oleh GegarAmerika

GegarAmerika mengecam keputusan yang diambil oleh lebih daripada 14 buah negara Barat untuk menggantung bantuan penyelamat nyawa kepada Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) pada ketika pengeboman berterusan dan kebuluran di Gaza masih berlaku. Keputusan ini berlandaskan pertuduhan tidak berasas oleh lobi Zionis yang mendakwa bahawa kakitangan UNRWA telah terlibat dalam serangan pada 7 Oktober terhadap kolonis Israel.

GegarAmerika mengecam sekeras-kerasnya Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Jerman, Kanada, Itali, Belanda, Finland, Switzerland, Australia, Jepun, Romania, Austria, Estonia dan Sweden atas tindakan mereka menarik balik dana daripada UNRWA dalam beberapa hari sahaja selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan bahawa terdapat bukti yang mencukupi untuk menganggap tindakan Israel di Palestin sebagai penghapusan kaum (“genosid”), dan meminta supaya bantuan kemanusiaan ke Gaza ditingkatkan sewajarnya. 

Jelas di sini bahawa tindakan kuasa imperialis antarabangsa ini merupakan satu bentuk hukuman kolektif ke atas populasi yang ditindas di bawah pendudukan Israel. Tindakan tersebut bukan sahaja dilakukan atas tuduhan yang tidak berasas, tetapi merupakan sesuatu yang kejam dan memalukan. UNRWA menyediakan perkhidmatan pendidikan, penjagaan kesihatan dan tempat perlindungan untuk 2.2 juta orang rakyat Palestin di Gaza, di mana lebih 80% daripada jumlah itu merupakan pelarian yang diusir keluar dari tanah air mereka semasa Nakba pada tahun 1948. Penggantungan bantuan ini boleh meruntuhkan sistem kesihatan dan menyekat lebih lanjut akses kepada sumber kehidupan asas untuk setiap lelaki, wanita dan kanak-kanak di Gaza. Ini jelasnya melanggar keputusan ICJ mengenai langkah-langkah sementara baru-baru ini. 

Serangan sistematik ke atas organisasi-organisasi pelarian seperti UNRWA sudah pasti mendukung agenda Zionis yang lebih ruang untuk menghapuskan hak rakyat Palestin untuk pulang ke kampung halaman (right to return) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Status pelarian Palestin di bawah UNRWA telah lama dianggap sebagai ancaman kepada entiti Zionis. Penggantungan bantuan kepada UNRWA dilaksanakan sejurus selepas kenyataan oleh Noga Arbel, Ketua kepada Kohelet Foundation, sebuah badan fasis bersayap kanan, yang berkata, Kita tidak mungkin akan memenangi peperangan jika UNRWA tidak dihancurkan, dan penghancuran ini mesti dilaksanakan dengan segera. Kenyataan ini hanya merupakan salah satu daripada kenyataan-kenyataan berbaur genosid yang telah dikeluarkan oleh pegawai-pegawai Israel dan jurucakap-jurucakap tenteranya sejak 7 Oktober lalu, di mana hasutan untuk keganasan ini jelas mempunyai niat berunsur genosid di bawah undang-undang antarabangsa. 

GegarAmerika bersolidariti dengan perjuangan Palestin dan mendukung hak rakyat Palestin untuk melakukan perjuangan bersenjata demi menentang kuasa penjajah Israel, sebagai hak yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. GegarAmerika menolak tuduhan tidak berasas oleh entiti Zionis yang sebelum ini menyebarkan fitnah bahawa pejuang-pejuang Palestin melakukan penderaan dan keganasan seksual terhadap kolonis Israel sebagai alasan untuk melakukan genosid di Gaza. Rejim pembunuh Zionis ini juga berulang kali menghalang cubaan Hamas untuk melaksanakan penyiasatan bebas ke atas kematian orang awam pada 7 Oktober lalu, yang ternyata sebahagian besar disebabkan oleh tembakan peluru Israel sendiri. Serangan bersasar terhadap UNRWA merupakan sambungan kepada jenayah-jenayah mereka ini. Oleh itu, GegarAmerika menyeru pada rakyat Malaysia dan warga Selatan Global yang berjiwa kemanusiaan untuk terus memastikan kuasa imperialis dunia bertanggungjawab ke atas jenayah kemanusiaan yang dilakukan mereka, dan kita akan terus memberi sokongan padu kepada rakyat Palestin dalam menentang genosid. 

==========

GegarAmerika merupakan gerakan oleh rakyat Malaysia yang bergiat untuk menentang kekejaman Amerika Syarikat (AS); mengecam keras imperialisme Barat dan pencerobohan campur tangan AS di seluruh Selatan Global, khususnya dalam isu perjuangan pembebasan Palestin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *