PETALING JAYA, SELANGOR – 30 APRIL 2024: Penduduk-penduduk pangsapuri kos rendah Taman Petaling Utama, PJS 1, Petaling Jaya, Selangor, menggesa Datuk Bandar Petaling Jaya dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) supaya mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah yang sudah membelenggu kawasan kediaman mereka bertahun-tahun lamanya.

Jawatankuasa Bertindak Pangsapuri Blok C dan D, Taman Petaling Utama, PJS 1/52, mengadakan satu aksi protes di hadapan pejabat MBPJ pada hari ini untuk menyuarakan keluhan mereka dan menyerahkan memorandum kepada Datuk Bandar dengan tuntutan supaya pihak MBPJ mengambil alih penyelenggaraan rumah pangsa tersebut dan menanggung kosnya.

Penduduk-penduduk melaungkan slogan seperti “Turun! Turun! Datuk Bandar!”, “Dengar! Dengar! Masalah rakyat!” dan sebagainya. “Masalah kami telah berlarutan bertahun-tahun lamanya,” kata Sugumaran, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pangsapuri Blok C dan D, Taman Petaling Utama. “Kami mahu Kerajaan Negeri Selangor dan MBPJ mencampur tangan untuk menyelesaikannya.”

Penduduk-penduduk telah menunggu lebih 3 jam di bawah terik matahari untuk menyerahkan memorandum kepada Mohamad Zahri bin Samingon, Datuk Bandar Petaling Jaya yang tidak pernah dipilih secara demokratik melalui apa-apa pilihan raya.

Satu perjumpaan susulan akan diadakan untuk membincang lebih lanjut tentang bagaimana menyelesaikan masalah-masalah yang dibangkitkan.

Turut hadir bersolidariti bersama penduduk-penduduk yang berprotes pada hari ini ialah Gandipan Natha Gopalan selaku Penyelaras Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cawangan Petaling Jaya.

Penduduk-penduduk pangsapuri Blok C dan D di Taman Petaling Utama pada asalnya merupakan penduduk-penduduk komuniti peneroka bandar di kawasan berhampiran, seperti Kampung Muniandy, Kampung Pinang, Kampung Tin Mining dan sebagainya. Mereka dipindahkan ke perumahan pangsapuri kos rendah di Taman Petaling Utama di bawah Program Pemindahan Setinggan Sifar yang dikendalikan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2001. Syarikat pemaju yang dipertanggungjawabkan untuk membina perumahan tersebut tidak menyediakan kemudahan asas seperti pendawaian bumi, peti surat, pili bomba yang tiada air dan sebagainya semasa penyerahan unit rumah. Kerja pengurusan dan penyelenggaraan pangsapuri ini telah bertukar tangan kepada beberapa pihak pada tahun 2006 hingga 2009 tanpa pengetahuan penduduk-penduduk tempatan. Penduduk-penduduk telah mengutarakan ketidakpuasan hati mereka berkenaan mekanisme perlantikan Badan Pengurusan Bersama (JMB) yang tidak telus secara berterusan. Walaupun perjumpaan demi perjumpaan pernah diadakan antara penduduk-penduduk dan pihak berkuasa, masalah-masalah asas berkaitan isu penyelenggaraan masih tidak dapat mencapai sebarang penyelesaian.

Selain itu, kebanyakan penduduk di Pangsapuri Blok C dan D, Taman Petaling Jaya Utama, merupakan golongan berpendapatan rendah B40, di mana mereka tidak mampu membayar caj penyelenggaraan sebanyak RM60 sebulan yang memang akan menambahkan beban kewangan mereka.

Masalah-masalah utama yang dihadapi oleh penduduk-penduduk Pangsapuri Blok C dan D, Taman Petaling Utama, termasuk:

  • Tindakan Tribunal Perumahan yang akan diambil terhadap penduduk yang berhutang tanpa perincian bil tunggakan caj penyelenggaran;
  • Kekhuatiran penduduk terhadap perlantikan JMB baharu yang dibuat melalui satu mesyuarat agung tahunan (AGM) yang dipertikaikan kerana majoriti pemilik rumah tidak layak untuk mengundi atau dipilih ke dalam JMB atas sebab mereka mempunyai hutang penyelenggaraan:
  • Kerja-kerja yang sepatutnya dilakukan oleh ejen penyelenggaraan yang dilantik oleh Pesuruhjaya Bangunan (COB) masih belum selesai selepas 8 bulan;
  • Tiada pembentangan akaun audit daripada JMB sejak tahun 2015 di mana penduduk mengesyaki terdapat penyelewengan;
  • Isu berkaitan bekalan air seperti tarif meter air yang terlalu tinggi dan tidak berpatutan, sesetengah unit rumah tidak memperolehi subsidi kupon Air Selangor, dan masalah migrasi meter air daripada meter pukal ke meter individu yang masih belum dilakukan;
  • Isu penyelenggaraan am seperti lif yang sering berhenti operasi atas sebab kerosakan, lubang jalan yang tidak diturap, pembiakan nyamuk, lalat dan burung merpati yang boleh mengundang masalah kesihatan awam, pokok yang tidak dijaga, tangki air yang tidak pernah dicuci, tempat pembuangan sampah yang rosak, lampu di kawasan koridor yang tidak bernyala, ketiadaan generator elektrik sebagai alternatif semasa berlaku gangguan elektrik, dan sebagainya;
  • Bayaran cukai tanah yang tidak konsisten setiap tahun dan tanpa pernyataan/pemakluman daripada JMB;
  • Ketiakpastian dan kekeliruan mengenai polisi insurans elektrik walaupun setiap unit dikenakan caj insurans elektrik;
  • Peningkatan caj penyelenggaraan daripada RM40 ke RM50 oleh JMB tanpa persetujuan daripada penduduk;
  • Tiada maklumat mengenai dana terikat (sinking fund).

Penduduk-penduduk rumah pangsa Taman Petaling Utama juga mengetengahkan isu kekurangan tempat letak kereta di kawasan PJS 1, dan juga tiadanya perkhidmatan bas awam yang melalui kawasan perumahan pangsapuri kos rendah.

Tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Bertindak Pangsapuri Blok C dan D, Taman Petaling Utama, termasuk:

  • Kerajaan Negeri Selangor menunaikan janji dalam manifesto pilihan raya dengan mengambil alih penyelenggaraan pangsapuri Blok C dan D di Taman Petaling Utama;
  • MBPJ membantu dalam mendapatkan hak milik strata bagi setiap unit rumah;
  • Air Selangor mengambil alih sepenuhnya pengurusan air di pangsapuri dan membolehkan semua penduduk dapat menyemak perincian akaun penggunaan air;
  • Mengadakan pengauditan yang komprehensif terhadap akaun JMB;
  • Menyelesaikan semua isu penyelenggaraan yang tertangguh sebelum mengadakan mesyuarat agung;
  • Membekukan tindakan Tribunal Perumahan;
  • Akses kepada penggunaan Dewan Serbaguna;
  • Membayar balik kepada penduduk perbezaan harga rumah bagi unit tingkat bawah yang sepatutnya dibayar oleh pihak pemaju.
  • Membina tempat letak kereta bertingkat di atas lot kosong yang berhadapan dengan Blok C dan D;
  • Mewujudkan laluan bas yang melalui jalan-jalan di kawasan PJS 1.

One thought on “Selesaikan masalah penyelenggaraan Pangsapuri Taman Petaling Utama – Seruan penduduk kepada Datuk Bandar Petaling Jaya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *