yang menjadi faktor terkuat misi ini dapat berlangsung.
Khidmat Malaysia, Mesra Kelantan, PAS Kelantan, Amanah Kelantan, PKR Kelantan.
Mereka yang menjadi penghubung utama kami kepada kawasan yang memerlukan.
Socks Empire dan ZK Tailor di Wakaf Che Yeh
Yang telah menyediakan pengangkutan dan penginapan secara percuma.
MFMF Global Trading di Tunjong.
Merekalah yang saya ceritakan menjadi asbab operasi hari ketiga kami berjalan lancar.
Juga kepada semua penyumbang dan yang telah membantu menjayakan misi ini.
Kita tidak akan dinilai berdasarkan hasil yang diperolehi. Tetapi kita akan dinilai berdasarkan apa yang kita usahakan.
Walau kecil, sedikit, kekurangan, teruslah kita bergerak menabur bakti kepada umat.
==========
Nik Aziz Afiq Bin Abdul ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Assalamualaikum tuan, saya Pn Roziana selaku pengarah program CSR Syarikat Hijrah Water Sdn Bhd. Pihak kami merancang untuk membuat program pasca banjir kelantan iaitu bantuan utama kami adalah pembersihan rumah mangsa banjir, planning kami mungkin pada minggu hadapan. Cuma sekarang pihak kami masih tidak dapat maklumat penuh kawasan yang kami boleh turun untuk datang bagi bantuan. Sekiranya tuan sudi, boleh saya dapatkan maklumat kawasana atau PIC yang boleh kami hubungi untuk berhubung. Saya awali dengan ucapan ribuan terima kasih tuan ☺️