Aksi protes di Hamburg pada 19 Januari 2024. (foto: Fridays for Future Germany / X)

Gelombang protes besar-besaran tercetus di negara Jerman sejak pertengahan bulan Januari 2024 untuk menentang pengkomplotan golongan pelampau kanan yang hendak mengusir keluar semua warga migran dari negara itu.

Ini berlaku selepas laporan penyiasatan oleh kumpulan wartawan Correctiv yang diterbitkan pada 10 Januari 2024 mendedahkan sebuah mesyuarat golongan pelampau kanan pada 25  November 2023 di Postdam yang berkomplot untuk “menghantar pulang” warga migran secara besar-besaran, termasuk mereka yang sudah mempunyai kewarganegaraan Jerman dan mereka yang berketurunan migran. Turut hadir dalam mesyuarat pelampau kanan tersebut ialah ahli-ahli politik Alternative für Deutschland (AfD), sebuah parti pelampau kanan yang merupakan parti kelima besar dalam Parlimen Persekutuan Jerman pada masa ini. Ahli-ahli politik daripada Kesatuan Demokratik Kristian (CDU), parti kedua besar dalam Parlimen Persekutuan Jerman, juga hadir dalam mesyuarat tersebut.

Golongan progresif di Jerman telah berganding bahu untuk melancarkan aksi-aksi demonstrasi di seluruh negara, dengan mengangkat slogan “Bersama Menentang Golongan Kanan”, demi mempertahankan demokrasi dan melawan ancaman fasis. Ramai demonstran telah menggesa supaya AfD disiasat oleh Pejabat Persekutuan untuk Perlindungan Perlembagaan (BfV) atau diharamkan sama sekali.

Aksi protes menentang pelampau kanan mula-mulanya diadakan di bandar Duisburg pada 13 Januari 2024, diikuti dengan ribuan orang berdemonstrasi di Postdam dan Berlin sehari kemudian. Sebanyak 25,000 orang berprotes di Berlin pada 14 Januari 2024, dan 30,000 orang berprotes di Cologne pada 16 Januari 2024. Aksi protes ini kemudiannya berkembang dengan lebih besar lagi.

Aksi demonstrasi menentang pelampau kanan di Berlin pada 21 Januari 2024. (foto: Magnus Hagdorn)

Dari 19 hingga 22 Januari 2024, lebih 1.5 juta orang turun ke jalanan di bandar-bandar seluruh Jerman untuk berprotes menentang xenofobia dan politik kebencian yang dibawa oleh kumpulan-kumpulan politik pelampau kanan. Mereka yang berprotes termasuk golongan kiri, kesatuan-kesatuan pekerja, kumpulan-kumpulan anak muda dan kumpulan-kumpulan anti-fasis. Lebih 80,000 orang berprotes di Hamburg pada 19 Januari 2024; sekurang-kurangnya 100,000 orang berdemonstrasi di Berlin dan lebih 100,000 orang juga berprotes di Munich pada 21 Januari 2024.

Golongan progresif di Jerman mengecam komplot pelampau kanan terhadap golongan migran. Gabungan “Bersama Menentang Golongan Kanan” (Zusammen gegen Rechts) yang menyeru untuk aksi protes berkata dalam kenyataannya bahawa “AfD telah menunjukkan wajahnya yang keji: ahli-ahli politik parti itu mahu mengusir jutaan orang yang tidak seiras dengan ideologi rasis mereka. Sudah terlalu lamanya, ahli-ahli politik hanya memerhati sahaja pada ketika golongan sayap kanan menyebarkan kebencian dan hasutan. Adalah juga jelas bahawa peralihan ke haluan kanan tidak terhad pada AfD. Mereka yang mengambil pendirian sayap kanan dan menyeru untuk pengusiran beramai-ramai membuka jalan kepada idea-idea yang tidak berperikemanusiaan. Kita hanya dapat menghentikan AfD dan rakan-rakanya jika kita berdiri bersama sebagai sebuah masyarakat untuk menentang ideologi pelampau sayap kanan mereka.” Gabungan protes ini menggesa kerajaan Jerman untuk mengambil tindakan yang lebih tegas untuk membendung komplot pelampau kanan sebegitu dan menyeru komitmen serius daripada parti-parti politik utama di Jerman untuk melawan ancaman pelampau kanan.

Aksi protes menentang pelampau kanan di Nuremberg pada 20 Januari 2024. (foto: Pia Bayer / AP)

AfD yang ditubuhkan pada tahun 2013 telah muncul menjadi sebuah kuasa politik utama di negara Jerman dalam tempoh satu dekad yang lalu, dengan memperoleh 12.6% dan 10.1% undian masing-masing dalam Pilihan Raya Persekutuan pada tahun 2017 dan 2021. AfD berada di tempat kedua dalam tinjauan pendapat untuk pilihan raya di beberapa buah negeri dan Pilihan Raya Parlimen Eropah yang akan diadakan di Jerman pada tahun ini.

Untuk meraih lebih banyak sokongan undi dalam pilihan raya akan datang di beberapa buah negeri di Jerman, AfD telah mempergunakan keadaan di mana ramai rakyat Jerman kecewa dengan dasar-dasar “penjimatan”, pro-orang kaya dan sokong perang yang dibawa oleh kerajaan campuran “lampu isyarat” yang dipimpin oleh Canselor Olaf Scholz daripada Parti Demokratik Sosial Jerman (SPD). AfD cuba menculik protes petani yang sedang berlaku di Jerman untuk kepentingan politiknya, sementara menerajui kempen memecah-belahkan masyarakat Jerman dengan menyasarkan golongan migran untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada punca sebenar kepada masalah sosio-ekonomi di negara Jerman. Kesatuan-kesatuan petani yang melancarkan protes di seluruh Jerman untuk membantah pemotongan subsidi dan peningkatan cukai telah menggesa anggota-anggota mereka supaya menjauhkan diri daripada aksi-aksi yang dipanggil oleh AfD dan kumpulan-kumpulan pelampau kanan yang lain.

Dengan ancaman pelampau kanan yang mengapi-apikan sentimen xenofobia dan perkauman yang berterusan di benua Eropah termasuk Jerman, perjuangan anti-rasisme menjadi semakin ketara. Adalah penting untuk golongan kiri terus bermobilisasi dari bawah dan menunjukkan kewujudan alternatif kepada politik pelampau kanan dalam usaha mencabar sistem kapitalis yang penuh dengan masalah.

Aksi protes menentang rasisme di Frankfurt am Main pada 20 Januari 2024. (foto: Kirill Kudryavtsev / AFP)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *