(Grafik: Nidal El-Khairy)

15 Mei ialah Hari Nakba. Nakba bermaksud kehancuran ataupun malapetaka. Hari Nakba ialah hari untuk memperingati sejarah pedih rakyat Palestin yang diusir keluar dari kampung halaman mereka oleh Kerajaan Zionis Israel pada tahun 1948. Hari ini juga memberi peringatan kepada rakyat sedunia bahawa perjuangan rakyat Palestin untuk pembebasan masih belum selesai, lebih-lebih lagi rakyat Palestin masih menghadapi penindasan dan serangan keganasan tentera daripada kerajaan zionis Israel pada ketika ini.

Pada 14 Mei 1948, negara Israel ditubuhkan. Namun, penubuhan negara Israel yang didorong oleh fahaman zionis yang bersifat perkauman dengan sokongan daripada kuasa imperialis Barat, telah mengundang malapetaka kepada warga Arab yang tinggal di atas bumi Palestin.

Pada 29 November 1947, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah meluluskan Resolusi 181(II) yang membahagikan Palestin kepada 2 buah negara (sebuah negara bermajoriti orang Arab dan sebuah negara bermajoriti orang Yahudi) dan bandar Jerusalem (Baitulmuqaddis) diletakkan di bawah pentadbiran antarabangsa khas PBB, selepas tamatnya pemerintahan British di situ. Palestin dikuasai oleh imperialis British apabila tentera British menawan Baitulmuqaddis pada tahun 1917 dan kemudiannya menewaskan tentera Empayar Turki Uthmaniyah di wilayah Palestin pada tahun 1918, semasa berlakunya Perang Dunia I, satu peperangan antara kuasa imperialis untuk merebut wilayah penjajahan.

Ketegangan dan konflik telah wujud antara orang Arab dan orang Yahudi di Palestin, sejak berlakunya penghijrahan besar-besaran orang Yahudi ke situ selepas Deklarasi Balfour (di mana Kerajaan British menyatakan sokongannya kepada penubuhan sebuah negara Yahudi di Palestin) pada tahun 1917 dan juga pembentukan Mandat Palestin di bawah penguasaan British pada tahun 1920. Dasar penjajahan British ditentang oleh kedua-dua pihak orang Arab dan orang Yahudi. Penentangan orang Arab telah mencetuskan Pemberontakan Arab di Palestin pada tahun 1936-1939, manakala orang Yahudi pula mengangkat senjata untuk memberontak pada tahun 1944-1947. Ketegangan yang berterusan tersebut akhirnya mencetuskan perang saudara antara orang Arab dengan orang Yahudi selepas Resolusi 181(II) PBB yang dibuat mengikut kehendak kuasa imperialis Barat tanpa berunding dengan masyarakat tempatan. Golongan Zionis mengisytihar penubuhan negara Israel pada 14 Mei 1948. Ini kemudiannya diikuti dengan pengusiran rakyat Palestin berbangsa Arab keluar dari tanah Palestin dan juga pencetusan peperangan yang membawa kepada kehancuran.

Pengusiran dan perampasan tanah rakyat Palestin oleh Israel ini dikenali sebagai “Nakba”.

Semasa Perang Palestin pada tahun 1948, seramai 700,000 orang rakyat Palestin telah diusir atau terpaksa melarikan diri dari kampung halaman mereka. Ratusan pekan dan kampung yang dihuni oleh warga Palestin telah dikosongkan dan dimusnahkan. Pada hari ini, pelarian-pelarian Palestin ini dan generasi selepasnya telah hidup bertaburan di negara-negara jiran seperti Jordan (2 juta orang), Lubnan (lebih 400 ribu), Syria (lebih 470 ribu), dan juga wilayah negara Palestin sekarang, iaitu Tebing Barat (lebih 700 ribu) dan Genting Gaza (lebih 1 juta).

Hari Nakba disambut pada 15 Mei setiap tahun, sehari selepas “Hari Kemerdekaan Israel” mengikut kalendar Gregorian, bagi memperingati kehancuran yang dibawa oleh negara Israel kepada rakyat Palestin.

Seawal tahun 1949, iaitu setahun selepas penubuhan negara Israel, 15 Mei disambut di beberapa buah bandar di Tebing Barat (yang berada di bawah penguasaan Jordan pada masa itu) dengan demonstrasi, mogok, pengibaran bendera hitam dan kunjungan ke kubur mereka yang terbunuh dalam Perang 1948. Sejak itu, 15 Mei menjadi hari untuk bersolidariti dengan rakyat Palestin yang dimangsakan di bawah pemerintahan Zionis Israel. 15 Mei biasanya disambut dengan aktiviti seperti berkabung untuk mereka yang mati akibat kekejaman rejim Zionis Israel, mengibarkan bendera Palestin, aksi demonstrasi menyokong perjuangan rakyat Palestin dan sebagainya.

Perjuangan rakyat Palestin yang berterusan dan berliku-liku

Negara Israel ialah sebuah negara rasis yang didirikan melalui perampasan tanah dan kolonialisasi ke atas bumi Palestin, dengan sokongan kuat daripada kuasa imperialis Barat. Rejim zionis Israel telah memperluaskan penguasaan wilayahnya secara keganasan. Golongan zionis bukan sahaja tidak berpuas hati dengan wilayah dibahagikan kepada negara Israel dalam Resolusi 181(II) pada tahun 1947 yang disokong oleh kuasa imperialis yang berpihak padanya, malah terus merampas lebih banyak lagi tanah melalui operasi ketenteraan dan mengundang bencana kemanusiaan kepada masyarakat Palestin yang dianggap penghalang kepada cita-cita kolonialisnya.

Peta yang menunjukkan bagaimana Israel yang disokong oleh kuasa imperialis Barat merampasa tanah di Palestin.

Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) ditubuhkan pada tahun 1964, dengan matlamat memperjuangkan pembebasan tanah Palestin dengan menggunakan pendekatan perjuangan bersenjata, menuntut hak pelarian Palestin untuk pulang ke kampung halaman mereka yang dirampas oleh Israel, dan juga berhasrat memusnahkan Israel. Negara-negara yang mengganggotai Liga Arab juga memberi sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin, khususnya semasa zaman Gamal Abdel Nasser berkuasa di Mesir dan menjalin hubungan rapat dengan Kesatuan Soviet.

Tentera Israel menduduki kawasan Tebing Barat, Baitulmuqaddis Timur, Genting Gaza, Semenanjung Sinai dan Dataran Tinggi Golan selepas Perang Enam Hari pada tahun 1967. Perjanjian Damai Mesir-Israel 1979, berikutan Perjanjian Kem David 1978, telah menyaksikan Kerajaan Mesir (di bawah pemerintahan Presiden Anwar Sadat pada masa itu) yang menyokong kuat perjuangan Palestin sebelum itu, mula menjauhkan diri daripada Kesatuan Soviet untuk mendampingi Amerika Syarikat dan menormalisasi hubungan dengan Israel untuk mendapat semula penguasaan terhadap Semenanjung Sinai. Negara-negara Arab yang bersekutu ataupun berhubungan semakin rapat dengan kuasa imperialis AS, telah mengkhianati perjuangan pembebasan rakyat Palestin.

Pihak Berkuasa Palestin ditubuhkan pada tahun 1994 berikutan Perjanjian Oslo yang ditandatangani oleh PLO dengan Kerajaan Israel, sebagai sebuah badan pentadbiran sementara yang separa berautonomi di Genting Gaza dan kawasan enklaf yang berpecah-pecah di Tebing Barat. Namun, Pihak Berkuasa Palestin mengalami perpecahan pada tahun 2007 apabila tercetusnya konflik sektarian antara Fatah (parti politik yang terbesar dalam gabungan PLO) dan Hamas (organisasi yang ditubuhkan pada tahun 1987 oleh anggota-anggota Ikhwanul Muslimun di Palestin ketika tercetusnya Intifada Pertama). Kewibawaan PLO semakin merosot kerana kegagalan kepimpinannya membawa pembebasan dan pembentukan sebuah negara merdeka yang diilhamkan oleh rakyat Palestin. Kerajaan zionis Israel yang mempunyai tentera yang paling kuat dan berkelengkapan paling canggih di Timur Tengah pula tidak pernah menghentikan penindasannya terhadap rakyat Palestin.

Foto ikonik yang diambil semasa satu aksi protes membantah sekatan Israel terhadap Gaza pada 22 Oktober 2018. (foto: Mustafa Hassona)

Rakyat Palestin, yang terdiri daripada berbilang agama, telah ditindas dan dinafikan hak asasi manusia di bawah kezaliman rejim zionis Israel. Apa yang diamalkan oleh rejim zionis Israel ialah apartheid, penghapusan bangsa dan jenayah terhadap kemanusiaan. Dasar rasis yang seperti apartheid yang pernah diamalkan di Afrika Selatan telah dilaksanakan oleh rejim zionis Israel dan menjejaskan setiap aspek kehidupan rakyat Palestin. Pelarian Palestin sejak Nakba dan generasi selepasnya bukan sahaja tidak dapat kembali ke kampung asal mereka yang dirampas oleh zionis Israel, malah hidup dalam keadaan seperti banduan di tempat yang didiami oleh mereka sekarang. Warga Palestin yang tinggal di Baitulmuqaddis Timur dan Tebing Barat, tidak mempunyai kebebasan bergerak, kerana mereka perlu melalui sekatan jalan yang didirikan oleh Tentera Israel setiap hari untuk pergi bekerja ataupun beredar dari satu tempat ke tempat yang lain. Warga Palestin yang tinggal di kampung-kampung dan kawasan-kawasan kejiranan di Baitulmuqaddis Timur dan Tebing Barat juga sering diancam pencerobohan, pengusiran paksa dan serangan keganasan oleh golongan “peneroka” Israel yang hendak terus merampas tanah di bawah perlindungan Tentera Israel. Warga Palestin di Gaza pula hidup dalam keadaan dikepung seperti penjara, di mana mereka boleh ditembak dan dibunuh oleh Tentera Israel sekiranya mendekati pagar sempadan yang mengurung mereka. Sejak Hamas menang dalam Pilihanraya Majlis Perundangan Palestin pada tahun 2006 dan menguasai sepenuhnya Genting Gaza pada tahun 2007, penduduk di Gaza sering menghadapi ancaman serangan ketenteraan daripada pihak zionis Israel, termasuk serangan pada tahun 2006, Perang Gaza pada tahun 2008-2009, operasi ketenteraan pada tahun 2012, Perang Gaza 2014, dan serangan terbaru pada bulan Mei 2021.

Selama beberapa dekad yang lalu sehingga kini, rakyat Palestin tidak pernah berhenti bangkit memperjuangkan pembebasan mereka. Dari perjuangan bersenjata oleh PLO pada tahun 1960-an sampai 1980-an, hingga ke Intifada Pertama pada tahun 1987-1993, Intifada Kedua pada tahun 2000-2005 dan gelombang protes yang sering berlaku, rakyat Palestin telah menunjukkan kesungguhan, kegigihan dan keberanian yang hebat dalam usaha melawan kezaliman zionis dan memperjuangkan pembebasan.

Walaupun adanya sesetengah pihak cuba menggambarkan pergolakan di Palestin itu sebagai “konflik agama”, tetapi hakikatnya adalah, perjuangan rakyat Palestin sejak awal lagi apabila mereka berdepan dengan Nakba, sentiasa merupakan perjuangan pembebasan yang menentang kekuasaan sebuah rejim yang rasis dan mencabar kuasa imperialis.

Selagi masih wujudnya ketidakadilan dan penindasan daripada rejim zionis Israel, rakyat Palestin akan tetap bangkit berjuang. Perjuangan pembebasan rakyat Palestin telah menjadi inspirasi kepada rakyat seluruh dunia untuk terus bangkit melawan segala bentuk ketidakadilan, kezaliman dan penindasan. Keamanan berkekalan di rantau Timur Tengah tidak akan dapat tercapai selagi belum wujudnya keadilan dan pembebasan untuk rakyat Palestin. Sesiapa yang berdedikasi untuk melawan rasisme, imperialisme dan peperangan, harus meneruskan solidariti kita bersama dengan perjuangan rakyat Palestin.

Bebas Palestin! Hidup Palestin!

One thought on “Nakba: Perjuangan pembebasan rakyat Palestin tetap berterusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *