oleh Sivarajan Arumugam

Parti Sosialis Malaysia (PSM) kesal bahawa Kerajaan Madani nampaknya tidak serius dalam menjamin peningkatan pendapatan sebahagian besar pekerja di Malaysia, apabila pengumuman gaji minimum baharu masih belum dibuat dan dikuatkuasakan lagi! Kenyataan terbaru oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli semalam bahawa Kerajaan akan mengkaji cadangan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) untuk menetapkan gaji minimum pada tahap RM2,102 menunjukkan bahawa kerajaan masih di peringkat kajian dan belum lagi menetapkannya, walaupun tempoh Perintah Gaji Minimum 2022 terdahulu sepatutnya telah tamat pada 1 Mei 2024.

Akta Majlis Perundingan Gaji Negara dengan jelas menyatakan bahawa gaji minimum harus dikaji semula dan diselaraskan sekurang-kurang sekali dalam 2 tahun. Perintah Gaji Minimum pada kadar RM1,500 telah berkuatkuasa sejak 1 Mei 2022 dan sepatuntya kadar gaji minimum yang baharu berkuatkuasa mulai 1 Mei 2024.

Para pekerja bawahan terutamanya amat kecewa dengan sikap kerajaan yang melengahkan peningkatan gaji minimum, kerana sebahagian besar pekerja bawahan hanya akan menikmati peningkatan gaji melalui Perintah Gaji Minimum yang dilaksanakan setiap dua tahun.

Pada ketika ini, hanya 5.8% pekerja Malaysia mempunyai kesatuan sekerja untuk mewakili mereka dan hanya 2% sahaja yang ada perjanjian bersama dengan majikan yang menentukan peningkatan gaji.

Kami risau bahawa kegagalan mengumumkan gaji minimum baharu ini akan dilanjutkan lagi apabila golongan majikan dalam sesetengah sektor dikecualikan daripada pelaksanaan gaji minimum, seperti mana yang pernah berlaku pada tahun 2022. Walaupun gaji minima baharu ditetapkan pada kadar RM1,500 sebulan pada masa itu, majikan yang mempunyai pekerja yang kurang daripada 5 orang hanya perlu mula membayar kadar gaji minimum baharu itu 6 bulan kemudian!

Oleh itu, PSM menyeru pada pihak Kementerian Sumber Manusia dan Kabinet Kerajaan Madani untuk segera mengumumkan dan menguatkuasakan gaji minimum baharu pada kadar tidak kurang daripada RM2,000 sebulan seperti mana yang disarankan oleh Gabungan Jawatankuasa 1 Mei, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Bank Negara dan kini UNICEF.

===========

Sivarajan Arumugam ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *