(foto: Ali Jadallah / Anadolu Agency)

oleh Arveent Kathirtchelvan

Serangan Israel yang terkini terhadap Rafah mestilah menjadi sebab terakhir yang diperlukan untuk mengambil tindakan yang paling serius terhadap Israel dan rakan-rakan sekutunya. Serangan ini pada 27 Mei lepas menyebabkan satu kebakaran besar di kawasan perkhemahan untuk rakyat Palestin yang terpaksa berteduh di sana akibat serangan Israel sebelum ini terhadap tempat tinggal mereka. Kebakaran ini menyebabkan kematian 45 orang termasuk wanita dan kanak-kanak. Gambar mayat yang rentung sampai tidak dapat dikenal bersama anggota-anggota badan yang terpisah berselerak di merata tempat sedang menular sekarang di media sosial.

Kini, Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel, menyatakan bahawa dia kesal akan kematian orang tidak bersalah dalam serangan yang dikatakan tidak sengaja ini. Sebenarnya, sejak beberapa bulan lalu ini, Israel telah pun mengebom kawasan Gaza secara strategik untuk mengusir penduduk-penduduk di situ ke kawasan Rafah yang dikatakan selamat. Akan tetapi, Israel masih mengebom kawasan ini, memungkiri janjinya dan membunuh ramai orang Palestin.

Ini adalah satu genosid, iaitu penghapusan kaum terhadap orang Palestin untuk memastikan kewujudan Israel tidak dipertikaikan. Genosid ini sudah berlaku selama lebih 70 tahun sejak Hari Nakba dan hanya semangat pejuang Palestin yang menjadi benteng pertahanan melawannya. Hari ini, semangat ini masih tidak pudar tetapi semakin hari nyawa mereka diragut secara ganas.

Negara-negara sedunia yang tidak bersekutu dengan Israel kini mengambil langkah-langkah drastik untuk membendungnya. Ireland, Sepanyol dan Norway telah mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara. Brazil telah memanggil balik dutanya di Israel. Parlimen Jordan mengundi untuk mengusir keluar duta Israel di Amman. Malaysia pula?

Ya, Malaysia tiada hubungan diplomatik dengan Israel, tetapi Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri kita pula berurusan dengan pembekal senjata kepada Israel seperti BAE Systems dan Lockheed Martin. Menteri Pertahanan kita pula berkata bahawa Malaysia adalah negara perdagangan bebas yang tidak mencampur tangan dalam urusan syarikat global. Ini menjadi justifikasi penglibatan syarikat-syarikat ini dalam pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia dan Perkhidmatan Keselamatan Kebangsaan (DSA-NATSEC) 2024 yang diadakan di Malaysia baru-baru ini.

Rakyat Malaysia yang berprotes di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat untuk membantah sokongannya terhadap genosid ini pula ditahan dan dipanggil oleh polis untuk diambil keterangan semacam mereka bersalah melanggar undang-undang. Syarikat-syarikat yang patutnya diboikot seperti Intel dan BlackRock pula menjadi rakan pelaburan penting yang digalakkan oleh Kerajaan Malaysia. Akan tetapi, retorik pro-Palestin bergema setiap kali Anwar Ibrahim memegang mikrofon. Inilah dipanggil hipokrit.

Jikalau kita sebuah masyarakat yang memang prihatin terhadap keadaan semasa rakyat Palestin dan bukannya hanya bercakap kosong untuk mendapatkan sokongan politik orang ramai, patutlah kita secara serius mengambil langkah-langkah yang drastik untuk membendung penularan pengaruh Israel juga. Saya sarankan Kerajaan Malaysia mengambil langkah-langkah di bawah:

  1. Menghantar balik Duta Amerika Syarikat di Malaysia sehingga Amerika Syarikat tidak lagi menyokong Israel dengan pembekalan senjata, penyaluran dana serta sokongan di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dengan kuasa vetonya. Amerika Syarikat adalah dalang utama dalam kebanyakan pergolakan di dunia ini yang diwujudkan untuk memaksimumkan keuntungannya semata-mata. Seluruh dunia harus membebaskan diri daripada hegemoni Amerika Syarikat dan bekerjasama untuk menentang kekuasaannya supaya negara-negara lain, terutamanya negara Dunia Ketiga, tidak dianiaya.
  2. Menghentikan serta-merta segala hubungan dengan pembekal senjata kepada Israel dan menyokong boikot bersasar terhadap syarikat yang menyokong Israel mengikut senarai BDS Malaysia.
  3. Menyalurkan bantuan kemanusiaan serta dana yang lebih banyak kepada Palestin.
  4. Bersedia menerima pelarian Palestin secara sementara sehingga konflik ini selesai.
  5. Memberi hak bekerja kepada semua pelarian di Malaysia supaya mereka dapat menampung hidup mereka di sini dan tidak bergantung semata-mata pada jasa baik NGO-NGO atau dianiayai majikan yang menggaji mereka secara haram.
  6. Meluluskan Akta Anti-Diskriminasi yang memelihara hak pelarian serta memastikan mereka tidak dianiayai oleh mana-mana pihak semasa di Malaysia.
  7. Segera mencari jalan untuk berputus dari segi ekonomi dengan Israel, Amerika Syarikat serta sekutunya supaya kedaulatan Malaysia dan kebebasan negara kita menyokong mana-mana pihak terjamin.

Cabaran kepada Kerajaan Malaysia adalah begini: Adakah anda masih ingin mempergunakan isu Palestin ini sambil mengumpul dosa atau sudah sampaikah masa untuk sokongan kita ini menjadi serius?

==========

Arveent Kathirtchelvan ialah Penyelaras PSM Gombak. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *