(foto: AFP)

Selepas lebih dua tahun berlakunya perjuangan petani hebat yang berjaya mendesak kerajaan India untuk membatalkan undang-undang anti-petani pada tahun 2020-2021, petani-petani di negara India sekali lagi turun beramai-ramai ke jalanan untuk berprotes kerana tuntutan-tuntutan mereka yang gagal ditunaikan oleh kerajaan India pimpinan Narendra Modi.

Puluhan ribu orang petani mula berarak dari negeri Punjab menuju ke ibu negara India, New Delhi, pada 13 Februari 2024 untuk membangkitkan tuntutan-tuntutan lama mereka yang masih belum dilaksanakan oleh kerajaan India. Pihak berkuasa telah mendirikan blok simen, penghadang besi dan dawai berduri di sempadan Delhi dan negeri Haryana untuk menghalang petani-petani daripada berarak ke ibu negara. Ini bagaikan ulang tayang apa yang pernah berlaku lebih dua tahun dahulu apabila petani-petani berarak ke Delhi pertama kali untuk menyuarakan tuntutan mereka.

Polis Delhi telah menggunakan Seksyen 144 Kanun Prosedur Jenayah untuk melarang kemasukan traktor petani dan perhimpunan besar-besaran di beberapa kawasan termasuk sempadan Delhi. Pihak berkuasa telah menggunakan gas pemedih mata dan meriam air di sesetengah tempat untuk menyuraikan petani-petani yang berhimpun.

Pada 21 Februari 2024, Shubh Karan Singh, seorang petani muda yang berumur 24 tahun, mati selepas mengalami kecederaan dalam pertempuran antara petani dan polis di sempadan negeri Punjab-Haryana.

(foto: PTI)

Aksi protes petani India terbaru tercetus selepas rundingan antara pemimpin-pemimpin petani dengan Piyush Goyal selaku Menteri Hal Ehwal Pengguna, Makanan dan Pengagihan Awam serta Arjun Munda selaku Menteri Pertanian dan Kebajikan Petani gagal mencapai apa-apa hasil pada 12 Februari 2024.

Organisasi-organisasi petani yang terlibat dalam aksi protes terbaru termasuk Kisan Mazdoor Morcha (KMM) yang merupakan gabungan lebih 250 buah kesatuan petani dan Samyukta Kisan Morcha (bukan politik) yang merupakan platform kesatuan petani yang berpecah daripada Samyukta Kisan Morcha (SKM), iaitu gabungan petani yang ditubuhkan pada bulan November 2020 untuk menggerakkan perjuangan melawan undang-undang anti-petani pada masa itu.

Pencetusan semula protes petani India merupakan manifestasi ketidakpuasan hati golongan petani India terhadap masalah yang sedang membelenggu mereka, termasuk hutang dan krisis teruk yang menyebabkan lebih 100,000 orang yang bekerja dalam sektor pertanian di India membunuh diri sejak Narendra Modi menjadi Perdana Menteri India sejak tahun 2014, bersamaan purata 30 orang petani membunuh diri setiap hari.

Antara tuntutan yang dikemukakan oleh petani-petani yang berprotes termasuk penepian hutang petani, undnag-undang yang menjamin Harga Sokongan Minimum (MSP) bagi hasil tanaman petani, pencen untuk petani yang berumur 60 tahun ke atas, pemansuhan Rang undang-undang Pindaan Elektrik yang akan membolehkan penswastaan berleluasa, penetapan gaji minimum untuk kerja pertanian di bawah Akta Jaminan Pekerjaan Luar Bandar Kebangsaan Mahatma Gandhi (MGNREGA), dan sebagainya.

Jaminan Harga Sokongan Minimum (MSP) merupakan salah satu tuntutan utama yang dibawa semasa protes petani India pada tahun 2020-2021. Protes petani India pada tahun 2020-2021 berjaya mendesak kerajaan India untuk memansuhkan 3 undang-undang pertanian yang membuka sektor pertanian kepada penguasaan korporat dan penyahkawalseliaan, tetapi persoalan mengenai MSP masih belum dapat diselesaikan sejak itu, walaupun kerajaan India pernah berjanji untuk melaksanakannya dan sering dibangkitkan oleh golongan petani.

Selain itu, petani-petani yang berprotes juga menuntut keadilan untuk mangsa-mangsa peristiwa keganasan di Lakhimpur Kheri. Pada 3 Oktober 2021, petani-petani berprotes secara aman di atas jalan raya di daerah Lakhimpur Kheri, negeri Uttar Pradesh, telah dilanggar oleh sebuah kereta daripada konvoi yang membawa Ashish Mishra, anak kepada Ajay Mishra, seorang Menteri dalam kerajaan Parti Bharatiya Janata (BJP). 4 orang petani mati dibunuh kerana dilanggar kereta pada masa itu.

“Ini bukannya tuntutan-tuntutan yang baru. Ini semuanya merupakan komitmen yang dibuat kepada kami oleh kerajaan. Dan untuk membawa perhatian kerajaan kepada komitmen ini, kami telah berulang kali, melalui pelbagai medium, cuba untuk menyampaikan kepada mereka, tetapi kerajaan tidak menunjukkan sebarang keseriusan,” kata Jagjit Singh Dhalewal, pemimpin SKM (bukan politik), semasa ditemuramah oleh media. “Apabila kami menuntut undang-undang MSP, reaksi mereka adalah berbeza; apabila kami bercakap tentang penepian hutang pinjaman dan laporan Suruhanjaya Swaminathan (yang menyarankan bahawa MSP ditetapkan 50% melebihi kos pengeluaran), mereka tidak bersetuju.”

Dengan kerajaan India enggan mendengar keluhan dan tuntutan petani, golongan petani di India sekali lagi berprotes di jalanan untuk menyuarakan hak mereka. Aksi protes petani yang terbaru ini telah membawa cabaran besar kepada kerajaan pimpinan Narendra Modi yang hendak memenangi pilihan raya umum yang bakal diadakan tidak lama lagi untuk meneruskan kekuasaannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *