IPOH, PERAK – 16 FEBRUARI 2024: Petani-petani di kawasan Kanthan yang diusir secara paksa berjaya mendapat kebenaran di Mahkamah Tinggi Ipoh pada hari ini untuk semakan kehakiman terhadap tindakan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Kerajaan Negeri Perak yang mengusir mereka dengan menggunakan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara.

6 orang petani di kawasan Kanthan, Chemor, Perak, telah diberikan notis di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kinta pada 13 Oktober 2023, yang mengkehendakkan mereka untuk mengosongkan tanah seluas 25 ekar yang diusahakan oleh mereka dan keluarga mereka selama 80 tahun yang lalu. Notis 425 tersebut mengkehendakkan mereka untuk mengosongkan tanah dalam tempoh 7 hari.

Petani-petani ini cuba menghubungi Pejabat Tanah dan meminta Ahli Parlimen bagi kawasan mereka (iaitu Perdana Menteri Anwar Ibrahim) supaya mencampur tangan, tetapi tidak berjaya. Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak bertindak pada 24 Oktober 2023 untuk merobohkan kebun-kebun mereka. Semasa proses pengusiran paksa tersebut, seorang aktivis wanita PSM telah ditolak sehingga jatuh di atas tanah dan mengalami keretakan pada soket matanya. 4 orang individu telah ditangkap pada masa itu (dan dibebaskan selepas beberapa jam).

Peguam PSM telah memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman pada 25 Oktober 2023 dan memperoleh satu perintah penggantungan sementara untuk menghalang perobohan selanjutnya terhadap kebun 6 orang petani tersebut. Namun, PKNP telah menukar peguamnya kepada Mah Weng Kai, dan firma guaman itu menasihatkan PKNP bahawa ia boleh meneruskan perobohan kebun kerana PKNP merupakan pemilik tanah yang sah di sisi undang-undang. Perobohan kebun telah disambung semula pada 1 November 2023 dan baki tanaman di situ telah dimusnahkan habis.

Semakan kehakiman terhadap apa-apa keputusan atau tindakan kerajaan merupakan satu proses dua-peringkat. Pertama sekali, plaintif harus mendapatkan kebenaran (leave) daripada Mahkamah Tinggi untuk meneruskannya. Ini adalah untuk menapis keluar permohonan semakan kehakiman yang tidak mempunyai banyak asas atau bersifat “semberono”. Pihak PKNP membantah semakan kehakiman yang difailkan oleh pihak petani, manakala yang menariknya Penasihat Undang-undang Persekutuan yang mewakili pihak PTG tidak berbuat demikian.

Hakim Dato’ Abdul Wahab bin Mohamed di Mahkamah Tinggi Ipoh telah memberikan kebenaran untuk semakan kehakiman yang diminta oleh pihak petani Kanthan. Ini membuka ruang kepada Gabungan Petani Perak untuk mendapatkan mendapatkan pengisytiharan dan keputusan mahkamah yang berikut:

  1. Bahawa Seksyen 425 Kanun Tanah Negara tidak sepatutnya digunakan untuk mengusir petani-petani ini kerana mereka telah berada di tanah berkenaan untuk lebih 80 tahun dan pernah dijanjikan tanah alternatif oleh pihak PKNP dan PTG. Seksyen 425 hanya boleh digunakan terhadap “setinggan” yang tidak mempunyai hak ke atas tanah dan tidak pernah diberikan kebenaran untuk menggunakan tanah oleh pihak pemilik tanah atau Kerajaan Negeri.
  • Seksyen 425 Kanun Tanah Negara hanya sesuai digunakan terhadap setinggan di atas tanah tanah kerajaan. Tanah yang berkenaan telah dilupuskan kepada PKNP lebih 10 tahun lalu. PKNP merupakan sebuah syarikat dan ia telah menjual bahagian-bahagian tanah tersebut kepada pemaju-pemaju perumahan dan orang lain. Pihak petani berharap mahkamah akan membuat keputusan bahawa Seksyen 425 tidak patut digunakan untuk mengosongkan tanah yang dimiliki oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC). GLC sepatutnya melakukan apa yang dilakukan oleh syarikat-syarikat lain – memfailkan satu permohonan yang sewajarnya di mahkamah untuk pemilikan kosong tanah miliknya.
  • Pihak petani meminta pada mahkamah supaya mengisytihar bahawa tindakan yang sewajar apabila Notis 425 tidak dipatuhi adalah mendakwa “setinggan” berkenaan di mahkamah, dan bukannya mengerahkan bahagian penguatkuasaan PTG untuk mengosongkan tanah secara paksa. Pengusiran fizikal hanya patut dilakukan selepas memperoleh perintah mahkamah.

“Ini merupakan isu-isu yang penting dan keputusan kelulusan permohonan semakan kehakiman ini akan memberi kesan kepada semua petani sayur-sayuran lain di Perak yang telah dinafikan geran dan pajakan tanah walaupun memohon berulang kali sepanjang 60 tahun yang lalu,” kata Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang bersolidariti dengan perjuangan petani Perak.

Petani-petani Kanthan juga akan meminta mahkamah untuk memutuskan ganti rugi bagi tanaman mereka yang dimusnahkan dan paip serta pam pengairan yang dirosakkan semasa perobohan pada 24 Oktober hingga 5 November 2023.

Petani-petani Kanthan diwakili oleh peguan Rabinder Singh dan K. Kunasegaran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *