IPOH, PERAK – 19 OKTOBER 2023: Petani-petani dari kawasan Kanthan yang sedang menghadapi ancaman pengusiran paksa daripada Kerajaan Negeri Perak menggesa Ahli Parlimen bagi kawasan mereka, iaitu Ahli Parlimen kawasan Tambun yang juga merupakan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, untuk mencampur tangan supaya menyelamatkan mereka yang sedang mengeluarkan makanan bagi masyarakat Malaysia.

Gesaan ini dibuat dalam memorandum yang diserahkan kepada Pejabat Ahli Parlimen Tambun pada hari ini. Turut hadir bersolidariti bersama petani-petani Kanthan ialah aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) R. Saratbabu.

6 orang petani di Kanthan telah menerima notis pengusiran di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara yang bertarikh 13 Oktober 2023 untuk mengarahkan mereka supaya mengosongkan tanah kebun yang sedang diusahakan mereka dalam tempoh 7 hari. Notis yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, Ipoh, itu mengatakan bahawa petani-petani ini menduduki tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) tanpa kuasa yang sah.

Petani-petani berkenaan telah mengusahakan aktiviti penanaman sayur-sayuran, buah-buahan dan penternakan ikan di kawasan Kanthan untuk berdekad-dekad lamanya. Agensi-agensi kerajaan yang berkenaan memang mempunyai pengetahuan tentang kewujudan petani-petani ini. Sejak tahun 2010 lagi, petani-petani ini, melalui Persatuan Petani Moden Chemor, pernah mengadakan beberapa perbincangan dan surat-menyurat dengan Pejabat Tanah dan Galian Perak dan Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, Ipoh. Ekoran daripada itu, pihak PKNP telah mengeluarkan surat tawaran yang bertarikh 21 November 2012 kepada petani-petani Kanthan. Surat tersebut memperihalkan butiran mengenai pajakan tanah pertanian milik PKNP di kawasan Perak Hi-Tech Park, iaitu tanah gantian seluas 2 ekar bagi tempoh pajakan 30 tahun dengan kadar sewaan RM40 per ekar setahun. Projek Perak Hi-Tech Park tidak dilaksanakan sepertimana yang dijadualkan, namun setelah persefahaman tercapai antara pihak PKNP dan Persatuan Petani Moden Chemor, petani-petani Kanthan dibenarkan untuk terus mengusahakan tanah kebun mereka tanpa dikenakan sebarang bayaran oleh PKNP. Sehingga hari ini, petani-petani di Kanthan masih menunggu pihak PKNP untuk menunaikan janjinya yang memberikan tanah gantian kepada mereka seperti yang ditawarkan dalam surat tawaran yang dikeluarkan pada 21 November 2012. Akan tetapi, sekarang ini petani-petani Kanthan bukan sahaja belum lagi menerima tawaran tanah gantian yang dijanjikan oleh PKNP, sebaliknya diserahkan notis pengusiran yang hendak mengosongkan tanah bagi pihak PKNP.

Petani-petani kawasan Kanthan telah menghantar surat melalui peguam kepada pihak berkuasa untuk meminta supaya membatalkan notis pengusiran di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara.

“Aktiviti pertanian ini merupakan mata pencarian kami,” begitu katanya petani-petani Kanthan dalam memorandum yang ditujukan kepada Anwar Ibrahim selaku Ahli Parlimen bagi kawasan mereka yang juga merupakan Perdana Menteri. “Pengusiran paksa yang membawa kepada pemusnahan tanaman dan ternakan kami akan menjejaskan sumber pendapatan kami sekeluarga.”

“Lebih-lebih lagi, aktiviti pertanian ini bukan sahaja untuk kepentingan keluarga kami. Seperti yang diketahui umum, ia adalah penting untuk menjaga keterjaminan makanan negara,” tambah petani-petani Kanthan. “Semasa membentangkan Belanjawan 2024 baru-baru ini, Perdana Menteri sendiri telah menggalakkan pekebun-pekebun kecil untuk mengoptimumkan penggunaan tanah melalui penghasilan makanan dan ternakan. Petani-petani kawasan Kanthan merupakan pengeluar utama jagung di Malaysia. Jadi, sekiranya kami dihalau keluar, ia akan menjejaskan bekalan makanan negara kita.”

Oleh yang demikian, petani-petani kawasan Kanthan meminta campur tangan segera daripada Perdana Menteri untuk menghentikan pengusiran paksa dan pemusnahan kebun-kebun sayur mereka. Petani-petani kecil yang mengeluarkan makanan untuk masyarakat kita tidak harus diusir sewenang-wenangnya.

6 thoughts on “Seruan kepada PMX: Selamatkan petani Kanthan yang mengeluarkan makanan daripada pengusiran paksa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *