oleh S. Arutchelvan
Banyak tahun yang lalu, saya memakai sehelai kemeja-T dengan gambar Che Guevara semasa menyertai sebuah perhimpunan berdekatan Bangunan Parlimen. Seorang pegawai polis Cawangan Khas menghampiri saya dan bertanya pada saya potret siapa itu kerana dia sudah banyak kali melihatnya. Saya memberitahu padanya, orang itu seorang pelakon. Pegawai polis itu terus berkata, “Patutlah seperti kenal sahaja, kerana boleh nampak gambarnya dalam perlawanan bola sepak dan teater.” Ya, poster Che Guevara dipaparkan di dalam pawagam untuk filem “The Motorcycle Diaries”. Selama ini, Che sudah menjadi simbol kepada pembebasan dan penentangan. Beliau dibunuh di Bolivia di bawah arahan Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat.
Selepas mendengar berita tentang pengurus sebuah restoran ditangkap kerana menggunakan peralatan hidangan makanan dan minimum yang memaparkan gambar Mao Zedong, bekas pemimpin Parti Komunis China, saya terkejut kerana saya pernah dibiarkan begitu sahaja walaupun memakai kemeja-T dengan gambar seorang lagi pemimpin berhaluan kiri. Saya pasti pihak polis akan sibuk mencari tentang Che Guevara dalam Google selepas membaca tulisan ini.
Sebenarnya, Perdana Menteri kedua negara kita, Allahyarham Tun Abdul Razak, pernah bertemu dengan Mao Zedong pada tahun 1974, dan poster yang memaparkan pertemuan mereka itu digunakan secara meluas oleh Barisan Nasional yang baharu dibentuk semasa Pilihan Raya Umum 1974 untuk meraih sokongan undi daripada masyarakat Cina di Malaysia selepas Parti Perikatan kehilangan kerusi majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum 1969.
Adalah dilaporkan bahawa semasa serbuan di Klang, pihak polis telah merampas lima buah mangkuk seramik putih yang tercatit tulisan Bahasa Cina dan gambar muka bekas pemimpin Parti Komunis China, Mao Zedong, bersama rakan-rakannya. Ini berlaku selepas hampir dua minggu yang lalu Kerajaan kalah dalam kes mahkamah berkenaan rampasan 172 buah jam tangan Swatch dari kedai-kedai di 11 buah pasar raya pada bulan Mei 2023, dengan pertuduhan pada masa itu adalah ia mempromosi LGBTQ. Kira-kira dua minggu yang lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintah bahawa Menteri Dalam Negeri harus memulangkan 172 buah jam tangan bertemakan pelangi selepas mendapati perampasan itu adalah tidak sah di sisi undang-undang.
Tidakkah pihak berkuasa sedar bahawa cara terbaik untuk orang mempelajari tentang sebuah ideologi adalah melalui internet dan media sosial? Sekarang ini dengan mempromosi Mao melalui serbuan ke atas sebuah restoran, saya pasti ramai orang muda yang tidak pernah dengar tentangnya akan mencari di Google dan mengetahuinya.
Begitu juga pada tahun 2011, pihak polis berkata bahawa 31 orang aktivis PSM yang ditahan pada masa itu berniat “hendak melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong” dan “cuba menghidupkan semula fahaman komunis” di dalam negara ini. Pada masa itu, pihak polis merampas kemeja-T yang dicetak dengan gambar Rashid Maidin dan Suriani Abdullah, semuanya dikaitkan dengan Parti Komunis Malaya (PKM). Namun, sebab utama penahanan pada masa itu ialah PSM sedang menjalankan kempen jelajah “Udahlah tu, Bersaralah BN” yang bermula pada 24 Jun 2011 sebagai sebahagian daripada usaha membina momentum untuk perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011.
Namun, semua anggota PSM yang ditahan itu dibebaskan kemudian. 6 orang pemimpin PSM ditangkap kemudiannya di bawah Ordinan Darurat (EO) atas pertuduhan bahawa mereka ialah “penggerak” BERSIH 2.0, dan bukannya apa-apa yang berkenaan fahaman komunis. Tiada satu perkataan pun tentang komunisme, sosialisme atau Chin Peng yang muncul dalam 37 buah afidavit daripada pihak kerajaan yang dikemukakan sebagai balasan untuk permohonan habeas corpus bagi tahanan EO.
Baik untuk PSM, selepas semua tahanan EO dibebaskan tanpa syarat, kami memfailkan saman sivil terhadap 82 orang individu atas penangkapan yang salah dan pemenjaraan tidak wajar terhadap EO6, dan kami dibayar sebanyak RM201,000 sebagai ganti rugi kepada 6 orang tahanan EO dalam satu penghakiman persetujuan di mahkamah pada tahun 2013.
Jadi, saya percaya bahawa satu-satunya pengajaran yang diperolehi daripada ini ialah, pemilik kedai itu boleh memfailkan saman sivil terhadap pihak berkuasa dan mungkin boleh menjadi lebih kaya. Pihak Pendakwa Raya hanya boleh mendakwa mereka dengan pertuduhan yang lain daripada mempromosi komunisme, sementara ia akan memberi publisiti yang baik kepada mereka yang tidak mengenali Mao. Dan ya, memang lebih banyak wang pembayar cukai dan sumber polis akan dibazirkan!
==========
S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).