KUALA KUBU BHARU, SELANGOR – 4 MEI 2024: Percubaan penduduk Kampung Sri Makmur untuk menyerahkan memorandum kepada pihak Kerajaan Negeri Selangor di Kuala Kubu Bharu pada hari ini gagal dicapai. 24 buah keluarga peneroka bandar dari Kampung Sri Makmur, Taman Sri Gombak, Selangor, kini menghadapi ancaman pengusiran paksa oleh pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Pejabat Daerah dan Tanah Gombak yang mungkin berlaku pada 6 Mei 2024.

Masalah ancaman pengusiran yang dihadapi oleh penduduk-penduduk, yang menerokai Kampung Sri Makmur sejak tahun 1990-an, telah bermula sejak tahun 2018. Pada bulan November 2023, Menteri Besar Selangor telah berjanji akan memberikan pampasan perpindahan sebelum merobohkan rumah-rumah penduduk.

Dalam satu surat yang bertarikh 24 April 2024, permohonan 10 buah keluarga telah ditolak atas sebab ketiadaan bukti bahawa keluarga-keluarga ini menetap di Kampung Sri Makmur sejak tahun 2006. Alasan ini tidak munasabah kerana segala bukti bagi kependudukan 24 buah keluarga telah pun diberikan kepada pihak berkuasa. Selain itu, 14 buah keluarga lain pula masih lagi berada dalam status dipertimbangkan sahaja untuk rumah ganti, manakala pengusiran paksa kampung ini akan dijalankan pada 6 Mei 2024, iaitu hari Isnin akan datang. Notis yang telah diberikan kepada penduduk kampung juga tidak wajar kerana penduduk sedang menunggu pampasan yang dijanjikan.

Walaupun pihak penduduk telah melawat Pejabat SUK Selangor, Pejabat Tanah dan Galian Selangor serta rumah Menteri Besar Selangor sendiri, segala percubaan menghubungi pihak pejabat Menteri Besar Selangor untuk menangani kes ini tidak berhasil akibat akan berlangsungnya Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu.

Untuk tidak melengahkan masa, pihak penduduk Kampung Sri Makmur hadir ke Bilik Gerakan Utama Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu Kerajaan Perpaduan di Taman Gamelan. Akan tetapi, tidak kelihatan sesiapa wakil daripada Kerajaan Perpaduan di sana. termasuk calon atau wakil daripada pejabat Menteri Besar Selangor, walaupun notis kunjungan penduduk telah pun diberikan. Walau bagaimanapun, memorandum penduduk kampung telah diserahkan kepada bekas pegawai ADUN Kuala Kubu Bharu, En. Oon, yang berkata akan membantu memanjangkannya kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor untuk dipanjangkan kepada Menteri Besar.

Penduduk-penduduk juga dinasihati untuk berjumpa dengan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, En. Saifuddin Shafi Muhammad, di Batang Kali. Akan tetapi, pejabatnya tertutup pada hari ini dan segala percubaan untuk menghubunginya juga gagal. Satu salinan memorandum diberi kepada pegawai pejabat beliau, En. Senari, untuk dipanjangkan kepada En. Saifuddin.

Dalam memorandum ditujukan kepada Dato’ Seri Amirudin bin Shari selaku Menteri Besar Selangor pada 30 Ogos 2023, penduduk-penduduk Kampung Sri Makmur mengemukakan tuntutan yang mempunyai dua pilihan, iaitu:

  • Pilihan 1: Penempatan di atas tanah Kampung Sri Makmur jika kawasan tersebut digunakan untuk pembangunan perumahan dengan harga RM150,000 ke bawah, di samping pampasan kos sewa rumah RM700 sebulan sehingga pembinaan perumahan di situ siap, dan kos pemindahan keluar masuk ditanggung sepenuhnya oleh pihak kerajaan.
  • Pilihan 2: Penempatan semula di Pangsapuri Selangorku Seri Temenggung dengan harga RM150,000 ke bawah atau mana-mana pangsapuri yang tersedia di sekitar kawasan Gombak, dan penduduk-penduduk Kampung Sri Makmur diberi kebenaran untuk terus tinggal di atas tanah sekarang sehingga unit rumah di Pangsapuri Selangorku itu siap dibina sepenuhnya.

Para penduduk Kampung Sri Makmur kini sedang bersiap sedia untuk menghadapi pengusiran paksa keluar dari rumah-rumah mereka pada Isnin ini, iaitu dalam masa 2 hari lagi.

==========

(Laporan oleh Arveent Kathirtchelvan, Penyelaras PSM Gombak.)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *