oleh S. Arutchelvan
Dengan sukacitanya kami ingin mengumumkan bahawa Subramaniam A/L Letchimanan, seorang bekas pengawal keselamatan yang menuntut pampasan atas pemberhentian kerja yang tidak adil terhadap majikannya pada masa itu, Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) di Malaysia, di Mahkamah Perusahaan, telah menghentikan rayuannya di Mahkamah Rayuan berikutan satu penyelesaian di luar mahkamah telah dicapai oleh kedua-dua pihak yang berkenaan. Sebagai sebahagian daripada penyelesaian ini, satu jumlah wang yang adil dibayar kepada Subramaniam atas dasar “tanpa pengakuan liabiliti”, maka menandakan penyelesaian penuh dan muktamad bagi perkara ini.
Parti Sosialis Malaysia (PSM) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan guaman, penyokong-penyokong dan mereka yang bersolidariti bersama Subramaniam sepanjang perjuangan yang penuh cabaran dan berpanjangan ini. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada YB M. Kulasegaran yang merujuk perkara ini kepada Mahkamah Perusahaan pada tahun 2019 semasa beliau menjadi Menteri Sumber Manusia. Pasukan guaman, yang diterajui oleh Peguam Ragunath Kesavan dan Tai Yong Fung, telah melakukan kerja yang cemerlang sepanjang kes ini dari peringkat Mahkamah Perusahaan hingga Mahkamah Persekutuan. Dedikasi dan komitmen mereka bertahun-tahun ini adalah penting dalam kes ini.
Seluruh kes ini dibela oleh pasukan peguam secara pro bono, dari Mahkamah Perusahaan ke Mahkamah Tinggi dan sehinggalah Mahkamah Persekutuan, sebelum Mahkamah Perusahaan memberikan keputusan yang berpihak pada Subramaniam. Malangnya, dalam permohonan semakan kehakiman selepas itu, Mahkamah Tinggi telah melanggar semua logik dan seolah-olah telah menolak keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu yang memutuskan bahawa tiada kekebalan menyeluruh untuk kedutaan negara asing.
Usaha Subramaniam menuntut keadilan yang mengambil masa selama 16 tahun ini bermula selepas dia diberhentikan kerja secara tidak sah pada 4 April 2008. Bersama-sama dengan PSM, beliau menempuh perjalanan yang panjang untuk menuntut keadilan, dengan melawan kerajaan Amerika Syarikat (AS). Ini merupakan sebuah kes yang sukar memandangkan siapa yang ditentang oleh Subramaniam. Namun begitu, perjuangan ini mewujudkan duluan yang baharu dan memberi dan memberi harapan kepada banyak pekerja di kedutaan-kedutaan negara asing.
Kes ini mewujudkan beberapa duluan yang penting dalam sejarah undang-undang negara kita, kerana Mahkamah Persekutuan memutuskan pada 20 Jun 2022 bahawa tiadanya kekebalan multlak untuk kedutaan negara asing, dan Mahkamah Perusahaan sebenarnya merupakan forum yang sesuai dan wajar untuk menentukan persoalan tentang doktrin kekebalan kedaulatan yang menyekat. Keputusan ini bermakna bahawa kedutaan-kedutaan yang sebelum ini memecat pekerja-pekerja mereka secara sewenang-wenangnya atau secara terus sambil bersembunyi di sebalik doktrin kekebalan kedaulatan, kini tidak akan dapat berbuat demikian.
Satu lagi perkembangan yang penting daripada ini ialah Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023 pada 1 April 2024. Rang undang-undang ini bertujuan untuk mengawal selia kekebalan yang diberikan kepada negara-negara asing, serta harta-harta mereka, ketua-ketua negara dan pemimpin-pemimpin kerajaan, daripada bidang kuasa mahkamah di Malaysia. Rang undang-undang yang dipinda ini mengetepikan pekerjaan, dan kedutaan-kedutaan negara asing di Malaysia tidak boleh lagi menggunakan alasan kekebalan dalam urusan berkaitan pekerjaan.
Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia atas pindaan undang-undang yang sangat penting ini yang akan memastikan situasi yang serupa dengan apa yang dihadapi oleh Subramaniam itu tidak akan timbul lagi.
Dengan ini, kami menyimpulkan perjuangan yang berpanjangan ini. Perjuangan ini berpanjangan tetapi ia adalah berbaloi. Bak kata pepatah, “berani berjuang, berani menang”.
==========
S.Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).
==========
Kronologi kes Subramaniam lawan kerajaan AS
Tarikh | Peristiwa |
20 September 1998 | Subramaniam mula bekerja di Kedutaan AS di Kuala Lumpur sebagai pengawal keselamatan yang dibayar gaji bulanan |
1998-2008 | Subramaniam tidak pernah terlibat dalam apa-apa isu disiplin di tempat kerja atau menerima apa-apa surat amaran, |
04 April 2008 | Subramaniam menerima panggilan telefon pada jam kira-kira 7 pm daripada En. Darshan, pembantu komander syif yang merupakan penyelia kepadanya, yang memberitahu bahawa dia dipecat dan diminta untuk memulangkan semua peralatan yang dimiliki oleh majikan. |
07 April 2008 | Subramaniam pergi bekerja seperti biasa, tetapi diberitahu oleh En. Segaran, Pembantu Komander Syif, bahawa dia perlu memulangkan semua peralatannya dan pergi berjumpa dengan En. Yow selaku Pembantu Pengurus Pentadbiran. En. Yow memberitahu padanya bahawa perkhidmatannya telah diberhentikan serta-merta tanpa sebarang notis awal dan Pegawai Keselamatan Wilayah (RSO) mengambil kad pengenalannya. |
08 April 2008 | Subramaniam menulis sepucuk surat penjelasan kepada majikannya untuk meminta pada pihak pengurusan supaya menerangkan sebab dia dipecat tanpa sebarang alasan dan notis. |
17 Mei 2008 | Subramaniam membuat aduan polis di Balai Polis Pudu (No. Repot: PUDU/002999/08) terhadap majikannya kerana memecatnya daripada kerja tanpa sebarang alasan dan menahan gaji sebulannya. |
23 Mei 2008 | Subramaniam menulis surat aduan kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan Kuala Lumpur mengenai kes pemecatannya. |
11 Jun 2008 | Subramaniam menerima surat daripada Jabatan Perhubungan Perusahaan Kuala Kumpur yang menyatakan bahawa kesnya tidak boleh dikendalikan oleh mereka, dan telah dirujuk kepada Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan di Putrajaya. |
12 November 2008 | Selepas menunggu hampir 5 bulan tanpa respon daripada Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia di Putrajaya, Subramaniam menulis surat kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia di Putrajaya untuk meminta supaya kesnya diselesaikan segera kerana dia menganggur. |
07 Oktober 2010 | Subramaniam menulis surat kepada Menteri Sumber Manusia pada masa itu Dr. Subramaniam Sathasivam untuk meminta campur tangan langsung daripadanya dalam kes ini dan merujuk kes di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan. |
30 Disember 2010 | Subramaniam menelefon kepada Kementerian Sumber Manusia dan bercakap dengan setiausaha kepada Menteri untuk menerangkan tentang kesnya. |
1 Mac 2011 | Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia di Putrajaya menulis surat kepada Ketua Protokol dan Konsular Kementerian Luar Negeri Malaysia dan meminta padanya untuk memberi perhatian kepada aduan Subramaniam. |
28 Julai 2012 | Selepas menunggu selama 16 bulan, Subramaniam menulis sekali kepada Ketua Protokol dan Konsular Kementerian Luar Negeri dan membuat kira-kira 10 panggilan telefon kepada pegawai-pegawai di Pejabat Protokol dan Konsular Wisma Putra. |
30 Julai 2013 | Subramaniam menulis lagi kepada Pejabat Protokol dan Konsular Kementerian Luar Negeri dan membuat panggilan telefon. |
24 September 2013 | Subramaniam membuat aduan di Biro Pengaduan Awam terhadap Ketua Protokol dan Konsular Kementerian Luar Negeri dan Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan atas kegagalan mereka mengambil tindakan tentang aduannya. |
23 Januari 2014 | Selepas aduan telah dirujuk kepada Biro Pengaduan Awam, En. Istaq Nadzril Abd, seorang pegawai daripada Jabatan Protokol dan Konsular Kementerian Luar Negeri memanggil dan mengaturkan satu pertemuan dengan wakil Kedutaan AS. Dalam pertemuan itu, wakil AS berkata bahawa semua dokumen telah dihantar kepada Washington. |
25 Ogos 2014 | En.Istaq Nadzril Abd memberitahu Subramaniam bahawa mereka tidak boleh mencampur tangan lebih lanjut lagi dan meminta Subramaniam untuk berurusan secara langsung dengan Kedutaan AS. |
27 Oktober 2014 | Subramaniam bersama dengan Arutchelvan daripada PSM bertemu dengan wakil AS di Kedutaan AS. Mereka berjumpa dengan J. Kent Stiegler selaku Konsular untuk Hal Ehwal Pengurusan dan Jared P. Webber Pejabat Sumber Manusia. Mereka berkata bahawa semua yang dilakukan adalah bersesuaian dengan pemecatan walaupun tiadanya surat tunjuk sebab, tiadanya siasatan dalaman dan sebagainya. |
12 Julai 2018 | Kulasekaran, Menteri Sumber Manusia pada masa itu, akhirnya merujuk perkara ini kepada Mahkamah Perusahaan mengikut Seksyen 20(3) Akta Perhubungan Perusahaan 1967. |
28 September 2018 | Satu rundingan damai diadakan antara Subramaniam dan kerajaan AS diadakan di Jabatan Perhubungan Perusahaan Kuala Lumpur tetapi gagal mencapai penyelesaian. A conciliation meeting was held between Subramaniam and the USA at the KL Industrail Court but failed to reach settlement |
22 April 2019 | Menteri Sumber Manusia merujukkan representasi Subramaniam kepada Mahkamah Perusahaan untuk penghakiman. |
24 Mei 2019 | Kes didengar di hadapan Yang Arif Tuan Gulam Muhiaddeen di Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur. |
25 Julai 2019 | Kerajaan AS memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk kebenaran semakan kehakiman mengenai asas bahawa kerajaan AS mempunyai kekebalan. |
8 Januari 2020 | Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa kerajaan AS mempunyai kekebalan dan rujukan Menteri dengan kos. |
14 Januari 2020 | Mahkamah Perusahaan membatalkan kes ini. |
29 Januari 2020 | Subramaniam memfailkan kes di Mahkamah Rayuan. |
3 Februari 2021 | Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa persoalan mengenai kekebalan hanya boleh ditentukan oleh Mahkamah Perusahaan selepas mempertimbangkan sifat pekerjaan seorang pekerja. |
20 Jun 2022 | Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan dan kes diarahkan untuk didengar di Mahkamah Perusahaan. |
9 Feburari 2023 | Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur menolak permohonan daripada Kedutaan AS untuk menangguhkan kes ini. Kes ini dijadulkan untuk dibicarakan pada 16 Februari 2023. |
16 Februari 2023 | Mahkamah Perushaan membicarakan kes ini. |
27 April 2023 | Pengerusi Mahkamah Perusahaan, Yang Arif Amrik Singh, menyimpulkan dalam keputusan sepanjang 62 muka surat bahawa kekebalan kedaulatan tidak dipanjangkan ke dalam kes ini dan kemudiannya memutuskan bahawa pemberhentian kerja Subramaniam adalah tanpa sebab atau alasan yang adil dan memerintahkan Kedutaan AS untuk membayar kepada Subramaniam selaku penuntut sejumlah RM66,000 dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan. |
9 Ogos 2023 | Kerajaan AS memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap keputusan yang diberikan oleh Mahkamah Perusahaan. |
3 Oktober 2023 | Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Yang Arif Amarjeet Singh memberikan kebenaran kepada Kedutaan AS untuk semakan hakim yang membatalkan award RM66,000 kepada seorang pengawal keselamatan yang diberhentikan kerja 15 tahun yang lalu. |
16 Januari 2024 | Permohonan semakan kehakiman didengar di hadapan Hakim Amarjeet Singh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di mana Hakim menanggungkan keputusannya. |
1 April 2024 | Hakim Mahkamah Tinggi Amarjeet Singh membenarkan permohonan semakan kehakiman yang dibawa oleh kerajaan AS dan membatalkan keputusan Mahkamah Perusahaan yang memberikan pampasan RM66,000 kepada seorang pengawal keselamatan Kedutaan AS yang diberhentikan kerja lebih 15 tahun lalu. Subramaniam memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan berkenaan keputusan Mahkamah Tinggi ini. |
2 April 2014 | Menteri Sumber Manusia semasa, Steven Sim, berkata bahawa dia akan membawa isu keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan Mahkamah Perusahaan ini dalam Kabinet. |
1 Julai 2024 | Sebutan untuk pengurusan kes di Mahkamah Rayuan. Hakim Mahkamah Tinggi masih belum menyiapkan alasan penghakimannya. |
1 November 2024 | Surat ikatan penyelesaian antara kerajaan AS dan Subramaniam ditandatangani untuk menyelesaikan pertikaian antara dua pihak ini sepenuhnya. |
14 November 2024 | Wang penyelesaian daripada kerajaan AS diterima dan peguam Subramaniam memfailkan notis untuk memberhentikan rayuan di Mahkamah Rayuan. |
5 Disember 2024 | Perjumpaan di pejabat peguam untuk menyerahkan cek kepada Subramaniam. |