oleh Arveent Kathirtchelvan

Saya merujuk kepada kenyataan media daripada pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang bertarikh 27 Mei 2024 dan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, En A Rahim Kasdi yang bertarikh 2 Jun 2024.

Kedua-duanya cuba menggambarkan bahawa Kampung Sri Makmur ini adalah kawasan setinggan dan memberi sejarahnya hanya dari tahun 2006. Sebenarnya, kampung ini telah didirikan oleh penduduk kampung sejak tahun 1986. Pada masa itu, kerajaan semasa melalui parti UMNO terlibat sehingga dibinanya Dewan UMNO serta kemudahan asas seperti elektrik dan air. Istilah setinggan ini tidak tepat untuk Kampung Sri Makmur yang memang diiktiraf dengan adanya kemudahan-kemudahan sebegini. Inilah sebabnya Parti Sosialis Malaysia (PSM) menganggap kampung ini sebagai sebuah kampung peneroka bandar.

Memang diiktiraf bahawa sejak tahun 2006 ada cubaan merobohkan kampung ini dalam program Setinggan Sifar yang dipelopori oleh Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Khir Toyo ketika itu. Akan tetapi, dasar ini ditentang oleh parti-parti yang mengganggotai Pakatan Harapan sekarang yang seakan-akan menyokong pandangan PSM di mana setiap peneroka bandar patut ditawarkan rumah ganti atau pampasan adil sebelum rumah mereka sekarang dirobohkan. Kerajaan Pakatan Rakyat yang mengganti Barisan Nasional pada tahun 2008 membawa sebuah dasar baharu yang sepatutnya menghentikan pengusiran paksa peneroka bandar dan memang memeterai hak mereka untuk mendapat rumah ganti atau tawaran adil.

Balik kepada tahun 2006/2007, penduduk kampung memang mendapat tawaran Rumah Kos Rendah (RKR) pada masa itu dan ada yang mengambilnya. Akan tetapi, sebahagian besar penduduk asal tidak mampu dan tidak layak mendapat pinjaman perumahan bagi menampung kos membeli rumah ini. Sejak itu, penduduk kampung berusaha berbincang dengan pihak kerajaan negeri untuk mendapatkan penyelesaian yang sewajarnya.

Diiktiraf juga bahawa hanya peneroka bandar yang mendiami rumah mereka di kampung ini yang layak menerima sebarang pampasan. Sejak tahun 2006, ramai penduduk asal kampung telah keluar dan ramai lagi yang menyewa rumah mereka kepada orang luar. Juga diiktiraf bahawa ramai penduduk kampung kini bukannya penduduk asal. Kumpulan penduduk yang dibantu oleh PSM adalah sebanyak 27 buah keluarga. Kami terlibat sejak tahun 2020 dan sampai sekarang, 4 buah keluarga daripada jumlah ini telah keluar dari kampung walaupun sukar bagi mereka juga. Sekarang tinggal 23 buah keluarga. Kumpulan ini memang adalah penduduk asal kampung dan yang selainnya, lebih 100 buah keluarga, tidak dibantu oleh PSM dan saya tidak tahu jika mereka penduduk asal atau tidak. Ada kemungkinan mereka juga penduduk asal.

Sejak tahun 2006/2007, permintaan penduduk kampung untuk berbincang tidak dibalas sehinggalah keluarnya notis pengosongan pada 5 Ogos 2020. Pada masa yang samalah PSM pun terlibat dalam membantu orang kampung ini. Bersama dengan penduduk kampung, kami membuat rayuan kepada pihak Pejabat Menteri Besar Selangor. Cubaan perundingan ini amat panjang dan tidak selalunya mendapat maklum balas daripada pihak kerajaan negeri.

Pada bulan Februari 2021, pihak PKNS mengeluarkan satu senarai nama penduduk 22 keluarga yang layak diberi pampasan. Senarai ini dibantah oleh penduduk kampung atas sebab nama yang ada telah pun mendapat pampasan sebelum ini dan penduduk asal yang sememangnya layak serta masih menetap di kampung tidak tersenarai. Sehingga bulan Mac 2022, pelbagai cara rundingan dengan pihak Pejabat Menteri Besar dicuba oleh pihak kampung. Pada masa yang sama, wakil pihak Menteri Besar Selangor, iaitu En. Rahim Kasdi sendiri, memaklumkan bahawa pihak kerajaan sudah pun menyediakan sebanyak 30 unit rumah di pangsapuri RSKU Sri Temenggung untuk pemindahan Kampung Sri Makmur tetapi tiada apa-apa maklum balas rasmi.

Writ pemilikan telah dikeluarkan kepada PKNS oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 11 Disember 2023 tetapi sebelum itu penduduk telah berhimpun di SUK Selangor untuk menghantar memorandum kepada Menteri Besar Selangor untuk menuntut perbincangan bersama penduduk sebanyak 2 kali (pada 30 Mac 2020 dan 30 Ogos 2023). Pada masa yang sama, penduduk kampung memang berhubung dengan En Rahim Kasdi supaya maklumannya itu terhasil.

Pada 21 Mei 2024, senarai nama 21 orang penduduk asal dikeluarkan untuk mendapat tawaran pembelian seunit RSKU Seri Temenggung dengan harga subsidi RM65,000 bersama sagu hati “ex-gratia” RM1,000. Terdapat 3 isu di sini. Pertama, senarai ini tidak termasuk 10 buah keluarga yang memang penduduk asal. Ada percanggahan dalam data bancian yang dibangkitkan oleh penduduk kampung dengan bukti penempatan mereka dan rayuan bersama bukti yang telah dipanjangkan kepada Pejabat Menteri Besar serta pemaju. Proses yang adil adalah mempertimbangkan bukti penduduk ini dengan rundingan. Tetapi pihak kerajaan negeri terlalu bersikap dingin dan hanya mengikut data mereka sahaja.

Kedua, surat tawaran dikeluarkan pada 21 Mei 2024. Tawaran ini ditandatangani pada 24 Mei 2024 (Jumaat). Perobohan rumah berlaku pada 27 Mei 2024 (Isnin). Adakah pihak PKNS berasa penduduk ini sempat keluar dari rumah mereka? Cek sagu hati pun tidak sempat ditunaikan kerana ia diterima pada petang Jumaat lepas. Yang dapat tawaran pun belum melalui proses cabut unit, mendapat kelulusan pinjaman dan menandatangani perjanjian jual beli. Mereka sekarang menjadi gelandangan. Adakah ini dipanggil adil?

Ketiga, pihak PKNS menyatakan bahawa pemberian rumah ini adalah atas ehsan kerajaan negeri. Ini adalah kenyataan yang menghina penduduk kampung. Prosedur pemberian rumah ganti adalah dasar yang dibawa oleh kerajaan negeri sendiri berdasarkan hak peneroka bandar yang diiktiraf. PKNS pula adalah perbadanan kerajaan negeri sendiri dan merekalah pemilik tanah. Jadi, adalah tidak masuk akal jika PKNS menyatakan isu ini adalah luar bidang kuasa mereka. Bukankah PKNS sebagai pemilik tanah berkuasa untuk menghentikan perobohan sehingga isu penduduk selesai. Ataupun adakah PKNS diarahkan oleh kerajaan negeri untuk merobohkan sahaja kampung ini?

Kini, pihak penduduk kampung berterima kasih kepada En Rahim Kasdi yang sekali lagi menyatakan komitmennya kepada kebajikan penduduk kampung dan sanggup berbincang dengan mereka untuk rancangan penempatan semula mereka selepas perobohan kampung. Penduduk kampung menjelaskan bahawa mereka memerlukan penempatan semula sementara dalam bentuk penyewaan dan penempatan semula kekal iaitu penyediaan tawaran pembelian rumah RSKU Seri Temenggung. Penempatan semula kekal ini telah berjaya disediakan untuk 14 daripada 23 buah keluarga dan hanya tinggal 9 buah keluarga yang tercicir. Penempatan semula sementara diperlukan oleh semua 23 buah keluarga ini.

Ini sahaja yang diminta, satu solusi yang amat senang, tidak perlu dirumitkan. Moga En Rahim Kasdi mengusahakannya segera.

==========

Arveent Kathirtchelvan ialah Penyelaras PSM Gombak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *