DEKLARASI 1 MEI 2024
GAJI UNTUK HIDUP

“Gaji untuk Hidup” bukan sekadar gaji minimum, menjadi tuntutan rakyat sempena Hari Pekerja Sedunia 2024. 

Krisis kos makanan dan peperangan menjadikan kehidupan warga pekerja semakin tertekan di negara kita dan di seluruh dunia. Selaras dengan tekanan kos hidup yang mencengkam, Deklarasi Hari Pekerja pada tahun ini mengetengahkan “Gaji Untuk Hidup”. Walaupun Malaysia telah menerima pakai gaji minimum RM1,500 sebulan mengikut Perintah Gaji Minimum 2022, ini masih rendah berbanding kos sara hidup dan bukan semua pekerja menikmatinya.

Rakyat B40, terutamanya golongan pekerja, peniaga kecil, pelajar, pekerja tidak formal dan penganggur, telah terjejas teruk akibat kos sara hidup yang sangat tinggi. Golongan kelas menengah juga menghadapi masalah yang sama.

Bank Negara Malaysia menyatakan bahawa gaji sara hidup untuk orang dewasa yang tinggal di Kuala Lumpur ialah RM2,700 pada tahun 2018. Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia, kebanyakan 35 peratus pekerja yang bekerja di sektor formal berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan sepanjang hayat mereka. Ini bermakna bahawa bukan sahaja kebanyakan rakyat Malaysia berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan, gaji tidak pernah melebihi sekitar RM3,500.

Jika kita mengambil formula Pengiraan Gaji Minimum Negara yang disarankan oleh kerajaan, maka Gaji Minimum pada tahun ini untuk kawasan bandar adalah RM2,568 dan luar bandar adalah RM1,884, dan gaji minimum untuk Malaysia sepatutnya adalah RM2,444.

Oleh itu, sempena sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei 2024, kami mengetengahkan tuntutan-tuntutan berikut:

A. HAK PEKERJA

  1. Laksanakan gaji untuk hidup dan Gaji Minimum ditingkatkan kepada RM2,000 untuk membolehkan pekerja mampu tanggung kos keperluan asas. Keperluan asas ditakrifkan sebagai: “tahap standard pemakanan, perumahan, pengangkutan, tenaga, penjagaan kesihatan, penjagaan kanak-kanak, pendidikan dan simpanan dalam waktu kerja yang dikawal.”
  2. Laksanakan Skim Jaminan Pendapatan Asas (UBI) sebanyak RM1,000 sebulan bagi pekerja di sektor tidak formal, pekerja persendirian berskala kecil dan peniaga bersifat mikro yang tercicir dari sektor formal dan tiada berpendapatan tetap atau kurang daripada gaji minimum.
  3. Jaminan kerja untuk semua. Hapuskan sistem kontrak untuk kerja-kerja tetap. Serapkan kembali pekerja kontrak di premis kerajaan.
  4. Mewujudkan Akta Pekerja Gig demi menjamin kelestarian, kemampanan dan kebajikan mereka sebagai penggiat industri gig dengan penetapan kadar upah yang adil, perlindungan keselamatan sosial yang setara atau yang lebih baik, seperti I-Saraan KWSP, SKSPS PERKESO dan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dengan caruman diwajibkan untuk penggiat, syarikat dan kerajaan melalui kebersamaan tanggungan caruman.
  5. Luaskan skop liputan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) di mana syarat-syarat seperti pekerja dalam kerja kontrak dikecualikandaripada faedah, pekerja yang memfailkan kes di Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) atau Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dinafikan faedah dan lain-lain harus dihapuskan.
  6. Laksanakan satu skim pencen untuk warga emas untuk memastikan rakyat Malaysia yang sudah bersara dan berusia dapat hidup secara bermaruah.
  7. Laksanakan Skim Pencen Ilat untuk semua pekerja pertanian, petani, penjaja dan peniaga kecil di sektor tidak formal.
  8. Luaskan liputan PERKESO kepada 24 jam sehari / 7 hari seminggu dan tidak terhad hanya pada waktu kerja sahaja.
  9. Hak Kesatuan Sekerja – Pembentukan kesatuan sekerja harus diutamakan, dilindungi dan digalakkan oleh kerajaan untuk menjamin hak dan kebajikan pekerja.
  10. Hak Orang Kurang Upaya (OKU) – Jamin hak bekerja OKU. Laksanakan skim pekerjaan yang memberi peluang pekerjaan untuk OKU.

B. KESIHATAN

Hak kesihatan kepada semua – Kerajaan harus meningkatkan dan memperkasakan hospital kerajaan dengan menyalurkan lebih banyak sumbangan dana supaya dapat kekal memberikan perkhidmatan yang terbaik dan percuma kepada rakyat. Kerajaan juga harus membuat kajian untuk memiliknegarakan hospital kesihatan swasta untuk memastikan rakyat Malaysia mendapat perkhidmatan kesihatan terbaik dan memadai.

C. PERUMAHAN

  1. Kerajaan harus hentikan sebarang pengusiran paksa dan memastikan ada perumahan alternatif sebelum ada pengusiran. Kerajaan harus laksanakan polisi perumahan mampu milik atau penyewaan dengan harga yang adil dan munasabah.
  2. Perumahan selesa – Hentikan pengusiran paksa terhadap masyarakat marhaen termasuk peneroka bandar, orang asal dan pekerja ladang. Skim Perumahan Rakyat pada harga yang mampu dibeli, lokasi strategik dan selesa harus dilaksanakan.

D. PEKERJA MIGRAN DAN PELARIAN

  1. Hak pekerja migran – Pekerja migran harus diberikan hak yang saksama dan perlindungan yang mencukupi. Hentikan eksploitasi – keadaan kerja yang tidak selamat, waktu kerja yang panjang, tiada latihan kemahiran, hak kesihatan tidak terjamin serta tiada perwakilan kesatuan sekerja.
  2. Iktiraf hak kerja bagi pelarian dan peminta suaka – Kerajaan harus memberi hak kerja kepada pelarian di negara kita.
  3. Bantah sekeras-kerasnya kekejaman genosid Israel in Gaza, Palestin, dan menyokong pembebasan rakyat Palestin.
  4. Laksanakan satu Dasar Komprehensif Nasional tentang Migrasi Buruh.

E. JAMINAN MAKANAN DAN KAWALAN HARGA BARANG

  1. Kawal harga barang – Kawal kenaikan harga barang dan perkhidmatan keperluan harian dan kembalikan semula pemberian subsidi kepada rakyat secara berkesan.
  2. Hak bertani dan jaminan makanan – Hentikan pengusiran petani dan penternak dari tanah mereka. Iktiraf dan berikan geran tanah kepada golongan petani dan penternak yang telah lama bertani dan membekalkan hasil pertanian untuk kegunaan tempatan demi menjamin keupayaan pengeluaran makanan tempatan.

F. HAK ASASI MANUSIA

  1. Kebebasan media – Media utama dan alternatif harus diberi kebebasan untuk memberi maklumat sebenar kepada rakyat. Maka, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak yang menyekat kebebasan ini harus dimansuhkan. Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang menyekat kebebasan rakyat bersuara harus dibatalkan.  Sebarang bentuk kod etika untuk wartawan dan media harus dikendalikan oleh industri media dan bukannya kerajaan.
  2. Hak pelajar – Mansuhkan AUKU, Akta 174, PTPTN, PTPKN dan semua akta yang mengongkong kebebasan akademik mahasiswa. Berikan pendidikan percuma kepada semua pelajar, kanak-kanak migran dan pelarian.
  3. Mansuhkan Akta Hasutan (1948) serta segala undang-undang yang menyekat hak berbicara dan segala perundangan yang menindas rakyat dan kebebasan rakyat.
  4. Hak pekerja wanita – Hentikan diskriminasi berasaskan gender dan orientasi seksual di tempat kerja. Mansuhkan undang-undang, dasar dan tindakan yang mengakibatkan diskriminasi sedemikian. Gubal Akta Kesamarataan Gender (Gender Equality Act).
  5. Hak kanak-kanak – Lindungi dan tunaikan hak kanak-kanak mengikut Konvensyen Hak Kanak-Kanak Sedunia (CRC).

G. PENSWASTAAN

Hentikan penswastaan perkhidmatan asas – air, elektrik, kesihatan, pengangkutan awam dan pendidikan tidak harus diswastakan demi keuntungan. Semua perkhidmatan asas yang harus disediakan oleh kerajaan untuk rakyatnya.
 
H. ORANG ASLI/ASAL

Iktiraf hak tanah adat Orang Asal di Malaysia dan berikan hak milik kekal serta kukuhkan status tanah rizab Orang Asal/Asli di Malaysia (Semenanjung, Sabah dan Sarawak). Rancangan pembangunan tanah Orang Asal/Asli hendaklah berasaskan kehendak, keperluan dan aspirasi Orang Asal/Asli.

I. ALAM SEKITAR

  1. Isytihar darurat iklim dan segerakan pembentukan Pelan Adaptasi Nasional. Peruntukan untuk tingkatkan kemudahan dan kapasiti dalam kalangan masyarakat, terutama untuk komuniti terpinggir, agar bersedia menghadapi ancaman kesan krisis iklim seperti kenaikan paras laut, banjir, kemarau, gelombang haba dan lain-lain lagi.
  2. Hentikan projek-projek yang memudaratkan alam sekitar serta kesihatan rakyat Malaysia seperti perlombongan bauksit, perlombongan nadir bumi, pembinaan insinerator, loji tenaga nuklear dan lain-lain. Hentikan penambakan laut, penebangan hutan, projek-projek di kawasan sensitif alam sekitar dan pembangunan di lereng bukit.
  3. Hentikan pengimportan sisa yang akhirnya dibuang atau dibakar secara terbuka, dan mengakibatkan pencemaran alam sekitar serta menjejaskan kesihatan awam. Utamakan kawalan dan pencegahan pencemaran.
  4. Hentikan pembakaran tanah perladangan, dan pembalakan.
  5. Tingkatkan usaha pemuliharaan dan perlindungan hutan, paya bakau, pengurusan sungai, pencegahan dan penebatan banjir, dan pastikan bekalan air yang bersih dan mencukupi.
  6. Gunakan tenaga alternatif yang boleh diperbaharui, yang bersih dan murah.

Senarai organisasi yang menyokong Deklarasi 1 Mei 2024:

  1. Agora Society
  2. ALIRAN
  3. All Women’s Action Society (AWAM)
  4. BERSIH
  5. Beyond Borders Malaysia
  6. Borneo Komrad
  7. Buku Jalanan Chow Kit
  8. Buku Jalanan Ipoh
  9. Cahaya Society
  10. Center for Orang Asli Concerns (COAC)
  11. Centre for Independence Journalism (CIJ)
  12. Congress IIUM
  13. Demokrat Kebangsaan (DK)
  14. EHO DRIVERS
  15. Empower
  16. FNBPP (OG)
  17. For A Better Nation (FABIAN)
  18. Gabungan Darurat Iklim Malaysia (GDIMY)
  19. Gabungan Flat Kos Rendah Marhaen
  20. Gabungan Marhaen
  21. Gabungan Penternak Nasional Marhaen
  22. Gabungan Petani Perak
  23. Gagasan Insan Progresif
  24. GERAK (Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia)
  25. Hayat
  26. Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK)
  27. Jaringan Rawang Tolak Insinerator (JRTI)
  28. Jawatankuasa Bertindak Wilayah Adat OA Kampung Kelaik
  29. JENTAYU
  30. Jurnal Sang Pemula
  31. Kesatuan Pekerja Sokongan Swasta di Hospital dan Jabatan Kerajaan
  32. KLSCAH Youth
  33. Komuniti Bersama-sama Bangkit Pertahankan Batu Arang
  34. Komuniti Pemandu eHailing Penggerak Malaysia
  35. Koperasi E-hailing Selangor Berhad
  36. Koperasi Gig Malaysia Berhad
  37. Liga Rakyat Demokratik (LRD)
  38. Mahasiswa Demokratik Malaysia (MDM)
  39. Malaysia E-hailing & Delivery Organization (MEDO)
  40. North South Initiative (NSI)
  41. Northern Region Alliance (E-hailing)
  42. Our Journey
  43. Parti Hijau Malaysia
  44. Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA)
  45. Parti Murba
  46. Parti Sosialis Malaysia (PSM)
  47. Pemuda Sosialis
  48. People Like Us Support Ourselves (PLUsos)
  49. Persahabatan Kaarainagar
  50. Persahabatan Semparuthi
  51. Persatuan E-hailing Terengganu
  52. Persatuan Hak Kesihatan Wanita (RRAAM)
  53. Persatuan Kebajikan Pekerja Industri E-hailing Malaysia (PKEH)
  54. Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor & KL (Family Frontiers)
  55. Persatuan Pemandu E-hailing Sungai Petani
  56. Persatuan Tanah Perkuburan Tamil (Hindu/Kristian) Paling Maya Semenyih
  57. Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat (PTASKL)
  58. Pertubuhan Pertolongan Wanita (Women’s Aid Organisation)
  59. Plantation Resource Centre
  60. Project Future Malaysia
  61. Pusat Sejarah Rakyat
  62. Rekod Media
  63. Ruang Kongsi
  64. Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM)
  65. Society for the Promotion of Human Rights (Proham)
  66. Southern Region Alliance (E-hailing)
  67. Suara Mahasiswa UMS
  68. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
  69. SUSDEN Malaysia
  70. Terabai Kenyalang Heritage Association of Sarawak (TKHAS)
  71. Undi18
  72. Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM)
  73. Women in Power
  74. Gegar Amerika

3 thoughts on “Deklarasi 1 Mei 2024: Gaji untuk hidup

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *